Romeo Yang Hilang: Bab 10


APY ELINA terjaga daripada tidur. Dia mengeluh panjang. Waktu tengah lena beginilah ada sahaja yang tak kena. Menyesal pula dia tak ikut cakap Adam tadi. Lain kali sebelum masuk tidur, pergi buang apa yang patut tapi dia degil. Akhirnya terpaksa bangun tengah malam pergi ke tandas.
Perlahan-lahan dia bangun dari katil. Sengaja tak nak Adam yang sedang nyenyak tidur di sebelah terjaga. Kalau tidak, pasti pak cik itu akan membebel. Dia tak sanggup nak dengar waktu malam-malam begini. Selepas berjaya bangun, senyap-senyap dia keluar dari bilik.
Ketika hendak turun ke bawah, dia terdengar beberapa suara sedang berbual di ruang tamu. Serentak dengan itu bulu romanya naik meremang seluruh badan. Mana tidaknya, dia dengar ada orang berbual-bual tapi bila dia jengah dari atas, keadaan di ruang tamu agak samar-samar.

Bagaimanapun dia kenal suara-suara itu. Apy Elina memasang telinga dan cuba mendengarnya dengan teliti. Itu macam suara Along.
Payahlah mak. Menantu lelaki mak tu memang bukan calang-calang menantu. Dia tu, apa pun tak takut. Semua dia boleh buat. Nak buli dia pun payah. Kami buli dia, akhirnya dia buli kami balik,” ujar Angah dengan keluhan.
Habis tu macam mana?” suara emaknya pula kedengaran.
Biarkan sajalah. Bagi Along, Adam tu tak macam yang kita dengar selama ini. Dia layan Apy dengan baik saja. Macam tak logik pula Adam ada deranya. Lagipun tak ada pun sebarang luka atau lebam dekat mukanya. Mungkin semua yang kita dengar tu fitnah kot,” tambah Along meluahkan pendapatnya.
Memanglah sekarang ni tak ada lebam-lebam. Kita tak tahu hal sebenarnya yang berlaku antara mereka. Mana tahukan Apy kena ugut dan pura-pura tunjuk dia bahagia. Kita tak tahu, bukan? Lagipun dera ni tak semestinya lebam-lebam tapi mental pun boleh kena dera juga,” balas Puan Fatimah.
Apy Elina yang sedang mencuri dengar mengangguk faham. Jadi, inilah sebab utama mereka membuli Adam. Adam ada menderanya? Entah daripada mana fitnah itu muncul. Macam-macam hal. Kalau dia dapat orang yang menyebarkan cerita yang tak betul ini, memang dipanggang orang itu! Menyusahkan betul!
Macam mana kalau tak ada? Along rasa semua ni fitnah sajalah,” tegas Along.
Macam mana betul? Dah kecoh satu kampung kata Apy tak bahagia dengan suaminya,” Puan Fatimah masih bertegas.
Siapa pula kata begitu? Dia ada bukti ke?” tanya Angah pula.
Dia cakap mestilah ada bukti…”
Siapa yang cakap?” tanya Apy Elina segera keluar dari tempat persembunyian. Dia yang hendak buang air kecil tadi terus terbantut. Emak dan abang-abangnya terkejut disapa olehnya.
Relaks. Relaks,” Angah cuba tenteramkan adiknya itu.
Mana boleh Apy relaks bila ada orang fitnah Adam macam tu. Siapa yang pandai-pandai buat cerita macam ni?” tanya Apy Elina geram. Tak pasal-pasal disebabkan fitnah ini suaminya kena buli. Isteri mana yang tak mengamuk.
Err… tanya mak. Along cuma ikut arahan mak.”
Mak…” keluh Apy Elina.
Mak dengar dari Mak Senah tu.”
Mak Senah? Mak tahu ke yang Mak Senah tu memang suka buat mulut? Semua yang keluar dari mulut dia tak boleh percaya satu pun! Kalau mak nak tahu lagi, anak dara terlajak Mak Senah tu memang tergila-gilakan Adam. Suami Mak Senah pula, Pak Cik Taha, memang ada hati nak jodohkan anaknya dengan Adam tau. Takkan mak tak tahu?” terang Apy Elina cuba bukakan mata hati Puan Fatimah yang mungkin selama ini tertutup melihat yang mana kaca dan yang mana permata.
Mak tahu…”
Kalau mak tahu, kenapa mak percayakan fitnah tu bulat-bulat? Kecik hati Apy tau. Mak lebih percayakan orang lain berbanding anak sendiri,” Apy Elina mendengus marah.
Macam manalah mak tak percayakan mereka kalau tiap kali mak suruh kau balik saja, mesti ada saja alasan. Mestilah mak fikir yang bukan-bukan,” jawab Puan Fatimah.
Apy tak balik sebab sibuk dengan kerja,” jawab Apy Elina.
Sibuk sampai tak ada masa nak balik kampung jenguk mak? Mak lagi kecik hati dengan alasan kamu tu,” balas Puan Fatimah dengan nada merajuk.
Apy Elina menggaru kepala. Dia yang sepatutnya merajuk tapi kini emaknya pula merajuk. Nak tak nak dia terpaksa rendahkan ego dan memujuk emaknya itu. Walaupun terkilan tetapi wanita itu tetap emaknya.
Ala, bukan Apy tak nak balik. Kalau Apy balik mesti mak suruh Adam makan nasi. Kali terakhir kami balik kampung, mak paksa dia makan nasi. Bila balik KL dia demam seminggu tau.”
Manalah mak tahu. Mak ingat dia sengaja tak nak rasa masakan mak. Kecik hati mak tau bila tengok dia tak jamah pun masakan mak. Macamlah mak letak ubat guna-guna dalam masakan mak,” balas Puan Fatimah.
Tak ada maknanya. Suami Apy memang tak boleh makan nasi. Lauk pun dia hanya ratah sikit. Jadi, janganlah paksa dia makan nasi lagi. Tak sanggup Apy tengok dia jatuh sakit macam hari tu. Pasal Apy tak balik tu, Apy minta maaf sangat-sangat.”
Jadi, betul dia tak ada dera kamu?” tanya Puan Fatimah masih ragu-ragu.
Betul. Sumpah!” ujar Apy Elina sambil mengangkat tangan kanannya seakan berikrar. Dia berani bersumpah sebab dia tahu layanan Adam terhadapnya. Kalau orang kata Kate Middleton sangat bertuah kerana dapat memiliki Putera William, dia berani kata, dia lagi bertuah daripada mereka.
Hmm… kalau betul dia layan kamu dengan baik, baguslah. Mak bukannya benci sangat dengan suami kamu tu tapi…”
Ye. Apy tahu. Mak sayangkan Apy, bukan?” pantas Apy Elina memotong kata-kata emaknya tadi.
Huh, dah tahu tu, jangan lupa balik kampung jenguk mak bila senang. Jangan bagi alasan sibuk lagi,” jawab Puan Fatimah.
Yes madam!”
So, happy endinglah ni?” tanya Along.
Happy endinglah tu. Esok pagi boleh balik rumah. Yahoo!” Angah bersorak gembira.
Amboi seronok sangat ke nak tinggalkan mak seorang diri di sini?” Puan Fatimah menjeling tajam ke arah kedua-dua anak lelakinya itu.
Betul! Betul! Dah buli suami aku, ada hati nak lari macam tu saja,” sokong Apy Elina.
Hakikatnya, suami kau yang buli kami tau,” balas Along tak puas hati.
Hah tau tak apa. Lain kali, jangan sesekali pandang orang kaya ni dengan sebelah mata. Adam tu memanglah daripada keluarga kaya tapi itu tak bermakna dia tak pernah hidup susah. Ingat tu!”
Baiklah Puan Apy Elina,” masing-masing menabik hormat.
Hmm… bagus!” Apy Elina tersenyum puas.
Sekarang baru aku tahu kenapa adik ipar kita tu cakap ular tedung nampak comel ketika terancam,” keluh Along tiba-tiba.
Aku setuju,” sokong Angah.
Nak kena gigit dengan aku ke?” Apy Elina menunjukkan gigi taringnya.
Lari! Selamatkan diri!”
Mak, tengok Along dengan Angah tu. Dia orang buli Apy!” rungut Apy Elina saja nak bermanja dengan emaknya.
Jangan mengadu dengan mak. Pergi mengadu dengan pak cik kau tu,” balas Puan Fatimah tak nak masuk campur.
Pak cik?” Apy Elina menggaru kepala.
Pelik. Pak cik mana yang disebut oleh emaknya itu. Memang dia banyak pak cik tapi tak ada seorang pun yang begitu rapat dengannya sehingga dia perlu mengadu dengan mereka.
Pak cik kesayangan kau tu. Bukan ke kau panggil suami kau tu pak cik?”
Serentak dengan itu, Apy Elina ketawa terbahak-bahak apabila dapat menangkap kata-kata emaknya tadi. Tak sangka, emaknya tahu dengan gelaran yang selalu dia memanggil suaminya.
Ada ke panggil suami sendiri macam tu?” Puan Fatimah menjeling tajam.
Itu barulah dinamakan romantik!”


BANGUN sahaja daripada tidur, bukan sahaja dia menyedari Adam tiada di dalam bilik itu. Tanpa berlengah lagi dia segera turun ke bawah. Sunyi sahaja rumahnya. Macam tiada orang. Apy Elina menjenguk ke luar rumah. Kedua-dua kereta milik abang-abangnya tiada di halaman rumah tapi kereta Adam ada sahaja parking di situ.
Dia mula risau. Takkanlah abang-abangnya itu masih nak membuli suaminya. Dia sudah pun terangkan hal sebenar semalam. Takkanlah masih tak percaya. Lantas, dia berlalu mendapatkan emaknya yang sedang menyediakan sarapan di dapur.
Mak, mana semua orang pergi?” tanya Apy Elina.
Kedua abang-abang kau dah cabut balik rumah dia orang. Masing-masing kena balik bekerja,” jawab Puan Fatimah.
Adam?” tanya Apy Elina. Takkanlah Adam pun ikut mereka sekali.
Tadi mak nampak dia keluar joging selepas subuh. Tak balik lagi ke?” jawab emaknya.
Joging,” seraya Apy Elina menepuk dahi.
Baru dia teringat. Selepas sembahyang subuh tadi, memang suaminya ada ajak pergi joging tapi oleh kerana dia tak cukup tidur malam tadi, jadi dia tak jadi ikut serta.
Pak cik ni kalau dapat joging memang boleh pergi ke sempadan negeri Perak,” keluh Apy Elina naik masuk ke bilik semula dan mencapai telefon bimbitnya. Tanpa berlengah lagi dia segera menelefon telefon bimbit suaminya.
Tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi yang datang dari telefon bimbit suaminya yang diletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan katil. Apy Elina mengeluh panjang.
Dia tak bawa handset pula!”
Tanpa berlengah lagi dia segera turun ke bawah. Gosok gigi dan cuci muka. Keluar sahaja dari bilik mandi, dia memberitahu emaknya hendak keluar sebentar.
Ke mana?” tanya Puan Fatimah.
Cari Adam.”
Hisy, kau ni memang pantang bila suami kau tak ada di rumah. Macamlah suami kau tu budak tadika. Tak payah risau. Suami kau tu pandai jaga diri sendiri,” Puan Fatimah sudah membebel.
Memanglah dia pandai jaga diri sendiri tapi dalam kampung ni ada anak dara yang tak pandai jaga diri sendiri. Suami orang pun dia orang nak kebas. Isteri mana yang boleh tahan?” balas Apy Elina mencapai kunci motor peninggalan arwah ayahnya.
Kamu tu cemburu sangat!”
Dah nama isteri suami terhangat, memanglah kena cemburu,” sempat lagi Apy Elina membalas sebelum keluar mendapatkan motor tua yang masih berfungsi lagi.
Tanpa berlengah lagi dia segera menghidupkan enjin motor dan memulakan usaha mencari suaminya. Macam emaknya kata tadi, memanglah Adam pandai jaga diri sendiri tapi bukan sebab dia tak percayakan Adam cuma dia berasa tak sedap hati. Sukar dia hendak jelaskan kegusaran hatinya. Yang penting, kena cari Adam sampai dapat!


ADAM berhenti berjoging apabila menyedari matahari terasa terik. Dia memandang jam tangannya. Hampir jam 9.00 pagi. Barulah dia sedar yang dia sudah berjoging jauh dari rumah mertuanya. Lebih kurang dua kilometer jauhnya.
Tiba-tiba dia teringatkan isterinya. Sudah pasti mak cik itu akan risaukan akannya. Perut pula sudah mula meminta makanan. Sepatutnya pada waktu begini dia sudah pun bersarapan bersama-sama isterinya.
Baru sahaja kakinya hendak melangkah balik, dia mula perasan satu denai kecil tidak jauh darinya. Adam memandang sekeliling. Pelik. Di hadapannya itu penuh dengan semak samun dan pokok-pokok yang tinggi tapi terdapai denai kecil yang menjadi laluan basikal atau motosikal.
Perasaan ingin tahu mula menguasai dirinya. Tanpa berlengah lagi dia segera melangkah melalui denai itu. Baru separuh jalan, dia berasa kagum dengan pemandangan yang dilihatnya. Denai itu bukan semak seperti yang dilihatnya sebelum masuk tadi tetapi bagaikan sebuah terowong kecil yang penuh dengan pokok-pokok hijau.
Tiba di hujung jalan, sekali lagi dia tergamam apabila melihat sebuah rumah agam dyang besar. Itulah rumah agam yang dia nampak dari rumah mertuannya. Dari jauh, dia nampak rumah itu seperti rumah tinggalan yang usang tapi kini tidak lagi. Persekitaran rumah itu nampak bersih seperti ada orang yang menghuni rumah itu.
Adam mendapati pintu pagar yang sudah berkarat itu tidak berkunci. Dia bagaikan terpanggil untuk masuk ke dalam seolah-olah rumah itu sedang menanti kedatangannya. Tanpa berlengah lagi dia masuk ke dalam pekarangan rumah itu dan berjalan-jalan di sekelilingnya.
Rumah agam itu bukan sahaja besar tapi juga mempunyai sebuah taman bunga yang dijaga dengan baik. Semua bunga-bunga kembang mekar dengan cantik. Malah tak ada sehelai daun gugur pun yang sekitar kawasan itu menunjukkan memang ada orang yang membersihkan kawasan itu setiap hari.
Krekkk…
Dia terdengar sesuatu di belakangnya. Pantas dia berpaling tetapi tiada sesiapa di sekitar itu. Matanya meliar memandang sekeliling dan dalam masa yang sama dia terasa ada seseorang sedang memerhatikannya. Pandangan matanya kini tertumpu ke arah sebuah sebuah bilik yang berdindingkan kaca. Di situ, dia nampak dengan jelas seorang wanita berpakaian serba putih yang berlumuran dengan darah. Wanita itu memandang tepat ke arahnya dengan tajam.
Walaupun wajahnya menakutkan tetapi Adam tetap menentang pandangan wanita itu sambil berkira-kira sama ada apa yang dinampaknya realiti atau fantasi semata-mata.
Anak ni siapa?” sapa satu suara di belakangnya tiba-tiba.
Adam segera berpaling. Kelihatan seorang lelaki tua berada di belakangnya. Lelaki itu memegang sebuah penyapu lidi. Pasti pak cik itu yang membersihkan rumah itu selama ini.
Saya… cuma jalan-jalan di sini. Maaf sebab masuk tanpa kebenaran,” jawab Adam. Barulah dia sedar bahawa dia sudah menceroboh masuk ke kawasan rumah orang tanpa kebenaran.
Lelaki tua yang bersongkok putih di atas, hanya tersenyum. Dia nampak mesra walaupun berhadapan dengan orang yang menceroboh kawasannya itu.
Kamu ni mesti menantu Fatimah yang anak perempuannya nama Apy Elina tu, bukan?” tanya pak cik itu.
Adam mengangguk. Nampaknya dia memang cukup terkenal di kampung itu. Ke mana sahaja dia pergi di kampung ini, pasti mereka sudah dapat tahu dia suami kepada Apy Elina. Isterinya itu memang cukup popular di kampung itu agaknya.
Ini rumah pak cik?” tanya Adam.
Kalau ini rumah pak cik memang pak cik tak bagi orang masuk dah. Terus buat pagar bermeter tingginya. Pak cik ni cuma ambil upah bersihkan kawasan rumah ni saja,” jawab orang tua itu sambil tunjukkan penyapu lidi yang dipegangnya.
Adam mengangguk faham. Kemudian dia memandang kembali ke arah dinding kaca tadi. Wanita yang berpakaian putih yang dilihatnya tadi sudah tiada.
Siapa tinggal di dalam rumah ni?” tanya Adam yang ingin tahu.
Tak ada sesiapa. Kenapa kamu ada nampak apa-apa ke?” tanya pak cik itu seakan berbisik.
Adam tersenyum menggeleng. Memang dia pasti dia nampak sesuatu tapi rasanya pak cik itu lebih tahu berbanding dengannya. Menyedari dia sudah terlambat, Adam segera meminta diri. Keluar sahaja dari jalan berdenai itu, dia terserempak dengan isterinya yang sedang menunggang motor. Dia terkejut.
Pak cik!” Apy Elina segera turun daripada motor.
Mak cik, nak pergi mana naik motor ni?” sapa Adam. Belum pernah lagi dia tengok isterinya menunggang motor.
Cari awaklah. Jenuh saya tanya orang sepanjang jalan. Nasib baik jumpa awak. Awak buat apa di sini?” tanya Apy Elina yang nampak ketakutan.
Joging,” jawab Adam acuh tak acuh. “Dan tiba-tiba nampak rumah agam yang cantik di dalam tu.”
Awak masuk ke dalam?” tanya Apy Elina seakan terkejut.
Adam mengangguk. Sekali lagi Apy Elina terkejut. Ah, pak cik ini memang tak ada perasaan seram langsung. Main redah sahaja. Orang kampung punyalah takut nak hampiri rumah itu, dia pula boleh selamba melawat ke sana.
Rumah agam tu siapa punya?” tanya Adam.
Entahlah. Yang saya tahu, rumah tu milik seorang jutawan. Sekarang ni, Pak Cik Rahim yang tolong jagakan rumah itu. Awak pergi sana mesti nampak rumah tu seram, bukan? Ramai orang kampung kata rumah tu berhantu…” kata Apy Elina mula terasa seram sejuk.
Kenapa?”
Sebab pernah ada orang mati dalam rumah tu. Satu keluarga kena bunuh. Ada orang kampung yang lalu di situ ternampak hantu perempuan berlumuran darah. Mukanya menakutkan!” kata Apy Elina cuba menakut-nakutkan suaminya.
Namun, Adam hanya memberikan reaksi yang sama.
Awak ni, tunjuklah rasa takut sikit. Macam tak ada perasaan langsung,” keluh Apy Elina apabila melihat suaminya langsung tak beri sebarang reaksi tetapi sebaliknya hanya memandangnya tanpa berkelip.
Mak cik, nak tahu tak apa yang paling menakutkan?” tanya Adam.
Bukan nampak hantu?”
Adam menggeleng. Kemudian, dia menunjuk ke arah bawah. Apy Elina tidak berani melihat ke bawah. Takut kalau-kalau ada kucing di kakinya macam tempoh hari.
Ada kucing ke?” tanya Apy Elina takut-takut.
Adam tidak menjawab tetapi sebaliknya hanya mengukir senyuman. Kemudian dia terasa ada sesuatu bergesel-gesel di kakinya. Perlahan-lahan dia menandang ke bawah. Seekor kucing warna putih macam salji sedang menggosok-gosok kepala di kakinya. Kucing itu memandang ke arahnya.
Meowww...” sapa si kucing dengan suara menggoda.
Arghhh!!!” jerit Apy Elina sekuat-kuatnya sehingga Adam terpaksa menutup kedua-dua telinganya dengan tangan. Mungkin kerana terkejut, kucing itu berlari ke laluan rumah agam tadi. Menyedari kucing itu sudah berlalu pergi, Apy Elina mengeluh lega.
Mak cik, cubalah kawal sikit jerit tu. Satu negeri boleh dengar,” sindir Adam.
Dah nama jerit, mestilah kuat. Awak tu, bukan nak tolong saya.”
Nak tolong macam mana? Cium awak di sini supaya awak senyap?”
Sejak bila Muhammad Adam ni dah pandai nak jadi Romeo?”sindir Apy Elina kembali. Dia tahu sangat, Adam bukan jenis orang begitu.
Adam hanya tersenyum. Romeo. Sudah lama dia tak dipanggil begitu...

9 si charming:

  1. Aida Sherry berkata...:

    Sgt menarik.... Apy Elina n Adam...

  1. Unknown berkata...:

    Makin menarik , rumah agam , seram .... Misteri misteri

  1. NukSe berkata...:

    pasti ada sesuatu tentang rumah tu..x sabar nak tunggu next entry.. baca kisah diorang ni membuatkan saya rasa x sabar nak kawin.. haha tetiba gedik macam kak apy..

  1. eija berkata...:

    uma agam 2 ada kaitan ngn adam ke?? mgkn sbb 2 kot adam lupa igatan..

  1. mia_edora berkata...:

    Nak lagi... Best... Sape pompuan kat rumah agam tu... Nak tau...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    macam mna nak baca episod 1 hingg 7??????????????

  1. Unknown berkata...:

    aduhai bestnyer la... Adam cer berperasaan cikit aigoo

  1. FARAH SUZIYANA berkata...:

    Tak sabar nak baca lagi dan lagi. Heeee

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages