Seminggu telah berlalu sejak malam kebangkitannya. Kini, Kejora mula menjalani kehidupan yang serba berbeza. Jauh daripada rutin manusia biasa yang dulu dia lalui.
Kalau dahulu dia benci bersenam, joging pun baginya satu penyeksaan, tapi kini, mahu tak mahu, dia terpaksa melaluinya setiap pagi. Firdaus yang bertindak seperti jurulatihnya tidak pernah berkompromi. Selain joging, Firdaus juga mengajar Kejora asas bertinju dan seni pertahanan diri.
“Kau kena tahu guna kekuatan tu dan kawalnya,” kata Firdaus ketika habis berlatih.
Dan Kejora akui, badannya memang berubah. Tidak seperti dulu. Tubuhnya kini terasa ringan, tangkas dan kuat, seolah setiap ototnya tahu bila perlu bergerak dan bila perlu berhenti. Pendengarannya makin tajam, penglihatannya makin jelas walaupun dalam gelap. Dalam masa seminggu, dia sudah mampu menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru itu.
Namun latihan paling sukar bukanlah bertinju, bukan juga berlari di awal pagi tetapi mengawal nafsu makan.
Firdaus mengajarnya bagaimana menahan diri ketika deria bau mula menangkap aroma daging mentah, atau ketika darah mengalir dari jari sendiri akibat luka kecil. Dia diajar juga menarik nafas perlahan, menumpukan fikiran dan memindahkan rasa lapar itu menjadi tenaga. Kadangkala Firdaus akan menguji dengan meletakkan sepotong daging segar di hadapannya, hanya untuk melihat sejauh mana Kejora mampu bertahan.
Pada awalnya dia hampir gagal. Setiap kali bau itu menyentuh hidungnya, jantungnya berdegup laju, matanya menjadi panas dan lidahnya terasa ingin menggigit. Tapi setiap kali itu juga, Firdaus akan menenangkannya, menahannya dengan genggaman kuat di bahu.
Namun bukan hanya lapar yang dia perlu kawal. Perasaan marah juga.
Firdaus menjelaskan, kemarahan bagi darah harimau bukan sekadar emosi, ia pemicu yang boleh mengubah bentuk dan fikiran. Sekali dia hilang kawalan, semuanya boleh musnah. Maka setiap kali emosi mula membuak, setiap kali darahnya mendidih walau kerana hal kecil, Firdaus menyuruhnya menutup mata dan tenangkan fikiran.
Kejora belajar menarik nafas dalam, membayangkan dirinya berdiri di tengah hutan yang sunyi, mendengar desiran daun dan alunan angin. Lama-kelamaan, dia belajar menukar marah menjadi kekuatan, bukan keganasan.
Dalam diam, Kejora tahu, Firdaus bukan sekadar melatih tubuhnya, tapi juga jiwanya.
Kini, selepas seminggu penuh peluh dan disiplin, dia semakin yakin dia mampu berhadapan dengan manusia lain. Cuma Firdaus belum beri kebebasan kepadanya. Ada banyak lagi yang dia perlu pelajari.
Hari itu, sewaktu mereka berehat selepas sesi latihan, Kejora termenung lama memandang hutan. Angin petang memberikan ketenangan kepadanya. Tiba-tiba ada satu soalan terlintas dalam fikirannya. Soalan yang sepatutnya dia bertanya sejak awal lagi.
“Macam mana semua ni boleh jadi? Keluarga ayah aku… macam mana mereka boleh jadi harimau jadian?” tanya Kejora. “Atau soalan ni aku kena tanya ayah aku sendiri?” sambungnya lagi, mengingatkan dirinya pada soalan-soalan terdahulu yang Firdaus tidak dapat jawab, dengan alasan dia tidak arif tentang hal itu.
“Itu… ia seperti satu sumpahan.”
“Sumpahan?” Kejora mengerut dahi.
“Yes. Ia bermula pada tahun 1900-an. Masa tu, kehidupan orang-orang di tanah melayu sedang rancak. Banyak ladang dan tanah diteroka, ladang-ladang getah mula berkembang. Moyang kau, tak pasti generasi keberapa, memiliki kawasan tanaman getah yang luas. Tapi dalam masa yang sama dia sering berhadapan ancaman binatang buas, terutamanya harimau.
“Dipendekkan cerita, satu hari dia menembak mati seekor harimau menggunakan senapang patahnya. Namun, dia diserang pula oleh seekor harimau mistik. Dia tak mati… sebaliknya hidup semula. Sejak itu, semua keturunannya mewarisi sumpahan sama. Mati ditembak, hidup kembali dan menjadi harimau jadian.”
“Bertahun-tahun lamanya tak ada cara untuk hapuskan sumpahan ni?” soal Kejora hairan.
“Kalau ada ayah kau dah lama hidup seperti biasa.”
Kejora menarik nafas panjang.
“Tapi…” Firdaus bersuara semula. “Aku ada buat research pasal ni dan jumpa orang yang pakar dalam hal ni… ada kemungkinan sumpahan ni boleh dihapuskan… kalau kita berjaya temui semula harimau mistik tu.”
“Harimau mistik tu betul-betul wujud?”
Firdaus mengangkat bahu.
“Selain ayah aku, ada lagi yang kena sumpahan ni? Setahu aku, mama pernah kata yang ayah aku tu anak yatim piatu. Membesar di rumah anak yatim. Dia tak ada keluarga lain. Dan kalau ada, dah tentu aku tahu.”
“Itu aku tak tahu.” balas Firdaus sambil menggeleng.
Kejora mengetap bibir. “Aku rasa ayah aku pasti sembunyikan sesuatu. Kalau tak, dia sendiri yang akan datang ke sini dan terangkan semuanya. Bukan hantar kau, manusia biasa yang tak tahu banyak perkara.”
“Aku dah jawab semua yang aku tahu. Aku tak berani nak bagi jawapan pada perkara yang aku sendiri tak pasti. Aku tak nak kau makin keliru.”
“Fine!” dengus Kejora. Pandangannya yang tadinya terarah ke hutan di kejauhan kini beralih pada bangunan Istana Jati yang megah berdiri di hadapan mereka. “Aku ada satu lagi soalan yang aku nak sangat tanya kau.”
“Kalau aku ada jawapan…”
“Soalan ini kau mesti tahu.”
“Apa dia?” tanya Firdaus sambil memulas penutup botol air mineral. Dia bersedia untuk meneguknya.
“Kau pakai syampu apa?”
Hampir nak tersedak Firdaus mendengarnya. “Kenapa? Kau terbau sesuatu yang tak selesa?”
Kejora rasa serba salah. Dia tak mahu Firdaus salah faham. Akhirnya, dia tak mahu panjangkan soalan itu. Dia akan cari jalan. Maka, untuk mengubah topik, dia pun bertanya satu soalan lagi, “Ada satu lagi soalan.”
“Silakan.”
“Istana Jati ada lima tingkat. Tapi kenapa tangga di dalam hanya ada untuk ke tingkat satu? Mana lagi tangga untuk ke tingkat dua, tiga, empat dan lima? Macam mana kau naik ke tingkat-tingkat tu?”
Ada sedikit perubahan pada raut wajah Firdaus ketika soalan itu ditanya. Akhirnya Firdaus sekadar menjawab, “Aku tak pernah naik.”
“Serius?” Kejora terkejut.
“Tak ada tangga untuk ke tingkat dua hingga tingkat lima,” jawab Firdaus tenang.
“Tapi aku nampak ada pintu-pintu dan bilik-bilik di setiap tingkat. Itu bilik siapa? Untuk apa?”
Firdaus tersenyum nipis. “Kau pernah dengar orang kaya suka scam orang kaya?”
Kejora mengerut dahi. “Apa kena mengena dengan Istana Jati?”
“Dulu, masa urusan jual beli hartanah masih longgar, ada orang kaya yang suka menipu sesama sendiri. Mereka bina rumah besar di lereng bukit atau di kaki gunung sebab pemandangannya yang indah. Tapi untuk nampak lebih gah dan bernilai, mereka bina rumah kononnya lima tingkat sedangkan hakikatnya hanya satu atau dua tingkat yang benar-benar boleh digunakan.”
Firdaus menambah lagi sambil memandang Istana Jati, “Rumah ni… adalah salah satu daripadanya. Nampak megah di luar tapi penuh tipu daya di dalam. Sebab tu kau cuma nampak tangga untuk ke tingkat satu.”
Kejora terdiam. Lidahnya kelu, hanya mampu merenung istana megah di hadapannya. Tak sangka. Hidup ini penuh penipuan…
***
Malam itu, Kejora tidak boleh tidur. Dia baring menelentang di katil, merenung siling yang samar diterangi cahaya lampu luar. Dalam diam, fikirannya melayang kepada Firdaus, terutama pada bau pada tubuh lelaki itu. Ada sesuatu tentang aroma itu yang menenangkan, seolah-olah mencengkam urat sarafnya dan menidurkannya dalam dakapan halimunan.
Dia menarik selimut hingga ke dada, cuba memujuk diri untuk tidur, tapi semakin dipaksa, semakin kuat pula bayangan Firdaus hadir. Bau itu… hangat, maskulin… dia hendak bau aroma itu sekali lagi. Tanpa sedar, dia duduk. Dia nekad. Dia takkan tenang selagi dia tak tahu bau itu dari apa. Sabun apa? Syampu apa? Minyak wangi apa?
Lantas dia bangun dan melangkah keluar. Langkahnya ringan. Hampir tidak berbunyi ketika dia keluar dari bilik dan masuk ke bilik Firdaus. Kebetulan pintu bilik Firdaus tidak berkunci. Kejora menolak perlahan, cukup untuk kepalanya menyelinap masuk. Gelap gelita, tapi penglihatannya tajam, dia nampak Firdaus dengan lena di katil, nafas dan wajahnya tenang.
Kejora menelan liur. Jantungnya mula berdegup laju kerana dia sedar dia sedang melakukan sesuatu yang dia tak pernah dia terfikir hendak lakukan. Perlahan-lahan dia melangkah ke arah pintu kamar mandi yang terletak di hujung bilik. Tombol pintu dipulas dengan cermat.
Di dalam, bau sabun dan air masih melekat di seluruh kamar itu. Lalu, dia mula membelek satu persatu botol di rak. Syampu, sabun badan, minyak rambut dan apa saja barang mandian yang ada dalam kamar mandi itu. Semua dibuka dan dihidu, tapi tiada satu pun yang sama seperti bau yang terbayang dalam ingatannya.
Bukan ni… bukan ni juga…
Dia tunduk, mencari di bawah sinki. Tatkala itulah dia mendengar bunyi sesuatu di belakangnya. Bunyi seseorang berdeham.
Kejora kaku. Nafasnya terhenti.
Serentak itu, lampu bilik mandi menyala terang. Firdaus berdiri di muka pintu, bersandar dengan tangan bersilang di dada, wajahnya separuh mengantuk, separuh sinis.
“Ada apa-apa yang boleh saya bantu, Cik Kejora?” suaranya serak tapi tenang.
Kejora masih kaku, dia tak tahu bagaimana hendak menjelaskan kepada Firdaus…
***
Firdaus meletakkan botol syampu dan botol sabun mandi miliknya di atas meja, lalu duduk di kerusi berhadapan Kejora yang masih tunduk diam.
“Explain,” katanya tenang tapi tegas.
Kejora tidak menjawab. Wajahnya merah, telinganya pun terasa panas. Dia tahu betapa malunya situasi itu. Dan yang paling menyakitkan, kantoi depan Firdaus sendiri.
“Aku rasa aku dah sediakan semua barang mandi kau. Siap belikan jenama yang kau nak. Tapi kenapa kau nak ambil aku punya?” tanya Firdaus, nada suaranya sedikit keliru.
“Bukan macam tu… Aku bukan nak mencuri,” balas Kejora perlahan.
Firdaus mengangkat kening. “Habis tu?”
Kejora menggigit bibir sebelum bersuara lagi. “Aku cuma nak tahu… kau guna sabun dan syampu apa.”
Firdaus terdiam, pandangannya tajam tapi ada senyuman kecil di hujung bibirnya. “Jangan-jangan kau…”
“Jangan nak fikir yang bukan-bukan!” potong Kejora laju. “Aku cuma nak tahu. Selagi aku tak tahu, otak aku asyik fikir dan susah nak tidur. Faham?!”
Firdaus senyap. Dia tahu Kejora. Dia faham tapi cara gadis itu meluahkan membuatkan dia hampir tergelak.
“Sudahlah. Aku dah tahu jenama kau guna,” ujar Kejora cepat-cepat, lalu bangun dan terus berlari ke biliknya.
Sebaik pintu bilik ditutup, dia hempas dirinya ke atas katil. Muka disorok di bawah bantal.
“Malu gila…” bisiknya perlahan. Rasa nak menjerit, nak lenyap terus dari muka bumi. Dia tak pernah rasa segan begini. Terutamanya bila melibatkan Firdaus.
Beberapa detik kemudian, kedengaran ketukan lembut pada pintu biliknya.
“Apa?” Dia separuh menjerit, masih tak berani menatap wajah lelaki itu.
Pintu dibuka sedikit. Firdaus berdiri di situ dengan wajah tenang seperti biasa. Lalu menghulurkan jaketnya tanpa banyak bicara.
Bau itu… Kejora kenal benar. Bau yang menenangkan, yang entah kenapa buat jantungnya berdetak lebih laju.
“Untuk apa?” soalnya cuba menyembunyikan perasaannya.
“Cuaca sejuk,” jawab Firdaus ringkas. “Mungkin sebab tu kau susah nak tidur. Pakai ni.”
Kejora menyambut perlahan, matanya tak lepas dari wajah lelaki itu. “Okey.”
Firdaus mengangguk kecil dan beredar tanpa kata.
Kejora menutup pintu perlahan-lahan. Kemudian, dia memeluk dan mencium bau pada jaket itu Hangat. Harum. Inilah bau yang dia rindui beberapa hari ini.
Kejora kembali baring di katil sambil memeluk jaket yang baru diterima tadi. Hangatnya masih terasa, seolah-olah Firdaus baru sahaja memakainya. Dia sendiri tak faham dengan dirinya tapi mungkin sebab bau itu sudah memikat hidungnya dan menenteramkannya… maka dia merelakan saja.
Hanya bau okey, bukan orangnya!
Lama kelamaan, aroma pada jaket itu membuat matanya semakin berat. Dan malam itu, buat pertama kali sejak beberapa hari, Kejora tidur dengan tenang.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.