“Wah…
cantiknya!” ujar Arissa dengan begitu gembira.
Dia
terpesona melihat sehelai baju pengantin yang diperagakan di hadapan
cermin pameran sebuah butik pengantin yang dilaluinya. Baju kurung
moden itu tampak begitu menyerlah dengan manik-manik yang dijahit
kemas cantik. Sesekali Arissa melihat baju itu berkilauan apabila
dipanah cahaya. Umpama berlian berkilauan.
Itulah
baju pengantin idamannya. Dalam diam, dia berharap agar suatu hari
nanti dia dapat menyarung baju itu di hari pernikahannya.
“Tapi,
apa salahnya cuba sekarang!” Entah daripada mana idea gila itu
datang.
Dalam
sekelip mata sahaja, baju pengantin itu sudah tersarung pada
tubuhnya. Dia tersenyum lebar sambil melihat cermin yang mempamerkan
tubuhnya. Tiada apa yang perlu diucapkan. Dia puas hati dengan apa
yang dilihatnya.
“Rasa
macam nak nikah sekarang je,” ujarnya sedikit kecewa. “Alangkah
seronoknya kalau Zakri melamar aku sekarang,” tambahnya lagi.
“Arissa!”
Panggil satu suara. Suara yang tidak asing lagi dalam hidup Arissa.
Lantas
itu, Arissa segera berpaling untuk memastikan telinganya tidak
tersalah dengar. Dia sedikit terkejut apabila melihat seorang gadis
kecil molek yang bertudung litup muncul dengan tiba-tiba.
“Sarah,
apa kau buat kat sini?” tanya Arissa teramat mengenali gadis itu.
Bagaiamanapun
dia berasa pelik apabila melihat Sarah turut berada di situ. Lagi
pelik apabila dia melihat Sarah turut menyarung baju kebaya putih.
Dia tahu Sarah memang suka baju kebaya tapi dia tidak pernah melihat
Sarah memakai baju kebaya yang cantik umpama pengapit pengantin.
“Apa
kau tunggu lagi? Tok kadi dah tunggu lama!” Sarah mula meradang.
“Tok
kadi?” Arissa mengerut dahi. “Hah, aku lupa! Hari ni aku hari
nikah aku dengan Zakri!” Arissa mula panik. “Macam mana? Macam
mana ni? Aku nak kahwin!”
Tiba-tiba
datang sebuah kereta berhenti di hadapan mereka berdua. Cermin kereta
di bahagian pemandu diturunkan. Sekali lagi Arissa terkejut apabila
melihat kelibat seorang gadis yang juga rakannya di dalam kereta itu.
“Natasya?”
Dia memandang Natasya kehairanan.
“Arissa!
Cepat naik! Tok kadi dah lama tunggu kau,” ujar Natasya.
Tanpa
berfikir panjang lagi, Arissa dan Sarah terus melangkah masuk ke
dalam kereta. Namun, baru sahaja dia duduk dalam kereta itu, Arissa
teringat akan sesuatu.
“Nanti!”
jerit Arissa sebelum Natasya mula memandu. “Sejak bila kau tahu
pandu kereta ni?”
“Baru
hari ni,” jawab Natasya sambil mengenyit mata.
“Apa?
Tak nak! Aku nak naik teksi!” Arissa cuba membuka pintu kereta
tetapi Natasya pantas menguncinya.
“Sorry
Arissa. Kita kena bertolak sekarang!” jerit Natasya sambil menekan
pedal minyak sehabis-habisnya.
“Tidak!!!”
Arissa menjerit sekuat hati tatkala kereta yang dipandu Natasya
bergerak laju ke hadapan.
“Diam.
Tok kadi nak nikahkan kau tu,” tegur Sarah tiba-tiba di sebelah.
“Hah?”
Arissa melihat kiri kanannya. Ruang tamu rumahnya penuh dengan orang
ramai dan menyedari dia menjadi perhatian mereka. “Huh, mimpi,”
keluh Arissa menghela nafas lega.
Dari
tempat dia duduk, dia dapat melihat dua orang lelaki yang saling
duduk bertentangan. Salah seorangnya berpakaian serba putih,
berjanggut putih, berserban putih. Tidak payah diteka. Dia sudah tahu
itulah orang yang popular dengan gelaran tok kadi.
Di
hadapan tok kadi, dia dapat melihat bakal suaminya pada masa hadapan.
Namun, dia tidak dapat fokus muka lelaki itu tapi dia tahu itulah
Zakri, lelaki yang dicintainya. Dia menunduk malu tatkala bakal
suaminya berpaling memandang ke arahnya.
Tapi,
kenapa aku rasa lain macam saja? Hati Arissa bertanya.
Tidak
sempat dia hendak melayan hatinya, dia mendengar suara tok kadi
bersuara. Arissa dapat mendengar dengan jelas kata-kata sakti yang
dilafazkan oleh tok kadi itu.
“Saya
nikahkan akan dikau dengan Nur Arissa binti Aris sekali dengan mas
kahwinya, RM80 tunai.”
“Saya
terima nikah….”
“Nanti!”
jerit Arissa memecah suasana sekali gus menganggu proses pernikahan
itu. Arissa tidak pedulikan suara-suara kecil yang berbisik di
sekelilingnya. Dia terus berjalan bangun menghampiri tok kadi dan
bakal suaminya itu.
“Nazwan
Syah! Apa kau buat ni?!” jeritnya yang terkejut apabila menyedari
bakal suaminya bukan Zakri tetapi kekasih Natasya.
“Akad
nikahlah. Kitakan nak kahwin,” jawab Nazwan selamba.
“Tak!
Tak! Kau bukan bakal suami aku!” Dia menarik Nazwan sejauh-jauhnya.
“Aku sepatutnya berkahwin dengan Zakri bukan dengan kau! Aku takkan
benarkan kau berkahwin dengan aku walaupun dalam mimpi!”
“Ala,
dalam mimpi aje pun!” Nazwan cuba mara ke hadapan lagi.
“Tidak!
Keluar kau dari mimpi aku!” Dia terus menolak Nazwan ke gaung yang
dalam. “Huh, selesai. Zakri sayang, kita boleh nikah sekarang!”
“Tidak
semudah itu,” ujar satu suara. Tiba-tiba dia terasa kakinya
ditangkap oleh seseorang. Dia melihat bawah. Rupa-rupanya Nazwan
masih tidak berputus asa.
“Lepaskan!”
jeritnya.
“Dah
lupa janji kita. If I jump, you pun kena jump,” ujar Nazwan sambil
memeluk Arissa dan melompat ke dalam gaung yang hitam dan gelap
bersama Arissa.
“Tidak!!!”
jerit Arissa hampir terkeluar anak tekak.
Arissa
tersentak lantas terjaga dari mimpi yang mengerikan tadi. Tubuhnya
terus terbangun dari pembaringan. Dadanya berombak tinggi. Nafasnya
jelas kedengaran. Malah, tubuhnya dibasihi peluh seperti baru sahaja
berlari satu kilometer tadi. Dia memandang sekeliling. Kini, dia
berada di atas katil di biliknya. Menyedari keadaan itu, dia menghela
nafas lega. Mujurlah...
“Nasib
baik mimpi,” keluhnya yang masih lagi terbayang-bayang mimpinya
sebentar tadi. Dia terdiam sebentar. Berfikir. Kemudian, tanpa
berfikir panjang lagi dia mencapai handsetnya dan mendail nombor
telefon seseorang.
Nazwan
terjaga daripada tidurnya apabila terdengar telefon bimbitnya
berdering. Dengan mata separuh terbuka, dia melihat jam kecil yang
terletak di meja sebelah katilnya. Pukul 3.20 pagi dan telefon
bimbitnya masih lagi berbunyi. Dia mengambil telefon bimbitnya. Nama
Arissa tertera pada skrin telefonnya.
“Pukul
tiga pagi Arissa,” ujar Nazwan apabila menjawab panggilan itu.
“Ya.
Pukul tiga pagi. Aku tahu tengok jam dan kalau aku tak tahu pun aku
tetap nak telefon kau sekarang. Aku tak puas hati. Kenapa kau berani
masuk dalam mimpi aku dan jadi bakal suami aku. Kalau aku tak perasan
tadi, kita hampir berkahwin dalam mimpi tahu tak!” suara tidak puas
hati Arissa jelas kedengaran.
“Apa?
Aku buat apa?” soal Nazwan terpaksa bertanya lagi kerana otaknya
tidak mampu memproses maklumat buat masa ini.
“Kau
hampir jadi suami aku dalam mimpi!”
“Arissa,
semua tu hanya mimpi….”
“Ya.
Semuanya hanya mimpi. Kau pernah dengar tak orang kata, kadang-kadang
apa yang kita mimpi itu menunjukkan masa depan kita? Aku dah fikirkan
masa depan aku. Seseorang yang patut jadi suami aku adalah Zakri dan
bukan kau. Sepatutnya aku mimpikan Zakri jadi bakal suami aku dalam
mimpi tu dan tiba-tiba kau pula ambil tempat Zakri. Nasib baik aku
berjaya hentikan pernikahan tu…,” kata-kata Arissa terhenti
disitu apabila Nazwan bertindak menekan butang merah. Tidak cukup itu
dia menarik bateri handsetnya sebelum diletak di tepi.
Tanpa
mempedulikan apa yang Arissa repekkan tadi, dia terus menarik
selimutnya dan menyambung tidurnya kembali...
Best la citer ni... Arissa tu mcm kelakar je org dia...