Nazwan menggeliat membetulkan otot-ototnya sambil menghirup udara segar di balkoni biliknya pada pagi itu. Rasanya macam sudah lama dia tidak menghirup udara segar padahal baru sehari dia terlantar demam di atas katil. Semuanya Arissa punya pasal. Sampai sekarang dia tidak faham kenapa boleh jadi begini. Arissa bukan kembarnya. Malah tiada pertalian darah dengan keluarganya. Arissa hanyalah jirannya. Jadi, sepatutnya perkara aneh begini tidak akan terjadi. Dia mula perasan pekara itu pun selepas setahun berkawan dengan Arissa. Dalam setahun itu, Arissa memang banyak kali demam. Selepas Arissa demam, barulah dia jatuh sakit untuk sehari dua. Perkara yang sama berulang-ulang sehinggalah Luqman mula perasan akan hal itu. Disebab itulah Luqman selalu tuduh Arissa ahli sihir.