KERETA yang dipandu oleh Raymon berhenti di tempat yang terselindung dengan semak samun. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah kawasan yang dijadikan gelanggang bola keranjang.Apy Elina memerhati keadaan sekeliling. Siapa sangka, kawasan kilang terbiar ini dijadikan gelanggang bola keranjang. Belum pernah lagi dia jumpa golongan pemain jalanan seperti ini. Padanlah Adam hendak sangat dia ditemani dua orang bodyguard. Masuk sahaja ke kawasan ini, meremang bulu romanya. Dari dalam kereta, dia melihat sekumpulan budak remaja sedang bermain bola keranjang di gelanggang dan ada juga yang menjadi tukang sorak. Malah lagi meriah daripada perlawanan biasa. “ Boleh tahan juga tempat ni. Aman dan tenteram juga. Bebas dari bunyi bising. Tapi kenapa Adam kata tempat ni berbahaya?” soal Apy Elina yang hairan.