Malam-malam seterusnya, pada hari tertentu, Firdaus melatih Kejora. Hutan yang tenang menjadi gelanggang mereka, ditemani cahaya bulan pucat yang menembusi celah dedaunan.
“Gunakan deria, jangan hanya mengikut mata,” ujar Firdaus tenang sambil melangkah ke belakang, memberi ruang.
Kejora menunduk sedikit, menyesuaikan nafasnya. Sejak kebelakangan ini, tubuhnya terasa lebih ringan, lebih pantas, seolah-olah ada tenaga dan kuasa baru yang mengalir dalam urat nadinya.
Latihan diteruskan lagi. Firdaus menyerang dengan pantas, namun Kejora menangkis dan membalas dengan gerakan yang semakin tangkas. Setiap langkahnya bertenaga, setiap tumbukan lebih tepat daripada sebelumnya.
Dalam satu gerakan mengejut, tumbukan Kejora mengenai dada Firdaus dengan kuat. Bunyi hempasan itu bergema di antara pohon. Firdaus tersandar ke belakang, menahan sakit. Nafasnya tersangkut seketika sebelum dia terbatuk kecil. Setitik darah merah pekat menitis dari tepi bibirnya.
“Firdaus,” Kejora menjerit cemas, langkahnya segera menghampiri.
Namun sebelum sempat tangannya menyentuh, Firdaus menepis pantas.
“Jangan sentuh,” katanya tegas, nadanya keras walaupun tubuhnya masih lemah.
Kejora terpaku.
Tapi kemudian… sesuatu dalam dirinya berubah. Deria baunya, yang sebelum ini hanya tajam, kini seperti diserang oleh gelombang rasa yang menggoda. Bau darah Firdaus menyelinap masuk ke dalam paru-parunya, memanaskan urat nadi.
Dia menelan air liur tanpa sedar.
Bau itu… wangi dan menggoda, seperti kopi segar yang baru dicampur dengan air didihan.
Firdaus memerhati Kejora, matanya redup tapi penuh waspada. Dia tahu tanda-tanda itu.
“Kejora,” suaranya perlahan tapi tegas, “Lawannya, jangan ikut naluri tu.”
Kejora menggigil, pandangannya masih terarah pada darah di bibir Firdaus. Nafasnya naik turun, menahan desakan naluri yang semakin kuat. Dalam kepalanya, ada suara yang berbisik, suara yang mahukan darah itu…
Ambil sedikit saja…
Satu titis pun cukup…
Firdaus cuba bangun, mengesat bibirnya dengan tangan. Udara di antara mereka terasa berat, hampir menekan. Masing-masing berubah mengawal keadaan.
Kejora menjerit kecil sambil menekup kepala. Tubuhnya terhuyung sebelum jatuh berlutut. Nafasnya perlahan-lahan kembali stabil, denyutan liar dalam urat lehernya mula reda. Dia berjaya menolak naluri itu… walaupun hampir kecundang.
Firdaus melangkah sedikit mendekat, masih berhati-hati.
Kejora menunduk, cuba mencerna apa yang baru berlaku. Dia hampir hilang identiti. Hampir mahu mencederakan Firdaus. Rasa takut dan malu menguasai dirinya.
“Aku hampir kehilangan diri aku,” keluh Kejora perlahan. “Aku ingat aku dah berjaya kawal, sebab baru-baru ni, masa aku tengah sibuk buat model, ada seseorang di kelas terluka jarinya. Aku bau darahnya tapi aku tak ada rasa nak bertukar atau hilang kawalan. Aku tenang dan hanya melihat darah tu seperti biasa,” terang Kejora.
Firdaus diam, mendengar.
“Tapi kenapa sekarang aku tak boleh?” soal Kejora menatap Firdaus. “Adakah benda ni ada kena mengena dengan malam dan siang?”
“Kau rasa?” soal Firdaus.
“Aku rasa… mungkin darah kau lagi istimewa.”
Firdaus ketawa kecil.
“Aku serius la,” ujar Kejora. “Darah kau seperti ada daya tarikan dan baunya… aku tak pernah hidu bau yang harum macam ni. Ia seolah-olah hidup, memanggil-manggil. Kadangkala aku rasa… kau bukan manusia biasa…”
“Mungkin sebab latihan terlalu berat. Kau penat, deria kau tak stabil. Kita berhenti di sini setakat hari ni. Kau pun dah makin tangkas sampai aku pun tak boleh nak lawan kau.”
Kejora diam. Seperti biasa Firdaus akan cuba mengelak, seperti selalu.
“Siapa kau sebenarnya?” tanya Kejora, ingin tahu.
Dia yakin, Firdaus menyimpan seribu rahsia yang belum dia ketahui.
“Mungkin seseorang yang ada darah istimewa,” ujar Firdaus, berseloroh. “Dahlah. Jangan fikir banyak. Kau pernah dengar tak, harimau memang ada sifat berterima kasih dengan seseorang yang menyelamatkannya. Mungkin sebab ni, kau tertarik dengan bau darah aku.”
“Tertarik apanya. Aku hampir nak terkam kau tadi,” Kejora membalas, tak puas hati dengan jawapan yang diberi.
“Mungkin sebab aku tak layan kau dengan baik. Jadi naluri harimau kau mula protes…” Firdaus menambah, mengusik.
“Aku malas nak layan kau,” Kejora mengalah dan melangkah pergi.
“Hei, aku bukan pakar harimau,” balas Firdaus, separuh bergurau.
“Aku tak nak jumpa kau buat sementara ni. Buat sakit hati je.”
“Merajuk?”
“Ya. Aku merajuk. Tak pernah tengok perempuan merajuk?” Kejora mendengus, geram.
“Okey, dah habis merajuk nanti, jangan lupa mesej aku.”
Kejora menjeling tajam, kemudian berlaku tanpa menoleh. Namun itu bukan punca sebenar dia menjauhkan diri. Dia cuma mahu Firdaus berehat. Sejak beberapa minggu ini, mereka berlatih tanpa henti. Tambah lagi dengan kelas dan kerja-kerja yang diberi, memang tak menang tangan.
Bagi Kejora, dia dapat suaikan diri tambahan lagi naluri harimaunya memang selalu aktif waktu malam. Tapi Firdaus bukan sepertinya. Lelaki itu kelihatan semakin letih dan pucat, tapi masih memaksa diri untuk berjumpa dengannnya dan melatihnya.
Dia tidak faham kenapa. Tapi dia tak sanggup menjadi sebab Firdaus jatuh sakit. Lebih-lebih lagi selepas tumbukan kuat tadi. Dia takut… takut kalau suatu hari, kerana dirinya, Firdaus benar-benar terluka.
Atau lebih teruk daripada itu…
Firdaus pula melangkah pulang sendirian menyusuri denai hutan. Mengekori langkah Kejora dari jauh. Dia sengaja berjalan di belakang kerana setiap langkahnya terasa berat dan dia tak mahu Kejora menyedari keadaannya.
Tumbukan Kejora tadi benar-benar kuat. Nampaknya, dia tak boleh bertindak sambil lewa lagi. Kejora betul-betul sudah berubah menjadi kuat.
Di tengah perjalanan, telefon pintarnya berbunyi. Firdaus berhenti seketika, menarik telefon dari poket. Nama pengirim tertera jelas. Zambri.
Dia membuka mesej Zambri.
Bro, kau sibuk ke? Aku rindu. Bila kau nak datang sini lagi? 😀
Mesejnya nampak mesra tapi cukup membuatkan nafasnya tersekat. Lalu dia memadam mesej itu tanpa membalas. Ini bukan mesej pertama daripada Zambri. Masuk kali ini sudah lebih lima kali dia menerimanya dalam minggu ini. Dan setiap kali dia terima, dia hanya mengabaikannya.
Sejak dia kena racun, sejak itu dia tidak lagi datang berjumpa Zambri. Bukan takut atau memberontak tapi dia memerlukan masa untuk badannya sembuh sepenuhnya. Tapi Zambri seperti tahu situasinya dan sengaja mahu dia datang ketika keadaannya tidak mengizinkan.
Dia kembali menyambung langkah, cuba menyembunyikan segala rasa. Saat itu dia menyedari Kejora turut berhenti, memerhatinya dari jauh. Kemudian, kembali menyambung langkah dengan muka masam sepanjang jalan.
Firdaus sekadar mengeluh perlahan. Susah betul bila harimau dah merajuk.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.