APY ELINA terjaga daripada tidur. Dia mengeluh panjang. Waktu tengah lena beginilah ada sahaja yang tak kena. Menyesal pula dia tak ikut cakap Adam tadi. Lain kali sebelum masuk tidur, pergi buang apa yang patut tapi dia degil. Akhirnya terpaksa bangun tengah malam pergi ke tandas. Perlahan-lahan dia bangun dari katil. Sengaja tak nak Adam yang sedang nyenyak tidur di sebelah terjaga. Kalau tidak, pasti pak cik itu akan membebel. Dia tak sanggup nak dengar waktu malam-malam begini. Selepas berjaya bangun, senyap-senyap dia keluar dari bilik. Ketika hendak turun ke bawah, dia terdengar beberapa suara sedang berbual di ruang tamu. Serentak dengan itu bulu romanya naik meremang seluruh badan. Mana tidaknya, dia dengar ada orang berbual-bual tapi bila dia jengah dari atas, keadaan di ruang tamu agak samar-samar.