“Sekarang ada
jawatan kosong ke?” soal Mama Fiza sekali gus memecah kesunyian dan
menarik Arissa keluar dari lamunan yang panjang tadi.
“Jawatan kosong?”
tanya Arissa kembali. Takut tersalah dengar apa yang ditanya oleh
Mama Fiza tadi. Rasanya, semasa dia mengelamun tadi, dia tidak pergi
jauh sangat. Jadi soalan Mama Fiza tadi memang tidak masuk akal.
Tambah lagi Mama Fiza sendiri tahu yang dia masih belajar. Mana
datangnya pula soalan jawatan kosong.
“Sebagai penasihat
cinta Rissa,” kata Mama Fiza sekali gus menjawab persoalan tadi.
“Ada kekosongan tak?” tanya Mama Fiza lagi.
Arissa sekadar
mengukir senyuman. Pandai betul Mama Fiza mencari cara untuk
mengalihkan tumpuannya supaya keluar dari lamunan. Penasihat cinta?
Seumur hidupnya, dia tak pernah terfikir hendak mengupah seorang
penasihat cinta. Mungkin sebab selama ini dia begitu memahami
cintanya. Tapi, cuma kali ini...
“Macam mana?”
tanya Mama Fiza lagi.
“Rissa tak ada
masalah cinta langsung, jadi, tiada jawatan kosong,” kata Arissa
tidak mahu menyusahkan Mama Fiza lagi dengan masalah remeh-temeh itu.
“Okey,” Mama
Fiza mengangguk faham dan tidak memaksa.
Mata Arissa kembali
tertumpu pada gambar-gambar contoh pelamin yang diberikan oleh Mama
Fiza tadi. Satu demi satu gambar dilihatnya. Anehnya, dia langsung
tidak teruja dengan pelamin-pelamin itu. Bukannya tidak cantik.
Pelamin ciptaan Mama Fiza memang cantik-cantik belaka tapi entah
kenapa dia rasa tidak bersemangat.
Arissa mengeluh. Dia
benci apa yang dia rasa sekarang. Dia benci dengan dirinya yang tidak
bersemangat begini. Dia ingin ceria seperti selalu tapi dia gagal
berbuat demikian. Sekarang, semuanya dia rasa serba tidak kena.
Sampaikan dia hendak memilih pelamin untuk majlis pertunangan dia pun
terganggu.
“Nanti,” ujarnya
apabila terfikir sesuatu. “Rissa cuma nak bertunang, kenapa pula
perlu pilih pelamin. Bukan ke bertunang tu cuma sarung cincin je?”
tanyanya kepada Mama Fiza.
“Rissa sayang,
memanglah bertunang tu cuma sarung cincin je tapi ini dah jadi satu
trend. Tak ada salahnya,” balas Mama Fiza.
“Tapi Rissa rasa
macam over la pulak,” balasnya kurang setuju. “Rasanya tak
payahlah ada pelamin macam ni. Bertunang cara biasa sajalah. Nenek
datang sarung cincin pun dah cukup. Ah, lupa. Kena uruskan barang
hantaran lagi,” keluhnya.
“Kalau ada jawatan
kosong, jangan sorok-sorok. Nanti melarat la pulak,” ujar Mama Fiza
berseloroh.
“Err... Rissa nak
tengok dalam bilik la,” kata Arissa lantas mengumpul semua gambar
tadi dan berlalu dari situ. Fobia pula bila ditanya pasal jawatan
kosong.
Bukannya dia tidak
mahu berkongsi masalah dengan Mama Fiza tapi dia tidak mahu
membebankan Mama Fiza dengan masalah yang remeh-temeh itu. Lagipun
Mama Fiza ada banyak kerja hendak dilakukan. Tambah lagi majlis
pertunangan itu akan berlangsung minggu depan. Lagilah bertambah
kerja Mama Fiza.
Tiba sahaja di dalam
bilik, Arissa segera mencapai handsetnya. Satu keluhan berat
dilepaskan apabila melihat tiada langsung mesej mahupun panggilan
yang tidak berjawab diterimanya.
Dia kecewa.
“Mesti Sarah marah
lagi,” ujarnya tidak bersemangat.
Sejak beberapa hari
yang lalu dia cuba menghubungi Sarah tetapi Sarah tidak menyambut
panggilannya. Malah mesej yang diberi juga Sarah tidak balas. Memang
sejak kejadian di Cameron Highland minggu lepas, Sarah tidak banyak
bercakap dengannya. Dia tahu, Sarah begitu marah dengan apa yang
berlaku. Disebabkan itu dia ingin menerangkan hal sebenar kepada
Sarah tetapi dia tidak ada kesempatan untuk berkata-kata kerana Sarah
langsung tidak menyambut panggilannya mahupun membalas mesejnya.
Nombor telefon
bimbit Sarah dihubunginya. Sama sahaja. Panggilan tidak dapat
disambung. Dengan kata lain, Sarah menutup telefon bimbitnya. Nampak
sangat Sarah memang tidak mahu bercakap dengannya.
“Tapi, kalau
dibiarkan sampai bila pun perkara ni takkan selesai!” ujarnya
geram.
Kadangkala dia
sendiri tidak faham dengan Sarah. Datang bulankah? Memang dia tahu
Sarah tidak suka dia mengganggu hidup Nazwan tapi takkan sampai
begitu sekali Sarah memberontak bila dapat tahu mereka berdua kantoi
depan nenek.
Sekali lagi Arissa
cuba menghubungi Sarah. Kali ini dia menghubungi telefon rumah Sarah.
Walau apa pun dia mesti bercakap dengan Sarah untuk selesaikan
persengketaan ini.
Lama deringan itu
berbunyi, akhirnya panggilannya itu disambut oleh suara Sarah.
Akhirnya, dapat juga dia menghubungi Sarah.
“Sarah!” Arissa
menyapa riang.
“Oh, Arissa,”
balas Sarah seakan tidak suka bila dengar suara Arissa.
“Mana kau pergi?
Aku call handset kau tak dapat. Kau tutup handset ke? Kau masih
marahkan aku ke? Atau kau dah tak nak kawan dengan aku lagi?” tanya
Arissa bertubi-tubi.
“Aku sibuk sikit
beberapa hari ni. Aku ada kerja sikit. Tambah lagi sepupu aku datang
sini jadi, agak sibuk sikit,” jawab Sarah acuh tidak acuh. Macam
tidak mahu bercakap dengan dia pun ada.
“Sibuk sampai
tutup handset?” soal Arissa.
“Arissa, kau
sendiri pun boleh agak kenapa aku buat macam tukan?” soal Sarah.
“Tahu,” jawab
Arissa dengan rasa bersalah. “Tapi, itulah yang aku nak terangkan
pada kau tapi kau pula mengelak. Macam kau, aku pun terkejut dengan
semua ni. Luqman tak habis-habis kata aku sengaja nak perangkap
Nazwan.”
“Sudahlah,”
keluh Sarah. “Aku tak nak tahu pasal tu. Siapa perangkap siapa tu
dah tak penting. Benda dah jadi. Kalau benda tu tak jadi pun, nenek
tetap nak jodohkan korang berdua. Jadi, sama saja,” tambah Sarah.
“Jadi, kau tak
marah?” tanya Arissa.
“Marah. Sikit.”
“Jadi, kita boleh
kawan lagi ke?”
“Ye, kita kawan
lagi.”
“Yahoo!” sorak
Arissa gembira. “Jadi, kau akan datang ke majlis pertunangan aku
pada minggu depan tak?” tanya Arissa.
“Itu... tak tahu
lagi.”
“Ala, kenapa?”
sekali lagi dia kecewa.
“Kebetulan, sepupu
aku, Asha nak balik UK. Jadi, aku kena hantar dia ke airport hari
tu,” kata Sarah.
“Huh, dia lagi!”
gumam Arissa tidak puas hati. Tambah lagi bila dengar sahaja nama
Asha, hatinya jadi bertambah sakit. “Suruhlah dia pergi airport
sendiri. Bukan ke dia ada kaki dengan tangan. Itupun nak harapkan
orang hantar ke?”
“Dia sepupu aku
Arissa,” ujar Sarah.
“Kalau macam tu,
suruhlah dia balik hari lain.”
“Dia dah tempah
tiket,” balas Sarah lagi.
“Batalkan jelah
tiket tu. Ambil hari lain,” sekali lagi Arissa mendesak.
“Arissa, tolonglah
faham,” kata Sarah lagi.
“Yelah. Aku faham.
Tapi sunyilah kalau tak ada kau,” balas Arissa bernada merajuk.
“Okeylah. Lepas
aku hantar Asha, aku akan terus ke rumah kau,” akhirnya Sarah
memberi berita gembira.
“Betul?” soal
Arissa inginkan kepastian.
“Betul,” jawab
Sarah.
“Yes! Janji tau!”
sorak Arissa keriangan. “Nanti bolehlah kita tangkap gambar
sama-sama!”
“Bukan setakat
tangkap gambar, nak sarungkan cincin tu kat jari aku pun boleh,”
kata Sarah berseloroh.
“Itu tak boleh.
Nazwan hak kekal aku. Kau kena tunggu Luqman ye tapi tak mengapa, aku
akan pujuk nenek supaya tunangkan kau orang berdua cepat-cepat. Lepas
tu, kita boleh naik pelamin sama-sama. Mesti seronokkan?”
“Kau ni kalau tak
berangan memang tak sah.”
“Takkan kau tak
kenal aku. Hanya angan-angan yang mampu buat aku bersemangat macam
ni,” balas Arissa.
“Yelah. Teruskan
angan-angan kau tu. Aku nak pergi temankan mama aku shopping pulak.”
“Okey. Jangan lupa
datang tau,” ujar Arissa. Sarah hanya membalas sepatah sebelum
menamatkan perbualan itu.
Kini, dia semakin
bersemangat. Gambar-gambar pelamin yang diambil tadi ditatapnya satu
demi satu. Tidak lama kemudian, dia jatuh hati dengan salah satu
gambar itu. Tanpa berfikir panjang, dia segera berlari ke bawah
menemui Mama Fiza yang sedang menonton televisyen.
“Mama Fiza, Rissa
pilih yang ini,” katanya memberikan sekeping gambar kepada Mama
Fiza.
“Mmm... Pasti?”
soal Mama Fiza.
Pantas Arissa
mengangguk.
“Okey. Kalau macam
tu, pelamin settle. Sekarang, pilih baju pula,” kata Mama Fiza
sambil menghulurkan satu album gambar kepada Arissa.
Belum sempat Arissa
hendak mencapai album itu, telefon bimbitnya pula berbunyi. Tanpa
berlengah lagi Arissa segera menjawab panggilan daripada papanya itu.
“Hai papa,” sapa
Arissa ceria seperti selalu. Tambah lagi bila papanya telefon,
lagilah dia bertambah ceria.
“Cerianya anak
papa hari ni,” suara Encik Hairi kedengaran di hujung talian.
“Mestilah. Takkan
papa harap anak papa ni berduka setiap hari,” balas Arissa selamba.
“Hahaha… macam
tulah anak papa!” puji Encik Hairi sambil ketawa di talian. “O
ya, papa dah ada dekat KL ni,” sambungnya.
“Hah? Papa ada
dekat KL? Kenapa papa datang tak beritahu awal-awal? Papa datang sini
ada apa? Pasal kerja ke?” bertubi-tubi soalan ditanya Arissa.
Papanya mungkin
playboy terkenal tapi bila bab kerja, memang workaholic habis. Mana
tidaknya. Sejak papanya kembali bertugas di Perak, belum pernah lagi
papanya jejak ke Kuala Lumpur. Bila ditanya, asyik kerja sahaja.
Jadi, bila papanya beritahu tahu dia ada di Kuala Lumpur, memang satu
kejutan.
“Tak. Papa sengaja
datang sebab nak jumpa kekasih papa,” jawab Encik Hairi selamba.
“Perempuan mana
pulak kali ni?” keluh Arissa. Macam manalah Mama Fiza tak minta
cerai. Asyik-asyik dengan perangai playboy dia tu. Sampai lebih
pentingkan perempuan yang entah apa-apa daripada anak sendiri!
“Perempuan bernama
Nur Arissa binti Hairi. Harap-harap dia datanglah temankan papa kat
hotel ni. Lagipun papa dah lapar sangat dah ni,” ujar Encik Hairi
sekali gus membuatkan Arissa tersenyum lebar.
“Oh, so sweet
papa. Sekarang jugak Rissa datang!” ujar Arissa sebelum menamatkan
perbualan selepas mendapatkan hotel papanya menginap. “Mama Fiza,
Rissa nak pergi jumpa papa!”
“Okey tapi…,”
belum sempat Mama Fiza habis bercakap, Arissa yang terlebih gembira
itu sudah berlari mendaki anak tangga. “Hei, Rissa belum pilih baju
lagi.”
“Mama Fiza
pilihlah baju yang sesuai. Kalau boleh fesyen baru ya! Dan, tak nak
warna pink! Nazwan tu anti dengan warna pink!” jerit Arissa dari
atas.
***
“Kau tak ada kerja
lain ke selain redah masuk bilik aku tiap kali aku nak pakai baju?”
tanya Nazwan kepada Luqman yang tiba-tiba masuk ke dalam biliknya
tanpa mengetuk pintu. Nasib baiklah dia sudah memakai mengenakan
pakaian, kalau tidak ada pula yang dapat tengok free show.
“Kau nak ke mana
ni?” tanya Luqman apabila melihat Nazwan berpakaian segak seperti
hendak keluar. Siap sembur minyak wangi lagi. Ini macam gaya hendak
pergi dating pun ada.
“Teman nenek,”
jawab Nazwan sepatah.
“Shopping? Dating?
Atau Clubbing?”
“Makan malam,”
jawab Nazwan menjawab teka-teki Luqman.
“Oh,” Luqman
mengangguk faham. “Tapi, kenapa aku rasa macam kita baru saja makan
malam sejam yang lalu?” soal Luqman sambil memandang jam dinding
bilik Nazwan. “Atau, aku yang bermimpi kau dengan nenek duduk makan
malam dengan kami sekeluarga tadi.”
“Luqman, apa kata
kau jadi penulis novel? Imaginasi kau sentiasa kreatif. Rugi kalau
kau bazirkan kreativiti kau tu pada perkara yang tak berfaedah,”
ujar Nazwan menyindir.
“Wei, aku serius.”
“Aku pun serius,”
balas Nazwan.
“Ini tak lain tak
bukan mesti ada kena mengena dengan Arissa ni,” teka Luqman seakan
dapat menghidu sesuatu.
“Papa Arissa ada
dekat sini. Nak tak nak, aku kena jumpa dia juga,” jawab Nazwan.
“Oh, patutlah kau
nampak segak malam ni.”
“Luqman, tolong
jangan jadi gay,” sindir Nazwan lagi.
“Aku terfikir nak
jadi gay kalau kau kena bertunang dengan Arissa,” balas Luqman
selamba.
“Kalau kau ugut
nenek dengan ugutan macam tu, nenek bukan saja tak percaya tapi dia
mesti akan ketawa tak henti-henti.”
“Sebab tulah aku
rasa rancangan tu tak akan berjaya dan aku terfikir plan B,” kata
Luqman sambil tersenyum seolah-olah ingin memberitahu bahawa Plan B
yang dirancangnya memang terbaik.
“Terima kasih
sajalah. Aku takkan lari dari rumah,” balas Nazwan yang sudah dapat
agak rancangan Luqman itu.
“Sejak bila kau
jadi ahli sihir ni?” tanya Luqman tidak puas hati. Punyalah penat
dia fikir Plan B dan dengan mudah sahaja Nazwan dapat agak
rancangannya. Setahunya, dia hanya berbincang tentang rancangan itu
dengan Sarah. Itupun di tempat yang tiada siapa kenal mereka tapi
peliknya, Nazwan boleh tahu apa yang dirancangnya.
“Jangan buat muka
pelik macam tu. Bukan ke kau pernah kata, kau sepupu sehati sejiwa
aku. Apa yang kau fikir mestilah aku tahu dan jangan lupa, sepupu
sehati sejiwa kau ni akan bertunang dengan ahli sihir,” balas
Nazwan berseloroh.
“Itulah yang aku
takut sekali,” keluh Luqman.
“Luqman, tak
payahlah kau risaukan tentang aku lagi. Lagipun larikan diri takkan
dapat selesaikan masalah,” kata Nazwan.
“Jangan lupa. Dulu
kau pun suka sangat larikan diri. Jenuh kitorang nak mencari. Apa
kata kalau kau buat lagi? Biar bagi gertak nenek,” pujuk Luqman.
“Kau ingat, benda
ni dapat diselesaikan dengan larikan diri ke? Lagi satu, aku cuma
bertunang dengan Arissa, bukannya nak kahwin dengan dia. Rileks la,”
balas Nazwan selamba.
“Wei, kalau dah
bertunang tu dah tentu-tentulah kena kahwin!” ujar Luqman dengan
geram. Cakap dengan Nazwan yang tidak berperasaan seperti cakap
dengan tunggul bernyawa.
“Wei, tak
semestinya kena kahwin kalau dah bertunang,” balas Nazwan tenang.
“Memang, tapi
dalam kes kau ni, kau tetap akan kena kahwin dengan Arissa, tahu?
Takkan kau tak tahu perangai nenek? Kalau dia dah buat keputusan,
tiada siapa yang dapat ubah keputusan dia. Itu pun nak aku terangkan
lagi ke?”
“Kalau macam tu,
kahwin jelah. Kalau dah jodoh aku dengan Arissa, aku lari hujung
dunia pun, aku tetap akan kahwin dengan dia,” balas Nazwan lagi.
“Aku tak faham apa
yang kau fikir,” keluh Luqman.
“Jadi, jangan
fikir. Aku dah lambat. Tutup pintu dengan lampu sebelum kau keluar,”
ujar Nazwan sebelum keluar.
***
Memang Arissa sudah
jangka. Pasti ada udang di sebalik batu. Patutlah papanya beria-ia
ajak dia shopping baju siang tadi. Rupa-rupanya, papanya diam-diam
sudah berjanji dengan nenek dan Nazwan untuk makan malam bersama.
Kali ini, entah
kenapa dia rasa lain macam. Sejak kejadian di Cameron Highland tempoh
hari, dia tidak berani hendak berhadapan dengan nenek mahupun Nazwan.
Hubungi Nazwan pun dia tidak berani. Kini, apabila dia berhadapan
dengan mereka, dia rasa kekok tetapi dia cuba menyembunyikan
perasaannya jauh-jauh dan berlagak seperti biasa.
“Macam mana dengan
persiapan?” tanya Puan Azizah kepada Arissa. Arissa yang sedang
menikmati makanan tadi hampir tercekik apabila ditanya begitu.
“Err… okey.
Berjalan dengan lancar,” jawab Arissa.
“Mmm…,” Puan
Azizah mengangguk tanda puas hati dengan jawapan Arissa tadi. “Pasal
cincin tunang, nenek berhasrat guna cincin tunang arwah mama Nazwan
dulu. Lagipun ini kehendak arwah.”
“Tak ada masalah,”
jawab Arissa tanpa berfikir panjang. Lagipun, apalah sangat kalau
guna cincin baru pun. Dia bukannya seorang yang gila dengan barangan
kemas. Kalau beli cincin yang berharga RM1 pun tak jadi masalah.
Asalkan cincin.
“Baguslah.
Bertunang selama setahun lebih, lepas kamu habis belajar, baru boleh
nikah,” ujar Puan Azizah lagi. Arissa sekadar mengangguk.
“Tapi, jangan buat
hal dalam tempoh tu,” papanya mencelah.
“Huh, ini semua
salah Nazwan,” ujar Arissa sambil memandang Nazwan yang hanya
senyap di hadapannya.
Arissa sudah sedia
maklum dengan perangai Nazwan yang pendiam. Nazwan memang jarang
bersuara apabila berjumpa dengan orang yang kurang dikenali seperti
papanya. Itu memang normal tapi dia tetap tidak selesa dengan
kebisuan Nazwan pada malam itu.
“Dah, tak guna nak
salahkan orang,” Encik Hairi bersuara serius.
“Baik,” jawab
Arissa yang tiada pilihan. Dia hanya bergurau, tapi gurauannya tidak
kena pada tempat. Bukan sahaja papanya serius tapi Nazwan juga. Tiada
senyuman langsung di bibir Nazwan. Ini yang dia benci berada dalam
suasana serius begini.
“O ya, pasal
dokumen yang saya terima tempoh hari, saya sudah tengok. Kemungkinan
besar untuk dapatkan balik syarikat tu memang ada. Lagipun Nazwan
memang waris yang sah,” ujar Encik Hairi mula menukar tajuk
perbualan.
“Oh papa, boleh
tak jangan bincang hal yang tak ada kena mengena dengan Rissa di
sini? Lagi-lagi pasal kerja. Tak sukalah,” tegur Arissa.
Sebelum diorang
berdua berbincang dengan lebih lanjut lagi, lebih baik dia bersuara.
Nanti tak pasal-pasal dia terpaksa mendengar mereka berbincang pasal
hal kerja yang tidak ada kena-mengena dengannya.
“Ini ada
kena-mengena dengan Rissa juga,” balas papanya.
Arissa mengerut
dahi. Kurang faham. Bila masalah aku ada kena mengena dengan urusan
niaga ni? Tanya hatinya.
“Nenek, bukan ke
kita dah bincang pasal ni?” Nazwan bersuara. Tapi nada suara Nazwan
kedengaran kurang senang dengan apa yang dibincangkan oleh mereka
tadi.
“Nenek buat ni
untuk kebaikan kamu jugak. Kalau tak ada syarikat tu macam mana kamu
nak sara Arissa nanti? Lagipun nenek tak nak kamu berdua hidup susah.
Lagipun, syarikat tu memang hak kamu. Mama kamu….”
“Naz cakap untuk
kali terakhir,” ujar Nazwan memintas kata-kata neneknya tadi. “Naz
tak nak. Boleh tak nenek jangan paksa lagi?” tegas Nazwan dan
lantas bangun dari duduknya. Tanpa sebarang kata, Nazwan meninggalkan
meja makan.
Arissa mengeluh.
Teruk. Panas baran Nazwan dah datang. Tapi nasib baiklah Nazwan
cepat-cepat pergi dari situ. Kalau tidak, ada juga yang dapat tengok
adegan pinggan mangkuk terbang. Nazwan tu kalau sudah angin,
macam-macam boleh berlaku.
“Perangai panas
baran dia memang tak pernah nak berubah,” ujar Puan Azizah tidak
senang duduk.
“Err… biar Rissa
cakap dengan Nazwan,” ujar Arissa apabila melihat nenek hendak
bangun dari tempat duduk. Dengar Arissa cakap begitu, nenek Nazwan
kembali duduk. Ini tidak boleh dibiarkan. Sudahlah nenek pun panas
baran juga. Boleh jadi perang besar nanti.
Tanpa berlengah lagi
Arissa terus meminta diri. Nasib baiklah restoran yang mereka makan
itu tidak besar. Jadi, tiada masalah hendak mencari Nazwan. Lagipun,
dia amat mengenali Nazwan. Kalau Nazwan tengah marah, tiada tempat
lain yang Nazwan akan tuju. Kalau tidak ke gym mesti ke kolam renang.
Memandangkan restoran itu hanya ada kolam renang, jadi, senanglah
langkahnya dituju.
“Maaf,” ucap
Nazwan tiba-tiba ketika langkah Arissa menghampiri Nazwan.
“Walaupun aku tak
tahu apa yang berlaku dan kenapa kau minta maaf tapi aku rasa aku
patut maafkan kau,” ujar Arissa selamba.
Nazwan tersenyum.
Melihat sahaja Nazwan tersenyum, Arissa mula berasa lega. Kalau
Nazwan tersenyum itu, maknanya satu petanda baik. Jadi, ada harapan
dia dapat perlahankan panas baran Nazwan yang naik tadi.
“Sekarang, aku
baru tahu tahu kenapa nenek beria-ia sangat suruh kita bertunang
cepat-cepat. Dia nak gunakan kau sebagai jambatan untuk dapatkan
balik syarikat arwah atok dan mama,” beritahu Nazwan.
“Bukan ke tu suatu
berita yang baik?” tanya Arissa. “Kenapa pula kau tak suka?”
Satu keluhan
kedengaran. Kemudian, Nazwan menggeleng.
“Aku tak suka,”
jawab Nazwan pendek.
“Kenapa tak suka?”
tanya Arissa.
Senyap. Tiada
jawapan dari mulut Nazwan.
“Sebab kau takut,
apa yang berlaku pada mama kau akan berulang lagi?” tanya Arissa
yang sudah dapat agak jawapan Nazwan tetapi dia sengaja tanya soalan
itu.
Memang dia sedia
maklum dengan keluarga Nazwan. Mama Nazwan meninggal dunia disebabkan
lemah jantung ketika Nazwan masih kecil. Setahun kemudian, papa
Nazwan pula meninggal dunia dengan penyakit yang sama. Disebabkan
itu, Nazwan jadi anak yatim piatu ketika berusia 8 tahun. Oleh itu,
dia fobia kalau penyakit itu menjangkitinya suatu hari nanti.
“Aku bukan takut
mati...,” ujar Nazwan.
“Habis tu?”
“Aku tak nak
habiskan masa aku dengan menghadap kerja yang tak ada penghujungnya.
Mama, seorang yang kuat bekerja. Dia bekerja siang malam bangunkan
perniagaan keluarga sampai abaikan kesihatan. Akhirnya, dia
tinggalkan semua yang diusahakan dengan begitu saja.”
“Jadi, kau anggap
apa yang mama kau buat tu sia-sia?” tanya Arissa.
“Mungkin,” jawab
Nazwan tanpa berselindung lagi. “Lagipun, kau sendiri pun kenal
aku, bukan? Aku bukan seorang yang cepat mesra dengan orang lain,
cepat naik angin dan tak suka sesakkan kepala dengan masalah.
Jadi...”
“Jadi, warisi
syarikat tu bukan satu pekerjaan yang sesuai dengan kau,” potong
Arissa. Nazwan mengangguk. “Kalau macam tu, boleh aku tanya satu
soalan?”
“Apa dia?”
“Apa cita-cita
kau?” tanya Arissa.
“Yang penting
bukan CEO,” jawab Nazwan pantas.
“Kau nak tahu
cita-cita aku?” tanya Arissa lagi.
“Jadi isteri aku?”
teka Nazwan dengan sinis.
“Bukan. Jadi
isteri kau adalah impian aku tapi cita-cita aku adalah nak tengok
orang di sekeliling aku, hidup dengan gembira. Jadi, untuk buat semua
orang gembira, aku perlu gembirakan diri aku terlebih dahulu. Kalau
aku tak gembira, macam mana aku nak gembirakan semua orang. Betul
tak?”
Nazwan mengangguk
setuju sambil bertepuk tangan. Bercakap dengan Arissa bukan sahaja
dapat menurunkan panas barannya malahan dapat memeningkan kepalanya.
Orang serius, dia pula boleh buat lawak.
“Kalau aku kata
aku tak gembira sekarang, kau nak buat apa?” tanya Nazwan.
“Sebab tulah aku
nak tanya satu soalan lagi,” ujar Arissa takut-takut.
“Dan soalannya?”
tanya Nazwan. Harap-harap bukan soalan yang tidak masuk akal atau
soalan yang memperbodohkan orang. Arissa bukannya boleh percaya
sangat.
“Kau betul-betul
nak kahwin dengan aku tak?” tanya Arissa.
Jelas. Tepat.
Serius. Tiada tapis-tapis lagi. Terus buat Nazwan kelu lidah.
Best..xsbr nk tggu nazwan n arisa tunang,da lame trtggu2 cite ni..