Langkau ke kandungan utama

GADIS HARIMAU : BAB 6


 

Tidak jauh dari kampus mereka, di hujung jalan ada sebuah pokok ketapang tua. Di sana, berdirinya sebuah perpustakaan milik persendirian. 

Bangunan kayu dua tingkat. Bangunannya diperbuat daripada kayu meranti tua yang masih kukuh. Ia merupakan sebuah rumah pada awalnya, kemudian di bahagian bawahnya pernah dijadikan kedai buku dan menjual buku-buku terpakai. 

Kemudian bangunan kayu itu kosong untuk tempoh yang lama, sehinggalah satu hari, bangunan itu diwarisi oleh anak perempuan mereka yang pulang selepas berhijrah di bandar. 

Selepas wujudnya universiti tidak jauh dari situ, bangunan itu diubah suai dan dijadikan perpustakaan. Juga ada dijual kopi dan roti yang dibakar segar dari ketuhar. 

Petang itu, selepas habis kelas, seperti yang dijanjikan, Firdaus pergi ke perpustakaan untuk bertemu dengan Lydia. Sampai di sana, ada beberapa kereta dan motor di parking menandakan pasti ada beberapa pelanggan di dalam. Biasanya pelanggan perpustakaan itu terdiri daripada pelajar universiti. 

Firdaus menolak pintu utama yang diperbuat daripada kayu meranti. Loceng kecil di atas bingkai berdenting lembut, menandakan kedatangannya. 

Suasana dalam perpustakaan terasa tenang, sejuk dengan hawa dingin bergabung dengan aroma buku lama dan kayu, membuatkan ruang itu terasa damai. 

Di satu sudut berhampiran tingkap, kelihatan Lydia sedang membaca buku. Rambut hitamnya diikat longgar, beberapa helaian jatuh ke pipi sengaja dibiarkan begitu. Penampilannya sederhana, hanya baju T dan seluar hitam tetapi aura yakin dan matang membuatkan dia lebih menyerlah. 

Saat menyedari Firdaus menghampiri, Lydia mendongak dan tersenyum kecil. Dua lesung pipitnya muncul serentak. 

“Firdaus,” sapa Lydia lembut. “Long time no see and I miss you so much.”

Lydia tersenyum nakal. 

Tapi Firdaus yang mengenali Lydia dapat tangkap maksudnya. Lalu dia mengalihkan pandangan ke arah beberapa pelanggan di ruang membaca. Dia menyedari ada sesuatu tidak kena. Cara mereka membaca tak seperti orang biasa membaca.

“Aku nak kopi. Macam biasa,” ujar Firdaus, abaikan mereka semua. 

“Baiklah. Hot latte satu,” kata Lydia kepada pembantunya. “Oh ya, kebetulan kau datang, aku nak minta tolong sikit. Ada satu kotak buku-buku lama yang dah datang tiga bulan lepas. Ada di stor bawah tanah. Berat gila. Aku perlukan pemuda gagah perkasa untuk angkat.”

Firdaus hanya mengangkat kening, kemudian mengangguk. “Okey.”

Lydia pula memberi alasan mahu naik ke tingkat atas untuk menyusun buku, walaupun Firdaus tahu itu bukan alasan sebenar. 

Tanpa berlengah lagi Firdaus mengambil tangga ke bawah tanah. Dia menuju ke sebuah pintu di hujung lorong lalu membukanya. Kemudian, membuka suis lampu tapi tidak berfungsi. 

Dia mendesah perlahan, kemudian menyalakan lampu telefon. Ruang itu dipenuhi dengan kotak-kotak buku bersusun-susun seperti mini arkib. 

Dia membelek satu demi satu buku yang ada di atas meja sebelum terdengar bunyi dari bahagian hujung bilik itu. Pintu rahsia terbuka sedikit dan memperlihatkan Lydia melangkah masuk. 

“Siapa mereka?” tanya Firdaus, merujuk kepada pelanggan di atas tadi. 

“Mereka… pembida,” jawab Lydia sambil mengambil pelita minyak dan menyalakannya. Cahaya kuning redup mula menerangi ruang itu. “Mereka dapat tahu kau baru saja pagar hutan belakang kampus dan berminat nak tengok anak harimau yang kau bela disamping jual info dengan harga yang tinggi.”

Firdaus menutup mata seketika, penat dengan kerenah golongan itu. “Haih…” dia mengeluh. 

“Jadi,” Lydia menyilangkan tangan sambil memandang Firdaus dengan senyuman nipis. “Apa perasaan kau dapat bela dan latih anak harimau?”

“Nama dia Kejora. Dan dia bukan anak harimau,” balas Firdaus, tegas. 

Lydia tersengih. “So sweet…”

“Kau kata kau ada info pasal Penghulu. Info tentang apa?” Firdaus mengubah topik. 

Lydia menarik nafas panjang, seolah-olah sedang mencari cara paling berkesan untuk menjelaskan sesuatu. 

“Okey, aku tak nak cerita panjang. Diringkaskan cerita, semasa aku tengah kemas rak-rak buku tiba-tiba aku ternampak sebuah buku tentang Penghulu. Ia tiba-tiba muncul…”

“Mana buku tu?” tanya Firdaus. 

“Aku tak boleh capai.”

Firdaus mengerut dahi. “Kenapa tak guna tangga?”

Lydia mengetap bibir, lalu menjeling tajam. “Firdaus. Think!”

Firdaus terdiam sesaat dua. Kemudian matanya membulat. “Kau boleh akses ke Arkib Bayang.”

Lydia mengangguk perlahan. Ada bangga, ada rasa takut. “Tolong jangan sebarkan hal ni. Aku tak nak sesiapa tahu pasal ni terutama sekali keluarga aku. Kau mesti tahu apa akan jadi kalau keluarga aku tahu salah seorang keturunan mereka boleh akses ke Arkib Bayang. Mereka akan paksa aku pilih side dan kemungkinan besar akan gunakan aku sebagai senjata untuk musnahkan Istana Jati. Aku tak nak masuk campur dalam perang antara keluarga.”

Firdaus mengangguk. Dia juga seperti Lydia, dia sudah muak dengan perang antara keluarga. 

“Sejak bila?” tanya Firdaus. 

“Sejak malam Kejora bangkit,” jawab Lydia. “Kejadian tu kunci segalanya. Kejora bangkit. Aku dapat akses ke Arkib Bayang dan Penghulu… juga akan bangkit.”

Firdaus menelan liur. Nafasnya terasa berat. 

“Kau… belum jinakkan dia lagi kan?” Lydia menyoal. 

“Takkan,” balas Firdaus, jujur. 

Lydia bersandar pada meja. “Kalau buku Penghulu dah muncul… itu bermaksud… dah tak lama…”

Firdaus menarik nafas berat. Dia memandang Lydia dengan serius. 

“Ingat janji kita, kau simpan rahsia aku, aku simpan rahsia kau,” kata Firdaus akhirnya. 

Lydia mengangguk. 

“Sorry… Apa pun ini bukan satu berita baik.” Lydia tersengih. 

Ya. Ini bukan satu berita baik. Bukan saja buatnya tapi buat semua orang sekelilingnya. 

Ulasan