Tidak berkedip mata Honey apabila melihat Sakinah menghiris bawang dengan tangan tanpa beralaskan papan pemotong. Pantas dan cekap. Kagum melihat bawang-bawang itu dihiris dengan hirisan kecil. Tidak ubah seperti seorang chef di dalam rancangan masakan di televisyen yang pernah dilihatnya. Malah, kalah tukang masak yang berkhidmat di rumahnya. “Wah, tak sangka Kak Sakinah ni hebat juga. Macam mana Kak Sakinah buat? Saya ni hiris bawang pun dah keluar air mata tapi Kak Sakinah boleh hiris dengan cekap! Kagum! Kagum,” kata Honey sambil menepuk tangan dengan kagum. “Yang ni akak belajar masa akak kerja di kantin sekolah. Ada seorang mak cik tu yang ajar akak. Dia marah sebab akak hiris bawang dengan guna papan pemotong, jadi, dia suruh akak biasakan juga. Mula-mula tu memang selalu terluka tapi bila dah biasa, tak jadi masalah,” jawab Sakinah sempat memberitahu pengalamannya bekerja sebagai pembantu dapur di kantin sekolah selepas tamat sekolah. “Kesian dengan Kak Sakinah. Abang Ai...