Kedai mamak itu hanya ada dua tiga orang pelanggan ketika mereka melangkah masuk. Kebanyakannya pelajar universiti yang tinggal di luar kampus. Ini adalah perkara biasa bagi pelajar, melepak di kedai mamak hingga awal pagi. Asalkan keesokkan harinya mereka masih mampu menghadirkan diri ke kuliah.
Harris tiba ketika Kejora sedang meneliti lauk-pauk di hadapan kaunter. Gadis itu berdiri lama, memerhati satu demi satu hidangan yang masih ada, langsung tidak menyedari kehadirannya.
“Kau patut paksa dia balik bilik tadi. Bukannya ikut fly pergi mamak,” tegur Harris kepada Firdaus. “Sekarang satu hal lagi nak layan karenah dia memilih makanan. Lagi satu, dia mana suka makan mamak.”
“Dia kata dia lapar. Kau pernah tengok perempuan lapar?” balas Firdaus selamba.
Harris menjeling sedikit. “Kau yakin yang kau bawa tu betul-betul Kejora?” bisiknya.
“Ke situ pulak kau… Macam la aku tak dapat bezakan manusia dengan makhluk lain.”
“I dengar apa yang you cakap tadi,” kata Kejora yang selesai memilih lauk. Dia memandang Harris dengan tajam. “Buat pengetahuan you, memang I tak makan mamak. I suka makan daging fresh. Yang tak berbau tengik dan yang tak mandi koboi macam you.”
“Excuse me…?”
“Yes. I cakap pasal you. Memandangkan kita dah putus, I boleh kutuk you puas-puas.”
“So, you nak putus dengan I sebab you nak gaduh dengan I?” balas Harris.
“Correct.”
“You tahu tak, beberapa hari yang lalu pihak universiti keluarkan amaran supaya berhati-hati di sekitar kawasan kampus sebab ada orang ternampak harimau. Sia-sia je I risaukan you. I patut biarkan you kena baham dengan harimau.”
Kejora merenung Harris dingin. “Jangan risau. Kalau I jumpa harimau tu, I yang akan kejar dia sampai dia tak boleh lari ke mana-mana. Lagipun ini bukan pertama kali you sia-siakan I.”
Firdaus yang sejak tadi diam akhirnya mengangkat tangan sedikit, memotong pertengkaran mereka. “Cukup. Kita makan dulu. Lepas tu, kalau nak bergaduh, gaduhlah.”
Nada suaranya tidak tinggi, tapi cukup tegas untuk membuat keduanya diam. Harris mengetap bibir, menahan diri, sementara Kejora hanya menjeling tajam.
Namun, Harris hairan. Ini kali pertama Firdaus bersuara. Selama ini, Firdaus hanya diam menadah telinga jika mereka bertengkar. Lebih pelik lagi, Kejora menuruti kata-kata Firdaus. Langsung tidak membantah.
Ini bukan Kejora yang dia kenal. Biasanya, semakin orang menyuruh diam, semakin menjadi-jadi perangainya.
Saat itu, barulah dia menyedari jaket hitam Firdaus disarung di badan Kejora. Ini bukan kali pertama. Dia teringat kejadian pada malam pertama di kapal persiaran. Firdaus memberi pinjam jaket yang sama kepada Kejora. Dia tidak bertanya tapi dia semakin tidak sedap hati.
Tapi bila dia teringatkan yang dia sudah tiada apa-apa hubungan dengan Kejora, dia biarkan. Dia tak ingin ambil tahu tentang Kejora lagi. Mereka bertiga makan dengan senyap melayani perasaan masing-masing.
Ketika sedang makan, datang seekor kucing betina berwarna oren keputihan dari bawah meja sebelah. Ia berjalan perlahan dan terus berlingkar di kaki Firdaus. Kucing itu menggesel-gesel lembut, kemudian menjongket kepala sambil mengiau manja.
Firdaus menunduk sedikit, senyuman kecil terbit di wajahnya. Lalu dia mengoyak sedikit daging ayam di pinggannya dan meletakkannya di lantai. Kucing itu segera makan daging itu dengan lahap, melihatkan kelaparannya.
Harris yang melihat hanya menggeleng perlahan. Dia tahu Firdaus seorang pencinta kucing. Sering beri makan kucing yang menghampirinya. Kucing-kucing liar di universiti semuanya pernah diberi makan oleh Firdaus. Ada yang sering mengekori Firdaus sehingga ke kelas.
Baru Harris hendak menyambung makan, dia terpandang Kejora yang senyap memandang ke arah kucing itu dengan pandangan yang tajam. Seperti memandang musuh ketat. Setiap lirikan matanya, menggambarkan ekspresi tidak puas hati. Harris pelik. Belum pernah lagi dia nampak Kejora dengan pandangan begitu.
“You okey, Kejora?” tanya Harris, risau bila Kejora berubah muka jadi bengis.
Kejora tersedar. Cepat-cepat dia memalingkan muka. “Okey.”
Firdaus mula menyedari apa yang dia sudah lakukan. Lalu cepat-cepat dia berhenti membelai kucing tadi. Dia meminta diri untuk membersihkan tangannya. Selesai membasuh, dia terus menuju ke kaunter dan membayar makanan mereka bertiga.
Namun, sebaik dia berpaling ke meja, senyumnya perlahan-lahan hilang. Tempat duduk Kejora sudah kosong. Harris masih di situ, bersandar sambil menatal telefon pintar di tangannya seolah-olah tidak sedar ketiadaan Kejora.
Firdaus menghampiri, “Mana Kejora?”
Tanpa mengangkat muka, Harris menjawab santai, “Dia kata nak bagi makan kucing tadi kat luar.”
Firdaus memandang ke luar, matanya meliar mencari Kejora tetapi tiada bayang Kejora yang kelihatan.
“Luar mana?” tanya Firdaus.
Harris akhirnya mendongak, ekspresinya berubah apabila menyedari Kejora benar-benar tiada di sekitar situ. “Tadi aku ingat dia kata depan je… jangan kata itu…”
Firdaus tidak menunggu. Dia terus melangkah keluar, matanya liar mencari ke kiri dan kanan. Jalan di luar masih sunyi, hanya kedai mamak itu yang masih hidup dengan pelanggan pagi. Hatinya mula panik.
“Meremang bulu roma aku wei. Kau yakin ke tu Kejora? Aku nampak dia tenung kucing tadi pun dah lain macam muka dia…” kata Harris sambil memeluk tubuh. Tidak dapat melupakan wajah Kejora tadi.
“Aku cari dia di sana, kau cari dia di sebelah sana,” arah Firdaus tidak menghiraukan kata-kata Harris tadi.
“Tak. Aku tak berani. Aku tunggu sini…” Harris masih lagi memeluk tubuh.
Firdaus sekali lagi tidak hiraukan Harris. Dia segera berlari ke lorong di tepi restoran mamak itu. Lorong yang sunyi dan gelap.
Dan di situ dia nampak Kejora, sedang berdiri dengan tangan berpeluk tubuh, mulutnya terkumat-kamit sambil membebel kepada seekor kucing tadi yang sedang duduk selesa di atas peti kayu.
“Ini amaran terakhir aku, jangan nak menggedik depan dia lagi, faham?!” bebelnya sambil menunjuk jari ke arah si kucing yang dilihat tidak berperasaan. “Dia manusia, kau kucing! Tak ada masa depan, tahu tak?”
Kucing itu mengiau perlahan, seolah menjawab dengan nada tidak peduli.
Firdaus terhenti di hujung lorong, terpinga antara mahu ketawa atau menegur. Tapi kehadiran Firdaus disedari Kejora. Kejora berpaling, wajahnya merah padam.
“Apa kau buat? Buli kucing liar yang kelaparan?” tegur Firdaus.
“Tak… jangan salah faham. Aku cuma… bagi dia nasihat sikit.”
“Nasihat? Tentang apa?” tanya Firdaus, langkahnya mendekat.
“Tentang… dua darjat.”
Firdaus masih tersenyum. Dia memandang kucing tadi yang sedang menutup mata. Mungkin sudah kekenyangan. “Semua makhluk layak mencintai dan dicintai. Yang penting, masing-masing perlu saling percaya.”
Kejora hanya menjeling, tapi matanya bersinar, antara malu, cemburu dan entah sedikit merajuk yang tak mahu diakui.
“Kau dah buat Harris takut tadi. Jangan lakukan lagi.”
“Sorry,” kata Kejora perlahan. Dia tunduk memandang kasutnya. Dia akui, dia tak dapat menahan emosi tadi. Kalau Harris tidak menegur, dia pasti sudah menerkam kucing itu tadi.
“Mulai hari ini, belajar bergaul dengan binatang lain. Jangan anggap mereka musuh. Mana tahu, suatu hari nanti kau boleh jadi The King of Jungle,” kata Firdaus, separuh serius, separuh berseloroh.
“Dari aim jadi The King of Jungle, lebih baik memerintah dunia!”
“Good. Tapi sebelum tu, belajar kawal emosi. Takkan kau nak memerintah dunia dengan dunia yang hampir musnah.”
Kejora ketawa kecil. Aneh, tapi kata-kata Firdaus selalu berjaya menenangkan hatinya.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.