Langkau ke kandungan utama

GADIS HARIMAU : BAB 15

 


“Bila kita boleh cari harimau mistik tu?” tanya Kejora sebaik sahaja latihan malam itu tamat. Nafasnya masih tercungap, peluh menitis di sepanjang pelipis sebelum dia mengesatnya dengan lengan. 

Di sekeliling mereka, hutan malam terasa hidup. Angin dingin mengalir di antara batang pokok, membawa sekali bau tanah lembap. 

Sebelum Firdaus sempat membuka mulut, Kejora cepat memotong, “Jangan cakap aku tak bersedia lagi. Aku dah kalahkan kau hampir lima round hari ni.”

“Tak. hari ni aku saja bagi kau menang,” jawab Firdaus dengan nada bersahaja, masih enggan mengalah. “Untuk tambah keyakinan kau.”

Kejora merengus. “Kau sengaja, tapi kau tak bagi aku cari harimau mistik tu. Apa kau nak sebenarnya?” Dia cuba menahan sabar tapi suaranya jelas menyimpan bara yang semakin berbahang. 

“Aku nak kau bertenang dan fokus,” balas Firdaus. 

“Fokus apa? Matlamat aku sekarang cuma nak cari harimau tu dan tamatkan sumpahan ni. Tapi kau buat aku macam subjek eksperimen!” Suara Kejora meninggi, hampir bergema seluruh rimba. 

“Apa yang kau cari dari aku sebenarnya? Kenapa aku perlu berlatih dan untuk apa?”

“Untuk pastikan kau sentiasa aktif…” Firdaus menjawab acuh tak acuh. 

Renungan Kejora bertukar tajam. Kalau diikutkan hati, nak saja dia terkam Firdaus sekarang. 

“Okey…” Firdaus menarik nafas panjang. Dia juga tak mahu panjangkan masalah ini lagi. Dia mengumpulkan sisa tenaga dan akhirnya berani bersuara, “Aku tipu. Harimau mistik tu… langsung tak wujud.” 

Kejora terpaku, tetapi wajahnya tidak berubah. Masih tajam, masih penuh kecurigaan. 

“Kau ingat aku percaya? Kau senjaga tak nak aku cari harimau mistik tu. Kau nak aku terus begini sebab kau boleh jadikan aku bahan eksperimen, kan?”

Firdaus menunduk sedikit, mengeluh perlahan. 

“Harimau mistik hanyalah cerita dongeng yang aku cipta untuk alihkan perhatian kau sementara. Aku minta maaf. Aku tak sangka kau akan jadi obses dengannya,” katanya perlahan. “Kejora, apa yang kau alami bukan sumpahan tapi ia… memang ada dalam darah keturunan kau.”

Kejora menggeleng kuat. Hatinya menolak mentah-mentah. 

“Tipu,” katanya pendek. “Aku nampak harimau tu. Dengan mata aku sendiri. Kau ingat aku halusinasi?”

“Tolonglah percaya aku kali ni. Kita dah tak ada masa,” rayu Firdaus. “Harimau mistik tak wujud. Sumpahan tu tak wujud. Kau… diri kau sekarang… adalah kerana keturunan ayah kau. Darah dia… keturunan dia… ada kebolehan dan kekuatan seperti harimau.”

“Cukuplah,” kemarahan Kejora meletus. Di matanya, Firdaus langsung tak boleh dipercayai sekarang. “Kalau kau tak nak tolong aku cari harimau mistik tu, kau beritahu saja. Tak perlu berdolak-dalih bagi alasan macam-macam!”

Dia berpaling, berang dan kecewa, lalu berlalu meninggalkan Firdaus. Firdaus memanggil tapi langsung tidak diendahkan. Akhirnya Firdaus mengalah, berhenti memanggil dan mengekori. Biarkan Kejora sendirian. Dia tak mahu menganggu Kejora. Gadis itu, pasti tengah bercelaru. 

Dalam masa yang sama Kejora berlari anak di antara pohon-pohon besar, menepis ranting dan dedaun yang menghalang laluannya. Nafasnya panas, semakin panas. Dadanya berombak laju. 

“Dia ingat aku budak kecil yang senang ditipu?” rungutnya marah. 

Tiba-tiba dia merasakan sesuatu, yang membuatkan langkahnya terhenti. Deria dan naluri yang selalu muncul kebelakangan ini menyentap kuat. Sesuatu sedang memerhati dari kegelapan. Sesuatu yang sangat dekat dan sangat dinantikannya. 

Di sebalik kabus nipis, dua biji mata keemasan muncul perlahan. Berkilau lembut tetapi menusuk. Dari tempatnya berdiri, dia melihat seekor harimau dewasa sedang memandang ke arahnya. 

Harimau itu… seperti pernah dilihatnya sebelum itu. 

Itu… itu harimau mistik! 

Tanpa berfikir panjang, dia terus mengejar haiwan itu. Haiwan itu lari masuk ke dalam hutan tebal apabila dia mula mengejar. 

“Jangan lari! Aku akan tangkap kau hari ni!” jerit Kejora keriangan, terus lupa pesanan Firdaus dulu yang pernah melarangnya pergi jauh ke dalam hutan. 

Langkahnya semakin laju, deru angin menampar wajahnya seolah-olah mendesak dia terus mengejar. Tanpa dia sedar, kakinya telah pun melangkaui garisan halimunan, pendinding yang dibina oleh Firdaus untuk melindungi kawasan itu daripada anasir jahat. 

Di tempat lain, Firdaus yang sedang meneguk air tiba-tiba tersentak. Nafasnya terhenti seketika apabila dia merasakan satu getaran tenaga yang halus di sekeliling berubah mendadak. 

Kejora… dia dah keluar dari pagar!

Jantungnya berdegup pantas. Tanpa membuang masa, dia terus berlari ke arah yang sama. Mencari Kejora sebelum mereka menemui Kejora.

Ulasan