Dua tahun kemudian,
“Selamat pagi,”
ucap Arissa kepada Mama Fiza yang melangkah masuk ke dapur ketika dia
sedang menyediakan sarapannya. Seperti biasa, Arissa akan menikmati
bijiran diet yang diminum dengan susu rendah lemak. Itulah sarapannya
setiap hari sejak dia menyimpan impian hendak menguruskan badan.
“Selamat pagi,”
balas Mama Fiza dengan mesra. “Hari ni joging berapa KM?”
“Haha… satu
taman pun tak habis,” balas Arissa.
Bukan sahaja bab
makanan dia ambil peduli tapi senaman juga penting untuk kuruskan
badan. Setiap hari dia akan bangun awal pagi untuk bersenam.
Kadangkala dia akan bersenam di halaman rumahnya sahaja dan
kadangkala dia akan berjoging kawasan perumahannya.
“Hari ini Rissa
ada apa-apa aktiviti ke?” tanya Mama Fiza.
“Mmm… pagi ni
Rissa free, cuma petang nanti Rissa nak ke Singgah sebab Sarah
kekurangan pekerja hari ni,” ujar Arissa seperti biasa akan
memberitahu jadual hariannya kepada Mama Fiza. “Kenapa? Ada kerja
untuk Rissa ke?”
“Mestilah. Mama
Fiza kena jumpa pelanggan pagi ni, tak ada orang jaga butik.”
“Okey, no hal.
Penganggur terhormat sedia membantu,” jawabnya tanpa berfikir
panjang lagi.
Dia jadi penganggur
sejak beberapa bulan yang lepas. Selepas dia mengambil keputusan
tidak mahu sambung belajar lagi. Cukuplah dengan diploma. Lagipun dia
bukannya kaki buku. Tengok buku saja mesti mengantuk. Inikan pula
hendak menelaah mata pelajaran dan bersengkang mata dengan
kerja-kerja yang diberikan oleh pensyarah. Ah, cukuplah.
Buat masa sekarang
dia tidak mempunyai apa-apa pelan lagi untuk masa depannya. Semuanya
masih lagi samar-samar. Namun, tidak bermakna dia tidak bekerja, dia
boleh duduk goyang kaki di rumah. Nama sahaja penganggur tapi
kebanyakan masanya dihabiskan dengan benda yang bermanfaat.
Biasanya, dia akan
menolong Mama Fiza jaga kedai memandangkan pembantu Mama Fiza cuti
bersalin. Kadangkala juga dia akan menolong di Singgah, sebuah
restoran yang diusahakan oleh Sarah dan Luqman. Jika tiada kerja, dia
akan menghabiskan masa dengan nenek di rumah menonton rancangan
Running Man. Sampai sekarang dia masih blur dengan konsep game show
dari Korea itu tapi demi nenek, layan ajelah.
“Oh ya, Rissa
terlupa. Rissa kena pergi bengkel untuk ambil kereta pagi ni,” ujar
Arissa sambil menepuk dahi.
Dia hampir terlupa
buah hatinya yang terpaksa masuk bengkel disebabkan orang langgar
dari belakang. Nasib baiklah tidak teruk dan nasib baiklah pada masa
itu dia baru sahaja keluar dari kereta. Kalau tidak memang trauma
habis. Dilanggar oleh orang mabuk pula.
Memang malang
nasibnya. Tapi tidaklah malang sepenuhnya. Memang dia sudah lama
hendak hantar keretanya ke bengkel untuk tukar cat. Memandangkan
keretanya sudah kena langgar, jadi terus ajelah dia menyuruh orang
bengkel tukar cat kereta.
“Okey, nanti Mama
Fiza hantar Rissa ke bengkel.”
“Terima kasih!
Sayang Mama Fiza,” tersengih lebar Arissa.
“Tapi kenapa
sampai nak tukar cat?” tanya Mama Fiza.
“Memang Rissa nak
tukar cat pun. Buat sekali gus lagi bagus,” jawabnya.
“Tapi kenapa warna
pink?” tanya Mama Fiza lagi.
“Sebab warna pink
melambangkan kekuatan dan keberanian seorang perempuan!” ujar
Arissa dengan penuh semangat.
Mama Fiza yang
memahami situasi Arissa itu hanya sekadar menggeleng.
***
“Macam mana?”
tanya Sarah kepada Luqman yang baru sahaja habis berbual dengan
papanya melalui telefon tadi.
Tiada jawapan
daripada Luqman tetapi sebaliknya Luqman hanya menggeleng. Melihat
kebuntuan Luqman, dia sudah tahu rundingan tadi tidak berjalan dengan
lancar. Lagipun ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali dia cuba
yakinkan papanya tetapi papanya tetap dengan keputusan yang sama.
Masuk meminang atau lupakan Sarah.
“Nampaknya kita
tak ada cara lain lagi,” keluh Sarah. “Mungkin kita patut…”
“Tak,” pantas
Luqman memotong. “Jangan risau, saya akan cuba selesaikan perkara
ni.”
“Apa salahnya
kalau kita minta bantuan Arissa? Awak masih tak sukakan dia lagi ke?”
tanya Sarah. Dia tidak sangka ego Luqman begitu tinggi. Tidak ubah
seperti dulu. Langsung tidak mahu mengalah dengan Arissa.
“Kalau tak kerana
dia, nenek takkan buat syarat begini. Takkan awak tak faham?” balas
Luqman bengang.
“Jangan lupa, ini
salah kita juga,” balas Sarah pula.
Dia masih lagi ingat
kata-kata nenek seminggu selepas kematian papa Arissa. Walau apa pun
yang berlaku, nenek tidak benarkan mereka berdua berkahwin selagi
Arissa tidak berkahwin. Disebabkan syarat itulah Sarah tersepit di
antara dua keluarga.
Papanya sudah tidak
tahan lagi dan memaksa Luqman masuk meminang. Bermacam-macam
rancangan sudah diatur supaya nenek menarik balik syarat itu tetapi
hasilnya tetap sama. Restoran Singgah ini adalah sebahagian daripada
rancangan itu. Diingatkan dengan wujudnya restoran usaha bersama ini
dapat menukar fikiran nenek tapi nenek langsung tidak peduli.
Sarah pula memang
tidak mahu memaksa. Dia faham situasi Luqman tapi dia terpaksa
mendesak apabila papanya mengugut hendak kahwinkan dia dengan kawan
papanya. Sudah banyak kali dia cuba yakinkan papanya dan terangkan
apa yang berlaku tapi kedua orang tuanya tetap mendesak. Alasan
mereka mudah sahaja, tidak sabar hendak bercucu. Padahal dia tahu,
kedua orang tuanya sengaja ingin mendesak Luqman supaya bernikah
dengannya secepat mungkin.
“Habis tu awak nak
buat apa lagi?” tanya Sarah.
“Mesti ada cara
lain tanpa melibatkan Arissa.”
“Tanpa melibatkan
aku? Apa yang aku dah buat?” sapa satu suara di belakang mereka
membuatkan mereka berdua terkejut.
“Err… tak ada
apa-apa,” pantas Sarah membalas apabila menyedari Arissa berada di
belakangnya. Entah bila Arissa masuk ke dalam bilik rehat itu pun dia
tidak tahu. Begitu juga dengan Luqman.
“Pasti?” tanya
Arissa lagi.
“Sangat pasti.”
“Okey, kalau macam
tu, aku nak tunjukkan kau sesuatu,” ujar Arissa terus menarik Sarah
keluar dari bilik itu. Sarah tiada pilihan lain melainkan ikut sahaja
langkah Arissa yang menariknya sehingga ke luar dari restoran usaha
samanya dengan Luqman itu.
“Ta-ra!” ujar
Arissa sambil mendepakan kedua tangannya ke arah sebuah kereta Myvi
berwarna pink yang parking betul-betul di hadapan restorannya itu.
“Kereta kau?”
tanya Sarah terkejut.
“Yup. Cantik tak?”
“Err…” Sarah
menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sejujurnya dia sendiri tidak
tahu apa yang perlu dia jawab. Ya. Warna pink memang cantik tapi bila
warna pink digunakan pada kereta… dia hilang kata-kata.
“Tak cantik ke?”
tanya Arissa sudah mula menarik muncung tajam.
“Not bad,” jawab
Luqman di sebelah.
“Hah? Betul ke?”
tanya Arissa.
Luqman mengangguk.
Sarah di sebelah terkejut besar. Biar betul. Setahunya teman
lelakinya itu mempunyai cita rasa yang tinggi bila berkenaan dengan
kereta. Mustahil. Memang sukar dia hendak percaya.
“Okey,
memandangkan kau beri komen yang menggembirakan, aku akan tolong kau
orang berdua tanpa bayaran pun hari ini. Aku masuk dalam dulu,”
ujar Arissa terus berlalu masuk ke dalam restoran itu semula dengan
hati yang girang.
“Not bad?” sapa
Sarah selepas Arissa berlalu pergi.
“Habis, awak nak
beritahu dia yang warna pink ni adalah warna yang paling teruk?”
balas Luqman.
Sarah mengangguk.
Dia setuju dengan alasan Luqman tadi. Kalau dia berterus-terang
dengan Arissa tadi, ada pula yang tarik muncung tajam 24 jam nanti.
Bukan dia tidak kenal dengan perangai Arissa. Masih lagi dengan
perangai kebudak-budakkannya.
“Tapi, saya masih
tak faham. Kenapa mesti warna pink? Pink bukan warna kegemaran dia,”
tanya Sarah.
“Sebab Nazwan
benci warna pink,” jawab Luqman.
“Ohh…” Sarah
menggangguk. Baru dia teringat hal itu. “Jadi, ini bermakna…”
“Perang dah
bermula…”
***
Dari jauh Sarah
melihat Arissa yang sedang mengambil pesanan daripada sekumpulan
lelaki yang baru sahaja masuk ke restorannya tadi. Mereka memang
pelanggan tetap restorannya. Setiap hari pasti mereka akan datang ke
restorannya selepas waktu pejabat. Memang restorannya dekat dengan
kawasan pejabat, tetapi mereka itu menarik perhatiannya.
Kata salah seorang
pekerjanya, mereka datang disebabkan Arissa yang rajin melayan.
Memang pun. Boleh dikatakan restorannya penuh pada waktu rehat dan
balik kerja sebab Arissa. Mereka tahu Arissa bertugas pada waktu itu.
Nasib baiklah restorannya tutup selepas pukul 7.00 malam, kalau tidak
ada juga yang tidak balik ke rumah semata-mata kerana Arissa nanti.
Arissa memang
popular di restorannya. Dia sendiri tidak tahu apa ilmu yang Arissa
pakai sampai semua pelanggan lelaki terpikat dengannya. Tapi anehnya,
Arissa hanya melayan mereka seperti biasa. Tiada adegan jatuh cinta
yang selalu terjadi dulu.
Kalau dulu, jumpa
sahaja lelaki handsome terus terjah lelaki itu. Jumpa sahaja lelaki
yang baik hati, terus jatuh cinta. Sekarang tiada lagi. Sejak
peristiwa dua tahun lalu, Arissa tidak pernah bercinta dengan sesiapa
seolah-olah Arissa sedang menunggu Nazwan lagi.
“Tunggu Nazwan?”
tanya Arissa. Kemudian dia ketawa. “Prinsip aku, kalau seseorang
dah tinggalkan aku dan aku dah tinggalkan seseorang, itu bermakna…
dah habis. Aku tak dating dengan sesiapa sekarang ni sebab aku
berhati-hati. Belajar daripada pengalaman,” jawab Arissa ketika
ditanya soalan itu.
Ini membuatkan Sarah
berasa bersalah. Kalau dia tidak masuk campur dalam hal mereka
berdua, pasti keadaan tidak seperti ini.
“Jangan risau,
untuk mencari cinta memang senang tapi untuk cari Mr. Right
memerlukan kesabaran,” tambah Arissa lagi.
Memang betul. Tapi
jadi satu masalah baginya dan Luqman. Selagi Arissa tidak berkahwin,
mereka berdua tidak dibenarkan berkahwin. Itu syarat nenek dua tahun
lalu. Arissa tidak tahu menahu tentang hal itu. Dia tidak mahu
menambahkan beban Arissa lagi. Cukuplah apa yang Arissa tanggung
sepanjang dua tahun ini.
“Aku tak faham!”
sapa Arissa tiba-tiba di hadapannya. Serta-merta Sarah tercampak dari
dunia lamunan. Dia termenung sampai tidak sedar Arissa berada di
hadapannya.
“Kenapa pula ni?”
tanya Sarah.
“Kenapa lelaki
yang dah kahwin bertambah miang? Sungguh malang betul isteri dia
orang dapat lelaki yang miang,” keluh Arissa.
“Dia orang cuba
mengorat kau?”
Angguk.
“Kalau masih
bujang aku tak kisah tapi masalahnya dia orang semua dah berkahwin
dan ada anak dua tiga orang tapi perangai macam orang bujang. Huh,
boleh pening kepala aku layan dia orang.”
“Biasalah tu.
Isteri tak ada di sebelah memang miang. Bila ada, nak pandang sikit
anak dara orang pun takut,” balas Sarah.
“Ini yang
membuatkan aku fobia nak kahwin,” keluh Arissa.
“Janganlah cakap
macam tu.”
“Aku gurau saja,”
ujar Arissa. “Oh ya, aku kena balik sekarang. Aku dah janji nak
makan malam dengan nenek. Kali ni aku kena masak, jadi aku kena pergi
beli bahan-bahan dulu. Kalau kau nak rasa masakan aku yang ‘sedap’,
jemputlah datang ke rumah bakal mertua kau ya.”
“Insyallah,”
jawab Sarah pendek.
“Okey, aku pergi
dulu!” ujar Arissa berlalu dari situ selepas mengambil beg dan
kunci keretanya.
“Bakal mertua…,”
keluh Sarah. Rasanya macam mimpi sahaja hendak dapat gelaran itu.
***
“Ah, kenyangnya!”
ujar Arissa sambil sedawa kekenyangan.
“Makan nasi
setengah pinggan pun kenyang ke?” tegur Puan Azizah hanya mampu
menggeleng kepala. Kalau dulu bagi apa pun Arissa akan makan tapi
sejak melancarkan misi diet, semuanya berkira. Makanan berminyak
langsung tidak disentuh. Nasi pun makan sikit sahaja. Sudahnya dia
sendiri tidak tahu apa yang Arissa makan.
“Habis perut Rissa
dah tak boleh terima nasi yang banyak, nak buat macam mana lagi. Dulu
perut Rissa besar, sekarang dah kecik, makan pun ada hadnya,” jawab
Arissa sambil mengusup perutnya yang sudah penuh.
“Kamu tu dah
kurus, tak payah nak diet,” sindir Puan Azizah.
“Nenek tengok
Rissa hari-hari memanglah tak nampak perbezaannya. Bila Rissa balik
Perak, ramai yang kata Rissa dah gemuk, lepas tu dia orang suka cubit
pipi Rissa. Geram Rissa dibuatnya,” kata Arissa sambil memegang
kedua pipinya.
“Orang cubit tu
sebab dia orang tak ada pipi macam Rissa. Unik.”
“Masalahnya
keunikan pipi Rissa ni buat Rissa sakit. 10 orang tegur, 10 orang
cubit. Mana tahan! Tak kira, Rissa nak kurus jugak!”
“Huh, nak kurus tu
boleh tapi janganlah sampai seksa diri dan perut tu. Perut tu nak
makan juga. Nenek pun nak makan juga,” balas Puan Azizah.
“Apa kena mengena
dengan perut nenek pula?” Arissa mengerut dahi.
“Mestilah ada kena
mengena. Tiap kali kamu tolak ke tepi semua lauk, siapa ada selera
nak makan? Terbantut selera orang, tahu tak?” Puan Azizah menjeling
tajam.
“Baiklah nenekku
sayang. Mulai hari ini Rissa akan makan lebih sikit dari hari ini
supaya selera nenek tak terbantut. Kalau terbantut nanti susah pula
nak kentutkan?” ujar Arissa tersengih-sengih mengucik.
“Hari ni kita
tengok Running Man,” ujar Puan Azizah tiba-tiba.
“Ah, nenek ni
cepat kecil hatilah!” Arissa menarik muncung ketika nenek membuka
televisyen. Boleh dikatakan kebanyakan episod Running Man sudah
ditengoknya. Nenek gelak. Dia pun gelak. Walaupun dia tidak faham
satu pun apa yang telah berlaku. Tapi ada kalanya terlayan juga.
“Nenek,” Arissa
merapatkan duduk dengan nenek.
“Kenapa ni?”
tanya Puan Azizah.
“Nenek sayang
Rissa tak?” tanya Arissa sambil memeluk leher nenek.
“Sah, ni mesti ada
apa-apa ni.”
“Nenek baikkan?”
“Huh, kalau Rissa
nak cakap pasal hal yang sama, jawapan nenek tetap sama. Jangan
harap!” ujar Puan Azizah yang sudah dapat menjangka permintaan
Arissa. Apa lagi kalau bukan pasal Luqman dan Sarah. Hanya isu itu
yang Arissa asyik pujuknya sejak beberapa bulan ini.
“Nenek, boleh tak
dengar dulu apa Rissa nak cakap,” ujar Arissa tegas. Kalau nenek
boleh naik angin dia pun boleh naik angin. Kalau nenek tegas, dia
akan jadi tegas. Hanya itu cara untuk lembutkan hati nenek.
“Hah, cakap!”
“Batalkanlah
syarat tu. Benarkan dia orang berkahwin,” ujar Arissa dengan suara
manja. Tangan nenek goyang-goyangnya umpama budak-budak inginkan
gula-gula.
“Dia orang hanya
akan berkahwin selepas Rissa berkahwin,” tegas Puan Azizah.
“Kalau nak tunggu
Rissa kahwin, sampai bila pun dia orang tak berkahwin lagi. Nenek
kena faham, jodoh orang ni tak boleh ditunda-tunda. Kalau dah
ditakdirkan Luqman dan Sarah berkahwin dulu daripada Rissa nenek
tunggu sampai bila pun Rissa takkan kahwin dulu,” terang Arissa.
“Rissa dah lupa ke
apa yang dia orang dah buat pada Rissa?”
“Ala, itu hal
dulu. Dah lepas dah. Tak payah nak ungkit lagi.”
“Memang patut
diungkit. Pandai-pandai buat orang lain derita, tanggung sendiri! Nak
sangat jadi tuhan tentukan siapa yang layak kahwin dengan Nazwan
konon, sekarang biar mereka tanggung sendiri!” dengus Puan Azizah
kemarahan.
“Nenek pun sama,”
balas Arissa selamba.
Puan Azizah
merenungnya seakan ingin menerkamnya. Kecut jantung Arissa dibuatnya.
Kalau nenek tengah marah, apa pun boleh jadi. Tapi, kalau dia takut,
nenek lagi seronok. Jadi, dia kena berani.
“Maksud Rissa,
kalau kita tak paksa Nazwan, semua ini takkan berlaku. Mungkin
sekarang Luqman dan Sarah dah ada dua tiga orang anak.”
“Habis, kamu
dengan Nazwan?”
“Nazwan bukan
jodoh Rissa. Nenek kena faham. Kalau dah tertulis yang Rissa akan
kahwin dengan orang lain dan Nazwan akan kahwin dengan orang lain,
jadi walau apa pun yang kita cuba buat, kami tetap tak ada jodoh.”
“Kalau macam tu,
macam mana kalau Luqman dan Sarah tu bukan ada jodoh?”
Arissa mengeluh
lemah. Nampaknya nenek memang pandai putar belit kenyataan yang
diberi. Kalau begini, dia perlu jadi lebih cerdik.
“Situasi antara
kami berbeza. Kalau sudah tertulis dia orang ada jodoh, walau apa pun
terjadi jodoh mereka tetap kuat.”
“Sudahlah Rissa.
Tak guna kita bercakap pasal mereka tu,” ujar nenek menandakan
sudah hampir mengangkat bendera putih. Tapi masih tidak mahu mengaku.
“Nenek tahu tak
bila-bila masa pun Luqman boleh berkahwin dengan Sarah? Dia lelaki,
dia tak perlukan wali. Dia hanya perlu datang ke pejabat tok kadi,
serah IC dan mohon untuk berkahwin?”
“Habis tu, kenapa
tak buat?”
“Sebab dia masih
hormatkan nenek lagi. Ya, memang dia pernah buat salah dan dia tak
nak ulangi kesalahan dia lagi.”
“Padan dengan muka
dia. Biar dia tanggung sendiri.”
“Dan Rissa tahu
nenek pun sayangkan dia. Nenek sayang Luqman dan kalau boleh nenek
nak tengok Luqman dan Sarah kahwin, bukan? Tapi, nenek tak tahu nak
mulakan macam mana.”
Senyap.
“Nenek, kalau kita
dera lagi perasaan orang, bukan sahaja orang tu menderita tapi kita
juga menderita. Rissa tahu nenek rasa bersalah dengan apa yang dah
berlaku pada Rissa tapi Rissa tak nak disebabkan Rissa semua orang
menderita. Kali ini Rissa rayu sangat-sangat, jangan dera Luqman dan
Sarah lagi. Biar mereka tentukan hidup mereka.”
***
Luqman hilang
kata-kata. Dia bukan sengaja mencuri dengar perbualan antara Arissa
dengan neneknya tadi. Dari siang tadi dia memang berhasrat hendak
berbincang dengan neneknya. Kalau kena melutut sekali lagi pun dia
sanggup asalkan neneknya benarkan dia berkahwin dengan Sarah.
Tapi sebaik sahaja
ingin menemui neneknya, kakinya kaku di muka pintu apabila terdengar
perbualan mereka dan namanya dengan nama Sarah disebut-sebut. Sangka
mereka sedang mengumpat tapi dia yang buruk sangka.
Arissa memang
bersungguh-sungguh memujuk nenek. Sejujurnya memang dia ingin meminta
bantuan Arissa kerana dia sendiri sedar, hanya Arissa yang dapat
lembutkan hati nenek. Tapi dia rasa tidak layak mendapatkan bantuan
Arissa.
“Hai Luqman, baru
balik?” sapa Arissa yang baru sahaja melangkah masuk ke dapur.
Sapaan Arissa tadi
hanya dibalas dengan anggukan.
“Oh ya, ada
beberapa orang pelanggan tetap kita tu, kirim salam,” ujar Luqman
teringat pesanan daripada beberapa pelanggannya yang kebanyakan
mereka adalah lelaki.
“Ah, aku tahu.
Pasti mereka lagi. Aku nak tanya kau, aku ni terlampau cantik sangat
ke?” tanya Arissa sambil mengupas buah epal merah dengan
berhati-hati.
Luqman mengangkat
bahu.
“Aku ada baca satu
aritikel yang mengatakan lelaki yang dah berkahwin memang mudah
dijangkiti penyakit miang. Sebagai perempuan dan sebagai bakal isteri
seseorang, aku rasa itu memang menakutkan.”
“Jangan risau, aku
takkan buat Sarah begitu.”
“Bagus. Err…
bukan bermaksud aku tak percayakan kau tapi … lelaki… memang
sukar dijangka. Satu saat dia kata tidak dan beberapa saat kemudian
macam-macam boleh berlaku.”
“Sejak bila kau
fobia dengan lelaki?”
“Fobia?” Arissa
mengerut dahi. “Apa yang aku cakap tadi tak bermakna aku fobia
dengan lelaki. Jangan risau, aku masih normal dan sukakan lelaki.”
“Habis tu kenapa
aku tak pernah tengok kau dating dengan lelaki?” tanya Luqman lagi.
“Atau kau masih menunggu Nazwan.”
“Haha… Luqman,
jangan salah faham. Aku masih seperti dulu cuma aku tak nak
tergesa-gesa. Dan siapa kata aku tak pernah dating dengan sesiapa
sejak aku putus dengan Nazwan. Ada beberapa orang tapi hanya setakat
kawan.”
“Kenapa?”
“Dah berkahwin,
dah bertunang, miang, mintak yang bukan-bukan, masih di bawah umur
dan tak ada six pax.”
“Yang terakhir tu
sangat tak relevan.”
“Aku akan pastikan
itu relevan suatu hari nanti,” ujar Arissa sambil menghulurkan
sepinggan buah epal yang sudah dipotongnya tadi.
“Terima kasih,”
Luqman mengambil dua hirisan epal dari pinggan itu.
“Sama-sama. Ah,
aku terpaksa teman nenek tengok Running Man.”
“Aku faham
perasaan kau. Aku kena download episod Running Man yang seterusnya,”
keluh Luqman.
“Berkhidmat untuk
Running Man!” ujar Arissa sambil menabik hormat Luqman. Luqman
turut mengikut.
kesian arissa. pengalaman mematangkan seseorang. go arissa! =)