Bantuan akhirnya tiba. Dari arah laut, kelihatan beberapa bot laju milik pasukan khas menghampiri kapal persiaran yang kini dikelilingi asap nipis dan cahaya merah kecemasan. Bunyi helikopter berlegar di udara, diikuti dengan dentuman kuat apabila pasukan PASKAL mula menyerbu masuk ke dalam kapal persiaran itu.
Pasukan khas yang berpakaian hitam lengkap dengan topeng dan senjata automatik naik ke kapal dengan penuh berhati-hati. Dalam masa yang singkat, mereka menumpaskan saki baki lanun yang masih bersembunyi di beberapa bahagian kapal.
Dek demi dek dibersihkan dengan pantas dan teratur. Setiap langkah mereka disusuli dengan arahan tegas. Pantulan cahaya lampu yang dipasang pada senjata api dan topi keledar yang dipakai oleh pasukan khas itu memudahkan lagi tugas mereka dalam keadaan kapal yang sudah terputus bekalan elektrik itu.
Tidak lama kemudian, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat mula memenuhi dek. Mereka segera menghulurkan bantuan kepada mangsa yang cedera dan menenangkan penumpang yang trauma. Beberapa pegawai perubatan lapangan mula membuka kawasan rawatan kecemasan di dalam dewan utama iaitu tempat ramai mangsa berlindung semasa serangan tadi. Bau ubat-ubatan dan darah bercampur dengan bau air laut yang masin.
Harris duduk di salah satu sudut dewan. Rosie masih berada di sebelahnya. Masing-masing keletihan. Di sekeliling mereka, suara tangisan dan panggilan mencari ahli keluarga bergema sayup-sayup. Pasukan perubatan bergerak tanpa henti, membalut luka, memberi minum dan mengatur barisan mangsa untuk dipindahkan ke kapal penyelamat yang akan membawa mereka ke jeti terdekat.
Beberapa jam kemudian, semua yang masih hidup dibawa ke tempat perlindungan sementara di darat. Di situ, senarai nama mangsa dikemaskini dari semasa ke semasa. Harris masih menanti berita tentang Kejora. Walau dia bersyukur Rosie selamat, perasaan lega itu masih tidak lengkap.
Malam itu terasa terlalu panjang bagi Harris. Hujan gerimis mula turun menambah lagi rasa sayu dan duka. Setiap kali ada mangsa baru dibawa masuk ke dalam tempat perlindungan itu, dia memanjangkan leher, mengharap kemunculan Kejora. Kadangkala dia terbayang Kejora berjalan masuk dengan senyuman ceria seperti selalu. Tapi hingga saat ini, kelibat Kejora tidak kelihatan.
Tangisan seorang lelaki tidak henti-henti menambah lagi rasa sayu hatinya. Sejak tadi dia terdengar perbualan tentang lelaki itu. Isterinya sarat mengandung teringin nak makan sushi. Lalu dia tinggalkan isterinya sebentar di dek berdekatan kolam renang dan pergi ke restoran sebentar. Ketika itulah serangan itu berlaku. Dia meraung bila terdengar semua yang di dek kolam renang telah terbunuh.
Tiba-tiba keadaan bertukar sedikit kecoh apabila sekumpulan penyelamat membawa masuk seorang wanita mengandung. Bagaikan keajaiban berlaku, tangisan tadi bertukar sedikit kegembiraan pada wajah lelaki itu. Suami isteri itu berpelukan sambil mengucapkan rasa syukur kerana mereka berpeluang hidup bersama dalam situasi yang tidak disangka ini.
Hal ini sekali gus memberikan sedikit sinar kepada mangsa-mangsa yang menantikan berita gembira di pusat perlindungan sementara itu. Begitu juga dengan Harris. Tapi baru sahaja ada sedikit harapan, Harris menerima satu tamparan lagi.
“Hanya isterinya yang terselamat di dek kolam renang. Dia bersembunyi dalam kabinet kecil dan pintu kabinet tu tak kelihatan sebab terlindung dengan kotak-kotak. Katanya, ada seorang perempuan bagi tempat tu kepadanya dan susun kotak-kotak tu supaya tak kelihatan…”
Rasa tidak sedap hati mula menjalar. Seolah-olah sesuatu yang buruk telah berlaku kepada Kejora…
***
Kejora dan Firdaus masih bersembunyi di dalam bilik kecil itu. Bunyi tembakan yang tadi berlarutan kini kian senyap tetapi Firdaus menyarankan supaya mereka terus bersembunyi sehingga bantuan tiba.
Kejora menurut walaupun ada banyak soalan yang dia hendak tanya. Siapa Firdaus? Kenapa Firdaus kenal ayahnya? Firdaus benar-benar seorang pelajar universiti atau…
Tiba-tiba, kedengaran derapan langkah tergesa-gesa di luar bilik. Firdaus memberi isyarat supaya diam. Beberapa saat kemudian, suara lelaki yang tegas jelas kedengaran di sebalik pintu.
“Kami dari pasukan penyelamat! Semua penjenayah telah ditawan! Sesiapa yang masih hidup, sila keluar dengan tangan di atas kepala!”
Kejora berasa lega. Namun, Firdaus tetap berhati-hati. Dia memberi isyarat agar senyap dan bertenang. Perlahan-lahan dia membuka pintu sedikit, menjenguk keluar untuk memastikan kebenaran. Di koridor, kelihatan beberapa anggota bersenjata lengkap memakai pakaian pasukan khas dengan bendera Malaysia di lengan.
“Selamat,” bisik Firdaus lega.
Mereka berdua melangkah keluar dengan berhati-hati. Kejora mengekori Firdaus di belakang. Mungkin kerana duduk terlalu lama atau rasa takut itu masih ada, lututnya longlai. Namun, digagahi juga. Mereka mengikut arahan pasukan penyelamat. Lalu di sebuah lorong yang telah diatur.
Di sepanjang laluan, kelihatan beberapa mangsa disandarkan pada dinding. Ada yang menangis teresak-esak, ada yang hanya termenung kosong pada tubuh yang tidak bernyawa yang ditutupi dengan kain putih. Seorang anggota penyelamat dilihat menenangkan seorang wanita memanggil nama anak dan suaminya yang terbaring kaku.
Tangisan, jeritan dan suara arahan bercampur menjadi satu suasana yang memilukan tapi tidak bagi Kejora. Dia berasa bingit. Lapar dan dahaga. Dia hampir hilang kewarasan. Mujurlah Firdaus perasan dan menggenggam erat tangannya.
Ketika itu, dia tiba-tiba terdengar satu suara yang amat dikenalinya.
“Sweetie.”
Kejora berpaling. Di hujung koridor, berdiri seorang lelaki berpakaian seragam tentera berpangkat tinggi, wajahnya penuh kebimbingan.
“Papa…”
Tanpa berfikir panjang, dengan kudrat yang ada dia berlari ke arah lelaki itu. Sang jeneral membuka kedua-dua lengannya, dan Kejora terus memeluknya erat-erat. Tangisannya pecah di bahu ayahnya yang selama ini sibuk melindungi negara daripada ancaman musuh, kini datang sendiri menyelamatkannya.
Ketika tuan jeneral sedang menenteramkan anaknya yang menangis tanpa henti, dia memandang ke arah Firdaus. Wajahnya serius seolah-olah bertanyakan sesuatu. Firdaus, membalas dengan gelengan.
Sesuatu telah berlaku…
Sesuatu yang tidak dapat dielak…

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.