Romeo yang Hilang: Bab 2


Pesan Hikayat,
Cinta itu indah, hanya jika seseorang itu berusaha mengindahkannya.

HAH, ni mesti baru bangun tidur ni. Isteri jenis apa kau ni?” lantang suara itu memarahinya sebaik sahaja dia menjawab panggilan telefon pagi itu.
Mendengar sahaja suara itu, Apy Elina sudah tahu siapa yang berada di talian sekarang. Suara siapa lagi yang lantang membebel kalau bukan suara emak sendiri. Kalau anak tak cam suara emak sendiri, memang sah patut kena pancung la jawabnya.
Mana ada. Apy baru saja habis layan Power Rangers tadi. Lagipun sebulan duduk kat negara orang, payah sikit nak suaikan dengan waktu di Malaysia,” jawab Apy Elina sambil berlalu ke dapur dan membuka peti ais.

Dia mengeluh lemah. Peti ais kosong! Hanya ada satu burger. Itu pun dia tak pasti berapa lama burger itu berada di dalam peti ais. Agaknya sudah sebulan lebih iaitu, sebelum dia bertolak ke Shanghai bulan lepas. Selepas tiada apa-apa di dalam, dia menutup pintu peti ais itu.
Alasan... Bila nak balik sini?” tanya emaknya seakan arahan. “Jangan nak bagi alasan sibuk lagi!”
Ah, baru saja dia nak bagi alasan itu. Emaknya macam tahu-tahu yang dia diberi cuti selama seminggu sebelum kembali ke tempat kerja.
Tahu. Nanti, Apy baliklah,” jawabnya berbelah bahagi.
Bukan dia tak mahu balik. Bukan juga dia dah lupakan emaknya di kampung sana tapi buat masa ini dia belum ada kekuatan lagi nak pulang ke sana. Mana tidaknya, setiap kali pulang mesti dia dilanda rasa bersalah.
Pertama, dia bersalah terhadap suaminya, Adam yang terpaksa makan nasi. Sudah banyak kali dia beritahu emaknya yang Adam tak boleh makan nasi tapi dipaksa-paksa pula. Suaminya pula, jenis yang cepat mengalah bila berhadapan dengan orang tua. Kesudahannya, bila balik KL, Adam mesti demam seminggu. Memang cari nahas betul pak cik tu.
Kedua, dia tak suka cara saudara-maranya yang ingin mendekati Adam. Kebanyakan mereka tahu yang Adam adalah usahawan berjaya. Jadi, bila mereka balik, pasti rumahnya akan dikunjungi saudara mara atau jiran tetangga yang ingin meminta pertolongan Adam.
Ada satu kes, jiran sebelah-sebelah rumahnya ingin jadikan suaminya sebagai menantu. Manalah tak angin satu badan. Cakap depan-depan pula tu. Yang anak daranya pula jenis yang pandai menggoda. Suami orang pun dia sanggup. Asalkan berharta. Nasib baiklah Adam jenis yang setia.
Ketiga, dia paling tak tahan apabila orang asyik bertanya, “Bila lagi nak bertiga?”; “Bila lagi nak ada anak?” tapi yang paling buat dia angin satu kepala bila orang tanya, “Kau ni mandul ke?” dan bermulalah kebimbangan Puan Fatimah. Sanggup cari ustaz untuk dapatkan air penawar supaya permudahkan cara anak perempuannya ini untuk mendapatkan zuriat.
Pendek kata, balik kampung boleh stres jadinya!
Nanti tu bila?” tanya Puan Fatimah tak sabar-sabar lagi. Kali ini nampak macam terdesak.
Insya Allah, Apy balik dalam masa terdekat ni,” jawabnya sopan. Takkan nak kata tak nak balik pula. Dia tak mahu jadi anak derhaka.
Mak tak kira, kau kena balik juga minggu ni!”
Hah? Minggu ni? Minggu ni tak bolehlah mak. Sibuk. Apy kena siapkan laporan dulu. Adam pulak...”
Ah, laporan tu boleh tunggu. Suami kau tu kerja sendiri, bukannya kerja dengan orang lain!”
Apy Elina menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ah, susah macam ni. Dia sudah kebuntuan idea untuk mencipta alasan bagus. Emaknya bukan calang orang. Walaupun belajar sampai darjah tiga, tapi jangan harap emaknya akan termakan dengan setiap alasannya.
Yalah, Apy balik minggu ni,” akhirnya dia terpaksa mengalah. Bertahanlah wahai suamiku!
Suami kau mana? Tidur lagi?” soal emaknya mengubah topik setelah berpuas hati dengan jawapannya tadi.
Ada kat atas tu. Tengah mandi. Dia baru je habis joging tadi,” jawab Apy Elina.
Mmm... baguslah. Kuatkan stamina tu supaya senang nak dapat anak…”
Mak...” pantas Apy Elina memotong apabila dapat menangkap maksud emaknya itu.
Alah, kau tu bukannya anak dara lagi.”
Apy Elina mengurut dahinya. Boleh pening kepala melayan kerenah emaknya itu. Bukan itu sahaja, pipinya pun terasa macam terbakar bila hal itu diungkit.
Ingat, balik jugak minggu ni. Kalau tak... mak yang pergi sana!” ujar emaknya seakan mengugut. Mahu atau tidak, Apy Elina terpaksa berjanji akan pulang ke kampung dalam minggu ini juga. Bila emaknya berpuas hati, barulah perbualan itu ditamatkan. Nampaknya memang dia tiada pilihan lain.
Ganggang telefon diletak di tempat asal. Dia memegang perutnya. Lapar. Walaupun sudah bedal lima keping roti canai pada tengah malam tadi sewaktu tiba di Malaysia, tetapi dia tidak rasa cukup. Inilah masalahnya kalau suami sendiri tak boleh makan nasi. Dengan dia sekali tak boleh makan nasi.
Tapi yang untungnya, dia tak seperti suri rumah tangga lain yang akan pening kepala memikirkan apa yang nak dimasak.
Tanpa berlengah lagi dia segera mendaki anak tangga. Buka sahaja pintu bilik, membuatkan dia bercekak pinggang.
Ya Allah. Dia tidur lagi rupanya!” Tanpa berlengah dia segera mendekati katil dan mengejutkan Adam yang sedang dibuai mimpi. Patutlah dia tidak mendengar air, rupanya selepas Adam joging tadi dia terus kembali ke katil.
Bangunlah,” tangan Adam ditarik. Dia tahu suaminya itu belum lena lagi. Sengaja pejam mata dan berpura-pura tidur. “Bangunlah... Jom kita pergi cari makanan. Dalam peti ais langsung tak ada makanan tau!”
Bukan ke ada burger dalam tu,” jawab Adam membuka sedikit matanya.
Itu burger zaman bila la tu. Cepatlah bangun,” Apy Elina cuba menarik suaminya bangun dari katil tetapi tubuh Adam tidak bergerak satu inci pun.
Mak cik, orang kata, kita kena pandai gunakan masa cuti dengan mencutikan diri sendiri,” jawab Adam dan kembali menarik selimut.
Memanglah tapi masalahnya bukan senang kita berdua nak dapat cuti serentak. Bukan senang saya nak dapat cuti dan bukan senang juga awak nak mencutikan diri sendiri daripada kerja ofis yang tak henti-henti tu. Bila dah cuti begini, buat cara cuti bukannya tidur tak ingat dunia,” Apy Elina sudah mula membebel.
Mak cik, terasa macam dah telinga ni tak dengar awak membebel,” ujar Adam sambil tersenyum.
Sudah. Dia senyum pula! Kalau dulu, punyalah payah dia hendak lihat senyuman Adam. Muka asyik serius sepanjang masa. Tapi bila sudah berkahwin, boleh dikatakan hari-hari dia lihat suaminya senyum. Cuma satu, senyuman hari ini agak lain daripada yang lain. Macam senyuman mat romeo gatal pun ada. Membuatkan dia berasa seram pula. Seram sampai ke tulang! Jadi, sebelum terjadi apa-apa baik dia lari dulu!
Namun, belum sempat dia hendak berbuat apa-apa, Adam terlebih dahulu menariknya tubuhnya ke katil. Kini, kedua tangan Adam sudah meliliti tubuhnya membuatkan dirinya tak ubah seperti bantal peluk.
Apy Elina hanya diam dalam pelukan. Sepanjang jadi isteri Adam, dia banyak memahami lelaki itu. Orangnya memang payah sikit nak meluahkan kata-kata cinta. Rindu macam mana pun dia ada cara tersendiri untuk beritahu. Bukan dengan kata-kata manis yang boleh bagi orang kencing manis. Walau harga gula naik pun, dia punya gula ditahap yang sama. Sudah tentu hidup akan bebas daripada terkena penyakit kencing manis.
Bagi Apy Elina, dia tak kisah dengan semua itu. Awal-awal lagi dia sudah tahu macam mana perangai Adam. Malah, awal-awal lagi waktu dia mengenali suaminya itu, memang dikutuknya habis-habisan. Baginya Adam seorang yang ego, tak berhati perut, menjengkelkan, anak orang kaya yang angkuh. Pendek kata semua watak jahat ada pada Adam.
Tapi entah macam mana dan entah di mana silapnya, hatinya terjelapuk jatuh. Dia sendiri pelik. Punyalah banyak lelaki dalam dunia ini, lelaki yang pernah dianggap musuh juga yang mencuri hatinya.
Orang kata dia mata duitan. Dia mahu hidup senang dan sebab itulah dia memilih untuk bersama dengan Adam seumur hidup. Padahal, dia juga tercari-cari sebab utama kenapa dia tak boleh tolak pinangan Adam. Lima tahun menyimpan rasa. Maklumlah, dia perempuan. Takkan nak jadi macam perigi cari timba. Tambah pula umurnya lima tahun lebih tua daripada Adam. Sudah tentulah orang akan kata dia gatal. Dia juga tak pernah tahu perasaan Adam.
Adam bukan jenis mat romeo yang sentiasa berkepit dengan perempuan. Nak tengok dia keluar dengan perempuan pun payah. Sampai ada gosip mengatakan Adam gay. Dia pun hampir percaya juga. Susah nak tahu isi hati Adam ketika itu.
Selepas lima tahun barulah dia dapat tahu jawapannya. Itu pun dia terlampau lembab sangat sebab pegang ‘cincin lamaran’ tanpa tahu itu adalah lamaran. Dia bukannya bodoh sangat tapi siapa yang akan tahu kalau tulis lamaran di atas bola keranjang dengan tulisan cina? Lima tahun dia simpan bola itu. Mati-mati ingat itu betul-betul Adam punya tandatangan.
Agaknya itulah jodoh yang telah ditetapkan, dia terjumpa sepasang suami isteri berbangsa Cina yang terjumpa bola itu. Mereka yang tolong terjemahkan. Waktu itu fikirannya jadi kosong. Hanya dia fikir adalah jumpa Adam dan terima lamaran itu.
Dan kini sudah setahun kejadian itu berlalu. Setahun juga dia menjadi isteri Adam yang sah…
Siapa telefon tadi?” tanya Adam sekali gus mengejutkan dia dari lamunan.
Mak. Mak suruh kita balik minggu ni,” jawab Apy Elina dengan rasa serba salah.
Mmm... okey. Kita balik sajalah.”
Apy Elina melepaskan keluhan berat. Dia memusingkan badannya supaya menghadap suaminya. Wajah Adam yang selalu dipuja handsome oleh wanita-wanita miang ditatap sepuas-puasnya. Tiba-tiba Adam jadi handsome pula. Tapi kalau dia kena makan nasi lagi handsome! Cuma, dia sebagai isteri tak sampai hati pula melihatnya.
Awak tak takut kena makan nasi?” tanya Apy Elina yang penuh risau.
Lebih baik makan nasi daripada mak awak makan hati,” balas Adam.
Tapi...”
Jangan risaulah. Lagipun kita dah lama tak balik, bukan?” pujuk Adam.
Serius?” tanya Apy Elina lagi untuk kepastian.
Serius. Lagipun dah lama tak bercuti kat kampung,” jawab Adam macam teruja pula.
Lantaklah.
Apy Elina mengeluh lega. Beban yang ditanggung terasa ringan sedikit demi sedikit. Hatinya berbelah bahagi sebenarnya. Dia rindukan mak di kampung tapi dalam masa yang sama tak nak mak buli suaminya.
Maklumlah Adam bukan calon utama maknya. Menurut Along, mak ada calon lain tapi bila berita dia terima lamaran Adam disiarkan secara live seluruh Malaysia (terima kasih kepada Leo yang juga anak kepada pengarah station televisyen), jadi nak tak nak mak pun terpaksa terima.
Jangan menyesal tau,” awal-awal lagi dia bagi amaran.
Orang kata, tidak elok membantah cakap suami. Kalau Adam sudah setuju, dia pun setuju. Perasaan takut memang ada tetapi apakan dayanya, dia masih ada emak dan keluarga lagi. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Cuma, dia berharap Adam mampu bertahan!
Apy Elina menguap lemah. Matanya yang segar tadi mula layu. Tahu sangat dah dengan matanya itu. Inilah yang dikatakan kuasa pelukan hangat suami. Mata yang tak mengantuk pun boleh jadi mengantuk. Perut lapar pun dia tak peduli lagi. Yang pasti, pelukan itu membolehkan dia ingin tidur sebentar…


SHOPPING!
Rasa macam baru kahwin pun ada bila dapat shopping barangan dapur bersama-sama Adam. Sebulan duduk di negara orang, berpisah dengan suami, walaupun ada teknologi canggih yang boleh menghubungkan yang jauh supaya dekat tapi semua itu tak dipraktikkan pun.
Adam bukan jenis lelaki yang akan membazirkan masa dengan bergayut di telefon lama-lama apatah lagi sekejap. Harap telefon sahaja canggih. Ada LINE, WhatsApps, WeChat dan seangkatan dengannya tapi semua itu langsung tak pernah digunanya. Install semua aplikasi itu sebagai perhiasan sahaja.
Kalau perempuan lain memang sudah hilang sabar, sudah fikir yang bukan-bukan tentang suami di Malaysia tapi bagi Apy, dia percaya Adam seperti mana Adam percayakannya. Lagipun dia boleh tahu banyak berita tentang Adam melalui Facebook kawan-kawan Adam yang juga bekas anak buahnya semasa dia menjadi jurulatih The Legend.
Adam pula ada cara tersendiri untuk tahu perkembangannya di Shanghai. Sungguhpun Adam tak beritahu tapi dia boleh agak. Sebelum berkahwin dengan Adam, dia sudah tahu tentang keluarga Alexander yang terkenal satu benua China. Mana-mana dia pergi, mesti akan nampak ‘penjaga-penjaga’ terhormat yang sentiasa mengawasinya. Walaupun rimas tapi dia tahu, itu untuk keselamatannya juga. Tak guna dia bertekak dengan suami sendiri tentang hal itu. Asalkan ‘orang-orang’ Adam itu tak mengganggu urusannya di sana.
Kenapa kau nak susah-susah sangat bekerja? Suami kau tu tak mampu ke nak sara kau?” tanya Puan Fatimah tak lama dulu.
Betul. Adam mampu menyaranya. Lebih daripada mampu. Dia juga tak perlu bekerja sebenarnya. Macam perempuan semalam cakap. Kalau kahwin dengan Adam gerenti tak payah susah payah bekerja. Setiap bulan pergi shopping. Setiap tahun boleh pergi melancong di luar negara. Tapi masalahnya dia sendiri yang tak boleh duduk rumah macam suri rumah tangga yang lain.
Bukannya dia tak pernah mencuba. Dulu, selepas berkahwin dia pernah jadi suri rumah tangga sepenuh masa. Sebelum itu juga memang dia tak bekerja sejak balik dari luar negara. Jadi suri rumah tangga memang membuatkan hidupnya dilanda kebosanan dan dia hanya mampu bertahan selama tiga bulan. Selepas itu, dia minta izin untuk bekerja semula.
Mujurlah Adam juga memahami. Kebetulan pula Adam perlukan seseorang untuk uruskan pusat sukan. Lantaklah orang kata apa. Dia gila kuasa ke atau tamak ke, asalkan dia tak perlu duduk rumah goyang kaki. Lagipun sukan dengan hidupnya memang tak boleh dipisahkan.
Selepas beberapa bulan, datang pula wakil daripada kementerian meminta bantuannya untuk menjadi penasihat bagi pasukan bola keranjang remaja kebangsaan. Memandangkan minatnya masih sama dan Adam pun tidak menghalang, dia menerima tawaran itu.
Kerjanya menjadi berganda. Seperti baru-baru ini dia terpaksa bertolak ke Shanghai kerana menghadiri kursus selama sebulan lebih. Dia bersyukur kerana Adam sering memberikan sokongan kepadanya.
Adam pula semakin terkenal setelah menceburi dunia korporat. Kerjanya sentiasa bertimbun. Lebih-lebih lagi apabila melabur dalam sektor perhotelan. Semuanya bermula apabila mereka menginap di sebuah hotel semasa menghadiri majlis perkahwinan rakan Adam. Adam merungut kerana keadaan hotel yang mengecewakan. Rupa-rupanya setelah berkahwin dengan Adam barulah dia tahu yang Adam kuat merungut juga. Kalau ada yang tidak kena dengan apa yang dia usahakan/dapat, mesti ada sahaja yang akan dipersoalkan.
Tapi apa yang Adam rungut itu betul juga. Booking bilik standard tapi bila sudah datang tiba-tiba cakap bilik itu sudah habis. Yang tinggal hanyalah bilik paling mahal. Bilik orang berbulan madu. Itu satu hal. Bila sudah masuk bilik itu, banyak masalah pula. Tiada air panas, penyaman udara rosak dan macam-macam lagi. Jadi, bermulalah rungutan Adam yang tidak puas hati.
Apa kata awak melabur dalam perhotelan. Setiap negeri mesti ada hotel sendiri. Jadi, tak adalah timbul masalah macam ni,” kata Apy Elina.
Apy Elina ingat lagi kata-katanya yang ingin menutup mulut Adam daripada terus merungut. Terus Adam berhenti merungut dan seminggu kemudian Adam beritahu rancangannya hendak melabur dalam perhotelan. Terkejut tidak terkata dibuatnya.
Bila bercerita kepada Melissa, dia pula kena gelak.
Adam tu, pantang dicabar. Kadang-kadang tu orang bergurau saja dengan dia tapi dia betul-betul sahut cabaran tu. Apa boleh buat, dia didik untuk jadi pewaris Empayar Alexander, walaupun dia bukan lagi Adam Alexander tapi dia tetap orang yang sama,” kata Mellissa.
Sejak itu, Apy Elina berhati-hati berkata dengan suaminya. Mana tahukan, kalau dia terkata hendak pergi melancong ke angkasa lepas, bukan ke cari penyakit. Boleh botak kepala Adam memikirkan bagaimana cara hendak melancong ke angkasa lepas.
Mak cik, ikan-ikan tu buat tarian tango ke sampai tersenyum seorang diri ni?” tegur suara Adam sekali gus mengejutkan Apy Elina daripada lamunan.
Baru dia tersedar yang dia sudah lama termenung. Hisy, pelik betul. Sejak pulang dari Shanghai ligat pula dia menggeledah memori lama.
Tanpa berlengah lagi, dia memasukkan ikan-ikan yang ingin dibelinya tadi ke dalam beg plastik. Setelah menimbang ikan-ikan itu, dia berlalu mendapatkan suaminya yang sedang memilih daging ayam. Terus kaget dibuatnya apabila melihat troli.
Ya. Dia tahu. Itu pasti trolinya. Rasanya belum pernah lagi dia nampak orang borong daging burger satu troli. Hanya Adam yang akan buat begitu.
Pak cik, sejak bila kita ada bela buaya ni?” tanya Apy Elina menyindir.
Dah sebulan abang tak makan burger,” balas Adam dengan muka tak bersalah.
Habis tu awak makan apa? Awak jangan nak tipu. Kawan-kawan awak ada banyak upload gambar awak tengah ratah burger lepas main bola keranjang,” kata Apy Elina sambil memandang suaminya dengan tajam.
Itu burger tepi jalan… burger masak sendiri lain…”
Tak ada yang lain. Sama je! Pergi letak balik. Ambil dua bungkus sahaja.”
Mak cik, bukan nak makan semua sekali gus. Boleh dijadikan stok dalam peti ais,” balas Adam.
Hah, yelah tu. Awak sedar tak yang peti ais di rumah kita tu kecik saja? Mana cukup nak sumbat semua ni!” geram Apy Elina dibuatnya.
Apa kata kalau kita beli peti ais baru?” cadang Adam.
Kita baru je beli peti ais 6 bulan yang lepas, wahai abang sayang,” balas Apy Elina lembut tetapi tegas. “Letak balik cepat.”
Adam mengeluh. Nak tak nak, dia terpaksa mengambil beberapa plastik daging burger dan keluarkan dari troli mereka. Apy Elina hanya menggeleng melihat suaminya meletakkan kembali bungkusan demi bungkusan burger yang hampir habis diborongnya.
Ini antara salah satu sebab kenapa dia tak suka Adam pergi shopping sendiri. Beli barangan dapur macam nak buat kenduri tujuh hari tujuh malam! Padahal hanya mereka berdua di rumah. Peti ais pun semakin lama semakin besar ditukarnya.
Dia ingat lagi, Adam pernah merungut kerana peti ais mereka kecil dan susah hendak menyumbat stok makanan. Memandangkan masing-masing sibuk dan selalu membeli stok makanan yang banyak, Apy Elina pun setuju untuk membeli peti ais yang lebih besar sedikit. Tapi, itu pun masih tidak cukup bagi suaminya.
Satu hal lagi, Adam memang kuat makan. Tapi walaupun banyak makan, badannya tidak pernah naik. Mungkin sebab Adam mengamalkan senaman setiap hari. Walau betapa sibuk pun Adam tetap akan meluangkan masa pergi ke gim pusat sukan yang mereka usahakan. Malah, rumah mereka juga terdapat mini gim.
Cuma Apy saja yang takut hendak makan makanan begitu. Kalau dia makan, gerenti berat badannya naik. Ini yang buat dia cemburu dengan Adam. Walaupun dia bukanlah seorang yang pentingkan rupa bentuk tubuhnya tetapi dia pentingkan kesihatannya.
Eh, mana pula pak cik ni?” tanya Apy Elina sambil memandang jam tangannya.
Setelah beberapa minit berlalu, Adam masih tak kembali-kembali lagi. Ini yang menyebabkan Apy Elina berasa susah hati. Sesatkah? Mustahil. Hutan rimba yang tebal pun suaminya mampu cari jalan pulang, mustahil boleh sesat dalam pasar raya yang biasa mereka kunjungi. Tanpa berlengah lagi dia segera berlalu ke bahagian makanan beku.
Sampai di sana, tiada langsung kelibat Adam kelihatan. Apy Elina mula menggelabah. Bukan sebab dia takut Adam hilang tapi takut Adam buat idea gila. Mana tahukan dia pergi beli lebih banyak burger tanpa pengetahuannya macam beberapa bulan yang lepas.
Punyalah satu pasar raya dia mencari Adam, akhirnya dia dapat panggilan suaminya itu sudah menunggunya di depan pintu pasar raya. Kelam-kabut dia membayar, bila keluar, tersengih-sengih suaminya sedang pegang troli yang banyak dengan stok burger. Masa itu jugalah mereka terpaksa tukar peti ais. Harap-harap tak berlaku lagi kali ini.
Baru dia hendak memusing mencari suaminya, langkahnya terhenti apabila terpandang seseorang di satu sudut. Kelihatan suaminya sedang memujuk seorang budak lelaki yang sedang menangis barangkali tidak menjumpai ibu bapanya. Apy hanya tengok kejadian itu dari jauh. Bukan senang dia hendak tengok suami sendiri melayan budak kecil.
Setelah puas memujuk, akhirnya budak itu berhenti menangis. Ketika itu hatinya tersentuh dan sekali gus teringat akan perbualan dia dengan emaknya yang bertanyakan tentang status rumah tangganya. Apa lagi kalau bukan pasal anak.
Mak bukannya apa, mak risau dengan kau tu. Orang kata, kalau ada anak menguatkan hubungan rumah tangga. Suami kau tu bukan calang-calang orang. Bila dia petik je jari, bukan sahaja 10 orang datang tapi lebih. Dah tu, dia muda lagi dari kau. Kau tak takut ke kalau tiba-tiba dia cari yang lain?”
Soalan emaknya hanya tinggal soalan. Dia tidak berani hendak menjawab. Kalau dulu bolehlah dia loyar buruk sikit. Tapi bila melibatkan soal hati dan masa depan rumah tangga, memang dia tak berani berloyar buruk. Takut nanti terjadi, boleh merana hidup. Lagipun urusan begini tidak boleh bawa main. Setiap percakapan kita seperti doa.
Namun, apa yang emaknya kata memang ada benarnya. Tapi, apakan dayanya kalau dia ditakdirkan belum ada rezeki hendak menimbang cahaya mata. Lagi menyakitkan hati apabila saudara maranya buat mulut yang bukan-bukan.
Sehinggalah emaknya pergi ke sana sini cari bomoh dan ahli agama yang lain. Sebab itulah dia jarang hendak balik kampung. Malangnya tiada siapa faham apa yang dia dan Adam lalui. Mereka hanya pandai bertanya dan menyimpulkan sesuatu yang tidak masuk akal sehingga melukakan hatinya dan Adam juga.
Tiba-tiba dia tersedar daripada lamunannya apabila menyedari suaminya menyeka sesuatu pada matanya. Air mata? Entah bila dia menitiskan air mata pun dia tak sedar. Tak sangka begini hebat ujian orang berumah tangga. Masalah yang dirasakan kecil sahaja dahulu, boleh buat dia menitiskan air mata tanpa sedar.
Dah, jangan nangis. Jom kita pergi makan ais krim,” pujuk Adam. Sungguh rock betul pujukkannya. Hai, bilalah pak cik ini nak jadi suami romantik?
Ais krim? Pak cik, awak ingat saya ni minah cintan? Minah cintan pun tak layan ais krim tau sekarang ni,” balas Apy Elina cuba mengawal emosinya.
Habis tu?”
Nak roti canai.”
Bukan ke semalam awak dah bedal lima keping?”
Tak cukup…” nada Apy Elina lembut dan manja. Kena tukar nada kalau tidak pasti suaminya takkan layan.
Tahulah kat Shanghai tu susah nak cari roti canai tapi takkanlah sampai macam tu sekali mengidamnya. Bagi idea lain.”
Nasi kandar?” cadang Apy Elina.
Serentak dengan itu Adam memandang isterinya. Dia tahu sangat dengan taktik itu. Mana tidaknya, dari dulu lagi Apy Elina memang suka gunakan taktik itu supaya dia patuh dengan permintaan isterinya itu.
Roti canai atau nasi kandar? Pilih sekarang,” ugut Apy Elina lagi.
Okeylah. Roti canai,” Adam mengalah. Loya tekaknya apabila mendengar perkataan ‘nasi’. Itu baru dengar, belum lagi tengok isterinya makan lagi. Kadangkala dia pun tak faham kenapa sampai begitu sekali dia alergi dengan nasi.
Yes!” Apy Elina melompat sambil bersorak gembira. Walau macam mana tegasnya  Adam, tetap kalah bila sebut nasi.
Nasib baiklah kedai mamak supply roti canai 24 jam. Kalau tidak, satu hal lagi nak mencari roti canai tengah hari begini,” sindir Adam yang belum puas hati.
Pak cik, jangan berkecil hati. Nanti cepat tua. Apa kata lepas ni, pak cik belajar makan nasi pula? Ya?” balas Apy Elina tersengih-sengih mengetawakan suaminya.
Selepas tu, adalah orang tu yang akan kena masak untuk suami hari-hari…” balas Adam tak mahu kalah juga.
Baik, saya cabar awak!”
Jangan menyesal nanti,” balas Adam.
Demi awak, saya pasti takkan menyesal.”


3 si charming:

  1. eija berkata...:

    agak2 cam ne lah adam bila tiba2 dia dh boleh mkn nasi..

  1. kelam kelibut berkata...:

    hehehe... x sbar misi cabar-mencabar

  1. Unknown berkata...:

    Bygkn ada adam jr... wahahhhhh acaner la tu ek

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages