Kejora hanya menguis-nguis daging bakar madu yang terhidang di hadapannya. Aroma manis dan hangusnya biasanya cukup untuk membuatkan perutnya berkeroncong, namun kali ini seleranya hilang entah ke mana.
Lebah yang memerhati dari seberang meja hanya mampu melepaskan keluhan kecil.
“Aku dah masak guna bahan-bahan yang dia selalu guna. Ikut cara masak yang dia pernah ajar tapi ada orang masih tak berselera nak makan,” rungut Lebah sambil menjeling nakal.
Kejora memandangnya tajam. Jelas memberi amaran bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk bergurau dengannya.
“Okey, okey. Aku tahu kau risaukan dia keadaan dia. Jangan risau la, dia dah besar. Selama ni pun dia pandai jaga diri. Dia mungkin tengah terbongkang tidur di biliknya tu,” tambah Lebah.
Kejora mengeluh perlahan lalu menyandarkan tubuh ke kerusi.
“Salah ke aku kata aku cuma tak nak jumpa dia buat sementara waktu? Dia punya merajuk sampai seminggu tak habis.”
“Apa masalahnya sampai kau merajuk dengan dia?” tanya Lebah. Dia juga ingin tahu tiba-tiba Firdaus dan Kejora tiba-tiba berhenti berjumpa.
“Aku bukan betul-betul merajuk tapi aku nak dia berehat je… selepas aku…”
“Selepas kau… apa?” Lebah bersemangat ingin tahu.
Kejora akhirnya bercerita tentang pertemuan terakhirnya dengan Firdaus, apa yang berlaku, kenapa dia mahu Firdaus berehat dan apa yang merisaukannya.
Semakin panjang cerita itu, semakin pudar semangat ingin tahu pada wajah Lebah. Dia benar-benar menyangka ada sesuatu yang lebih… atau menarik antara mereka.
“Kenapa kau buat muka macam tu?” Kejora mendengus geram.
“Okey, okey,” Lebah mengalah cepat-cepat. Dia tak ada pengalaman mengawal anak harimau, jadi dia kena berhati-hati. “Macam ni la, aku boleh tolong kau telefon dia dan tanya khabar dia kalau kau nak.”
“Kau ingat aku terdesak sangat ke?” Kejora sekali lagi mendengus marah.
“Ala, janganlah marah. Tak pasal-pasal orang sekeliling anggap aku buli kau,” balas Lebah yang mula perasan ada mata-mata sedang memandang ke arah mereka.
Kejora turut menjeling sekeliling. Dia juga perasan ada beberapa pasang mata sedang mencuri pandang ke arahnya. Kemudian dia teringat, sejak akhir-akhir ini, dia sudah banyak kali terdengar gosip tentang dirinya, kononnnya dia ada teman lelaki baru.
Dia langsung tak faham dari mana cerita itu muncul. Dia dan Firdaus hanya berjumpa waktu malam. Tak mungkin ada orang mengekori mereka sampai ke dalam hutan. Dan kalau ada sekalipun, dia pasti sudah mengesannya.
“Sudahlah, aku nak balik bilik, nak sambung tidur,” katanya seraya bangun.
Jam hampir pukul 9 malam. Biasanya waktu ini dia sudah bersiap sedia untuk bertemu dengan Firdaus di dalam hutan. Tapi kali ini dia tak berminat untuk lakukan apa-apa. Dia hanya mahu tidur.
“Hei, kau tak makan lagi.”
“Tak ada selera!”
“Harap-harap tak ada yang jadi mangsa baham dia lepas ni,” ujar Lebah perlahan.
“Aku dengar tu!” sahut Kejora dari jauh tanpa menoleh.
“Opss… sorry,” balas Lebah cepat-cepat.
Baru Kejora pergi, Lebah mendapat panggilan daripada Firdaus. Dia segera menjawabnya.
“Bro, kau patut call aku tadi. Kejora baru je balik,” kata Lebah.
“Esok pagi… bawa aku jumpa Zambri,” suara Firdaus kedengaran serak, hampir tenggelam dalam nafasnya yang berat.
“Tengok la kau, suara pun macam orang tercekik ikan, dah gila ke nak jumpa dia dalam keadaan kau macam tu?” Lebah membantah tanpa ragu.
“Pergi periksa mesej aku dulu…”
“Hah?” Lebah segera membuka aplikasi mesej.
Ada satu notifikasi belum dibaca daripada Firdaus, entah bila dihantar. Tiada teks, cuma gambar. Gambar dia dan Kejora bersembang beberapa minit tadi. Bukan satu tapi lebih dua puluh keping dari sudut berbeza.
“Woo… mana kau dapat?” Lebah bertanya sambil memerhati sekeliling. Kafeteria penuh sesak, mustahil untuk meneka siapa yang merakam mereka.
“Zambri.”
Lebah mengeluh kecil. “Dia tahu je timing yang sesuai… aku rasa dia sengaja.”
“Sengaja atau tak, itu tak penting,” balas Firdaus tegas meskipun suaranya lemah. “Aku tak nak dia ganggu Kejora.”
Lebah menghela nafas panjang. “Okey, kau rehat betul-betul malam ni. Aku akan aturkan untuk esok dan report kepada Tuan Jeneral juga.”
“Mmm…” Hanya itu jawapan daripada Firdaus sebelum memutuskan talian.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.