Seseorang untuk Dinikahi: Bab 22



Sekarang ada jawatan kosong ke?” soal Mama Fiza sekali gus memecah kesunyian dan menarik Arissa keluar dari lamunan yang panjang tadi.
Jawatan kosong?” tanya Arissa kembali. Takut tersalah dengar apa yang ditanya oleh Mama Fiza tadi. Rasanya, semasa dia mengelamun tadi, dia tidak pergi jauh sangat. Jadi soalan Mama Fiza tadi memang tidak masuk akal. Tambah lagi Mama Fiza sendiri tahu yang dia masih belajar. Mana datangnya pula soalan jawatan kosong.

Sebagai penasihat cinta Rissa,” kata Mama Fiza sekali gus menjawab persoalan tadi. “Ada kekosongan tak?” tanya Mama Fiza lagi.
Arissa sekadar mengukir senyuman. Pandai betul Mama Fiza mencari cara untuk mengalihkan tumpuannya supaya keluar dari lamunan. Penasihat cinta? Seumur hidupnya, dia tak pernah terfikir hendak mengupah seorang penasihat cinta. Mungkin sebab selama ini dia begitu memahami cintanya. Tapi, cuma kali ini...
Macam mana?” tanya Mama Fiza lagi.
Rissa tak ada masalah cinta langsung, jadi, tiada jawatan kosong,” kata Arissa tidak mahu menyusahkan Mama Fiza lagi dengan masalah remeh-temeh itu.
Okey,” Mama Fiza mengangguk faham dan tidak memaksa.
Mata Arissa kembali tertumpu pada gambar-gambar contoh pelamin yang diberikan oleh Mama Fiza tadi. Satu demi satu gambar dilihatnya. Anehnya, dia langsung tidak teruja dengan pelamin-pelamin itu. Bukannya tidak cantik. Pelamin ciptaan Mama Fiza memang cantik-cantik belaka tapi entah kenapa dia rasa tidak bersemangat.
Arissa mengeluh. Dia benci apa yang dia rasa sekarang. Dia benci dengan dirinya yang tidak bersemangat begini. Dia ingin ceria seperti selalu tapi dia gagal berbuat demikian. Sekarang, semuanya dia rasa serba tidak kena. Sampaikan dia hendak memilih pelamin untuk majlis pertunangan dia pun terganggu.
Nanti,” ujarnya apabila terfikir sesuatu. “Rissa cuma nak bertunang, kenapa pula perlu pilih pelamin. Bukan ke bertunang tu cuma sarung cincin je?” tanyanya kepada Mama Fiza.
Rissa sayang, memanglah bertunang tu cuma sarung cincin je tapi ini dah jadi satu trend. Tak ada salahnya,” balas Mama Fiza.
Tapi Rissa rasa macam over la pulak,” balasnya kurang setuju. “Rasanya tak payahlah ada pelamin macam ni. Bertunang cara biasa sajalah. Nenek datang sarung cincin pun dah cukup. Ah, lupa. Kena uruskan barang hantaran lagi,” keluhnya.
Kalau ada jawatan kosong, jangan sorok-sorok. Nanti melarat la pulak,” ujar Mama Fiza berseloroh.
Err... Rissa nak tengok dalam bilik la,” kata Arissa lantas mengumpul semua gambar tadi dan berlalu dari situ. Fobia pula bila ditanya pasal jawatan kosong.
Bukannya dia tidak mahu berkongsi masalah dengan Mama Fiza tapi dia tidak mahu membebankan Mama Fiza dengan masalah yang remeh-temeh itu. Lagipun Mama Fiza ada banyak kerja hendak dilakukan. Tambah lagi majlis pertunangan itu akan berlangsung minggu depan. Lagilah bertambah kerja Mama Fiza.
Tiba sahaja di dalam bilik, Arissa segera mencapai handsetnya. Satu keluhan berat dilepaskan apabila melihat tiada langsung mesej mahupun panggilan yang tidak berjawab diterimanya.
Dia kecewa.
Mesti Sarah marah lagi,” ujarnya tidak bersemangat.
Sejak beberapa hari yang lalu dia cuba menghubungi Sarah tetapi Sarah tidak menyambut panggilannya. Malah mesej yang diberi juga Sarah tidak balas. Memang sejak kejadian di Cameron Highland minggu lepas, Sarah tidak banyak bercakap dengannya. Dia tahu, Sarah begitu marah dengan apa yang berlaku. Disebabkan itu dia ingin menerangkan hal sebenar kepada Sarah tetapi dia tidak ada kesempatan untuk berkata-kata kerana Sarah langsung tidak menyambut panggilannya mahupun membalas mesejnya.
Nombor telefon bimbit Sarah dihubunginya. Sama sahaja. Panggilan tidak dapat disambung. Dengan kata lain, Sarah menutup telefon bimbitnya. Nampak sangat Sarah memang tidak mahu bercakap dengannya.
Tapi, kalau dibiarkan sampai bila pun perkara ni takkan selesai!” ujarnya geram.
Kadangkala dia sendiri tidak faham dengan Sarah. Datang bulankah? Memang dia tahu Sarah tidak suka dia mengganggu hidup Nazwan tapi takkan sampai begitu sekali Sarah memberontak bila dapat tahu mereka berdua kantoi depan nenek.
Sekali lagi Arissa cuba menghubungi Sarah. Kali ini dia menghubungi telefon rumah Sarah. Walau apa pun dia mesti bercakap dengan Sarah untuk selesaikan persengketaan ini.
Lama deringan itu berbunyi, akhirnya panggilannya itu disambut oleh suara Sarah. Akhirnya, dapat juga dia menghubungi Sarah.
Sarah!” Arissa menyapa riang.
Oh, Arissa,” balas Sarah seakan tidak suka bila dengar suara Arissa.
Mana kau pergi? Aku call handset kau tak dapat. Kau tutup handset ke? Kau masih marahkan aku ke? Atau kau dah tak nak kawan dengan aku lagi?” tanya Arissa bertubi-tubi.
Aku sibuk sikit beberapa hari ni. Aku ada kerja sikit. Tambah lagi sepupu aku datang sini jadi, agak sibuk sikit,” jawab Sarah acuh tidak acuh. Macam tidak mahu bercakap dengan dia pun ada.
Sibuk sampai tutup handset?” soal Arissa.
Arissa, kau sendiri pun boleh agak kenapa aku buat macam tukan?” soal Sarah.
Tahu,” jawab Arissa dengan rasa bersalah. “Tapi, itulah yang aku nak terangkan pada kau tapi kau pula mengelak. Macam kau, aku pun terkejut dengan semua ni. Luqman tak habis-habis kata aku sengaja nak perangkap Nazwan.”
Sudahlah,” keluh Sarah. “Aku tak nak tahu pasal tu. Siapa perangkap siapa tu dah tak penting. Benda dah jadi. Kalau benda tu tak jadi pun, nenek tetap nak jodohkan korang berdua. Jadi, sama saja,” tambah Sarah.
Jadi, kau tak marah?” tanya Arissa.
Marah. Sikit.”
Jadi, kita boleh kawan lagi ke?”
Ye, kita kawan lagi.”
Yahoo!” sorak Arissa gembira. “Jadi, kau akan datang ke majlis pertunangan aku pada minggu depan tak?” tanya Arissa.
Itu... tak tahu lagi.”
Ala, kenapa?” sekali lagi dia kecewa.
Kebetulan, sepupu aku, Asha nak balik UK. Jadi, aku kena hantar dia ke airport hari tu,” kata Sarah.
Huh, dia lagi!” gumam Arissa tidak puas hati. Tambah lagi bila dengar sahaja nama Asha, hatinya jadi bertambah sakit. “Suruhlah dia pergi airport sendiri. Bukan ke dia ada kaki dengan tangan. Itupun nak harapkan orang hantar ke?”
Dia sepupu aku Arissa,” ujar Sarah.
Kalau macam tu, suruhlah dia balik hari lain.”
Dia dah tempah tiket,” balas Sarah lagi.
Batalkan jelah tiket tu. Ambil hari lain,” sekali lagi Arissa mendesak.
Arissa, tolonglah faham,” kata Sarah lagi.
Yelah. Aku faham. Tapi sunyilah kalau tak ada kau,” balas Arissa bernada merajuk.
Okeylah. Lepas aku hantar Asha, aku akan terus ke rumah kau,” akhirnya Sarah memberi berita gembira.
Betul?” soal Arissa inginkan kepastian.
Betul,” jawab Sarah.
Yes! Janji tau!” sorak Arissa keriangan. “Nanti bolehlah kita tangkap gambar sama-sama!”
Bukan setakat tangkap gambar, nak sarungkan cincin tu kat jari aku pun boleh,” kata Sarah berseloroh.
Itu tak boleh. Nazwan hak kekal aku. Kau kena tunggu Luqman ye tapi tak mengapa, aku akan pujuk nenek supaya tunangkan kau orang berdua cepat-cepat. Lepas tu, kita boleh naik pelamin sama-sama. Mesti seronokkan?”
Kau ni kalau tak berangan memang tak sah.”
Takkan kau tak kenal aku. Hanya angan-angan yang mampu buat aku bersemangat macam ni,” balas Arissa.
Yelah. Teruskan angan-angan kau tu. Aku nak pergi temankan mama aku shopping pulak.”
Okey. Jangan lupa datang tau,” ujar Arissa. Sarah hanya membalas sepatah sebelum menamatkan perbualan itu.
Kini, dia semakin bersemangat. Gambar-gambar pelamin yang diambil tadi ditatapnya satu demi satu. Tidak lama kemudian, dia jatuh hati dengan salah satu gambar itu. Tanpa berfikir panjang, dia segera berlari ke bawah menemui Mama Fiza yang sedang menonton televisyen.
Mama Fiza, Rissa pilih yang ini,” katanya memberikan sekeping gambar kepada Mama Fiza.
Mmm... Pasti?” soal Mama Fiza.
Pantas Arissa mengangguk.
Okey. Kalau macam tu, pelamin settle. Sekarang, pilih baju pula,” kata Mama Fiza sambil menghulurkan satu album gambar kepada Arissa.
Belum sempat Arissa hendak mencapai album itu, telefon bimbitnya pula berbunyi. Tanpa berlengah lagi Arissa segera menjawab panggilan daripada papanya itu.
Hai papa,” sapa Arissa ceria seperti selalu. Tambah lagi bila papanya telefon, lagilah dia bertambah ceria.
Cerianya anak papa hari ni,” suara Encik Hairi kedengaran di hujung talian.
Mestilah. Takkan papa harap anak papa ni berduka setiap hari,” balas Arissa selamba.
Hahaha… macam tulah anak papa!” puji Encik Hairi sambil ketawa di talian. “O ya, papa dah ada dekat KL ni,” sambungnya.
Hah? Papa ada dekat KL? Kenapa papa datang tak beritahu awal-awal? Papa datang sini ada apa? Pasal kerja ke?” bertubi-tubi soalan ditanya Arissa.
Papanya mungkin playboy terkenal tapi bila bab kerja, memang workaholic habis. Mana tidaknya. Sejak papanya kembali bertugas di Perak, belum pernah lagi papanya jejak ke Kuala Lumpur. Bila ditanya, asyik kerja sahaja. Jadi, bila papanya beritahu tahu dia ada di Kuala Lumpur, memang satu kejutan.
Tak. Papa sengaja datang sebab nak jumpa kekasih papa,” jawab Encik Hairi selamba.
Perempuan mana pulak kali ni?” keluh Arissa. Macam manalah Mama Fiza tak minta cerai. Asyik-asyik dengan perangai playboy dia tu. Sampai lebih pentingkan perempuan yang entah apa-apa daripada anak sendiri!
Perempuan bernama Nur Arissa binti Hairi. Harap-harap dia datanglah temankan papa kat hotel ni. Lagipun papa dah lapar sangat dah ni,” ujar Encik Hairi sekali gus membuatkan Arissa tersenyum lebar.
Oh, so sweet papa. Sekarang jugak Rissa datang!” ujar Arissa sebelum menamatkan perbualan selepas mendapatkan hotel papanya menginap. “Mama Fiza, Rissa nak pergi jumpa papa!”
Okey tapi…,” belum sempat Mama Fiza habis bercakap, Arissa yang terlebih gembira itu sudah berlari mendaki anak tangga. “Hei, Rissa belum pilih baju lagi.”
Mama Fiza pilihlah baju yang sesuai. Kalau boleh fesyen baru ya! Dan, tak nak warna pink! Nazwan tu anti dengan warna pink!” jerit Arissa dari atas.

***


Kau tak ada kerja lain ke selain redah masuk bilik aku tiap kali aku nak pakai baju?” tanya Nazwan kepada Luqman yang tiba-tiba masuk ke dalam biliknya tanpa mengetuk pintu. Nasib baiklah dia sudah memakai mengenakan pakaian, kalau tidak ada pula yang dapat tengok free show.
Kau nak ke mana ni?” tanya Luqman apabila melihat Nazwan berpakaian segak seperti hendak keluar. Siap sembur minyak wangi lagi. Ini macam gaya hendak pergi dating pun ada.
Teman nenek,” jawab Nazwan sepatah.
Shopping? Dating? Atau Clubbing?”
Makan malam,” jawab Nazwan menjawab teka-teki Luqman.
Oh,” Luqman mengangguk faham. “Tapi, kenapa aku rasa macam kita baru saja makan malam sejam yang lalu?” soal Luqman sambil memandang jam dinding bilik Nazwan. “Atau, aku yang bermimpi kau dengan nenek duduk makan malam dengan kami sekeluarga tadi.”
Luqman, apa kata kau jadi penulis novel? Imaginasi kau sentiasa kreatif. Rugi kalau kau bazirkan kreativiti kau tu pada perkara yang tak berfaedah,” ujar Nazwan menyindir.
Wei, aku serius.”
Aku pun serius,” balas Nazwan.
Ini tak lain tak bukan mesti ada kena mengena dengan Arissa ni,” teka Luqman seakan dapat menghidu sesuatu.
Papa Arissa ada dekat sini. Nak tak nak, aku kena jumpa dia juga,” jawab Nazwan.
Oh, patutlah kau nampak segak malam ni.”
Luqman, tolong jangan jadi gay,” sindir Nazwan lagi.
Aku terfikir nak jadi gay kalau kau kena bertunang dengan Arissa,” balas Luqman selamba.
Kalau kau ugut nenek dengan ugutan macam tu, nenek bukan saja tak percaya tapi dia mesti akan ketawa tak henti-henti.”
Sebab tulah aku rasa rancangan tu tak akan berjaya dan aku terfikir plan B,” kata Luqman sambil tersenyum seolah-olah ingin memberitahu bahawa Plan B yang dirancangnya memang terbaik.
Terima kasih sajalah. Aku takkan lari dari rumah,” balas Nazwan yang sudah dapat agak rancangan Luqman itu.
Sejak bila kau jadi ahli sihir ni?” tanya Luqman tidak puas hati. Punyalah penat dia fikir Plan B dan dengan mudah sahaja Nazwan dapat agak rancangannya. Setahunya, dia hanya berbincang tentang rancangan itu dengan Sarah. Itupun di tempat yang tiada siapa kenal mereka tapi peliknya, Nazwan boleh tahu apa yang dirancangnya.
Jangan buat muka pelik macam tu. Bukan ke kau pernah kata, kau sepupu sehati sejiwa aku. Apa yang kau fikir mestilah aku tahu dan jangan lupa, sepupu sehati sejiwa kau ni akan bertunang dengan ahli sihir,” balas Nazwan berseloroh.
Itulah yang aku takut sekali,” keluh Luqman.
Luqman, tak payahlah kau risaukan tentang aku lagi. Lagipun larikan diri takkan dapat selesaikan masalah,” kata Nazwan.
Jangan lupa. Dulu kau pun suka sangat larikan diri. Jenuh kitorang nak mencari. Apa kata kalau kau buat lagi? Biar bagi gertak nenek,” pujuk Luqman.
Kau ingat, benda ni dapat diselesaikan dengan larikan diri ke? Lagi satu, aku cuma bertunang dengan Arissa, bukannya nak kahwin dengan dia. Rileks la,” balas Nazwan selamba.
Wei, kalau dah bertunang tu dah tentu-tentulah kena kahwin!” ujar Luqman dengan geram. Cakap dengan Nazwan yang tidak berperasaan seperti cakap dengan tunggul bernyawa.
Wei, tak semestinya kena kahwin kalau dah bertunang,” balas Nazwan tenang.
Memang, tapi dalam kes kau ni, kau tetap akan kena kahwin dengan Arissa, tahu? Takkan kau tak tahu perangai nenek? Kalau dia dah buat keputusan, tiada siapa yang dapat ubah keputusan dia. Itu pun nak aku terangkan lagi ke?”
Kalau macam tu, kahwin jelah. Kalau dah jodoh aku dengan Arissa, aku lari hujung dunia pun, aku tetap akan kahwin dengan dia,” balas Nazwan lagi.
Aku tak faham apa yang kau fikir,” keluh Luqman.
Jadi, jangan fikir. Aku dah lambat. Tutup pintu dengan lampu sebelum kau keluar,” ujar Nazwan sebelum keluar.

***


Memang Arissa sudah jangka. Pasti ada udang di sebalik batu. Patutlah papanya beria-ia ajak dia shopping baju siang tadi. Rupa-rupanya, papanya diam-diam sudah berjanji dengan nenek dan Nazwan untuk makan malam bersama.
Kali ini, entah kenapa dia rasa lain macam. Sejak kejadian di Cameron Highland tempoh hari, dia tidak berani hendak berhadapan dengan nenek mahupun Nazwan. Hubungi Nazwan pun dia tidak berani. Kini, apabila dia berhadapan dengan mereka, dia rasa kekok tetapi dia cuba menyembunyikan perasaannya jauh-jauh dan berlagak seperti biasa.
Macam mana dengan persiapan?” tanya Puan Azizah kepada Arissa. Arissa yang sedang menikmati makanan tadi hampir tercekik apabila ditanya begitu.
Err… okey. Berjalan dengan lancar,” jawab Arissa.
Mmm…,” Puan Azizah mengangguk tanda puas hati dengan jawapan Arissa tadi. “Pasal cincin tunang, nenek berhasrat guna cincin tunang arwah mama Nazwan dulu. Lagipun ini kehendak arwah.”
Tak ada masalah,” jawab Arissa tanpa berfikir panjang. Lagipun, apalah sangat kalau guna cincin baru pun. Dia bukannya seorang yang gila dengan barangan kemas. Kalau beli cincin yang berharga RM1 pun tak jadi masalah. Asalkan cincin.
Baguslah. Bertunang selama setahun lebih, lepas kamu habis belajar, baru boleh nikah,” ujar Puan Azizah lagi. Arissa sekadar mengangguk.
Tapi, jangan buat hal dalam tempoh tu,” papanya mencelah.
Huh, ini semua salah Nazwan,” ujar Arissa sambil memandang Nazwan yang hanya senyap di hadapannya.
Arissa sudah sedia maklum dengan perangai Nazwan yang pendiam. Nazwan memang jarang bersuara apabila berjumpa dengan orang yang kurang dikenali seperti papanya. Itu memang normal tapi dia tetap tidak selesa dengan kebisuan Nazwan pada malam itu.
Dah, tak guna nak salahkan orang,” Encik Hairi bersuara serius.
Baik,” jawab Arissa yang tiada pilihan. Dia hanya bergurau, tapi gurauannya tidak kena pada tempat. Bukan sahaja papanya serius tapi Nazwan juga. Tiada senyuman langsung di bibir Nazwan. Ini yang dia benci berada dalam suasana serius begini.
O ya, pasal dokumen yang saya terima tempoh hari, saya sudah tengok. Kemungkinan besar untuk dapatkan balik syarikat tu memang ada. Lagipun Nazwan memang waris yang sah,” ujar Encik Hairi mula menukar tajuk perbualan.
Oh papa, boleh tak jangan bincang hal yang tak ada kena mengena dengan Rissa di sini? Lagi-lagi pasal kerja. Tak sukalah,” tegur Arissa.
Sebelum diorang berdua berbincang dengan lebih lanjut lagi, lebih baik dia bersuara. Nanti tak pasal-pasal dia terpaksa mendengar mereka berbincang pasal hal kerja yang tidak ada kena-mengena dengannya.
Ini ada kena-mengena dengan Rissa juga,” balas papanya.
Arissa mengerut dahi. Kurang faham. Bila masalah aku ada kena mengena dengan urusan niaga ni? Tanya hatinya.
Nenek, bukan ke kita dah bincang pasal ni?” Nazwan bersuara. Tapi nada suara Nazwan kedengaran kurang senang dengan apa yang dibincangkan oleh mereka tadi.
Nenek buat ni untuk kebaikan kamu jugak. Kalau tak ada syarikat tu macam mana kamu nak sara Arissa nanti? Lagipun nenek tak nak kamu berdua hidup susah. Lagipun, syarikat tu memang hak kamu. Mama kamu….”
Naz cakap untuk kali terakhir,” ujar Nazwan memintas kata-kata neneknya tadi. “Naz tak nak. Boleh tak nenek jangan paksa lagi?” tegas Nazwan dan lantas bangun dari duduknya. Tanpa sebarang kata, Nazwan meninggalkan meja makan.
Arissa mengeluh. Teruk. Panas baran Nazwan dah datang. Tapi nasib baiklah Nazwan cepat-cepat pergi dari situ. Kalau tidak, ada juga yang dapat tengok adegan pinggan mangkuk terbang. Nazwan tu kalau sudah angin, macam-macam boleh berlaku.
Perangai panas baran dia memang tak pernah nak berubah,” ujar Puan Azizah tidak senang duduk.
Err… biar Rissa cakap dengan Nazwan,” ujar Arissa apabila melihat nenek hendak bangun dari tempat duduk. Dengar Arissa cakap begitu, nenek Nazwan kembali duduk. Ini tidak boleh dibiarkan. Sudahlah nenek pun panas baran juga. Boleh jadi perang besar nanti.
Tanpa berlengah lagi Arissa terus meminta diri. Nasib baiklah restoran yang mereka makan itu tidak besar. Jadi, tiada masalah hendak mencari Nazwan. Lagipun, dia amat mengenali Nazwan. Kalau Nazwan tengah marah, tiada tempat lain yang Nazwan akan tuju. Kalau tidak ke gym mesti ke kolam renang. Memandangkan restoran itu hanya ada kolam renang, jadi, senanglah langkahnya dituju.
Maaf,” ucap Nazwan tiba-tiba ketika langkah Arissa menghampiri Nazwan.
Walaupun aku tak tahu apa yang berlaku dan kenapa kau minta maaf tapi aku rasa aku patut maafkan kau,” ujar Arissa selamba.
Nazwan tersenyum. Melihat sahaja Nazwan tersenyum, Arissa mula berasa lega. Kalau Nazwan tersenyum itu, maknanya satu petanda baik. Jadi, ada harapan dia dapat perlahankan panas baran Nazwan yang naik tadi.
Sekarang, aku baru tahu tahu kenapa nenek beria-ia sangat suruh kita bertunang cepat-cepat. Dia nak gunakan kau sebagai jambatan untuk dapatkan balik syarikat arwah atok dan mama,” beritahu Nazwan.
Bukan ke tu suatu berita yang baik?” tanya Arissa. “Kenapa pula kau tak suka?”
Satu keluhan kedengaran. Kemudian, Nazwan menggeleng.
Aku tak suka,” jawab Nazwan pendek.
Kenapa tak suka?” tanya Arissa.
Senyap. Tiada jawapan dari mulut Nazwan.
Sebab kau takut, apa yang berlaku pada mama kau akan berulang lagi?” tanya Arissa yang sudah dapat agak jawapan Nazwan tetapi dia sengaja tanya soalan itu.
Memang dia sedia maklum dengan keluarga Nazwan. Mama Nazwan meninggal dunia disebabkan lemah jantung ketika Nazwan masih kecil. Setahun kemudian, papa Nazwan pula meninggal dunia dengan penyakit yang sama. Disebabkan itu, Nazwan jadi anak yatim piatu ketika berusia 8 tahun. Oleh itu, dia fobia kalau penyakit itu menjangkitinya suatu hari nanti.
Aku bukan takut mati...,” ujar Nazwan.
Habis tu?”
Aku tak nak habiskan masa aku dengan menghadap kerja yang tak ada penghujungnya. Mama, seorang yang kuat bekerja. Dia bekerja siang malam bangunkan perniagaan keluarga sampai abaikan kesihatan. Akhirnya, dia tinggalkan semua yang diusahakan dengan begitu saja.”
Jadi, kau anggap apa yang mama kau buat tu sia-sia?” tanya Arissa.
Mungkin,” jawab Nazwan tanpa berselindung lagi. “Lagipun, kau sendiri pun kenal aku, bukan? Aku bukan seorang yang cepat mesra dengan orang lain, cepat naik angin dan tak suka sesakkan kepala dengan masalah. Jadi...”
Jadi, warisi syarikat tu bukan satu pekerjaan yang sesuai dengan kau,” potong Arissa. Nazwan mengangguk. “Kalau macam tu, boleh aku tanya satu soalan?”
Apa dia?”
Apa cita-cita kau?” tanya Arissa.
Yang penting bukan CEO,” jawab Nazwan pantas.
Kau nak tahu cita-cita aku?” tanya Arissa lagi.
Jadi isteri aku?” teka Nazwan dengan sinis.
Bukan. Jadi isteri kau adalah impian aku tapi cita-cita aku adalah nak tengok orang di sekeliling aku, hidup dengan gembira. Jadi, untuk buat semua orang gembira, aku perlu gembirakan diri aku terlebih dahulu. Kalau aku tak gembira, macam mana aku nak gembirakan semua orang. Betul tak?”
Nazwan mengangguk setuju sambil bertepuk tangan. Bercakap dengan Arissa bukan sahaja dapat menurunkan panas barannya malahan dapat memeningkan kepalanya. Orang serius, dia pula boleh buat lawak.
Kalau aku kata aku tak gembira sekarang, kau nak buat apa?” tanya Nazwan.
Sebab tulah aku nak tanya satu soalan lagi,” ujar Arissa takut-takut.
Dan soalannya?” tanya Nazwan. Harap-harap bukan soalan yang tidak masuk akal atau soalan yang memperbodohkan orang. Arissa bukannya boleh percaya sangat.
Kau betul-betul nak kahwin dengan aku tak?” tanya Arissa.

Jelas. Tepat. Serius. Tiada tapis-tapis lagi. Terus buat Nazwan kelu lidah.  

10 si charming:

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Best..xsbr nk tggu nazwan n arisa tunang,da lame trtggu2 cite ni..

  1. MizaEija berkata...:

    jawab nazwan..jangan tak jawab....

  1. Unknown berkata...:

    finally.. haha

  1. Unknown berkata...:

    why not arissa pulak yg wat hal
    watpe beriya nak kt orang yg xnak kt dia
    c'mon arissa lelaki bkn sorg kt dunia nie
    nti tau la nazwan rase bile arissa da tak nyibuk hal dia hehheeh

  1. IzZ berkata...:

    haaa..tunang.?nikah? aishh..nazwan hang betoi ka nak nikah dengan beliau ni?hang xad hati kan kt beliau..

  1. IVORYGINGER berkata...:

    haah... tak tau nk jwb camna kan Nazwan. Tp bila Arisa hilang hg kalut plak nk cari. Rasa itu dah ada tp Nazwan tetap nk nafikan. Ke dia masih suspect Arrisa dgn kematian ex dia or dia nk cari org yg sbb ex dia bunuh diri???

  1. ratu . bole x ratu tlg orderkan novel hikayat cinta . nanti saya beli kat ratu . saye xberape pndai nk beli online . hee ~ harap ratu dpt tlg sye . da lme saye nk beli novel ni tpi xbekesempatan . :)

  1. ani aziz berkata...:

    Aik sarah ning ada hati nak rampas Nazwan ning. Cepatlah sedar Arissa. Nazwan mulut x mahu hati nakkkkkkkkkk. he he

  1. Tanpa Nama berkata...:

    fuhhh!!!!!kenapa karya ni suka menambat hati saya??haishhh...apa2 pun YOU'RE THE BEST!!!!YEAHHH!!!tak sbr nk tunggu cerita selanjutnya :)

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages