Suatu pagi yang damai, Kejora muncul di perpustakaan kecil milik Lydia.
Udara pagi yang segar dan cahaya matahari yang masuk melalui tingkap kaca menyerlahkan habuk-habus halus yang berterbangan di dalam. Lydia yang sedang menyusun buku di tingkat atas kelihatan terkejut dengan kedatangan Kejora yang tidak disangka.
“Kejora…” Lydia sedikit terkejut, namun wajahnya segera bertukar ramah. “Aku jarang dapat pelanggan awal-awal pagi di hari Sabtu begini.”
Lydia menyambut kedatangan Kejora dengan secawan kopi panas dan sepotong roti yang baru dipanggang berinti kaya dan butter.
“Aku datang ada sebab,” Kejora duduk sambi menggenggam cawan itu erat seolah-olah mengumpul keberanian. “Tentang harimau mistik…”
Kening Lydia terangkat. “Harimau mistik?”
“Ya.” Kejora mengangguk. “Aku hanya tahu harimau mistik tu wujud dari Firdaus tapi aku tak dapat banyak info dari dia. Dia kata dia nak tolong aku cari harimau mistik tapi dia sibuk nak aku jadi kuat sampai aku rasa aku dah jadi macam bahan eksperimen dia.”
Lydia mengeluh perlahan.
“Biasalah. Lelaki macam Firdaus memang tak guna sikit. Dia dibesarkan tanpa kasih sayang, sebab tu dia tak reti nak baca perasaan perempuan. Dengan aku pun dia layan macam lelaki,” kata Lydia separuh menyindir, separuh simpati.
“Bukan tu maksud aku. Aku tahu dia nak tolong aku dan balas budi ayah aku tapi aku tak sanggup nak tengok dia paksa diri macam ni. Hari tu, aku tertumbuk dia sampai keluar darah, tempoh hari pula aku hampir nak baham dia. Aku rasa tertekan bila tengok dia jadi mangsa. Jadi, aku nak tamatkan semua ni sebab tu aku nak tahu serba sedikit tentang harimau mistik.”
“So, Firdaus tak tahu kau datang sini?” tanya Lydia.
Kejora menggeleng dan berharap Lydia faham situasinya.
“Masalahnya aku pun tak boleh tolong kau sebab aku pun tak tahu sangat tentang harimau mistik tu,” kata Lydia.
“Aku ingat… kau ada buku tentang tu. Maklumlah aku dengar perpustakaan ni banyak buku lama-lama…” Kejora tersengih kecil.
“Kalau ada buku tentang harimau mistik, Firdaus orang pertama yang akan hulur pada kau. Senang sikit kerja dia. Dia tu… bukan pencerita yang bagus,” tambah Lydia.
“Jadi, kau pun tak tahu langsung?” tanya Kejora lagi.
Lydia sekali lagi geleng kepala. Kejora mengeluh perlahan, kecewa.
“Firdaus beritahu kau pernah nampak harimau mistik tu… Betul?” tanya Lydia nak memastikan sesuatu.
Kejora angguk.
“Macam mana kau tahu ia harimau mistik?”
“Matanya…” jawab Kejora perlahan. “Ada sesuatu yang lain pada matanya. Ia bersinar keemasan dan tiap kali ia pandang aku, aku rasa ada sesuatu yang menarik aku. Aku dapat rasakan ia bukan harimau biasa.”
Lydia mengerut dahi.
“Selepas hari tu, kau ada jumpanya lagi?”
“Tak ada,” Kejora menggeleng. “Sebab kebanyakan masa aku habiskan dengan Firdaus. Berlatih, berlatih dan berlatih. Mungkin ia hanya muncul jika aku keseorangan…”
Lydia terdiam seketika sebelum bersuara semula.
“Aku bukan nak pertahankan Firdaus tapi apa yang dia buat ni pun atas arahan ayah kau. Dan… mungkin sebab tu juga kau nampak kelemahan dia. Mungkin mereka ada alasan sendiri yang tak nak kau tahu, untuk lindungi kau.”
“Aku cuma nak tamatkan sumpahan ni,” Suara Kejora semakin perlahan. “Aku nak jadi manusia normal seperti dulu. Aku rindu kehidupan aku dulu. Walaupun sekarang aku bahagia, tapi banyak benda aku tak dapat buat.”
“Kau masih rindukan Harris?” Lydia mengangkat kening.
“Bukan Harris…” balas Kejora pantas.
“Aha…” Lydia tersengih memandang Kejora, menunggu pengakuan seterusnya.
“Aku akui,” Kejora menambah lagi. “Firdaus memang layan aku dengan baik… tapi aku rasa serba salah dengan apa yang terjadi padanya. Aku takut aku tak dapat kawal diri dan cederakannya lagi… Hanya mungkin sebab darah dan dagingnya sedap…”
Lydia terburai ketawa.
“Aku tak bergurau la…” Kejora mencebik.
“Aku tahu, aku tahu…” Lydia cuba menahan tawa. “Cuma… aku rasa aku dah banyak salah anggap kau selama ni. Aku dengar macam-macam benda buruk pasal kau. Tak sangka… apa yang Firdaus cakap tentang tu betul.”
Kejora memandangnya, dahi berkerut. “Dia cakap apa?”
“Dia kata kau comel,” Lydia tersenyum nakal.
Kejora terdiam. Wajahnya serta-merta terasa hangat, jantungnya berdegup lebih laju daripada tadi.
***
Hampir satu jam mereka berbual sebelum akhirnya Kejora meminta diri. Banyak tugasan yang menantinya, dan Lydia memahami. Dari tingkat atas perpustakaan, Lydia hanya memerhati langkah Kejora makin menjauh.
Sebaik sahaja kelibat Kejora hilang, Lydia bersuara, “Kau boleh keluar sekarang. Dia dah balik.”
Pintu kayu di sudut perpustakaan yang pada mata orang lain cuma kelihatan seperti almari lama, terbuka sedikit. Tersembul wajah Firdaus yang tercungap-cungap, sebelum dia keluar sepenuhnya dari pintu rahsia yang menghubungkan ruang atas dengan tangga menuju ke stor bawah tanah.
Firdaus mengipas baju, cuba menarik nafas dalam-dalam. Kalau tak disebabkan dia lihat kehadiran Kejora awal-awal pagi begini, dia takkan berakhir menyorok di sebalik pintu rahsia itu. Tapi memandangkan deria bau Kejora kuat, dia terpaksa menyaluti tubuhnya dengan buku-buku lama di dalam.
“Kau ternak buku sampai bau hapak macam ni?” dia merungut.
“Kau nak kita mulakan perang dunia sekali lagi?” Lydia menjeling tajam. Bau kertas lama adalah bau syurga baginya. Dia pantang betul kalau ada orang mengutuk koleksi bau buku buruk yang dikumpul keluarganya.
Firdaus berhenti merungut dan kembali serius.
“Aku tak pernah kata dia comel. Kenapa kau pandai-pandai tambah cerita.”
Nada suaranya penuh tak puas hati. Kalau boleh, nak saja dia meluru keluar dan menafikan.
“Kalau aku tak tambah cerita, dia akan tanya dan tanya lagi,” jawab Lydia tanpa rasa bersalah. “Sekarang ni, apa kau nak buat? Harimau mistik adalah satu-satunya idea yang dapat alih perhatian dia, lambat-laun benda ni akan menjadi lebih rumit. Dia semakin obses dengan harimau mistik yang tak wujud tu.”
“Aku tahu… tapi dia belum bersedia…” kata Firdaus.
“Dia belum bersedia atau kau belum bersedia?” tanya Lydia sambil menyilang tangan, menatap Firdaus tanpa kelip.
Pertanyaan itu membuat Firdaus terdiam lama. Senyap yang panjang menggantung di antara mereka sebelum akhirnya dia mengakui, “Aku cuma nak dia hidup normal.”
“Tapi kau tahu dia tak boleh kembali normal. Nak tak nak dia kena terima yang dia dilahirkan dengan darah keturunan harimau,” tambah Lydia dengan tegas.
“Dan aku gagal lindungi dia…” Firdaus tunduk.
“Ini bukan soal kau gagal atau tidak,” ujar Lydia kembali tenang. “Benda ni dah ada dalam ramalan keluarga aku. Malah ramai yang percaya Kejora akan bangkit suatu hari nanti. Kau tak mampu halang kebangkitan dia selamanya. Sekarang dia dah bangkit, kau perlu bimbing dia. Jangan bagi dia terpengaruh dengan ideologi keluarga lain. Daripada kau berhasrat nak dia hidup normal, kau patut fikir macam mana nak bagi dia hidup bebas.”
“Itu yang aku cuba usahakan sekarang. Aku nak dia bebas dan ada pemikiran sendiri. Sesiapa pun tak boleh nak pengaruhinya, termasuk aku. Aku nak dia bebas buat keputusan. Tapi sebelum tu, aku nak latih dia jadi kuat. Aku tak nak mereka buli dia,” terang Firdaus.
“Kalau macam tu, kau kena mulakan dengan berterus terang dengan dia…” tegas Lydia lagi. “Aku lihat dia percayakan kau lebih. Inilah masanya untuk kau berterus-terang. Lebih baik dia dengar dari mulut kau daripada mulut musuh. Orang Zambri sentiasa memerhati, Belati pula sudah berkumpul di beberapa kawasan sekitar kampus. Bila-bila masa saja mereka akan muncul di hadapan Kejora dan menakutkannya, kau tak boleh lindungi dia sepanjang masa sebab keadaan kau sendiri pun satu masalah juga.”
Firdaus terdiam, wajahnya menunjukkan seribu kebimbangan. Jika Kejora mengetahui segalanya, dia juga akan mengetahui sejarah kelaurganya, termasuk sejarah hitam keluarganya.
“Kalau kau tak tahu nak terangkan hal ni kepadanya, aku boleh tolong. Aku pakar dalam bab bercerita ni…” Lydia menawar diri.
“Aku kena inform ayah dia dulu…” Firdaus menghela nafas berat.
“Bukan ke ayah dia dengar cakap kau?” Lydia menjeling tajam.
“Ya tapi bab melibatkan anak dia… dia kena tahu dulu. Aku tak boleh suka-suka buat keputusan sebab keluarga mereka dah bebas… lama. Aku bukan tuan mereka lagi,” tambah Firdaus lagi.
Lydia tersenyum. “Okay, kau boleh cari aku kalau dua-dua pihak setuju.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.