PERLAHAN-LAHAN Nazwan mencelik matanya. Siling bilik tidurnya di pandang kabur. Pandangannya juga seperti melayang-layang. Pada masa yang sama, sakit kepalanya datang menerjah lagi. Lantas dia memejamkan matanya. Setelah peningnya semakin berkurangan, barulah dia kembali mencelik matanya semula. Selepas seketika, pandangannya mula dapat fokus. Dia mengalihkan pandangannya ke arah sofa panjang yang terletak tidak jauh dari katilnya. Kelihatan tubuh Luqman sedang berbaring di situ. Dia tertanya-tanya, sudah berapa lama dia tertidur. Handsetnya yang terletak bersebelahan dengan katilnya dipandang. Nazwan mengerah semua tenaga yang dia ada untuk bangun mencapai handsetnya. Setelah dapat barang yang diinginkan, dia kembali berbaring di katil.