“Asalamualaikum
dan selamat pagi Mama Tifa,” ucap Arissa sebaik sahaja Puan Latifah
membuka pintu rumahnya itu.
“Waalaikum
salam. Arissa, ingatkan siapa tadi,” sapa Puan Latifah.
Awal-awal
pagi lagi ketika dia sedang menyediakan sarapan yang menjadi rutin
hariannya setiap pagi, loceng rumahnya ditekan seseorang. Terkejut
juga dia dengan kehadiran Arissa yang selama ini tidak pernah muncul
di pintu rumahnya awal-awal pagi.
“Boleh
saya masuk?” tanya Arissa mesra.
“Maaf,
jemputlah masuk. Mama Tifa tengah sediakan sarapan, kejap lagi kita
makan sama-sama,” pelawa Puan Latifah yang kembali menutup pintu
hadapannya setelah Arissa melangkah masuk.
“Oh,
bercakap pasal sarapan, saya ada buat donut. Macam-macam perisa ada,”
ujar Arissa menghulurkan sebekas sederhana besar yang berisi donut
yang dia buat sejak awal pagi tadi.
“Terima
kasih Arissa. Dah lama kami tak makan donut yang Arissa buat.
Nampaknya hari ni Mama Tifa tak payah masaklah,” ujar Puan Latifah
menghela nafas lega. Nampaknya, hari ini dia bernasib baik kerana
tidak perlu sediakan sarapan. Lagipun, dia terlambat bangun semalam
kerana terjaga sehingga ke tengah malam menyiapkan kerja pejabatnya.
“Sebagai
tanda terima kasih sebab benarkan Nazwan menemani saya ke Perak dan
pinjamkan kereta. Kalau tak kerana Mama Tifa, saya mungkin takkan
dapat pengalaman yang menarik ni,” kata Arissa menolong Puan
Latifah menghidangkan donut yang dibawanya tadi ke meja makan.
“Tak
penat ke? Sudahlah baru balik, lepas tu buat donut lagi,” tanya
Puan Latifah.
“Sudah
tentulah tak. Lagipun bukan saya yang memandu,” jawab Arissa.
“Betul
juga. Semalam Nazwan balik, terus masuk tidur. Orang panggil makan
pun dia tak nak. Budak tu, kalau dapat jumpa katil memang payah nak
bangun,” tambah Puan Latifah.
“Dia
masih tidur lagi?” tanya Arissa sambil matanya meliar memandang
sekeliling. Sudah pukul 7.00 pagi. Sepatutnya Nazwan sudah bangun dan
bersiap sedia hendak pergi ke kuliah tapi batang hidung pun tidak
nampak.
“Tak
tahulah. Dia tu kalau dah penat sangat memang bangun lambatlah
jawabnya,” jawab Puan Latifah menuangkan secawan air kopi untuk
Arissa.
“Apa
yang kau buat dekat rumah aku pagi-pagi ni?” sapa satu suara yang
tidak pernah hendak berdamai dengannya.
Arrissa
menghela nafas panjang. Dia sudah agak, Luqman pasti akan
mempertikaikan apa yang dia lakukan di rumah itu awal-awal pagi.
Luqman seorang yang peka dengan keadaan sekeliling, kalau dia tidak
berhati-hati memang cari nahaslah. Tapi, kalau Luqman tahu apa yang
sedang dirancangnya, bagus juga. Bolehlah dia turut kucar-kacirkan
hidup lelaki itu.
“Hari
Luqman,” sapa Arissa dengan senyuman manis.
“Hantu
mana yang sorok Arissa yang aku kenal selama ni?” tanya Luqman agak
terkejut dengan sapaan Arissa yang mesra tadi.
“Luqman,
boleh tak kalau bercakap dengan Arissa tu baik-baik sikit?” tegur
Puan Latifah.
“Tak
boleh mama. Arissa memang dah sinonim dengan hormon jahat Luq. Bila
bercakap dengan dia automatik horman jahat Luq muncul. My bad,”
keluhnya separuh memerli.
“Tak
mengapa Mama Tifa. Saya dah biasa,” jawab Arissa dengan senyuman
lagi.
“Okey,
tolong jangan senyum macam tu lagi,” ujar Luqman yang mencapai
sekeping roti menutup matanya daripada melihat wajah Arissa yang
menakutkan itu.
“Hai
Nazwan,” tegur Arissa kepada Nazwan yang menghampiri meja makan.
“Apa dah jadi dengan kau?” tanya Arissa yang terpegun melihat
penampilan Nazwan yang seperti baru bangun tidur. Bila dia perhatikan
Nazwan atas bawah, bukan seperti bangun tidur memang sah baru bangun
tidur. Dengan seluar panjang kotak-kotak, baju t-shirt, rambut
berserabai macam dilanda garuda, tapi entah kenapa Nazwan masih
nampak handsome macam selalu!
Ah,
kau dah dilanda angau, Arissa.
“Dude,
tolong jangan buat aku macam ni,” ujar Luqman yang turut terkejut
melihat penampilan Nazwan yang duduk di sebelahnya.
“Tak
pergi kelas hari ni?” tanya Puan Latifah.
“Oh,
tak mengapa saya boleh tuangkan,” pantas Arissa mencapai teko yang
berisi air kopi itu sebaik sahaja Puan Latifah ingin mengambilnya.
Belum sempat Puan Latifah ingin bersuara, Arissa sudah terlebih
dahulu menuangkan secawan air kopi dan diberikan kepada Nazwan.
Luqman
hanya melihat situasi itu.
“Kelas
pagi batal,” ujar Nazwan dan menghirup kopi panas itu.
“Batal
atau kau sengaja batalkan?” tanya Luqman yang tidak puas hati
apabila tiada siapa yang ingin menuangkan air untuknya.
“Entah.
Aku tak dapat fikir siapa yang batalkan,” jawab Nazwan selamba.
“Pulak?”
Arissa mengerut dahi.
“Dia
separuh tidur. Belum terjaga sepenuhnya,” beritahu Puan Latifah.
“Ohh...,”
Arissa mengangguk faham. Sesuatu yang baru dia tahu tentang Nazwan.
“Nazwan, aku ada buat donut. Khas untuk kau. Tanda terima kasih
sebab kau sudi jadi pemandu aku semalam dan kemarin,” ujar Arissa
sambil meletakkan sebiji donut yang kosong di atas pinggan kecil dan
diberikan kepada Nazwan. Tiada apa-apa di atasnya. Memang dia sengaja
tidak meletakkan perisa di atasnya seperti donut-donut yang lain
kerana dia tahu cita rasa Arissa.
Melihat
sahaja seketul donut berada di hadapannya, Nazwan segera mencapai
cawan kopinya dan menuang sedikit air kopi itu di atas donut tadi.
Setelah donut itu dibasahi air kopi, dia mencapai sos cili dan
diletakkan di atas sekeliling donut itu. Mereka hanya mampu melihat
tabiat makan Nazwan yang memang pelik dan lain dari lain.
“Hahaha...
comel dan kelakar. Tak sangka Nazwan ni comel dan kelakar!” ujar
Arissa mengulang benda yang sama sebaik sahaja melihat Nazwan makan
donut yang dibuatnya dengan lahap sekali.
Luqman
mengerut dahi.
Begitu
juga dengan Puan Latifah yang tidak faham. Mustahil Arissa tak tahu
tabiat makan Nazwan yang pelik itu. Ini bukan kali pertama Nazwan
buat begitu. Sudah banyak kali.
“Err...
saya terpaksa pergi ke kuliah dulu. Terima kasih Mama Tifa,” ujar
Arissa sebelum meninggalkan Puan Latifah dengan Luqman kehairanan.
Manakala Nazwan masih lagi menikmati donutnya.
“Kenapa
dengan kamu ni?” tanya Encik Luqfi yang menyedari isteri dan anak
lelakinya berpandangan sesama sendiri.
“Arissa
cakap Nazwan comel dan kelakar,” kata Luqman.
Encik
Luqfi yang sedang membetulkan tali lehernya, berhenti berbuat
demikian. Barangkali cuba berfikir apa yang anaknya beritahu.
“Serius?”
tanya Encik Luqfi juga tidak percaya. Serentak Puan Latifah dan
Luqman mengangguk. Kemudian, mereka bertiga memandang ke arah Nazwan
yang baru hendak melahap donut yang kedua.
Nazwan
mula menyedari ada beberapa pasang mata sedang memandang ke arahnya.
Perlahan-lahan dia memandang sekeliling. Serta-merta dia berhenti
mengunyah. Separuh donut kelihatan tergantung di mulutnya. Dia berasa
seperti seorang penjenayah pula.
“Kenapa?”
tanya Nazwan yang tidak tahu apa-apa.
“Kau...,”
nafas Luqman mula turun naik. Dia mula dapat mengagak keseluruhannya.
“Kita selesaikan balik ni. Ingat, balik ni kita selesaikan!” ujar
Luqman bergegas berlalu dari situ.
Nazwan
menggaru kepala. Tidak faham dengan apa yang telah berlaku, dia
kembali menjamah donut tadi.
****
“Tak
ada jalan lain lagi,” ujar Arissa. Dia menarik nafas panjang
apabila melihat Luqman berjalan menghampiri kereta Neo kelabu itu.
Tanpa berlengah lagi Arissa lantas turun daripada keretanya dan
bergegas menghampiri Luqman.
“Hai
Luqman,” sapa Arissa dengan senyuman mesra.
“Hai
dan babai,” balas Luqman sambil membuk apintu keretanya tapi Arissa
pantas menutup kembali pintu kereta itu dan bersandar di pintu itu
supaya Luqman menumpukan perhatian kepadanya.
“Apa
kau nak?” tanya Luqman dengan muka kereknya.
“Aku
tahu kau tak sukakan aku tapi aku ada berita baik dan aku rasa kaulah
orang pertama yang perlu tahu tentang berita ni,” ujar Arissa
dengan penuh gembira.
“Kau
dah jatuh cinta dengan Nazwan,” ujar Luqman yang sudah dapat meneka
apa yang Arissa ingin sampaikan kepadanya.
“Wau!
Kau pun dah jadi ahli peramal masa depan?” ujar Arissa yang
sebenarnya sudah dapat jangka Luqman mesti dapat menjangkakan berita
itu.
“Kau
datang awal pagi, bawa donut untuk Nazwan, tuangkan air untuk Nazwan
dan langsung tak perasan yang aku tak dapat secawan kopi. Malah, kau
cakap Nazwan tu comel dan kelakar,” ujar Luqman dengan poin-poin
yang dia dapat kesan.
“Mmm...,”
Arissa mengangguk faham. “Aku tahu kau mesti tak suka dengan semua
ni...”
“Yup
dan kalau boleh jauhkan diri kau daripada Nazwan,” ujar Luqman yang
bunyi seperti memberikan amaran. Tapi, amaran Luqman itu sedikit
tidak menakutkan Arissa.
“Tak
nak!” tegas Arissa. “Aku adalah Arissa yang bila dah jatuh cinta
dengan seseorang, aku akan teruskan misi memburu cinta. Jadi, jangan
halang aku tapi aku perlukan bantuan kau.”
“Hahaha...,”
ujar Luqman dengan ketawa dibuat-buat. “Tak ada sebab kenapa aku
perlu tolong kau. Aku adalah Luqman yang akan sentiasa melindungi
sepupu aku, Nazwan daripada ahli sihir macam kau.”
“Baiklah.
Kalau macam tu, aku terpaksa gunakan Plan B,” ujar Arissa sambil
tersenyum.
“Tak
pedulilah kalau kau guna plan apa sekali pun. Aku tetap takkan tolong
kau. Kalau aku tolong kau itu bermakna aku tolong musnahkan masa
depan sepupu aku.”
“Kau
ingat aku tak tahu apa yang kau sorok dekat laci nombor dua meja
tulis kau tu?” ujar Arissa sambil memeluk tubuh. Matanya tepat
memandang ke arah mata Luqman.
Luqman
ketawa lagi.
“Apa
kau merepek ni? Kau mana pernah masuk bilik aku, macam mana kau
tahu...,” kata-katanya terhenti. Otaknya ligat memproses maklumat.
Dia memandang Arissa yang sekdar tersenyum sinis. “Ahli sihir...,”
hanya itu yang mampu diungkapnya apabila dia dapat memikirkan taktik
kejam Arissa.
Arissa
tersenyum sinis. Kemudian dia mengeluarkan satu album yang tidak
asing lagi buat Luqman.
“Album
AKB48 yang ada tandatangan diorang yang hilang tu... ada kat kau?!”
dia hampir menjerit melihat album penyanyi kegemarannya yang pernah
hilang dulu ada di tangan Arissa.
“Aku
terjumpa secara secara sengaja. Disebabkan kau selalu sangat sakitkan
hati aku, jadi aku terfikir aku kena buat sesuatu untuk tutup mulut
kau. Jadi, satu hari, aku menyelinap masuk dalam bilik kau dan
terjumpa sesuatu kat laci nombor 2. Memang tak terkata terkejutnya
aku tengok laci tu. Bukan saja penuh dengan album AKB48 tapi...,”
Arissa sekali lagi tersenyum. “Aku ambil album ni sebab aku
tengok, ada sign. Mesti berhargakan?”
“Bagi
balik!” bagaikan budak kecil Luqman ingin merampas album itu dari
tangan Arissa tapi Arissa pantas bertindak dengan mengacukan pemetik
api pada gambar gadis-gadis muda yang diconteng dengan tandatangan
itu.
Serentak
itu Luqman berhenti berbuat apa-apa.
“Okey,
kau menang. Tolong jangan apa-apakan gambar tu,” ujar Luqman sambil
menenangkan Arissa.
“Semudah
tu? Macam tak percaya je. Kalau aku bagi tahu Sarah, mesti dia akan
serang laci nombor 2 kau,” tambah Arissa lagi sengaja ingin
menakut-nakutkan Luqman.
“Okey.
Okey. Aku sumpah akan tolong kau,” Luqman semakin menggelabah.
Arissa
tersenyum jahat. Dia mematikan pemetik api itu dan menyimpan album
itu ke dalam begnya. Serentak itu, Luqman menghela nafas lega. Mana
tidaknya. Punyalah dia bersusah payah menipu neneknya dan pergi ke
Jepun senyap-senyap semata-mata hendak dapatkan tandatangan AKB48.
Nazwan kata, dia gila. Ya. Dia memang gila kalau melibatkan AKB48.
“Okey.
Kau dah janji nak tolong aku. Lepas ni, jangan sesekali halang aku
menggedik dengan Nazwan. Kalau tak, nahaslah kau. Bukan setakat album
ni aku bakar tapi aku report kat Sarah dengan nenek kau apa yang kau
simpan dalam laci nombor 2,” ujar Arissa lagi cuba menakut-nakutkan
Luqman.
“Kau
nak aku tolong apa?” tanya Luqman keterpaksaan.
“Kau
akan naik kereta Nazwan supaya aku boleh tumpangkan Nazwan balik,”
ujar Arissa memberitahu rancangannya.
“Hah?”
terkejut Luqman mendengarnya. “Punyalah kau ugut aku nak bakar
album tu, tapi kau hanya minta tolong tu saja?” Luqman seakan tidak
percaya.
“Kau
ingat aku nak buat apa? Rogol Nazwan?” perli Arissa.
“Aku
tak fahamlah kenapa aku jumpa orang macam kau ni,” keluh Luqman
tidak puas hati. Tapi demi album AKB48 dia terpaksa.
“Nazwan
datang!” ujar Arissa yang terlihat Nazwan dari jauh berjalan menuju
ke parkir kereta. Pastinya Nazwan sudah habis kelas. “Hai Nazwan!”
sapa Arissa mula menggedek.
“Mmm...,”
Nazwan sekadar mengangguk.
“Err...
hari dah petang. Aku nak balik ke rumah dengan naik kereta,” ujar
Arissa sambil menekankan perkataan 'kereta' dan memandang Luqman.
“Mmm...
baliklah,” jawab Luqman acuh tidak acuh.
Arissa
mendengus marah.
“Sambil
memandu aku nak dengar album yang baru aku beli,” ujar Arissa lagi
dengan menekakan perkataan 'album'. Serentak itu Luqman tersedar apa
yang disuruh oleh Arissa tadi.
“Nazwan,
aku nak kunci kereta kau,” ujar Luqman dalam terpaksa.
“Nak
buat apa?” tanya Nazwan. Dalam teragak-agak, dia memberikan kunci
keretanya kepada Luqman.
“Tiba-tiba
aku rasa nak bawa Sarah dating dengan kereta kau,” kata Luqman acuh
tak acuh.
“Habis
kereta kau?” tanya Nazwan pelik dengan Luqman hari ini.
“Kami
sama-sama merajuk,” jawab Luqman dengan jawapan yang tidak masuk
akal lagi.
“Habis,
aku?” tanya Nazwan lagi.
“Kau
uruskan diri kau sendiri. Semoga berjaya.”
“Kesiannya.
Apa kata aku tolong hantar kau balik rumah?” pantas Arissa
bersuara.
Nazwan
memandang Arissa. Kemudian, dia memandang Luqman yang sudah masuk ke
dalam kereta klasiknya.
“Kenapa
semua orang pelik sangat hari ni?” dia menggaru kepala. Malas
hendak berfikir lanjut, dia melangkah masuk ke kereta Arissa.
“Oh
ya, aku baru teringat. Mama Fiza tak masak malam ni, jadi aku
terpaksa bersiap sedia makan kat luar. Alang-alang kau dah tumpang
aku, kau temankan aku makan ya,” ujar Arissa sambil menghidupkan
enjin kereta.
“Err...
kalau macam tu... aku nak bas jelah,” baru sahaja Nazwan bersuara,
Arissa sudah pun memasukkan gear dan memandu keluar dari tapak parkir
khas untuk pelajar universiti itu. Sewaktu dia melalui hadapan
keretanya, dia melihat Luqman dengan wajah sedih melambai-lambai ke
arahnya.
Sekali
lagi dia menggaru kepala.
Arissa
tersenyum. Rancangan hendak makan bersama Nazwan sudah berjaya.
Dunianya hampir bertembung dengan dunia Nazwan. Tidak lama lagi akan
berlaku hura-hara. Semakin tidak sabar dibuatnya!
***
“Bukan
ke aku dah kata, kita akan sampai rumah sebelum pukul 6 petang,”
ujar Arissa kepada Nazwan setelah memberhentikan keretanya di
pekarangan rumahnya. Sejak keluar dari univerisiti tadi, Nazwan
memang tidak mahu menemaninya makan tapi Arissa terpaksa menggunakan
kuasa veto yang ada padanya dengan memandu pergi ke gerai yang
kawasannya susah untuk mendapatkan bas dan teksi. Agak kejam tapi itu
sahaja yang mampu dia lakukan.
Nampaknya
hendak memikat Nazwan memang sukar. Walaupun dia dengan Nazwan sudah
berkawan lama tetapi itu tidak bermakna dia tahu setiap kelebihan dan
kelemahan Nazwan. Nazwan bukan seperti lelaki-lelaki yang pernah
bertakhta di hatinya. Nazwan lain. Orangnya umpama tidak berperasaan.
Barangkali masih teringat kekasih lama, Natasya.
Arissa
menghela nafas lemah. Dia sekadar melihat Nazwan berjalan
meninggalkan kawasan rumahnya. Misi hendak makan bersama Nazwan hari
ini sudah berjaya tapi masih belum berjaya sepenuhnya. Nazwan banyak
mendiamkan diri sementara dia banyak bercakap.
Nazwan
hanya cakap, “Dah? Boleh kita balik?” Ayat itu diulang banyak
kali sampai Arissa pun mula bosan.
“Hidup
dia memang bosan. Pergi kelas, balik rumah, pergi kelas, balik rumah.
Ah... Natasya, apa yang kau dah buat dengan Nazwan? Kenapa kau seksa
dia sampai macam tu sekali?” keluh Arissa sendirian.
Dengan
langkah yang longlai, dia membuka pintu rumahnya. Baru sahaja dia
hendak melangkah masuk, alangkah terkejutnya apabila dia disergah
dengan kehadiran Sarah di rumahnya.
“Sarah!
Apa kau kat sini?” tanya Arissa mengurut dadanya.
Sarah
tidak bersuara. Namun sebaliknya terus mencapai tangan Arissa dan
menarik Arissa naik ke bilik Arissa. Pintu bilik ditutup rapat dan
dikunci.
“Kau
dah gila?” itu ayat pertama Sarah sebaik sahaja mereka berhadapan.
“Dengan Nazwan? Tak ada lelaki lain ke?” Kali ini Sarah kelihatan
marah.
“Luqman
report kat kau?” teka Arissa.
“Ini
bukan siapa report pada siapa. Ini hal perasaan orang,” kata Sarah
yang masih marah. Kemudian, Sarah menghela nafas panjang. “Okey,
pendek kata, kau perlu hentikan semua ni, Arissa. Aku tak kisah kalau
kau nak pikat semua lelaki dalam dunia ni tapi bukan Nazwan atau
Luqman.”
“Kenapa
pula? Maksud aku, Luqman tu aku faham tapi kenapa aku tak boleh nak
bercinta dengan Nazwan?”
“Sebab
kau tak boleh! Kau pun tahukan, Nazwan dah kehilangan Natasya. Cinta
dia pada Natasya cinta sejati. Bukan cinta main-main. Kau pula, lepas
tak sampai dua tiga bulan bercinta dengan lelaki, mesti putus, tak
pun kau tinggalkan dia dengan alasan yang entah apa-apa. Jadi, aku
tak nak Nazwan alami apa yang kau buat dekat bekas-bekas teman lelaki
kau tu. Kau faham tak?” tegas Sarah panjang lebar.
“Kau
ingat aku memang suka mainkan perasaan lelaki dan kau takut Nazwan
jadi mangsa aku seterusnya? Sarah, aku tahu apa yang aku buat. Aku
tahu semua ni berlaku dengan tiba-tiba tapi aku yakin, Nazwan mungkin
cinta sejati aku,” ujar Arissa dengan yakin.
“Sekarang
kau bercakap dia cinta sejati kau. Aku percaya selepas beberapa
bulan, kau mesti tinggalkan dia. Kau tak boleh tipu aku Arissa. Aku
kawan kau. Aku kenal perangai kau macam mana. Perasaan kau terhadap
Nazwan hanyalah ilusi.”
“Sarah...,”Arissa
benar-benar terasa dengan apa yang keluar dari mulut rakannya itu.
“Kalau
kau sayangkan persahabatan kita, lupakan Nazwan!” tegas Sarah buat
kali terakhir. Arissa sekadar melihat Sarah menghilang di sebalik
pintu biliknya. Kemudian, dia mencapai bingkai gambar lama yang
sering menjadi tatapannya dikala kesunyian.
“Jangan
risau mama, Rissa kuat. Rissa takkan sesekali mengalah. Biarpun tak
ada orang yang faham... Rissa takkan mengalah!” ujarnya dengan
penuh berkeyakinan. Namun, pada masa yang sama air matanya mengalir.
Dia kecewa.
Alahai.. kesian pulak kat si Arissa ni..