Semester baru akhirnya bermula.
Suasana universiti kembali meriah dengan wajah-wajah baru dan lama. Bagi Kejora, ini adalah permulaan yang baharu, bukan sahaja sebagai mahasiswa tetapi juga sebagai seorang yang cuba menyesuaikan diri dengan kehidupannya yang tidak lagi sepenuhnya manusia.
Hari pertama, langkahnya terasa berat. Bau peluh, minyak rambut, minyak wangi bercampur aroma yang sangat menyengat deria barunya, deria harimaunya yang masih perlu dikawal.
Kepalanya pening, jantungnya rasa berdebar-debar. Setiap bau manusia yang lalu menjadi ujian besar buatnya. Namun, dia masih ada kewarasan yang tinggi.
Kini, universiti yang dulu menjadi tempat yang memberi tekanan baginya berubah wajah. Sejak berita tentang keberaniannya menyelamatkan wanita mengandung dalam kejadian malam berdarah itu tersebar, ramai yang memandangnya dengan mata yang berbeza.
Dahulu, dia sering dijeling, diperli, malah disindir sebagai perempuan paling bermasalah dan paling kontroversi tapi kini, senyuman-senyuman kecil mula diberikan. Ada yang datang menegur, ada yang sekadar melambai dari jauh. Populariti dan reputasinya meningkat mendadak. Bukan lagi kerana kisah sensasi atau rupa paras tetapi kerana keberaniannya.
Dalam seminggu pertama itu, hidupnya padat dengan urusan pendaftaran kelas yang mana ada beberapa kelas bertembung dengan kelas lain dan dia memerlukan beberapa hari turun naik pejabat pentadbiran untuk menyelesaikannya.
Selain itu ada juga kelas yang sudah mula beri tugasan dan memerlunya membuat kajian kecil sehingga dia lupa siapa dirinya sebentar.
Namun, tidak semua perkara berjalan lancar. Semester ini, dia mendapat rakan sebilik baharu. Anehnya, dia tak ingat langsung rakan sebiliknya dahulu. Seakan, dia tak pernah ada rakan sebilik selama ini.
Semester ini, rakan sebiliknya bernama Saila.
Saila seorang gadis yang periang, petah berkata-kata tapi malangnya… Saila teman rapat Rosie. Nama itu saja sudah cukup buat Kejora rimas.
Jika boleh, semester ini dia tak mahu ada kena mengena dengan Rosie. Dengar nama pun dia tak nak. Tapi Saila… suka sebut nama Rosie. Hal ini membuatkan Kejora berpura-pura sibuk atau berpura-pura tak mendengar.
Beberapa hari kemudian, ketika Kejora sedang menyiapkan tugasan di perpustakaan, telefonnya bergetar. Nama Harris tertera di skrin. Wajahnya sedikit berubah. Tapi dia tahu, inilah masa untuk selesaikan persengketaan mereka.
Seperti yang dijangka, Harris mahu berjumpa dengannya. Kejora bersetuju untuk bertemu dengan Harris di tempat biasa, iaitu di sebuah cafe yang tidak jauh dari kampusnya.
Kejora datang lebih awal, menunggu sambil memandang ke arah pintu masuk. Setiap kali seseorang melangkah masuk, dia memanjangkan leher.
Bukan menanti Harris tapi Firdaus.
Biasanya, jika ada pertemuan begini, Harris suka bawa Firdaus. Dia memang tak suka awalnya tapi Firdaus… seperti halimunan. Walaupun datang bersama Harris, dia akan duduk jauh dari mereka dan buat hal sendiri.
Itu dulu, dia tak tahu identiti Firdaus. Kini, dia berharap Firdaus akan muncul tapi hari ini dia kecewa apabila Harris muncul seorang diri.
Tanpa Firdaus.
“Eh? Seorang je? Selalunya you bawa bodyguard,” kata Kejora separuh sinis, separuh kecewa.
“Firdaus?” Harris mengeluh perlahan. “Dia baru sampai tengah malam tadi. Masih letih. Sambung tidur lagi.”
“Dia okey?” tanya Kejora, bukan pura-pura tapi dia memang risau bila tak nampak batang hidung Firdaus.
Dia juga pernah menghubungi Lebah bertanyakan Firdaus yang tidak membalas mesejnya. Lebah beritahu Firdaus panjat gunung lagi. Tak pasti betul atau tidak tapi entah kenapa dia rasa Firdaus seperti mengelak daripadanya.
“Macam biasa. Macam tak ada perasaan. Mungkin kita boleh berguru dengan dia,” balas Harris, berseloroh.
Kejora tersengih. Tanpa pengetahuan Harris, dia memang dah berguru dengan Firdaus. Lelaki itu lebih banyak ilmu yang orang lain tak tahu.
Perbualan mereka semakin serius. Kali ini Kejora cuba mengawal perasaannya. Dia tahu jika dia biarkan saja egonya, ia akan berakhir dengan pertengkaran lagi. Kali ini dia biarkan Harris dengan egonya.
“Hubungan kita dah tak dapat diselamatkan lagi. I sedar yang I terlampau taksub. Mungkin sebab I fikir, I boleh dapat apa yang I nak selagi I berusaha tapi cinta… tak boleh dipaksa.”
“Ini tak ada kena mengena dengan Kayu Jati?” soal Harris. “Ramai yang bincang pasal ni di laman sosial.”
“Harris… please.”
“Okey, kita putus. I harap you gembira dengan pilihan you,” kata Harris tenang.
Kejora hanya mengangguk. Dia mengunci mulut. Jika dia membalas, perang akan berlaku lagi. Buat masa ini, biarlah dia mengalah. Biar Harris merasai kemenangan. Yang penting, dia perlu jauhkan diri daripada Harris. Dengan keadaannya yang separuh manusia, dia tak boleh jamin hubungannya dengan Harris akan berjaya.
***
Tak sampai satu hari, berita tentang perpisahan Kejora dan Harris sudah tersebar ke seluruh kampus. Kisah mereka menjadi tajuk utama dalam setiap bisikan di kafe, di koridor malah di ruangan komen media sosial.
Ada yang terkejut.
Ada yang bersimpati.
Namun tidak kurang juga yang mengucapkan, “Akhirnya…” seolah-olah sudah lama menunggu saat itu tiba.
Dan Kejora, yang sudah lali dengan ceritanya menjadi bahan bualan, sudah tidak kisah lagi. Yang penting, dia berasa bebas. Sekarang, dia hanya perlu beri tumpuan pada dirinya sendiri.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.