ROHANA
meletakkan secawan kopi di atas meja bosnya. Sejak dari tadi dia
asyik melihat bosnya itu mengulangi rakaman video semalam. Entah apa
yang difikirkannya, dia sendiri tidak pasti.
“Ada yang tak kena
lagi ke?” tanya Rohana.
Apy Elina mengeluh
panjang.
“Banyak,”
jawabnya. “Cuba kamu fikir, kenapa dia nak ceroboh masuk Arena dan
lawan pemain kebangsaan?”
“Sebab dia nak
berlagak. Mungkin juga dia dah bosan dengan hidupnya. Huh, nasib baik
dia hebat, kalau tak memang satu Malaysia ketawakan dia.”
“Saya pun fikir
macam tu juga pada awalnya tapi macam ada sebab lain…”
“Apa dia?”
Apy Elina menggeleng
kepala. Buat masa ini dia tiada jawapan lagi. Dia juga buntu mencari
jawapan sebenar. Hanya penceroboh itu mempunyai jawapan sebenar. Oleh
itu dia perlu dapatkan jawapan itu daripadanya.
“Err… Puan ada
apa-apa hal lagi? Kalau tak ada saya nak uruskan kerja saya,” ujar
Rohana ingin meminta diri.
“Tak ada. Awak
boleh teruskan kerja awak,” balasnya.
Setelah Rohana
berlalu keluar, Apy Elina segera mencapai telefon bimbitnya.
Jari-jemarinya laju mencari nombor telefon seseorang dan
menghubunginya. Dengan satu dua deringan, panggilannya disambut
seseorang.
“Assalamualaikum
Apy,” sahut suara Darina di hujung talian.
“Waalaikumsalam,”
jawabnya mesra. “Kau apa khabar?”
“Alhamdulillah.
Makin sihat. Danish pun sama. Baru-baru ni dia ada tanya pasal kau.
Bila nak datang sini lagi dan yang penting bila Danish nak ada
kawan?”
Apy Elina hanya
ketawa. Dia faham benar makna di sebalik soalan Darina tadi. Itu
tidak lain dan tidak bukan mesti hendak bertanya tentang anak.
Layankan sajalah.
“Cakap dengan
Danish, dia masih belum layak dapat kawan lagi. Apa boleh buat, masih
bukan rezekinya,” balasnya.
“Opss…”
“Darina, aku
perlukan bantuan kau,” ujarnya segera kembali serius.
“Kenapa? Macam ada
apa-apa dah berlaku saja…”
“Ada orang ceroboh
masuk Arena semalam,” dia segera berterus-terang dengan Darina.
Lagipun Darina patut tahu kerana Darina merupakan pemegang saham
terbesar dalam Arena. Dengan kata lain Darina adalah bosnya. Jadi,
Darina ada hak untuk tahu.
“Arena diceroboh?
Pelik. Sejak bila Arena menjadi tempat simpanan jongkang emas?”
tanya Darina hairan. “Kau tak apa-apa?”
“Bertenang. Bukan
apa yang kau fikirkan. Penceroboh tu hanya masuk dan bertarung dengan
pemain bola keranjang kebangsaan yang kebetulan adakan latihan di
sini,” terangnya seringkas mungkin.
Sunyi. Tiada reaksi
daripada Darina. “Double pelik,” kata Darina sepatah.
“Lagi pelik.
Penceroboh itu hanya seorang lelaki. Dan dia kalahkan sepuluh orang
pemain kebangsaan dalam masa tak sapai 10 minit,” tambahnya lagi.
“Itu bukan pelik
lagi tapi ajaib. Macam mana pemain kebangsaan boleh kalah dengan
seorang lelaki? Apa motif dia ceroboh masuk ke Arena dan bertarung
dengan pemain kebangsaan?” soal Darina bertubi-tubi.
“Itu yang aku cuba
cari jawapannya tapi jumpa jalan buntu…”
“Jadi, kau nak
siasat hal ni?” soal Darina.
Apy Elina
mengangguk. “Betul. Aku takkan hidup tenang selagi tak tahu siapa
orang itu dan kenapa dia ceroboh masuk ke dalam Arena. Dia mesti ada
motif lain selain kalahkan pemain kebangsaan.”
“Kenapa?”
“Sebab banyak aku
nak tanya dia. Mana dia belajar main bola keranjang dan siapa yang
ajar dia main bola keranjang. Jadi, aku perlukan bantuan kau. Kau
mesti kenal seseorang yang boleh siasat hal ini, bukan?”
“Baiklah. Aku akan
tolong,” jawab Darina tanpa ragu-ragu lagi.
“Terima kasih
Darina. Aku akan hantar maklumat tu pada kau nanti. Satu lagi
permintaan aku. Boleh tak rahsiakan hal ini daripada sesiapa? Ini
antara kita berdua. Tak ada sesiapa yang patut tahu dalam hal ini
termasuk suami aku.”
“Kenapa? Dia tu
suami kau. Dia ambil berat tentang kau…”
“Aku tahu. Aku
akan beritahu dia nanti tapi buat masa ni, tolong jangan beritahu
Adam. Pak cik tu… dia mesti akan mengamuk kalau aku buat kerja di
belakang dia. Tapi kalau aku tak buat macam ni, aku ada naluri yang
dia pasti hentikan apa yang aku rancang ini.”
“Baiklah. Aku
faham. Tapi aku nak nasihatkan, jangan bertindak seorang diri kalau
kau rasa ada bahaya.”
“Aku tahu. Terima
kasih.” Tidak lama kemudian, dia menamatkan panggilan itu dan
berharap Darina akan memegang janji itu. Walau apa pun, tetap ingin
mencari jawapannya seorang diri. Dia tahu, budak lelaki yang
menceroboh itu pasti ada kena mengena dengan suaminya!
“INI
maklumat tentang budak yang kau suruh siasat tu,” kata Darina
sambil menghulurkan sekeping sampul surat bersaiz A4 kepada Apy Elina
pada pertemuan mereka petang itu.
Tanpa berlengah
lagi, Apy Elina menyambut sampul surat itu dan segera membukanya. Dia
membacanya sekali imbas.
“Namanya Azril.
Seorang yatim piatu. Membesar seorang di jalanan. Menurut penyiasat
aku, maklumat dia paling susah nak dapat sebab tak ada sumber-sumber
yang dipercayai. Kau faham sajalah kehidupan budak jalanan. Tapi
mujur dia selalu lepak main bola keranjang di satu tempat. Jadi, itu
saja yang aku boleh tolong,” terang Darina.
“Tak mengapa. Ini
pun sudah cukup. Selebihnya aku akan usahakan sendiri.”
“Apa kau nak buat
seterusnya?” soal Darina.
“Aku takkan suruh
kau siasat kalau hanya nak simpan maklumat ni di bawah katil,”
balasnya sambil memerhati gambar-gambar yang ditangkap curi. Semuanya
gambar-gambar Azril sedang bermain bola keranjang. “Jadi, dia bukan
saja budak jalanan tapi pemain bola keranjang jalanan.”
“Pemain bola
keranjang jalanan?”
“Seorang yang ada
skil dalam sukan bola keranjang tapi lebih suka buat hal sendiri. Tak
berminat nak sertai mana-mana team profesional. Macam lumba haram.
Macam-macam skil yang mereka ada tapi langsung tak memanfaatkan
kelebihan mereka dengan sesuatu yang berfaedah. Kadangkala mereka
akan mengadakan perlawanan dengan kumpulan lain. Aku pernah tengok
sekali perlawanan samseng bola keranjang ni. Kejam. Langsung tak ada
peraturan dan berbahaya,” terangnya.
“Tak hairanlah
semua pemain kebangsaan boleh kalah,” balas Darina. Kopi panas itu
dihirupnya sedikit.
“Bukan sebab itu
mereka kalah,” balasnya penuh yakin.
Darina mengerut
dahi.
“Aku dah lihat
rakaman tu berulang kali. Dia mungkin samseng bola keranjang tapi
cara dia lawan pasukan kebangsaan bukan seperti samseng. Sebab tulah
dari awal lagi aku tak dapat nak pastikan dari mana dia datang. Boleh
jadi, dia merupakan pemain daripada pasukan profesional yang lain.
Masa tu, dia tak bermain dengan kasar. Langsung tak nampak yang dia
seorang samseng.”
“Kalau dia samseng
bola keranjang, kau dah dapat motif sebenar dia. Dia kebosanan dan
teringin nak mencabar pemain profesional. Habis cerita.”
“Aku harap macam
tu tapi aku ada alasan tersendiri kenapa aku nak jumpa dia dan tanya
dia tentang hal ini. Aku takkan berhenti selagi aku tak dapat jawapan
yang aku mahu.”
Darina tiba-tiba
tersenyum.
“Kenapa?” tanya
Apy Elina.
“Betullah cakap
arwah Daniel dulu. Kalau kau dah jumpa satu misteri, tak akan ada
satu misteri pun akan tinggal misteri.”
“Tapi… hanya ada
satu misteri yang aku masih belum dapat jawapannya.”
“Apa dia?”
“Apa hubungan
arwah Daniel dengan Adam?”
“Hubungan?” soal
Darina kurang mengerti.
“Yalah. Hubungan.
Daniel dan Adam. Kau tak rasa mereka ada hubungan ke?” soal Apy
lagi.
“Cara kau cakap
macam… mereka berdua ada hubungan sulit,” lambat-lambat Darina
bersuara.
“Ini lebih
daripada hubungan sulit. Cuba kau fikir, kenapa Daniel amanahkan
projek Arena kepada Adam? Kenapa bukan orang lain? Sedangkan masa tu
Adam belum ada apa-apa pengalaman nak buat projek besar begini
kecuali duit. Yang lagi pelik, macam mana Daniel tahu aku ada jodoh
dengan Adam sedangkan masa tu… aku sendiri pun tak pasti dengan
perasaan aku. Kau tak rasa pelik ke?”
“Tak,” Darina
menggeleng.
“Jangan-jangan kau
pun cuba rahsiakan sesuatu daripada aku,” Apy Elina menjeling
semacam. Mustahil orang cerdik pandai seperti Darina ini langsung tak
pernah terfikir tentang soalan itu. Itu soalan logik akal.
“Tak ada apa nak
dirahsiakan. Macam kau kata tadi. Memang Adam belum ada apa-apa
pengalaman masa tu tapi dia ada duit. Dengan duit semuanya boleh
jadi. Tambah lagi Adam satu-satunya orang yang dia dan kau kenal.
Kalau dia serahkan kepada orang yang kau sendiri tak kenal, dia takut
projek tu tak menjadi atau bertukar jadi projek lain. Mungkin waktu
tu, arwah hanya percaya pada Adam,” jawab Darina.
Apy Elina mengeluh
panjang. Apa yang Darina kata tadi ada benarnya. Mungkin dia
terlampau memikirkan hal ini selama ini. Tapi jauh dari sudut hatinya
dia tetap merasakan ada rahsia di sebalik itu.
“Tapi Apy… kalau
kau betul-betul nak jumpa budak tu, aku sarankan, lebih baik kau
beritahu suami kau pasal ni,” ujar Darina kembali ke topik asal.
“Kenapa?”
“Bahaya. Kau
sendiri tahu dia berkawan dengan samseng. Takkan kau nak pergi jumpa
dia seorang diri? Sekurang-kurangnya kau patut beritahu suami kau.”
Apy Elina mengeluh
lagi. Beritahu Adam? Dengan alasan apa yang dia perlu bekalkan nanti?
Adam memang serius kalau dalam bab ini. Lagi-lagi kalau orang yang
dia ingin dia jumpa ini bercampur gaul dengan samseng jalanan. Sama
bahaya dengan orang kongsi gelap. Itu sudah pastinya suaminya tidak
akan benarkan.
“Pak cik tu pasti
takkan benarkan aku jumpa budak tu. Lebih baik kalau dia tak tahu,”
balasnya, nekad membuat keputusan.
“Apy, dia suami
kau. Kau bukan lagi jurulatih dia. Taraf dia lebih tinggi daripada
kau. Kau faham bukan konsep suami isteri? Dosa dan pahala? Ini…
bukan keputusan yang kau kena buat seorang diri.”
“Aku tahu. Tapi
apa kurangnya suami aku. Dia banyak berahsia daripada aku, buat
keputusan tanpa merujuk pada aku dulu. Aku juga tahu dia
senyap-senyap upah orang untuk pastikan aku selamat tapi apa salahnya
kalau berterus-terang?” luahnya yang sudah lama tersimpan di hati.
“Dia buat macam tu
sebab dia sayangkan kau. Kau mesti tahu, bukan?”
“Itu aku tahu…”
“Sekurang-kurangnya
kau tahu yang dia sayangkan kau. Dia tak nak kau risau. Berikan dia
masa. Tapi sekarang, ini masa kau. Jangan ikut ego suami kau. Kau
kena berubah dulu. Mengalah.”
Dia mengeluh lagi.
“Macam mana kalau
dia tak bagi?” soalnya.
“Macam mana kalau
dia bagi?” balas Darina penuh yakin.
“Baiklah, aku akan
cuba bercakap dengan suami aku nanti… dan harap-harap dia akan
benarkan…”
“Insya Allah. Yang
penting jangan rahsiakan daripada suami kau. Dia berhak tahu,”
sokong Darina.
Salam RB, hmm..macam xcukup n puas jek..huhu.. bila dpt ulit novel nie? last monday dah submit manuskrip kan? hehehe.. so, ble tarikh release?