Seseorang untuk Dinikahi: Bab 21


Nenek, Rissa minta maaf. Semua ni salah faham. Kami tak buat apa-apa pun. Rissa demam, Nazwan cuma jaga Rissa. Betul. Sumpah,” ujar Arissa seraya mengangkat tangan kanannya seakan berikrar.
Bagaimanapun, mata tua itu tetap merenungnya dengan tajam. Semakin kecut perut Arissa dibuatnya. Nenek tidak pernah merenungnya sedemikian rupa. Apatah lagi renung tanpa bersuara sepatah pun. Lihat sahaja situasi ini, dia tahu, nenek tidak gembira dengan apa yang telah berlaku.
Dia juga tahu, tiada gunanya lagi dia hendak memujuk nenek. Nenek betul-betul marah. Kalau Nazwan ada di sebelahnya sekarang, sudah pasti dia ada keberanian hendak berhadapan nenek. Malangnya, awal-awal lagi nenek suruh Nazwan balik ke biliknya. Tinggallah dia berhadapan dengan nenek dan Mama Tifa.

Pandangan Arissa berpaling ke arah Mama Tifa. Sama macam nenek, Mama Tifa juga asyik mendiamkan diri sejak tadi. Sah. Mama Tifa juga marah dengan apa yang berlaku. Dia tidak tahu bagaimana hendak terangkan kepada mereka lagi.
Nenek dah buat keputusan,” akhirnya Puan Azizah bersuara.
Arissa menelan air liur. Dia cuba memberanikan dirinya bertentang mata dengan nenek Nazwan. Seram sejuk tubuhnya kian menjadi-jadi. Entah apa pula keputusan nenek kali ini.
Dan keputusan nenek...,” perlahan-lahan Arissa bersuara. Dia sudah tidak sabar lagi. Bukan itu sahaja, kebisuan nenek mendera mental dan fizikalnya secara tidak langsung.
Baru-baru ni, papa Rissa ada hubungi nenek,” Puan Azizah mengatur kata.
Papa mesti beritahu nenek pasal rancangan dia nak jodohkan Rissa dengan Nazwan, bukan?” teka Arissa yang sudah dapat meneka. Kalau papanya telefon nenek, memang dia sudah dapat agak apa yang diperkatakan oleh mereka.
Puan Azizah mengangguk.
Nenek abaikan jelah,” balas Arissa selamba.
Kalau diikutkan hati memang dia sudah lama lompat bintang di situ. Kahwin dengan Nazwan? Memang dia mahu! Tapi, apa gunanya kahwin dengan seseorang yang masih belum menerimanya sebagai teman hidup. Perjalanan cintanya masih jauh lagi.
Memang pada awalnya nenek nak abaikan tapi bila dah berlaku macam ni... nenek tak boleh nak pejam mata,” kata Puan Azizah serba salah.
Bukan ke Rissa dah kata tadi. Semuanya salah faham. Kami tak buat apa-apa pun. Lagipun, Nazwan tak pernah anggap Rissa ni kekasih dia,” keluh Arissa.
Itu nenek faham tapi masalahnya sekarang, kau orang berdua.”
Kenapa dengan kami berdua?” tanya Arissa semula. Dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh nenek.
Lagi dia tanya,” Puan Azizah menjeling tajam.
Dah Rissa tak faham, Rissa tanyalah,” balas Arissa.
Puan Azizah kemudiannya berpaling memandang anaknya, Puan Latifah yang sejak dari tadi hanya senyap di tepi. Puan Latifah bagaikan menerima isyarat untuk menjelaskan hal selanjutnya.
Rissa, sebelum mama Rissa meninggal dunia, dia pernah berhasrat hendak jodohkan Rissa dengan Nazwan tapi dengan satu syarat.”
Dan syarat tu?” tanya Arissa.
Rissa pasti tahukan, Nazwan orang pertama yang dapat mengesan kehadiran Rissa?” tanya Puan Latifah.
Arissa mengangguk. Diari mamanya ada tercatit cerita tentang itu. Walaupun sukar hendak dipercayai tetapi itulah yang berlaku. Nazwan orang pertama yang mengesan kehadirannya.
Rissa tentu tahu, Nazwan tak pernah berjauhan dengan mama Rissa semasa dia tengah mengandungkan Rissa, bukan?”
Sekali lagi Arissa mengangguk.
Itulah syaratnya.”
Arissa mengerut dahi. Langsung dia tidak faham apa yang cuba disampaikan oleh Puan Latifah.
Mama Rissa tak memaksa. Tapi kalau Nazwan masih berada di sisi Rissa dan tak membawa haluan sendiri, mungkin lebih baik jodohkan kamu berdua sebelum terlambat,” terang Puan Latifah.
Sebelum terlambat?” sekali lagi Arissa tidak faham.
Maknanya sebelum kamu berdua kena tangkap basah!” pantas nenek bersuara.
Arissa menghela nafas panjang.
Nenek, kami tak buat apa-apa pun.”
Nenek tahu tapi nenek tetap risau. Jadi, nenek dah buat keputusan....”

***

Nazwan mengeluh. Dia semakin pening kepala. Bukannya kerana memikirkan kejadian yang berlaku sebentar tadi, tetapi kerana melihat Luqman dan Naufal berjalan ke hulu ke hilir di hadapannya. Keadaan mereka umpama seperti orang tidak sabar menunggu kucing beranak pun ada.
Wei, aku tahu kau orang risau tapi tolong jangan jalan ke hulu ke hilir macam ni. Aku yang tengok rasa macam nak muntah,” tegur Nazwan kepada sepupunya itu.
Baguslah. Kau dah dera otak aku, sekarang aku nak dera kau pula,” balas Luqman seakan mengajak Nazwan berperang.
Betul. Tergamak kau buat Kak Rissa macam ni? Lepas tu, buat muka tak bersalah pula,” ujar Naufal turut menyokong Luqman.
Aku tak buat apa pun,” jawab Nazwan untuk sekian kali. Letih mulutnya bercakap menafikan hal yang sama.
Aku tak faham, kenapa kau mesti duduk satu bilik dengan Arissa? Lepas tu, boleh kantoi dengan nenek pula tu,” Luqman tidak puas hati.
Betul,” Naufal sejak tadi asyik menyokong Luqman sahaja.
Ini mesti Arissa sudah rancang awal-awal untuk perangkap kau,” kata Luqman kali ini menuduh Arissa pula.
Be... eh, apa pula salah Kak Rissa?” soal Naufal yang pada awalnya ingin menyokong Luqman. “Dia tu mangsa keadaan tau!”
Naufal, aku ada idea,” ujar Luqman tiba-tiba. “Apa kata kalau kau curi dengar apa yang berlaku kat bilik sana?”
Hah, good idea!” tanpa berlengah lagi Naufal segera meninggalkan bilik itu.
Imaginasi kau memang sentiasa kreatif, Luqman,” balas Nazwan tenang selepas Naufal berlalu pergi. Dia tahu sangat, Luqman sengaja menghalau Naufal dari situ supaya dia boleh bersuara tanpa gangguan orang ketiga.
Habis tu, boleh kau beritahu aku macam mana nenek tiba-tiba ada dekat sini?” soal Luqman lagi.
Dah berapa kali aku beritahu kau. Aku tak buat apa-apa dengan Arissa. Dia demam. Aku cuma pastikan dia tak ada apa-apa. Pasal nenek, aku pun terkejut,” jelas Nazwan entah kali ke berapa. Berapa kali dia jelaskan pun Luqman tetap tidak akan percaya.
Pendek kata kau dah kantoi,” balas Luqman geram. “Lepas ni, dah sah-sah kau kena kahwin dengan Arissa tu. Mesti kau lagi sukakan? Sebab tu kau nampak tenang saja. Aku tak kira, walau apa pun terjadi kau takkan kahwin dengan Arissa.”
Kenapa?” tanya Nazwan.
Sebab aku tak dapat terima kalau Arissa jadi isteri kau. Hidup kau pasti akan jadi kucar-kacir macam puting beliung melanda bumi ni.”
Sekali lagi, imaginasi kau memang sentiasa kreatif,” ujar Nazwan sambil bertepuk tangan.
Aku serius, Nazwan.”
Aku tahu,” balas Nazwan tenang.
Kau betul-betul sukakan Arissa?” tanya Luqman serius.
Yup, aku sukakan dia,” jawab Nazwan tanpa berfikir panjang lagi.
Jawapan Nazwan serta-merta membuatkan Luqman terkedu. Bila melihat Luqman yang hilang kata-kata itu, Nazwan ketawa kelucuan.
Kalau aku kata aku sukakan dia, itu tak bermakna aku ada hati pada dia,” jawab Nazwan yang masih ketawa.
Habis tu?” tanya Luqman.
Aku suka dia sebagai kawan je,” jawab Nazwan jujur.
Tak lebih daripada tu?” soal Luqman lagi.
Nazwan mengangguk.
Sebenarnya, aku pernah cuba nak serius dengan dia, tapi aku tak boleh,” beritahunya berterus terang.
Kenapa?” tanya Luqman.
Namun, Nazwan tidak memberikan sebarang jawapan.
Kau tak beritahu pun aku boleh agak. Kau masih belum dapat lupakan Natasya lagi,” teka Luqman.
Nazwan tidak memberikan sebarang jawapan. Dia tidak mengiakan mahupun menafikan kenyataan itu. Tapi, apa yang Luqman katakan tadi memang betul. Dia masih belum dapat melupakan Natasya. Mustahil untuknya melupakan Natasya dalam masa yang singkat. Mustahil juga baginya untuk membuka pintu hatinya untuk orang lain.
Kalau nenek tetap nak kahwinkan kau dengan Arissa macam mana? Sebab aku pernah terdengar perbualan nenek dengan mama....”
Itu takkan berlaku,” jawab Nazwan tenang.
Kenapa kau pasti sangat?”
Sebab aku kenal nenek. Dia takkan buat buat keputusan dengan terburu-buru. Lagi satu, dia pasti takkan bagi aku jaga anak dara orang dalam keadaan aku masih belajar ni,” ujar Nazwan dengan penuh yakin.
Betul tu,” Puan Latifah tiba-tiba mencelah. Masing-masing terkejut apabila melihat Puan Latifah berdiri di hadapan pintu. “Nenek memang takkan buat keputusan terburu-buru tapi apa yang pasti, nenek dah buat keputusan nak tunangkan kamu dengan Arissa.”
Apa?” terkejut Luqman dibuatnya.
Kan aku dah kata,” kata Nazwan selamba.
Luqman kembali memandang Nazwan yang masih nampak tenang. Dia tanya-tanya, sama ada dia dengan Nazwan menerima maklumat yang sama. Jika sama, dia tidak faham kenapa Nazwan masih tenang seperti biasa.
Luqman, mama ada hal nak berbincang dengan Nazwan,” ujar Puan Latifah memberi isyarat kepada Luqman supaya meninggalkan mereka berdua.
Luqman tidak membantah. Tanpa disuruh buat kali kedua, dia terlebih dahulu mengangkat kaki meninggalkan bilik itu. Kini, tinggal Nazwan dan Puan Latifah di dalam bilik itu.
Kenapa?” tanya Nazwan apabila melihat Mama Tifa merenungnya semacam.
Kali ini nenek betul-betul serius, Nazwan.”
Tahu,” jawabnya sepatah.
Kamu masih ada hak untuk bantah keputusan nenek.”
Tak guna. Nenek tetap dengan keputusannya,” jawab Nazwan yakin. “Kalau nenek yakin Naz boleh bahagia dengan Arissa... okey. Naz ikut je rancangan nenek tu.”
Nazwan, jangan terlampau memaksa diri.”
Bukan ke Mama Tifa pernah cakap, kita perlu lakukan sesuatu untuk melupakan orang yang dah tiada lagi.”

***

Keluar sahaja dari kamar mandi, Sarah mendapati Asha masih dalam posisi sama. Masih berniarap atas katil sambil kedua tangannya memangku dagu. Gayanya seperti sedang memikirkan masalah negara. Dia pula pening kepala memikirkan perangai Asha yang tiba-tiba banyak mendiamkan diri sejak pulang ke hotel tadi.
Pelik betul. Tiada sebab Asha perlu mendiamkan diri seribu sahaja begini. Macam masalah yang dihadapi oleh Asha lebih teruk berbanding masalah yang ditimbulkan oleh Arissa tadi. Huh, sakit hati saja memikirkannya.
Kau nak beritahu aku ke, negara mana yang akan dilanda todak kali ni sampai buat kau pening memikirkannya,” ujar Sarah menyapa.
Hmm...,” Asha segera bangun daripada meniarap dan terus duduk berhadapan dengan sepupunya itu. “Aku tengah fikir, apa yang membuatkan si budak tak cukup umur tu suka sangat dengan Nazwan.”
Sarah mengerut dahi. Dia betul-betul terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Asha. Jadi, itu yang merusingkan Asha? Pelik. Asha bukannya kenal sangat dengan Nazwan mahupun Arissa tapi cara Asha berfikir macam sedang merancang sesuatu yang besar sahaja.
Jangan-jangan, Asha betul-betul serius! Sarah mula dapat menangkap apa yang difikir oleh Asha sekarang. Patutlah sejak dari siang tadi Asha banyak berbual tentang Nazwan dengan Luqman. Luqman pula satu hal. Semua benda hendak cerita pada Asha. Padahal sudah puas dia cuba bagi warning yang Asha lebih teruk daripada Arissa.
Kenapa kau tiba-tiba ambil peduli dengan dia orang tu?” soal Sarah yang mula tidak senang hati.
Saja,” jawab Asha selamba.
Sarah bertambah tidak puas hati dengan jawapan Asha tadi. Kalau Arissa seorang yang sukar dijangka, Asha pula lebih teruk daripada Arissa. Bukannya dia tidak kenal perangai sepupunya itu. Lebih-lebih lagi berkaitan dengan lelaki.
Aku dah perhatikan. Nazwan tu tak adalah handsome sangat tapi okey... sedap mata memandang. Cuma, aku tak faham, apa yang membuatkan budak tak cukup umur tu suka sangat dengan Nazwan. Mesti ada sesuatu yang buat budak tu sukakan Nazwan, contohnya, lelaki Melayu terakhir,” ujar Asha lagi.
Bukan ke kau tak suka lelaki Melayu?” soal Sarah seraya cuba mengingatkan perbualan mereka dua tahun lalu. Dia masih ingat lagi, Asha pernah berkata lelaki Melayu bukan jenis yang dia suka. Tapi hari ini, lain pula yang jadi.
Ada ke?” tanya Asha kembali.
Kau patut sedar yang kau memang tak pandai berpura-pura,” balas Sarah memandang Asha dengan tajam.
Okey, kalau ya pun tak jadi satu masalah, bukan?”
Tapi aku ada masalah.”
Kenapa?”
Nazwan kawan aku.”
So?”
Sarah mengeluh panjang.
Kau pun tahukan dia teman wanita dia dah meninggal dunia?”
Jadi? Kita kena tunggu sampai teman wanita dia hidup kembali dan dia dengan Nazwan boleh bercinta kembali?” soal Asha kembali.
Bukan tu maksud aku. Dia masih dalam fasa melupakan kekasih dia.”
Hanya ada satu cara untuk lupakan orang yang dah tiada, move on,” jawab Asha penuh yakin. “Kekasih dia yang meninggal tu cinta pertama dia, jadi dia tak ada pengalaman bercinta dan putus cinta. Aku berani jamin sekarang ni dia sendiri pun tak tahu apa yang dia tengah buat. Dia fikir dia dah lupakan Natasya dan mampu hidup gembira tapi sebenarnya tak.”
Sarah mengangguk. Apa yang Asha cakapkan tadi memang ada betulnya. Dia sendiri menyedari hal itu apabila Nazwan tiba-tiba setuju menjadi kekasih Arissa tapi dalam masa yang sama menafikan dia ada perasaan terhadap Arissa.
Kau fikir dia akan lupakan Natasya?” tanya Sarah.
Belum sempat Asha hendak menjawab, telefon bimbit Sarah berbunyi. Sarah lantas membuka mesej yang diterima daripada Luqman. Pastinya Luqman hendak melaporkan apa yang telah terjadi pada Nazwan dengan Arissa selepas kena kantoi dengan nenek tadi. Harap-harap bukan berita buruk.
Tapi harapan hanya tinggal harapan apabila dia membaca ayat pertama mesej itu.
Bad news. Nenek dah buat keputusan nak tunangkan diorang berdua. Majlis tunang akan berlangsung dua minggu dari sekarang. – Luqman.
Dah agak dah,” keluh Sarah.
Kenapa?” tanya Asha.
Dua minggu lagi diorang berdua akan ditunangkan,” jawab Sarah tidak bersemangat.
Jadi, kau ada dua minggu lagi untuk rancang sesuatu,” balas Asha.

Sarah memandang Asha. Terkejut. Dia tidak menyangka Asha akan menjawab sedemikian. Tapi, apa yang Asha cakap tadi ada betulnya. Masih ada dua minggu lagi untuk rancang sesuatu!

7 si charming:

  1. IzZ berkata...:

    bukan paranoid tapi ini realiti setiap kisah mesti ade c pengkucar kacir ny..kadang2 kita xsedar maybe kite pon pengkucar kacir keadaan juge..hee..marah dekat 2 ekor tu sebenarny tp try pk +ve kononny..haha

  1. MizaEija berkata...:

    Gaya macam Asha tau je apa yg tersirat dalam hati Sarah..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Terok bebenor kengkawan arissa nie..
    Bukn kwn pun, musuh dlm selimut jew..
    Hope ade someone yg bleh backup arissa..

  1. asyu berkata...:

    hurm...
    bila la Arissa ni boleh bahagia??
    huhuhu kahwinkan la arissa dengan Nazwan cepat-II..
    btw.. rasa macam Naufal akan memberi satu impak kepada Arissa... hurm..

  1. si yellow berkata...:

    lmbatnye nazwan nak jatuh cinta ngan arissa..huhu

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Lamt tul ceritanya....ccepat sikit..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Cepat la sikit updatenya.

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages