Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR: BAB 18

 


Seperti yang telah dijanjikan, Firdaus kembali menemui Zambri di tempat yang sama. Sebelum dia turun dari kereta, Lebah sempat beberapa kali berpesan agar berhati-hati. 

“Kalau rasa sesuatu tak kena, terus keluar,” katanya tegas. 

Firdaus hanya mengangguk. Dia menutup pintu dan melangkah masuk ke bangunan hotel lama itu. Walaupun hotel itu nampak usang tapi ia sudah berpuluh tahun beroperasi dan masih menjadi pilihan utama pengunjung yang inginkan suasana retro dan klasik. 

Namun, kurang daripada dua puluh minit kemudian, Firdaus masuk semula ke dalam kereta. Lebah yang baru setengah melahap ayam goreng, juga terkejut. 

“Cepatnya. Apa dah berlaku?” tanya Lebah sebaik Firdaus masuk ke tempat duduk penumpang di belakang. 

Firdaus menanggalkan jaket hitamnya. “Zambri minta maaf atas kejadian hari tu. Dan hari ni dia cuma ambil sedikit saja. Tak sampai penuh pun beg tu.”

Lebah berkerut dahi. “Pelik.”

“Ya,” balas Firdaus perlahan, matanya memandang ke luar jendela. “Memang pelik.”

“Apa pun, yang penting kau selamat,” ujar Lebah akhirnya. “Jom, kau nak pergi makan?”

Firdaus menggeleng. Dia masih terasa letih walaupun Zambri hanya mengambil sedikit darahnya. “Tak. Aku letih. Terus balik.”

Lebah tak membantah. Dia menghidupkan enjin sepenuhnya dan menekan pedal. Kereta itu meluncur perlahan meninggalkan kawasan hotel, membawa bersama soalan misteri yang masih belum terjawab. 

***


Selesai mandi dan menyegarkan diri, Firdaus mencapai telefon bimbitnya yang terletak di atas meja. Ada satu mesej belum dibaca, daripada Lydia. Keningnya sedikit berkerut. Jarang benar gadis itu menghubunginya tanpa sebab. 

Mesej itu disertakan dengan satu tangkap layar dan pautan ke laman Instagram. Firdaus menekan pautan itu perlahan-lahan, dan halaman yang terpapar membuatkan dadanya terasa sedikit lapang. Akaun milik Kejora. 

Kejora tidak pernah mengemas kini apa-apa sejak kejadian malam berdarah itu. Namun kali ini, beberapa keping gambar baharu muncul di susun atur dengan cantik. Kesemuanya gambar-gambar Kejora ketika mendaki gunung tempoh hari. 

Firdaus meneliti satu demi satu. Semuanya gambar yang ditangkapnya. Hanya memaparkan muka Kejora dengan berlatar belakangkan keindahan air terjun. Ada juga gambar fenomena crown shyness.

Senyumannya terukir lama. Kenangan itu seolah-olah berputar semula. Itulah momen yang paling indah sepanjang dia mengenali Kejora. Tanpa berfikir panjang, dia menekan ikon hati, bagai meninggalkan memori itu di sana. 

Telefon diletak kembali di atas meja. Firdaus kembali ke katil. Penatnya masih terasa, biarpun hari ini Zambri hanya mengambil sedikit darahnya daripada biasa. Mungkin tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya. 

Mujur Kejora sudah meninggalkan Istana Jati. Jika Kejora melihat keadaannya begini lagi, dia pasti akan disoal siasat seperti dia telah melakukan jenayah berat. 

Letak saja kepala di atas bantal, matanya terasa berat. Dalam fikirannya, masih berlegar pada wajah gadis itu. Pada senyuman yang muncul dalam foto tadi. Tak lama kemudian, dia terlelap, ditemani bayangan Kejora di celah mimpi. 

***

Beribu batu dari Istana Jati, Kejora mencapai telefon pintarnya. Jari halusnya menatal perlahan di skrin sambil tersenyum kecil. Notifikasi berderetan muncul, tanda gambar yang baru dimuat naiknya di Instagram menarik perhatian ramai. 

Panorama gunung yang diselimuti kabus, pelangi yang melengkung di air terjun, dan fenomena crown shyness yang jarang disaksikan… semua itu membuat pengikutnya terpukau. 

Ruangan komen penuh dengan pertanyaan. 

“Cantiknya tempat ni, kat mana ni?”

“Please share lokasi, Kejora!”

“Macam di alam fantasi 😍”

Kejora membaca satu per satu, senyum yang tadi kecil kini makin mekar. Sudah lama dia tidak memuat naik apa-apa di akaun itu. Biasanya, setiap kali dia berkongsi gambar, komen negatif akan datang tanpa diundang, seolah-olah dunia tidak puas hati dengannya. Tapi kali ini… berbeza. Aura positif menyelubungi ruang komen. 

Malah, ada juga yang meninggalkan komen maaf: 

“Dulu aku salah faham dengan dia…”

“Maaf la sebab pernah komen tak elok sebelum ni…”

Kejora menarik nafas perlahan. Dia tahu perubahan ini mula berlaku selepas seorang penumpang kapal yang terselamat membuat pengakuan, menceritakan semula detik cemas bagaimana dia dan anak dalam kandungan diselamatk oleh seorang gadis yang tidak lain tidak bukan, Kejora sendiri. 

Dia tidak tahu bagaimana wanita itu dapat mengenal pasti itu adalah dirinya. Mungkin melalui laman sosial begini. Tak ada yang mustahil di zaman sedia moden ini. Malah mamanya juga dapat tahu berita ini dari laman sosial. 

Sejak itu, reputasi Kejora melonjak naik. Pengikutnya yang kebanyakan hanya ingin melihat dan meninggalkan komen yang menyakitkan hati, mula berubah pandangan. Mereka melihat sisi sebenar Kejora. Kali ini mereka membanjiri ruangan komen dengan pujian dan sokongan: 

“Aku tak faham kenapa ramai benci dia. Dia cuma post gambar je kot.”

“Dia tak pernah komen atau bagi kapsyen yang menyakitkan hati, okey.”

“Lama dah aku follow dia tapi aku tak pernah nampak dia cari pasal dengan orang lain.”

“Dia selamatkan wanita mengandung dengan anaknya, tapi tak pernah la pulak aku tengok dia puji diri sendiri.”

“Ya. Aku ingat post pertama dia selepas kejadian tu mesti nak cerita pengalaman dia tapi yang dia post gambar hiking. Good job.”

“Orang lain dah viral sebab benda kecil, dia yang buat benda besar ni senyap je. Respect!”

Namun, Kejora tidak mahu meneruskan bacaan. Dadanya bergetar kecil, trauma lama masih ada. Dia tak mahu mengingat kembali malam berdarah itu. Biarlah ia kekal sebagai memori duka. 

Di saat dia hampir menutup aplikasi itu, dia ternampak satu nama yang menarik perhatiannya. 

Kayu_jati. 

Kejora terpaku. Nama itu… serta-merta mengingatkannya kepada Firdaus. Hatinya terdetak perlahan, seolah-olah deria keenamnya membisik sesuatu yang familiar. 

Tanpa berfikir panjang, dia menekan nama akaun itu. Laman profil terbuka dan Kejora tidak dapat menahan senyum yang makin melebar. 

Akaun itu dipenuhi gambar-gambar kayu. Ada kayu balak, dahan reput, tunggul tua, papan usang, malah sekeping ranting kecil yang seolah diambil dengan penuh teliti. Namun yang paling menghiburkan ialah kapsyennya.

Ringkas, lucu dan penuh keaslian: 

“Di belakang rumah.”

“Di tepi kolam.”

“Di tepi longkang.”

“Di tengah jalan raya. Dah pandai nak ganggu lalu lintas 😒 ”

“Sebenarnya ni bukan kayu tapi nampak macam kayu.”

Kejora menekup mulut, menahan tawa. 

Hanya Firdaus yang boleh menghasilkan sesuatu yang kelakar dalam cara yang sederhana begini. Walaupun tanpa wajahnya, tanpa pengenalan diri, dia tahu, nalurinya tidak mungkin silap. 

Dan dia teringat kata-kata Harris suatu ketika dulu…, “Firdaus tu tak ada media sosial langsung.”

Namun kini, Kejora tersenyum sinis. Tak ada? Mustahil. Bodyguard macam Firdaus perlukan media sosial untuk memerhatinya dari jauh. 

Kejora menggulir semula ke atas, melihat bahagian bio akaun itu: 

The King of Kayu. Kayu hidup lama!

Sah, memang Firdaus. 

Namun, jari Kejora yang mahu menekan butang Follow tiba-tiba terhenti. Dia teringat status dirinya, pelajar paling popular, ikon universiti paling dibenci. Dia sering menjadi bahan bualan di universiti. Setiap tindakannya diperhatikan. 

Jika dia menekan Follow pada akuan misteri itu, pasti pengikutnya akan perasan. 

Dan seperti biasa, siasatan besar-besaran akan bermula;

Siapa kayu_jati? 

Kenapa Kejora follow akaun kayu? 

Apa hubungan mereka? 

Tajuk sensasi baru akan muncul dalam masa yang singkat. 

Kejora mengeluh. Dia bersandar di kepala katil, memandang siling. Dalam senarai akaun yang dia ikut, hanya ada lima; akaun rasmi universiti, tiga akaun sekolah lama, dan satu akaun pecinta kucing. 

Sebelum ini, ada pernah sekali dia follow akaun Harris tapi berakhir dengan pergaduhan. Dia masih ingat lagi pertengkaran kecil mereka. Harris menegurnya kerana jumlah trafik ke akaunnya meningkat mendadak sebaik Kejora menekan “Follow”. Banyak pelajar perempuan mula menyerbu ruang komennya, malah ada yang memuat naik tangkapan skrin dengan kapsyen;

“Harris yang Kejora follow!”

Harris tidak selesa. Akhirnya Kejora terpaksa unfollow Harris. Selepas itu, Harris menukar akaunnya menjadi private, dan sejak itu juga mereka jarang berbual tentang hal ini. 

Kejora menatap semula akaun Kayu_jati di skrin. Dia berfikir sejenak dan akhirnya membuat keputusan untuk menelefon Firdaus dahulu. Namun, hampir 10 deringan, Firdaus tidak menjawab panggilannya. 

Kejora mendengus. Geram.   

“Tak nak jawab panggilan aku?” bisiknya perlahan, lalu menekan butang Follow dengan tekad. “Baiklah. Biar dia rasa macam mana diserbu trafik tinggi!”

Seperti yang Kejora jangka, tak sampai sejam selepas dia menekan “Follow”, ramai followernya mendapat status sama di ruang aktiviti: 

Kejora telah mula mengikuti @Kayu_jati. 

Serentak, ramai yang terkejut. 

Ruang sosial jadi riuh. Dalam masa satu jam, akaun misteri itu yang asalnya hanya ada tiga orang pengikut kini melonjak ke 1.2 ribu. 

Bukan sahaja follower makin melimpah tetapi juga bahagian komennya turut melimpah dengan pelbagai komen dan soalan:

“Datang sebab Kejora follow 😅”

“Apa hubungan awak dengan Kejora?”

“Akaun ni misteri betul… aesthetic pula tu.”

“Akaun ni awalnya ada tiga follower je, random giler.”

“Kejora nak buat kolaborasi dengan akaun kayu ni ke?”

Kejora tersenyum puas sambil bersilang tangan. 

“Serves you right, Firdaus,” bisiknya perlahan, puas hatinya. 

Sesekali dia patut buat hidup Firdaus tunggang langgang sikit. Macam Lebah kata hari tu, sebelum ini mereka kebosanan melindunginya dari jauh, tapi selepas kejadian malam berdarah itu, hidup mereka jadi tunggang langgang.

Dan kali ini, biarlah Firdaus pula yang merasai sedikit kekalutan itu. 

Rasakan!


Ulasan