Seminggu kemudian…
Malam itu, suasana di kolej kediaman sunyi sepi. Hanya bunyi cengkerik dan hembusan angin dari kipas yang berpusing menemani Kejora yang berbaring di atas katilnya, matanya terbuka luas, memandang siling dan kipas yang berpusing laju.
Sudah berkali-kali dia cuba memejamkan mata, namun rasa mengantuk langsung tidak datang, bagaikan dia telah meneguk tiga cawan espresso siang tadi. Akhirnya, selepas tidak tahan lagi, dia bangun, menyarung semula baju T dan seluar panjang.
Ketika dia sedang mengikat tali kasut, rakan sebiliknya, Saila, tersedar.
“Kau nak pergi mana?” tanya Saila dengan suara serak, sambil menggosok mata.
“Joging,” jawab Kejora tenang, terus menunduk menyempurnakan ikatan tali kasutnya.
Saila mencapai telefon pintarnya, melihat jam, lalu mamndang Kejora semula dengan dahi berkerut.
“Joging? Pukul tiga pagi?”
“Aku tak boleh tidur.”
“Kau dah gila ke?”
“Dekat-dekat sini je pun,” jawab Kejora ringkas sebelum melangkah keluar.
Saila sempat menampar-nampar pipinya sendiri, memastikan dia tidak bermimpi. Bila dia sedar Kejora betul-betul keluar, dia segera menghubungi seseorang.
Panggilannya disambut oleh suara lelaki yang serak dan separuh mengantuk.
“Saila… kenapa? Ada apa-apa jadi pada Rosie ke?”
“Bukan Rosie, tapi Kejora. Ex kau tu. Dia dah gila wei. Pagi-pagi buta keluar joging seorang diri!”
“Apa?” suara Harris berubah keras. Mengantuknya hilang serta-merta.
Tanpa berfikir panjang, Harris terus menyarung barju dan seluar. Dia harus bertindak cari Kejora sekarang. Jika ada perkara buruk berlaku kepada Kejora lagi, dia takut Rosie akan terkena tempiasnya.
Sewaktu dia melangkah keluar dari bilik, dia terserempak dengan Firdaus yang kelihatan baru selesai mandi, rambutnya masih basah, wap air pun masih melekat di kulitnya.
Ni lagi sekor, suka sangat mandi pukul pagi-pagi buta! Harris mengumpat dalam hati.
“Kenapa?” tanya Firdaus, hairan melihat Harris tergesa-gesa.
“Ex aku buat hal. Tengah malam buta macam ni dia pergi keluar joging. Aku nak cari dia sebelum dia bagi masalah pada aku,” jawab Harris sambil merungut kecil.
“Aku temankan,” balas Firdaus tanpa ragu.
“Terima kasih la. Sorry, susahkan kau lagi.”
“Tak apa. Aku pakar cari kucing liar ni,” katanay sambil mencapai jaket hitam. Harris menjeling sambil tersenyum nipis.
“Ex aku tu pencinta kucing, bukan kucing. Tapi kalau kau nak samakan dia dengan harimau, aku setuju. Dia garang macam harimau,” kata Harris selamba.
Firdaus tersengih.
***
Udara pagi itu segar. Kejora menarik nafas panjang, membiarkan udara sejuk memenuhi dadanya sebelum mula berlari perlahan di sekeliling kampus.
Kampusnya ketika itu masih lengang. Hanya kedengaran bunyi burung yang baru keluar dari sarang dan deruan angin yang menyapa dedaunan. Lampu-lampu jalan yang menerangi kampus itu juga masih menyala.
Dulu, kampusnya ini hanyalah kawasan hutan tebal yang dipenuhi pokok merimbun tinggi. Namun, dengan pembangunan universiti ini, hutan perlahan-lahan diteroka, diganti dengan beberapa bangunan moden.
Pun begitu, di bahagian belakang kampus, masih wujud sisa hutan yang sengaja ditinggalkan, dibiar kekal, dipisahkan dari kawasan kampus oleh sebuah longkang besar yang dalam dan panjang.
Ketika Kejora berlari menghampiri kawasan berhampiran hutan itu, dia terasa ada sesuatu sedang memerhati. Langkahnya melambat dan akhirnya dia berhenti. Bulu romanya mula meremang. Jika tadi dia merasakan udara yang nyaman di sekitarnya, kini berubah, seperti ada sesuatu yang akan dihadapinya. Naluri berwaspada tiba-tiba aktif.
Dia menoleh ke kiri dan kanan. Pandangannya tajam, dan tanpa sedar, mata harimaunya muncul. Pupilnya mengecil, memantulkan cahaya samar pagi. Dalam mod penglihatannya itu, dunia tampak berbeza dan warna-warna menjadi lebih pekat, seperti bayang-bayang tampak lebih hidup.
Dari tempatnya berdiri, di seberang longkang besar yang memisahkan kawasan kampus dan hutan tebal, sepasang mata sedang memperhatikannya dari balik dedaunan. Mata itu kuning keemasan, bercahaya namun garang. Akhirnya dia menyedari ia milik sepasang harimau dewasa.
“Harimau mistik…” gumamnya perlahan, teringat kata-kata Firdaus yang pernah beritahu tentang sumpahan yang menjadi punca apa yang menimpa keluarganya.
Tanpa berfikir panjang, Kejora melangkah laju dan melompat melintasi longkang besar. Kakinya mendarat di tanah lembap di tepi hutan, lalu dia terus berlari masuk ke dalamnya.
Harimau itu, berpaling dan berlari masuk ke dalam celahan hutan. Gerakannya pantas, hampir tidak menyentuh tanah, seakan ia hanyalah bayangan semata.
Hutan menyambut Kejora dengan bunyi cengkerik, desiran daun dan aroma tanah basah dan lembap. Di hadapannya, kelibat harimau itu berlari laju, tangkas dan gagah. Kejora masih mengejar tanpa ragu. Melompat akar besar dan menyelak ranting yang menghalang laluannya.
Dia semakin hampir, sangat hampir. Namun dalam sekelip mata, harimau itu lenyap. Tiada jejak, tiada bunyi. Ini lagi menguatkan tanggapannya bahawa itu adalah harimau mistik yang dia cari.
Bukan harimau harimau biasa!
Dia berdiri termengah-mengah, pandangannya liar mencari.
Tiba-tiba, suara lelaki kedengaran di belakangnya, tenang tapi tegas. “Apa kau buat di sini, Cik Kejora?”
Kejora berpaling pantas. Sebahagian daripada jantungnya hampir melompat sama. Tidak jauh darinya, berdiri Firdaus, wajahnya tenang tapi matanya tajam memerhati. Dia langsung tak menyedari kehadiran Firdaus. Mungkin kerana sibuk mengejar harimau tadi.
“Aku… aku rasa aku nampak harimau mistik yang kau kata hari tu. Dia lari bila aku kejar,” kata Kejora masih mengatur nafasnya yang masih turun naik.
Firdaus tidak menjawab. Dia hanya berdiri diam, memerhati Kejora dengan pandangan yang sukar ditafsir.
“Apa kau buat di sini? Macam mana kau tahu aku ada di sini?” tanya Kejora lagi.
Sekali lagi Firdaus tidak bersuara tapi pandangannya melembut. Perlahan-lahan dia menghampiri Kejora. Dia menyedari sesuatu, baju T nipis yang Kejora pakai amat nipis, tidak sesuai dengan cuaca sejuk awal pagi ini apatah lagi embun dalam hutan itu agak sejuk.
Tanpa berkata apa-apa, Firdaus menanggalkan jaket hitam yang dipakainya lalu menyelimutinya perlahan ke atas bahu Kejora.
Kejora terpempan. Dalam masa yang sama dia terasa hangat. Bau jaket itu, campuran haruman kayu dan wangian maskulin, mula menyelubungi dirinya. Dia terasa selesa. Dia rindukan bau ini.
“Kalau nak kejar sesuatu… pastikan kau tahu apa yang kau kejar,” ujar Firdaus, lembut tapi tegas.
“Aku tahu apa yang aku nampak,” balas Kejora penuh yakin.
“Kalau betul harimau mistik, ia takkan mudah dikejar dan ditangkap. Jika ia lenyap tiba-tiba maknanya kau masih perlu berlatih supaya lebih handal daripadanya,” kata Firdaus lagi.
Kejora mengangguk. Ya. Ada benarnya kata-kata Firdaus tadi.
“Jom. Tak baik kita lama-lama di sini,” kata Firdaus lagi sebelum berpaling ke arah laluan keluar dari hutan.
Kejora melangkah perlahan mengekori Firdaus sambil memegang hujung jaket di bahunya. Mereka melangkah keluar dari hutan dalam diam, hanya ditemani bunyi ranting patah di bawah tapak kasut dan kicauan burung yang mula kedengaran.
Langit masih lagi gelap tapi mereka berdua tidak menghadapi masalah untuk mencari jalan keluar seolah-olah masing-masing handal dalam selok-belok hutan.
Firdaus berjalan sedikit di hadapan, sesekali dia menoleh memastikan Kejora tidak tertinggal. Bagi Kejora pula, dia sengaja tidak mahu bersuara biarpun dia mahu tahu macam mana Firdaus dapat mencarinya. Dia hanya mahu menikmati momen ini, mengekori Firdaus dari belakang sambil menikmati pemandangan tubuh belakang Firdaus.
Apabila mereka tiba di tepi longkang besar yang memisahkan hutan dan kawasan kampus, Firdaus berhenti. Firdaus mengeluarkan telefon pintarnya yang bergetar.
“Ya. Aku baru jumpa dia. Dia selamat. Jangan risau,” katanya ringkas dan talian ditamatkan.
“Harris?” Kejora memandang tajam, kurang senang.
“Dia risaukan kau bila dapat panggilan daripada roommate kau yang beritahu kau pergi joging pukul tiga pagi.”
“Saila memang busybody betul,” Kejora mendengus marah.
“Mujurlah dia beritahu Harris. Mana ada manusia normal pergi joging pukul tiga pagi di dalam hutan tebal,” kata Firdaus tegas.
“Aku tak boleh tidur…” Kejora tunduk memandang kasutnya yang sudah kotor.
Firdaus menarik nafas. “Aku akan aturkan jadual yang sesuai untuk kau aktif pada malam-malam tertentu tanpa ganggu jadual belajar kau.”
“Kita boleh cari harimau mistik tu sekali?” Mata Kejora bersinar.
“Ya. Kita boleh cari harimau mistik tu sekali…” jawab Firdaus. Kejora hampir bersorak gembira sebelum Firdaus menyambung, “Tapi… dengan satu syarat…”
“Ada syarat pulak…”
“Dengar cakap aku. Jangan tonjolkan diri, jangan buat keputusan tak normal macam ni, faham?”
Kejora mengangguk faham.
“Okey, memandangkan kau setuju, jom kita balik.”
“Balik?” Kejora kurang gembira.
Dia baru saja jumpa Firdaus setelah hampir dua minggu tak berjumpa. Dia enggan singkat pertemuan ini. Lagipun, dia masih belum letih dan mengantuk.
Senyuman nakal terbentuk di bibirnya. “Boleh tak… kita pergi makan dulu? Aku lapar. Aku dengar ada kedai mamak baru buka dekat depan kampus kita. 24 jam.”
Firdaus menjeling jam tangannya. Setelah mempertimbangkan sesuatu, akhirnya dia setuju. Dia segera memberi mesej kepada Harris supaya berjumpa di kedai mamak saja. Sambil berjalan ke kedai mamak, Kejora mengatur ayat yang sudah lama dia ingin tanya.
“Kau masih marahkan aku?” tanya Kejora.
“Tak. Aku tak marah cuma risau kalau apa-apa terjadi pada kau di dalam hutan sana.”
“Tak. Maksud aku… tentang Instagram tu.”
Firdaus tersenyum, faham apa yang dimaksukan. “Macam mana kau tahu itu aku?”
“Tak ada la susah sangat…” kata Kejora penuh bangga. “Jadi, kau tak marah? Buat hidup kau tunggang-langgang?”
“Aku bernasib baik sebab tak post muka aku…” Firdaus tersengih.
“Aku boleh terus follow kau?”
“Dah tentu. Itu pun kalau kau nak tahu lagi tentang status kayu yang aku jumpa.”
Kejora ketawa riang.
“Aku dengar kau dah putus dengan Harris.”
“Dah seminggu kami putus, baru sekarang kau nak tanya?” Kejora jeling, tak puas hati. “Pelik. Nak kata kampus kita ni besar, tak adalah sangat. Aku selalu terserempak dengan Harris tapi tak pernah terserempak dengan kau.”
“Aku sibuk sikit tapi aku sentiasa perhatikan kau dari jauh. Mana tahu… tetiba ada orang kena baham…”
“Aku tahu kawal diri aku, okey. Buat apa aku nak cipta masalah dengan baham orang. Tak ada faedah. Buat menyusahkan hidup saja.”
“Tapi joging pukul 3 pagi pun boleh cipta masalah,” balas Firdaus.
“Tahu… aku takkan buat lagi.”
“So… siapa yang minta putus dulu?”
“Penting ke?” Kejora menjeling.
“Harris masih ambil berat tentang kau.”
“Kau masih tak kenal kawan baik kau? Dia tu sentiasa akan risaukan Rosie kena tempias. Macam bila aku minta putus dengannya, dia risau orang akan salahkan Rosie tapi bila dia tengok reaksi ramai yang dah jangka perpisahan kami, dia okey aje.”
“Kalau macam tu, kau okey?”
“Mmm… Sejujurnya, aku dah tak rasa apa. Rasa macam cinta tu dah pudar. Itu yang terbaik. Harris juga bebas buat keputusan nak lindungi siapa selepas ini. Dan… selepas apa yang terjadi, yang mengubah sebahagian daripada diri aku… aku tak suka bau badannya.”
“Deria bau kau semakin sensitif.”
“Ya. Tapi bau badannya… menyakitkan hidung aku. Dia boleh tipu orang lain dengan bau wangian mahal tapi dia tak boleh tipu hidung aku. Aku syak daging dia mesti tak sedap dan layak dicampak ke dalam loji kumbahan. Tak berkualiti langsung.”
“I see… mungkin aku perlu amalkan mandi koboi macam Harris,” balas Firdaus, berseloroh.
Kejora mendengus geram.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.