Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR : BAB 8

 



Kejora membeku. Kata-kata Firdaus masih bergema dalam fikirannya. 

“Harimau jadian?” Kejora masih tidak percaya. Dia masih berharap ini hanyalah gurauan. 

Firdaus tidak menjawab. Sebaliknya, dia meletakkan pisau ke tepi dan memandang Kejora lama. Pandangan yang tidak lagi sekadar gurauan. Ia tenang tapi dalam. 

“Aku tahu kau rasa pelik sejak semalam,” katanya perlahan. “Deria kau berubah. Kau lebih kuat, lebih tajam dan lebih… lapar.”

Kejora menelan liur. Dia mula bandingkan perubahan pada dirinya dengan harimau. Pertama kali tersedar daripada ditembak mati, aroma darah dan daging segar di sekelilingnya begitu menggiurkan. Dia juga sedar dia boleh bau macam-macam aroma di sekelilingnya tapi yang paling menarik perhatian deria hidungnya ialah bau daging.

“Aku cuma rasa lapar…” Kejora memegang perutnya. 

“Itu permulaan,” balas Firdaus. “Naluri kau sedang bangun.”

“Macam mana kau tahu tentang aku? Kau juga seperti aku?”

“Tak. Aku cuma orang luar.”

“Macam mana kau kenal ayah aku? Ayah aku upah kau sebagai bodyguard? Tapi kau tak nampak seperti bodyguard…” tanya Kejora lagi. 

Dia kenal Firdaus kerana Firdaus kawan Harris. Tinggal satu rumah dengan Harris. Orangnya tidak menonjol dan sering dianggap halimunan. Siapa sangka lelaki itu menyimpan banyak rahsia dengan baik. 

“Aku dah kata, aku orang luar. Tak ada kena mengena dengan kau. Aku cuma nak balas budi ayah kau. Dia banyak tolong aku,” jawab Firdaus. 

“Apa yang ayah aku dah tolong sampai kau sanggup mencemar duli pertaruhkan nyawa selamatkan aku? Orang yang ada mahligai kayangan macam ni takkan bazirkan masa untuk balas budi melainkan ada sesuatu yang besar telah berlaku. Ini ada kena mengena dengan kematian ibu bapa kau?” soal Kejora. 

“Ya. Tapi semuanya dah berlalu dan dah selesai.”

“So, ayah aku selamatkan kau? Apa dah jadi waktu tu?” Kejora teruja ingin tahu.

“Kejora, hal ini tak ada kena mengena dengan aku. Ini tentang kau. Kau watak utama di sini. Dan aku umpama watak sampingan tanpa nama,” tambah Firdaus lagi.

Kemudian, Firdaus perasan perubahan pada wajah Kejora. “Kenapa?”

“Malam tu Harris kata aku bukan watak utama. Jangan perasan nak jadi watak utama…”

Firdaus hilang kata-kata. 

“Nanti…” Otaknya kembali memproses maklumat. “Kau tahu siapa aku, ini bermakna papa juga…”

“Satu spesies. Satu keluarga yang sama.”

“Macam mana dengan mama aku?”

“Dia manuasia biasa.”

“Mereka berpisah sebab ini?”

“Itu… kena tanya ayah kau sendiri. Tugas aku cuma nak pastikan kau selamat.”

“Selamat daripada siapa? Aku ada musuh? Ayah aku ada musuh? Jangan kata kejadian semalam…” pantas Kejora meneka.

“Tak ada kena mengena.” 

“Habis tu, kenapa kita bersembunyi di sini?”

“Kita tak bersembunyi. Kita di sini untuk pastikan kau dapat kawal naluri harimau kau. Itu pun kalau kau nak hidup dalam kalangan manusia.”

“Aku rasa aku okay je. Lagipun kau juga manusia. Tak ada pun aku rasa nak baham kau,” katanya dengan yakin.

Firdaus mencapai telefon pintarnya. Tanpa berkata sepatah, dia memainkan satu video yang sempat dirakam malam semalam dan menunjukkan kepada Kejora. Kejora melihat video itu tanpa rasa curiga. Namun, saat wajahnya sendiri terpancar di skrin, darahnya bagaikan berhenti mengalir. Dalam video itu, dia kelihatan dalam separuh sedar… sedang menjilat-jilat lengan Firdaus yang terdedah. Dia bagaikan seekor harimau yang kehilangan kawalan, menciumi mangsa dengan naluri liar. 

“Tak… ni AI kan?” suara Kejora tersekat-sekat. Dia menutup mulut, menahan rasa jijik. 

Firdaus tidak menjawab. Dia hanya memerhati dengan pandangan tenang tapi tajam. Kejora yang tidak dapat menahan rasa malu dan jijik, tanpa berfikir panjang, dia segera menghentak telefon itu berkali-kali ke meja. Dentuman kuat bergema memecah kesunyian. 

“Kenapa kau rakam semua ni?” jeritnya tidak dapat menahan kemarahan. 

Dalam sekelip mata, telefon itu melayang dari tangannya, dibaling ke arah Firdaus. Lelaki itu sempat mengelak, dan peranti itu pecah berderai menghentam kabinet di belakang, meninggalkan retakan halus di permukaannya. 

Krik…

Krik…

Retakan halus merebak di permukaan kayu sebelum seluruh stuktur kabinet itu bergoyang dan… dum! Kabinet itu roboh dengan dentuman berat, serpihan kaca dan pinggan mangkuk berguguran bertaburan di lantai. 

Kejora tersentak, langkahnya terunduk beberapa tapak. Dadanya turun naik, tangannya menggigil. Dia tidak tahu sama ada mahu marah, menangis atau menjerit. 

Firdaus masih di tempatnya, wajahnya masih tenang tapi matanya tetap tajam. Seolah-olah dia sudah bersedia menghadapi situasi seperti ini. Tiada langsung rasa takut pada dirinya. Namun, Kejora yang masih lagi terkejut, berlari meninggalkan dapur itu. 

Firdaus mengeluh perlahan. Satu hal lagi nak memujuk…

***

Kejora mengurung diri di dalam bilik. Sukar untuknya menerima perubahan yang sedang berlaku pada diri sendiri. Harimau jadian? Mustahil. Tapi mengapa dia terasa seolah-olah dirasuk sesuatu? Atau mungkin seperti orang yang terkena dadah, bertindak tanpa sedar, tanpa kawalan. 

Selama ini, dia tidak pernah peduli tentang reputasinya di universiti. Dia tahu wujud pelbagai gosip buruk yang mengelilinginya, namun tidak pernah diendahkan. Dia yakin, dirinya tidak seperti yang digosipkan. Dia juga tidak pernah melakukan apa-apa yang melanggar peraturan. 

Namun kali ini… berbeza. Apa yang berlaku semalam benar-benar membuatkannya malu dan jijik terhadap diri sendiri. Malu kerana dia gagal mengawal diri. Entah apa yang merasuknya hingga naluri “harimau” itu hampir menguasai sepenuhnya. 

Kini, dia hanya mampu bertanya pada diri sendiri. Apa yang perlu dilakukan untuk menahan semua ini daripada berulang lagi? 

Ketukan perlahan di pintu mengejutkan Kejora dari lamunannya. Firdaus bersuara di sebalik pintu memberitahu dia ingin masuk. Kemudian, pintu dibuka sedikit. Firdaus melangkah masuk, membawa dulang berisi makanan. Sepinggan daging yang dimasak medium rare, disertai sos berwarna keperangan. Wap panasnya masih lagi kelihatan, menyebarkan aroma yang entah kenapa membuatkan tekak Kejora terasa kering. 

Firdaus meletakkan dulang itu di atas meja kecil berhampiran katil. Dia berdiri seketika, serba salah. Wajahnya jelas menampakkan rasa bersalah. 

“Kejora,” suaranya perlahan. “Aku minta maaf. Aku akui, aku tak fikir perasaan kau semasa rakam kejadian tu. Aku akan berhati-hati lain kali.”

Kejora memalingkan wajah, menatap dinding. Tiada sepatah kata keluar dari mulutnya. Dia sebenarnya tidak tahu bagaimana hendak menghadapi hal ini. Marah, malu dan takut. Semua ada. 

Firdaus menambah lagi, “Aku tak berniat nak malukan kau. Aku cuma… aku perlukan bukti untuk tunjukkan kepada kau yang apa yang berlaku pada kau semasa kau diluar sedar.”

Suasana sepi kembali menyelubungi bilik itu. Hanya kedengaran bunyi kipas siling berputar perlahan. Akhirnya Kejora bersuara, “Video tu… kau masih simpan?”

“Tak. Aku dah buang. Tiada dalam mana-mana simpanan.”

Kejora diam lagi. Bukan dia tidak percaya, dia cuma… tak pasti apa yang perlu dilakukan. Firdaus kini duduk di hadapannya. 

“Aku tahu bukan senang nak terima kenyataan tentang ini tapi beri aku peluang untuk perbaiki kesalahan aku.”

Kejora tunduk, menarik nafas panjang. Air matanya sudah kering, dan dia sudah kehabisan tenaga untuk menangis lagi. Lagipun apa gunanya menangis? Masalah takkan selesai jika dia terus menangis. 

“Aku cuma takut,” suaranya perlahan.  “Aku takut dengan diri sendiri. Selama ini aku fikir, kalau aku dapat kawal diri daripada melakukan sesuatu yang melanggar peraturan, aku akan selamat. Aku tak pernah terfikir… apa yang akan jadi bila aku hilang separuh sedar.”

Firdaus memandangnya. “Hey, kau masih ada aku dan ayah kau. Dia tak ada di sisi bukan bermakna dia lepas tangan. Kejadian semalam adalah sesuatu yang tak dapat dielakkan. Tapi kita boleh cegah ia daripada berlaku lagi.”

“Macam mana?”

“Berlatih untuk kawal naluri harimau kau.”

Kejora memandang Firdaus separuh yakin. “Tapi kau cuma manusia…”

Firdaus tersenyum. “Itu lagi baik sebab kau perlu hidup dalam kalangan manusia.”

Kejora membalas dengan sinis, namun ada riak nakal pada kata-katanya, “Kau tak takut aku baham kau? Panggang daging kau medium rare? Rebus tulang kau buat sup? Dan gantung tengkorak kau depan Istana Jati?”

Firdaus ketawa kecil “Aku tak ada ibu dan ayah lagi. Kalau aku mati, tak ada siapa yang akan tangisi kehilangan aku,” ujarnya tenang, seolah bersembang kosong. 

Kejora terdiam. Dia hilang kata-kata. Saat itu, perutnya berbunyi perlahan, seperti menyedarkan mereka kembali pada dunia nyata. Firdaus bangun, menghulurkan tangan. 

“Jom makan.”

Kejora menepis tangan Firdaus dengan lembut. Dia bangkit sendiri, melangkah ke meja di mana dulang makanan diletakkan. Sepotong daging disuap ke mulut. Dikunyah perlahan dan untuk pertama kali hari itu, dia merasai makanan yang menyelerakan. 

“Mmm… tak sangka kau pandai masak.”

Firdaus membalas dengan senyuman tipis, penuh bangga yang cuba disembunyikan. 

“Tapi… macam mana kau masak kalau aku dah musnahkan dapur kau?”

Firdaus menjawab selamba, “Kau fikir rumah ni ada satu dapur saja?”

Kejora menjeling, separuh kagum separuh geram. Ya, bagaimana dia boleh lupa. Tempat dia berteduh ini bukan rumah biasa. Ia sebuah istana. Setiap pintu menyimpan rahsia, setiap ruang punya cerita. 

“Kau makan dulu. Aku nak mandi,” ujar Firdaus sambil menghidu bajunya sendiri. 

Kejora tergelak kecil. Ya, Firdaus memang clean freak. 

Tanpa berlengah, Firdaus melangkah keluar dan menutup pintu perlahan. Dia menarik nafas lega. Lega dia dapat kawal situasi. Dia melangkah ke biliknya dan bersiap sedia hendak mandi. Tapi belum sempat dia menuju ke kamar mandi, satu lagi telefon pintarnya menyala. 

Satu mesej muncul. Daripada ayah Kejora. 

~ Ada gosip dalam kalangan beberapa keluarga tapi setakat ini semuanya terkawal. Keep her in the circle.

Firdaus menatap skrin beberapa saat, wajahnya berubah tegang. Jarinya pantas menaip satu perkataan.  

‘Ok.’ 

Selepas itu, mesej tersebut segera dipadam. 

Ulasan