“Ah, perfect!” ujar Arissa
yang berpuas hati dengan hasil kerjanya. Dia memandang pelamin
perkahwinan yang direkanya sendiri. Warna putih gabungan warna merah
jambu menjadi pilihan hatinya. Sama seperti pelamin idamannya tetapi,
ini bukan untuk perkahwinannya.
Dia mengeluh. Entah bila lagi
dia boleh dapat memiliki pelamin sendiri. Bukan untuk perkahwinan
orang lain tapi untuk perkahwinan dia sendiri. Cemburu betul bila
terpaksa lihat orang lain bahagia dengan pasangan masing-masing.
Tiba-tiba lampu yang menerangi
bilik itu terpadam. Dia langsung tidak nampak apa-apa. Suasana di
sekelilingnya gelap sehingga satu benda pun dia tidak nampak.
“Siapa yang tutup lampu ni?”
marah Arissa.
Senyap. Langsung tiada yang
menyahut soalannya tadi. Bukan sahaja suara orang tidak kedengaran
malah tiada satu pun bunyi kedengaran. Pelik. Setahunya, ada beberapa
orang sedang menyusun kerusi dan meja di situ tadi tapi tiba-tiba
mereka macam lesap.
“Ada sesiapa di sini tak?”
tanya Arissa.
Tiada balasan. Suasana masih
sunyi seperti tadi.
“Okey, aku dah takut sekarang.
Jadi, kau orang bolehlah buka lampu semula sebab hari ini bukan Hari
Menyelamat Bumi Sedunia dengan cara memadamkan lampu. Jadi, buka
lampu sekarang!” arah Arissa.
Serentak itu satu cahaya muncul
menyuluh ke arahnya sekali gus membuatkan Arissa terkejut. Dia
mengeluh.
“Terima kasih kerana ikut
arahan aku. Tapi, aku tak minta kau orang buka lampu dengan menyuluh
ke arah aku sebab aku tak pandai menyanyi atau buat persembahan
badut. Buka semua lampu sekarang!” arah Arissa lagi.
Satu lagi lampu dibuka. Kali ini
lampu yang sama tapi disuluh ke arah bertentangan dengannya. Sekali
lagi Arissa mengeluh. Memang orang yang menjaga penyata lampu ini
sengaja hendak kenakan dia. Kalau dia dapat orang itu memang lumat
dikerjakannya!
“Arissa,” panggil seseorang.
Arissa memandang sekeliling.
Tiada sesiapa yang dia nampak. Semuanya gelap-gelita.
“Arissa,” panggil suara itu
lagi.
Bulu roma Arissa mula meremang
tinggi. Seram sejuk seluruh badannya. Dia masih memandang kiri dan
kanan tapi dia tidak nampak walau seorang pun manusia di
sekelilingnya. Pelik. Kemudian, dia memandang atas. Mana tahu, orang
yang memanggilnya sedang bertembangan di atas kerana tiada kaki untuk
mendarat. Juga tiada. Lalu dia memandang ke bawah.
“Ah!” terkejut Arissa
apabila melihat seorang lelaki melutut di hadapannya. “Kau siapa?”
“Arissa, will you marry me?”
ujar lelaki yang tidak dikenali itu sambil memegang sebentuk cincin
berlian yang bersilauan.
“Hah?” Dia terkejut
seketika. Hanya seketika selepas mendapati betapa romantiknya lelaki
itu mengajaknya berkahwin. Dia mengamati muka lelaki itu. Wajah yang
sangat biasa dilihat tapi dia tidak pasti di mana.
“Will you marry me?” tanya
lelaki itu lagi.
“Err… tentulah!” pantas
Arissa bersetuju. Lantas juga dia menghulurkan tangannya untuk
menerima cincin itu.
“Cincin tu… cincin apa?”
tanya lelaki itu terkejut apabila melihat ada satu cincin di jarinya.
“Hah?” Baru Arissa perasan.
Cincin tunangnya dahulu masih boleh belum ditinggalkan!
“Jadi, awak dah bertunang?”
tanya lelaki nampak kecewa.
“Err… tak. Ini salah faham.
Saya boleh terangkan. Memang saya dah bertunang tapi…” Arissa
cuba menerangkan hal yang sebenar tetapi semakin dia cuba terangkan,
lelaki itu semakin jauh daripadanya dan hilang dari pandangannya.
Arissa tersentak dan terus
terjaga dari mimpinya. Berpeluh-peluh tubuh badannya ketika dia
sedar. Umpama macam mimpi hantu kejarnya pun ada. Tapi itu pun
dikategorikan mimpi yang ngeri.
Dia mengeluh. Cincin tunang di
jarinya dipandang. Sejak dua tahun ini, sudah pelbagai usaha untuk
keluarkan cincin itu dari jarinya tetapi semuanya tidak berjaya.
Jalan terakhir, dia perlu kuruskan badan. Sudah hampir setahun lebih
dia diet tapi masih lagi tidak berjaya. Cincin itu masih lagi degil
dan tidak mahu tinggalkan jarinya.
“Kalau macam ni, sampai bila
pun tak ada orang berani nak melamar aku,” keluhnya sambil
mengingati kembali mimpi tadi. “Tapi, orang tu… macam kenal. Ah,
bukan ke itu Gary yang dalam rancangan Running Man? Apa hal pula dia
masuk mimpi aku? Dan dia reti cakap Melayu?” berkerut dahi Arissa
memikirkan kaitan Gary dengan hidupnya.
“Ah, sangat tak relevan!”
***
“Ah, mimpi malam tadi memang
menakutkan,” keluh Arissa sambil menguap kepenatan. Tidurnya jadi
tidak lena disebabkan mimpi ngeri malam tadi. Semuanya kerana cincin
tunang dijarinya itu.
“Wahai cincin ajaib, kenapalah
kau masih berada di jari aku? Tuan kau dah lama tinggalkan aku.
Sepatutnya, bila tuan kau dah tinggalkan aku, tak ada gunanya lagi
kau tinggal di jari akukan? Dan lagi, bila kau ada dekat jari aku,
dah tentu-tentulah tiada lelaki nak kahwin dengan aku seumur hidup.
Jadi, apa kata kalau kau tinggalkan jari aku ni?” tanya Arissa
kepada cincin di jari manisnya.
Kemudian dia cuba menarik cincin
itu keluar tetapi tidak berjaya. Sekali lagi dia mengeluh lemah.
Pelik. Mula-mula dia ingat cincin itu tidak dapat ditarik keluar
hanya sebab dia gemuk. Selama setahun lebih dia berusaha untuk
turunkan berat badan. Bila berat badannya sudah susut, cincin itu
masih sukar ditarik keluar.
“Kau memang degil. Sama macam
tuan kau,” ujarnya lagi. “Ah, tiada gunanya bercakap dengan
cincin ajaib yang tak bernyawa. Aku patut fikirkan rancangan
seterusnya. Kalau kuruskan badan tak berjaya nak keluarkan cincin
ni... mungkin aku patut... laksanakan pelan B iaitu... kerat jari
ni...!!”
Sekali lagi dia mengeluh.
“Aku tak segila tu. Ah,
sudahlah. Mimpi hanyalah mainan tidur. Jadi, aku tak perlu jadi gila
macam ni memikirkan pasal mimpi tu. Orang kata, kadangkala mimpi tu
terbalik. Kalau macam tu, mungkin mimpi tu nak beritahu aku yang aku
akan jumpa lelaki yang mencintai aku sepenuh hati? Hah! Tak salah
lagi. Mungkin lelaki tu ada keupayaan menarik cincin ni keluar dari
jari aku? Sama macam cerita dongeng. Ahhh... kalau betullah. Tak
sabarnya nak tunggu seseorang yang dapat tarik cincin ni dari jari
aku!” ujar Arissa melayan dirinya sendiri sehingga dia tidak sedar
yang dia sudah menarik cincin itu dari jari manisnya.
“Eee?” Dia mula perasan
tangan kirinya memegang sebentuk cincin. Berkelip-kelip matanya
memandang cincin di tangannya itu. Entah macam mana pula cincin itu
berada di tangannya.
“Macam pernah tengok,”
katanya sambil mengamati cincin itu. Tidak lama kemudian, dia
teringat sesuatu. Lantas dia melihat jari manisnya. “Tiada,”
ujarnya yang masih tidak percaya dengan apa yang dilihat.
“Ini bermakna... Yes! Aku dah
bebas!” soraknya keseronokkan tanpa mempedulikan orang-orang di
sekelilingnya. Lantak. Biarlah mereka lihat dia melompat-lompat
seperti orang gila. Perasaan ini, hanya dia yang memahaminya.
“Mungkin aku patut potong
rambut dan shopping baju baru. Ubah penampilan dan dapatkan mood baru
supaya dapat bercinta lagi. Ah... lamanya tak bercinta!” tambah
Arissa lagi sambil mengorak langkah. Seingat dia, di hadapan sana ada
sebuah salon rambut.
Baru sahaja beberapa tapak dia
melangkah, tiba-tiba ada seseorang dari belakang merempuhnya. Nasib
baik dia sempat mengimbangi badannya daripada terjatuh tetapi
malangnya pula, sebaik dia dapat mengimbangi badannya, cincin itu
terjatuh dari pegangannya.
“Cincin ajaib...” dia hanya
dapat melihat cincin itu bergolek-golek sebelum jatuh ke dalam
longkang. “Hei!” jeritnya kepada orang yang melanggarnya tadi.
“Sorry!” lelaki yang
melanggarnya tadi hanya mengucapkan maaf dan berlalu pergi dengan
tergesa-gesa.
“Macam tu je?” ujar Arissa
yang tidak puas hati.
Hendak sahaja dia mengejar
lelaki itu tetapi bila difikir kembali, lebih baik dia tumpukan pada
perkara yang penting sekarang. Mengejar orang yang melarikan diri
memang langsung tiada faedah. Tiada gunanya berpaling ke belakang.
Pandang ke hadapan. Sekarang, dia perlu fikirkan bagaimana hendak
mengambil cincin yang terjatuh ke dalam longkang yang tertutup dengan
batu yang berat itu.
“Ah, nasib baik tak ada air
longkang,” ujar Arissa sambil mengintai daripada lubang kecil di
antara penutup longkang itu. Dengan sepenuh tenaga yang ada dia cuba
menarik penutup longkang itu tanpa menghiraukan orang-orang
sekeliling yang melihatnya dengan pandangan yang pelik. Namun,
biarpun dia menggunakan semua tenaganya, dia tetap tidak dapat
menarik batu itu walau seinci pun.
“Sekarang, baru aku rasa macam
nak cari boyfriend yang ada super power macam superman,” ujarnya
sendirian sambil cuba menarik batu itu lagi. Sekali lagi dia tidak
berjaya.
“Cik, cik tak apa-apa ke?”
tanya satu suara tiba-tiba menyapa.
“Kalau awak berjaya ambil
cincin tunang saya dalam lubang longkang ni, saya akan jawab, 'saya
tak apa-apa'. Sekarang, tolong saya cepat,” ujar Arissa tanpa
memandang orang yang bertanya itu.
Tanpa berkata apa-apa, orang itu
segera melutut di hadapan Arissa dan dengan sepenuh tenaga, dia
mengangkat penutup longkang yang berat itu. Selepas melihat orang itu
berjaya mengalihkan sedikit penutup longkang itu, Arissa lantas
menghulurkan tangannya mencapai cincinnya.
“Wah, awak memang hebat.
Terima kasih. Sekarang, saya tak apa-apa,” jawab Arissa sambil
mengukir senyuman.
“Lain kali hati-hati. Bukan ke
cincin tunang tu barang yang penting. Nanti apa pula kata tunang
awak,” ujar lelaki itu sambil meletakkan penutup longkang itu
kembali.
“Bekas tunang,” Arissa
memperbetulkan gelaran itu.
“Oh...,” lelaki itu
kelihatan tidak faham tetapi berbuat faham dengan mengangguk kepala.
“Tak sangka awak masih simpan....”
“Panjang ceritanya. Cincin ni
tersangkut dekat jari saya dekat setahun lebih dan hari ni baru saya
dapat tanggalkan. Itupun selepas saya gertak nak potong jari ni. Tak
sangka, bila kena gertak barulah cincin ni nak keluar dari jari
saya,” ujar Arissa menerangkan secara ringkas.
Lelaki itu mengangguk lagi.
“Ahh, saya lupa. Saya nak ke
salon sekarang dan shopping baju baru. Terima kasih kerana tolong
saya.”
“Nanti!” suara itu
membuatkan kaki Arissa berhenti melangkah.
“Kenapa?” tanya Arissa.
“Saya nak nombor telefon
awak,” ujar lelaki itu sambil mengeluarkan Iphone dari poket
seluarnya.
“Oh ya... macam mana saya
boleh lupa. Dulu, pantang ada lelaki handsome yang saya jumpa pasti
saya akan minta nombor telefon dia. Nampaknya, hidup dengan sumpahan
cincin ajaib ni buat saya lupa nak berinteraksi dengan lelaki,”
ujar Arissa sambil mengambil Iphone lelaki itu. Serentak itu juga dia
menghulurkan handsetnya kepada lelaki itu menandakan dia juga ingin
nombor telefon lelaki itu.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu.
“Nanti!” ujarnya serta-merta
membuatkan lelaki itu kaget.
“Awak minta nombor telefon
saya?”
Perlahan-lahan lelaki itu
mengangguk.
“Okey... bertenang...,” ujar
Arissa sambil mengawal pernafasannya. Dia cuba bertenang dan berfikir
secara rasional. Tapi lagi dia fikir, lagi buatkan dia rasa tidak
stabil. Akhirnya...
“Habislah!!!” Lantas kakinya
memecut laju meninggalkan lelaki itu tanpa memulangkan Iphone di
tangannya itu.
***
“Tadi, aku telefon Nazwan,”
ujar Luqman mula menutur kata.
“Dia sihat?” tanya Sarah.
“Mungkin,” jawab Luqman
sepatah.
“Apa apa-apa berlaku ke?”
“Dia dah break up dengan
Asha,” ujar Luqman.
“Bila?”
“Bulan lepas.”
Sarah menghela nafas panjang.
Berita itu sedikit pun tidak mengejutkannya. Dia tahu sangat dengan
perangai sepupunya itu. Mana cukup dengan seorang lelaki. Kalau boleh
hendak keliling pinggang. Sudah banyak kali dia suruh Luqman beri
amaran kepada Nazwan supaya suruh berhati-hati tapi masing-masing
tidak mahu mendengar nasihatnya. Sekarang, tanggung sendiri.
Nazwan pun satu hal. Dalam
banyak-banyak perempuan di dunia ini, Asha juga yang dia pilih. Waktu
mula-mula mereka isyiharkan mereka pasangan kekasih memang dia
terkejut dengan pilihan Nazwan.
“Jadi, dia nak balik sini?”
tanya Sarah.
“Tak. Dia kata, tak ada sebab
kenapa dia nak balik Malaysia lagi,” ujar Luqman.
“Dia ada tanya tentang
Arissa?” tanya Sarah.
Geleng.
“Jadi, dia betul-betul dah
lupakan Arissa di sini?”
“Rasanya tak. Mungkin dia tak
nak sebut pasal Arissa sebab tak nak Arissa tiba-tiba muncul di
hatinya seperti mana kita sebut pasal Arissa dan Arissa muncul di
depan kita sekarang,” ujar Luqman apabila melihat kelibat Arissa
dari luar lagi berlari masuk ke dalam restorannya.
“Kenapa dengan kau ni?”
tanya Sarah apabila Arissa berhenti di hadapannya dengan nafas
kepenatan. Macam baru sahaja berlari berpuluh-puluh batu sahaja
lagaknya.
“Kau takkan percaya dengan apa
yang dah berlaku tadi,” ujar Arissa mencapai secawan air kosong
yang dihulur oleh Luqman tadi.
“Kalau kau cerita memang aku
akan percaya,” balas Sarah.
“Okey, masa aku tengah
jalan-jalan memikirkan masalah masa depan aku yang akan datang,
tiba-tiba aku dapat tarik cincin ni,” ujar Arissa sambil menarik
keluar cincin di jari manisnya.
“Dah boleh tanggal?” ujar
Sarah seakan tidak percaya.
“Yup. Itupun selepas aku
gertak dia supaya tanggalkan tangan aku atau aku kerat jari aku,”
ujar Arissa acuh tidak acuh. “Tapi, itu bukan cerita utama. Selepas
aku tanggalkan cincin ni, tiba-tiba ada orang yang entah datang dari
dunia mana, rempuh aku dari belakang dan menyebabkan aku terlepas
cincin ni dan jatuh ke dalam longkang. Nasib baiklah longkang tu tak
ada air. Tapi, masih lagi… sangat cis!”
“Kau tak apa-apa?” tanya
Sarah.
“Jangan risaukan aku. Lepas
tu, datang seorang jejaka kacak tolong aku ambilkan cincin ni. Sangat
romantik! Dan lepas tu, ada sesuatu yang luar biasa dia buat sampai
aku terkejut. Cuba teka!”
“Dia sarungkan cincin tu pada
jari kau dan ajak kau kahwin?” teka Luqman.
“Salah. Dia minta nombor
telefon aku!” ujar Arissa dengan gembira sambil melompat-lompat
dengan penuh teruja.
“Hah?” serentak Sarah dan
Luqman bersuara.
“Kenapa kau orang tak
terkejut?”
“Lelaki minta nombor telefon
perempuan bukan satu yang luar biasa,” ujar Luqman.
“Tapi luar biasa bagi aku.
Selama ini tak ada seorang lelaki pun yang berani minta nombor
telefon aku dan dialah orang pertama yang berbuat demikian.”
“Habis tu, peminat-peminat kau
yang datang sini tu tak pernah minta nombor telefon kau?” tanya
Luqman.
“Dia orang tak layan telefon
tapi dia orang layan LINE, Watsupp dan sekutu dengannya,” ujar
Arissa.
“Jadi, kau bagi?” tanya
Sarah pula.
Tiba-tiba Arissa menarik muka
masam SAtu keluhan kedengaran.
“Pada mulanya… sebelum aku
buat sesuatu yang memalukan.”
“Apa kau dah buat?”
“Disebabkan terlalu terkejut
dan teruja, aku bagi handset aku dan dia bagi handset dia untuk kita
saling bertukar nombor telefon tapi malangnya aku terambil telefon
dia…,” ujar Arissa sambil menunjukkan Iphone di tangannya.
“Hah?” Sarah bagaikan tidak
percaya apa yang didengarnya. Ini bukan satu rekaan kerana dia tahu,
itu bukan handset Arissa.
“Tindakan di luar sedar,”
keluh Arissa. Tidak pasal-pasal dia sudah jadi pencuri.
Tiba-tiba Iphone di tangannya
itu berbunyi. Ada satu panggilan masuk. Arissa melihat nombor yang
tertera di skrin Iphone itu. Macam kenal. Dia pernah tengok nombor
telefon itu sebelum ini.
“Wahhh…,” sekali lagi dia
terkejut. “Ini nombor telefon handset aku! Habislah. Habislah! Dia
call!” ujar Arissa meletakkan Iphone di tangannya itu di atas meja.
“Bertenang,” arah Sarah.
“Sarah, kau kena tolong aku.
Beritahu dia, aku tak sengaja. Aku bukannya pencuri!”
Luqman hanya menggeleng. Kalau
tadi restorannya memang sunyi tapi setiap kali Arissa datang, kecoh
jadinya.
***
Arissa menarik muncung. Wajahnya
masam mencuka. Pelik. Baru sebentar tadi dia lihat Arissa berbual
mesra dengan lelaki yang mendapat gelaran Mr. Iphone yang menjadi
mangsa keterujaan Arissa sehingga melarikan Iphone lelaki itu.
Orangnya boleh tahan. Nampak
macam bukan calang-calang orang. Segak dan bergaya. Walaupun tidaklah
sehandsome Lee Min Ho tapi disebabkan orangnya pandai mengurus diri
dan berpakaian segak, tetap nampak maco dan kacak.
Arissa pula nampak gembira
ketika berbual dengan lelaki itu. Mereka berbual agak lama. Lebih
satu jam. Satu perkembangan yang baik. Lagipun sudah lama dia tidak
melihat Arissa begitu. Macam ada ura-ura musim cinta berbunga lagi.
Tapi, selepas lelaki itu pergi,
Arissa menarik muka masam. Baru sahaja dia ingin mengusik. Bila
tengok muka masam begitu, terus terbantut hasratnya.
“Aik, tadi bukan main seronok.
Kenapa tiba-tiba tarik muka masam?” tanya Sarah.
“Dia dah kahwin,” keluh
Arissa.
“Oh,” tidak terkata-kata
Sarah dibuatnya. Memang patut pun Arissa monyok semacam. “Habis tu,
apa yang kau orang bualkan sampai lama sangat?”
“Dia perlukan khidmat aku
sebenarnya.”
“Khidmat apa pula?”
“Dia minta aku buat donut
sempena hari jadi anak dia.”
“Donut? Mana dia tahu kau buat
donut?”
“Mestilah dia tahu. Bukan ke
setiap hari Jumaat aku akan sedekah donut pada orang yang makan dekat
restoran kau ni?”
“Okey... tapi kenapa aku rasa
aku tak pernah jumpa dia?”
“Sebab dia tak makan di sini.
Selalunya setiausaha dia yang akan beli makanan untuk dia.”
“Oh patutlah, baru aku
teringat. Ada orang bertanya pasal donut kau dan dia nak buat
tempahan tapi aku tak berani bagi nombor telefon kau pada sesiapa...
tapi macam mana dia tahu yang donut tu kau yang buat?”
“Dia upah penyiasat.”
“Hah?”
“Aku tahu, ini kerja gila
dia,” keluh Arissa yang sendiri terkejut dengan pengakuan lelaki
itu tapi memandangkan lelaki itu sudah mengaku dan memberitahu
tujuannya, kes ditutup serta merta.
“Sampai macam tu sekali?”
“Dia sangat sayangkan anak
dia. Dia kata, demi anak, dia sanggup buat apa saja walaupun upah
penyiasat untuk cari pembuat donut,” ujarnya masih lagi tidak
percaya.
“Jadi, kau terima?”
“Mestilah. Aku kesian dengan
anak dia. Anak dia hantu donut. Kali ni anak dia tak nak kek tapi nak
donut. Donut yang besar! Huh, nasib baiklah aku ni penganggur
terhormat. Ada juga masa nak praktis buat donut besar.”
“Mungkin kau patut buka kedai
donut,” cadang Sarah.
“Aku belum puas hidup sebagai
penganggur terhormat. Lagipun daripada pening kepala buka kedai,
lebih baik aku buat dan makan sendiri. Puas hati!” ujar Arissa
dengan penuh semangat. “Ah, banyak benda yang kena buat hari ni.
Aku kena balik sekarang.”
“Hati-hati,” ujar Sarah
sebelum Arissa meninggalkan restorannya itu.
“Arissa dah balik?” tanya
Luqman yang datang dari bahagian dapur restoran.
“Dah. Kenapa?” tanya Sarah.
“Tak ada apa,” jawab Luqman
acuh tidak acuh. Sarah mengerut dahi. Dia kenal Luqman bukannya
sehari dua. Lihat gaya Luqman pun dia sudah tahu, pasti ada sesuatu
yang ingin di sampaikan oleh teman lelakinya itu.
“Ada apa-apa yang tak kena
ke?” tanya Sarah.
“Mmm… nenek nak jumpa kita
berdua esok pagi,” beritahu Luqman. “Mustahak.”
Berdebar-debar jantung Sarah
tatkala mendengar nama nenek disebut.
***
“Nazwan,” sapa seorang
lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an di hadapan pintu.
Pak Cik Nazri. Adik kepada arwah
papanya. Selama dua tahun dia membawa diri ke UK, lelaki itulah yang
banyak menolongnya dari segi tempat tinggal, kewangan sehinggalah
pelajarannya.
“Kenapa?” tanya Nazwan.
“Ada orang nak jumpa,” ujar
pak ciknya.
“Siapa?”
Pak Cik Nazri mengangkat bahu.
“Tapi orang kita.”
“Lima minit,” jawabnya
sambil menutup laptopnya. Kemudian, dia segera berlalu ke luar. Hari
ini, gim milik pak ciknya itu meriah dengan pelanggan-pelanggan
tetapnya. Kebanyakkan mereka adalah orang situ. Sepanjang dia bekerja
part time di situ, memang payah hendak jumpa orang Melayu. Kalau ada
pun seorang dua yang belajar di area situ.
“Sana,” kata pak ciknya
sambil menunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang berjoging di
tramnell.
Nazwan terus berlalu menghampiri
lelaki itu. Tengok gaya dari belakang, dia sudah tahu itu lelaki
Melayu. Tapi dia tidak dapat mengecam orangnya. Malahan, boleh
dikatakan kawan lelaki Melayu yang dia kenal di situ boleh dikira
dengan jari.
“Kau nak jumpa aku?” tanya
Nazwan menyapa.
“Yup,” lelaki itu bersuara
sambil memperlahankan treadmill dan berpaling.
“Zakri?” terkejut Nazwan
melihat orang yang dikenalinya di situ. Walaupun sudah lama dia tidak
berjumpa Zakri tetapi dia masih kenal wajah itu.
“Yup,” jawab Zakri turun
dari treadmill. “Apa khabar?”
“Baik. Kau?”
“Tak baik,” jawab Zakri
serius. Belum sempat Nazwan hendak berkata-kata, satu tumpukan padu
hinggap di pipinya. Dia hampir terjatuh kerana tumbukan itu tetapi
mujurlah dia lantas imbangkan diri.
“Sekarang, dah baik,” ujar
Zakri menghela nafas panjang. Puas hatinya. “Auu... kenapa pipi kau
macam batu kerasnya?” keluh Zakri yang tidak dapat menahan rasa
sakit pada tangannya.
***
“Kenapa tu?” tanya Pak Cik
Nazri yang risau dengan anak buahnya itu. Sepanjang dia buka gim itu,
tidak pernah lagi dia melihat orang bergaduh. Apatah lagi yang jadi
mangsa tumbuk itu adalah anak buahnya.
“Okey, dia kawan lama,” ujar
Nazwan sebelum berlalu menghampiri Zakri di bilik rehat. “Untuk
kau,” ujarnya sambil memberikan kantung yang berisi ais di
dalamnya.
“Ah, lega...” keluh Zakri
apabila meletakkan kantung itu pada tangannya.
“Kau datang sini sebab nak
tumbuk aku je?” tanya Nazwan yang masih lagi terasa sakit pada pipi
dan mulutnya. Nasib baiklah Zakri hanya pelumba basikal, kalau
peninju handalan mungkin sudah rongak satu giginya.
“Yup,” jawab Zakri tidak
berselindung lagi.
“Sebab Arissa?” tanya Nazwan
lagi.
Zakri mengangguk.
“Bukan ke kau tak de apa-apa
hubungan dengan dia lagi?” soal Nazwan kurang faham. Dia masih
ingat lagi Arissa beritahu dia sudah tiada apa-apa dengan Zakri. “Dan
aku dengar kau dah kahwin.”
“Dan dah ada anak,” tambah
Zakri.
“Jadi, apa masalahnya?”
“Masalahnya dah lama aku nak
tumbuk kau.”
“Kenapa?”
“Kau masih tanya kenapa?”
soal Zakri kembali.
“Aku tak tahu sebab tulah aku
tanya.”
“Kau tak tahu atau pura-pura
tak tahu?” tanya Zakri lagi.
Nazwan mengangkat bahu. Dia
memang tidak tahu apa yang hendak dikatakan oleh Zakri. Lagipun,
setahunya dia tidak bermusuhan dengan Zakri. Dia kenal Zakri daripada
Arissa. Itupun sebab Zakri kekasih Arissa dahulu sebelum Zakri keluar
negara. Selebihnya, dia tidak tahu apa-apa.
“Aku tak faham kenapa kau
tinggalkan Arissa,” ujar Zakri tidak puas hati.
Kini baru Nazwan faham. Ini
mesti pasal Arissa.
“Bukan ke kau dah kahwin dan
dah ada anak. Dan jangan lupa, kau pun pernah tinggalkan dia,” ujar
Nazwan tidak mahu mengaku kalah.
“Aku pernah lamar dia,” akui
Zakri.
“Apa?” terkejut Nazwan
mendengarnya.
“Aku tahu, masa tu terlampau
awal untuk jadikan dia sebagai isteri aku tapi serius, aku tak boleh
nak lepaskan dia bila aku terima tawaran belajar di sini,” terang
Zakri. “Tapi dia tolak lamaran aku semata-mata kerana kau.”
“Arissa tak pernah cerita...”
“Kalau kau harap dia cerita,
sampai bila pun dia takkan cerita,” potong Zakri cuba menahan
kemarahannya. “Sampai bila pun kau takkan tahu apa yang dia lalui
selepas teman wanita kau meninggal dunia.”
“Apa maksud kau?” tanya
Nazwan.
***
Nazwan membuka lampu biliknya
sebaik sahaja melangkah ke dalam. Beg sandangnya di letak di tepi
katil bujangnya. Perlahan-lahan dia berlalu duduk di tepi katil.
Kata-kata Zakri tadi masih bermain di fikirannya.
“Aku sukakan dia sebab dia
seorang berterus-terang bila berhadapan dengan soal cinta. Dia berani
luahkan rasa cintanya. Pada mulanya, aku memang sudah sedia maklum
dengan perangai dia. Ramai kawan-kawan aku pun banyak kali nasihatkan
aku supaya jauhkan diri daripada Arissa sebab dia playgirl. Mereka
tak nak aku jadi macam mangsa dia seterusnya. Aku sedar, semua tu
tapi semakin aku kenal dia, dia dah buat aku jatuh cinta. Pada
awalnya semuanya berjalan dengan lancar hubungan kami. Tapi semua itu
bertukar apabila teman wanita kau meninggal dunia.
“Aku tak faham, kenapa kau nak
rahsiakan daripada Arissa pasal apa yang Sarah dah buat. Kau tahu
tak, betapa sedihnya dia bila dia dapat tahu Natasya meninggal tanpa
mengetahui hal yang sebenar?”
“Arissa tahu?” tanya Nazwan
terkejut apabila Zakri juga tahu hal itu.
“Kami terdengar perbualan kau
orang di hospital pagi tu,” terang Zakri.
Sekali lagi Nazwan terkejut.
Jadi, selama ini Arissa tahu apa yang dirahsiakan dan tahu juga Sarah
cuba melaga-lagakan dia dengan Natasya. Jadi, Arissa hanya
berpura-pura tidak tahu semasa dia beritahu hal itu semasa di Cameron
Highland?
“Aku cuma nak lindungi dia...
aku tak nak dia risau.”
“Tapi hakikatnya dia risau.
Walaupun kau tak beritahu dia tapi dia tetap risaukan kau dan
kawan-kawan dia. Cuba kau ingat balik, apa yang berlaku selepas
Natasya meninggal?”
Nazwan mengangkat bahu.
Ingatannya masih elok lagi. Setahunya memang tiada apa-apa yang
berlaku. Mereka meneruskan hidup seperti biasa.
“Memang patut pun kau tak tahu
sebab kau tak pernah peduli dengan Arissa. Aku perasan, kau, Luqman
dan Sarah jarang bersama. Masing-masing bawa hal sendiri. Itu yang
buat Arissa tak senang duduk. Dia cuba rapatkan kau orang bertiga dan
anggap kematian Natasya tu macam tak pernah berlaku. Dia banyak
habiskan masa untuk pastikan kau orang semua berbaik seperti dulu.
Rasanya tak ada seorang pun yang perasan semua ni.”
Ketika itu, barulah dia
tersedar. Memang betul. Selepas kematian Natasya, dia seakan hilang
arah. Begitu juga dengan Luqman dan Sarah. Berminggu-minggu rasanya
dia tidak bercakap dengan Luqman mahupun Sarah. Pada masa itu, Arissa
sentiasa berada di sisinya.
Lama kelamaan, barulah dia boleh
berbual seperti biasa dengan Luqman dan kemudian Sarah. Pada masa
itu, barulah dia memaafkan Sarah sepenuhnya dan meminta mereka
melupakan apa yang sudah berlaku. Sejak itu, mereka kembali seperti
biasa.
Namun, dia langsung tidak sedar,
ada seseorang yang bertanggungjawab merapatkan jurang antara mereka.
“Waktu tu kami banyak
bergaduh. Aku cemburu sebab dia lebih penting kau dan kawan-kawan
dia. Kami pernah putus banyak kali tapi rasanya tak ada seorang
daripada kau orang yang tahu. Bila aku terima tawaran belajar di
sini, aku cuba nak ikat dia sebab tulah aku lamar dia tapi dia tolak
mentah-mentah. Jadi, aku bagi dia pilihan terakhir, Nazwan atau aku
yang dia pilih. Dia pilih kau dan hubungan kami berakhir macam tu
saja,” terang Zakri panjang lebar.
“Serius, aku tak tahu...”
“Kalau kau tahu, kau nak buat
apa?” tanya Zakri. “Baru-baru ni aku dapat tahu yang dia dah
bertunang dengan kau tapi kau pula lari ke sini dan tinggalkan dia.”
Nazwan tidak tahu apa yang perlu
dikatakan lagi. Dia terus hilang kata-kata. Sudah lebih dua tahun,
hari ini baru dia tahu pengorbanan Arissa terhadapnya.
“Arissa bukan tak matang tapi
kita yang diperbodohkan olehnya sejak awal lagi,” ujar Zakri
sebelum menamatkan perbualan itu.
Kata-kata Zakri itulah yang
mengganggu fikirannya sehingga dia langsung tidak dapat berbuat
apa-apa. Akhirnya dia meminta untuk pulang ke rumah. Nasib baiklah
pak ciknya mengerti.
Nazwan mencapai handsetnya.
Gambar terakhir Arissa yang diterimanya ditatapnya. Itulah
satu-satunya gambar Arissa yang ada dalam handsetnya. Tiba-tiba dia
jadi sebak apabila melihat gambar Arissa yang tersenyum sambil
menunjukkan cincin di jari. Dia langsung terlupa bahawa dia sudah
ditunangkan dengan Arissa.
Entah apa yang terjadi pada
Arissa selepas dia tinggal Malaysia? Dia langsung tidak pernah
menghubungi Arissa. Sengaja tidak mahu menghubungi kerana dia tidak
mahu Arissa menaruh harapan terhadapnya lagi. Semasa dia dapat tahu
papa Arissa meninggal dunia pun dia tak cuba hubungi Arissa. Dia
dapat tahu pun beberapa bulan kemudian. Masa itu dia tengah sibuk
dengan peperiksaan di universiti.
Luqman pula tidak banyak cerita
tentang Arissa. Boleh dikira berapa kali nama Arissa disebut semasa
mereka chat. Dia juga tidak pernah bertanya tentang Arissa pada
Luqman kerana dia tahu Luqman memang anti dengan nama Arissa. Tapi
perbualan petang tadi... dia dapat rasakan seperti ada sesuatu yang
disembunyikan daripadanya.
Dia okey.
Hanya itu jawapan Luqman.
Buatnya tidak puas hati. Lantas dia membuka laptopnya. Terus dia
membuka Facebook dan menaip di bahagian mesej.
Aku akan balik Malaysia minggu
depan. - Nazwan
Terus dia tekan butang 'post'
menghantar mesej itu kepada Luqman. Selama ini dia teragak-agak
hendak pulang ke Malaysia. Baginya, tiada sebab untuknya ke sana lagi
tapi hari ini, dia menjumpai sebab itu.
Semuanya kerana Arissa. Dia
berharap masih sempat lagi untuknya memperbaiki keadaan.
****************
Pesanan dari meja penulis
Huh, (tarik nafas dan hembus
perlahan-lahan).
Pertama sekali, saya nak ucapkan
ribuan terima kasih kepada anda yang sudi membaca Seseorang untuk
Dinikahi. Walaupun saya tak selalu update tapi SuD ini tetap
ditunggu-tunggu. Ini membuatkan rasa rasa terharu sangat.
Tapi, ada berita yang mungkin
kurang anda sukai...
Bagi sesiapa yang tidak tahu
lagi, ini adalah bab terakhir di blog. Hal ini kerana saya manuksrip
SuD sudah hampir siap dan saya akan serahkan kepada penerbit untuk
penilaian. Namun, saya tidak pasti sama ada bila SuD akan diterbitkan
kerana ini bukan di bawah kuasa saya. Apa pun saya harap SuD diterima
penerbit dan diterbitkan secepat mungkin.
Selepas SuD, blog ini mungkin
akan sunyi kerana saya akan masuk ke dalam gua untuk perah idea untuk
manuskrip seterusnya. Bagi yang merindui SuD, anda boleh ke group
saya kerana saya akan letak sedikit demi sedikit teaser SuD yang tak
disiarkan di blog.
Akhir kata, terima kasih
banyak-banyak atas sokongan anda dan semoga kita berjumpa lagi dengan
manuskrip baru dengan idea yang lagi baru ^_^
Senyum selalu,
Ratu Bulan | Nurfa
waa,,,,sedihhhh,,betul2 xboleh judge org pny luaran je..fuhhh..TQ cik ratu..akan menanti dgn sabar..heheh