“Nazwan, sebelum
kita pergi lebih jauh lagi, inilah masa untuk kau buat keputusan.
Peraturannya mudah saja. Kalau kau fikir, kau tak boleh, jadi, jangan
teruskan. Mudah, bukan?” kata-kata Arissa tadi masih lagi
ternyiang-nyiang di telinganya.
Ya. Bercakap memang
senang. Mudah saja. Tapi hendak melakukannya bukan mudah. Kena fikir
tentang semua orang di sekeliling terutama sekali nenek yang sudah
membesarkannya. Disebabkan terhutang budi dengan nenek dan keluarga
Luqman dia jarang sekali mengingkari kata-kata mereka.
Kalau diikutkan hati
memang dia tidak rela. Tambah lagi Arissa bukanlah pilihan yang
tepat. Memang dia tidak menafikan yang dia begitu mengenali Arissa.
Bukan setakat kenal, tapi dalam banyak-banyak orang, dia paling
bersabar dengan perangai Arissa.
Memang betul. Bagi
setengah orang memang sudah tidak mahu berkawan dengan Arissa sebab
perangainya yang tidak habis-habis menyusahkan orang, manja tak
bertempat, cerewet yang berpanjangan dan kebanyakan perangai tak
disukai orang ada pada Arissa. Macam manalah ada orang nak berkawan
dengan dia kalau perangainya masih tidak berubah-ubah. Kawan-kawan
Arissa semuanya tidak kekal lama. Hanya dia sahaja yang masih
bertahan dengan Arissa.
Tapi semua itu
bukannya penjamin masa depan dia dengan Arissa. Arissa pula satu hal.
Selagi hatinya masih tersangkut pada yang itu, itu sahajalah yang dia
kejar. Lelaki lain yang lagi handsome lalu depan dia pun, langsung
buat tak tahu. Pelik sungguh!
Mama Fiza kata, itu
menunjukkan Arissa memang betul-betul sudah jatuh cinta. Tapi bagi
dia yang sudah kenal dengan Arissa, semua itu belum cukup bukti lagi.
Arissa boleh jatuh cinta bila-bila masa dan bila sudah muak, dia akan
tinggalkan begitu sahaja.
Jadi, buat apa dia
hendak teruskan rancangan ini sedangkan masing-masing tidak serius.
Betul juga kata Arissa, dia perlu fikir masak-masak sebelum mereka
berdua pergi lebih jauh lagi.
Lantas Nazwan
mencapai handsetnya. Dia sudah fikir masak-masak dan merasakan inilah
keputusan yang terbaik untuk semua pihak. Terus dia mendail nombor
handset Luqman walaupun bilik Luqman hanya bertentangan dengan
biliknya.
“Aku sangat pasti
jam dalam bilik aku tak kehabisan bateri. Sekarang ni pukul 3.00 pagi
wei,” suara mamai Luqman kedengaran menjawab panggilan itu.
“Aku tak boleh
tidur,” kata Nazwan pendek.
“Tak boleh tidur
sebab kau minum kopi jantan atau tak boleh tidur sebab kau tak nak
tidur dengan harapan ada orang nyanyikan lagu Twinkle Twinkle Little
Star untuk kau?” tanya Luqman lagi.
“Aku harap sangat
nak tengok kau nyanyikan lagu AKB48 untuk aku dengan skirt pendek
yang kau beli semalam,” balas Nazwan selamba. Kenal sangat dia
dengan Luqman. Kalau Luqman masih separuh tidur, hanya ada satu cara
untuk bangunkan Luqman sepenuhnya. Sebut jelah AKB48, gerenti segar
matanya.
“Okey, aku tahu.
Kau tak perlu sebut pasal AKB48 untuk paksa aku pergi ke bilik kau
sekarang,” ujar Luqman. Tidak lama kemudian, pintu bilik Nazwan
yang tidak berkunci itu dibuka oleh Luqman yang masih bercakap
melalui handset.
“Tapi kau punya
statement tadi sungguh kejam. Aku pakai skirt nyanyi lagu AKB48 untuk
kau? Dari mana kau dapat idea kejam macam tu?” sambung Luqman
seraya menutup pintu bilik Nazwan. Panggilan tadi juga ditamatkan.
“Tentang tawaran
kau tadi, ada lagi ke?” tanya Nazwan langsung tak pedulikan soalan
Luqman tadi.
Luqman mengerut
dahi. Terkejut. Baru malam tadi Nazwan tidak setuju dengan tawarannya
itu. Kini, tiba-tiba Nazwan berubah fikiran. Pelik. Selama ini dia
kenal dengan perangai Nazwan yang tidak mudah mengubah keputusan yang
telah dibuat.
“Kenapa tiba-tiba
kau ubah fikiran?” tanya Luqman. “Ohhh... ini mesti kau takut nak
jadi menantu Pak Cik Hairi tu,” pantas saja Luqman meneka.
“Kau boleh uruskan
ke?” tanya Nazwan tanpa menjawab soalan Luqman tadi.
“Demi kau aku
sanggup buat apa sahaja,” ujar Luqman dengan penuh drama. “Tapi,
sebelum aku bersubahat dengan kau, boleh tak kau beritahu aku tempat
yang kau nak tuju? Sebab aku tak nak jadi macam kes yang dulu-dulu.
Tension betul aku bila kau hilangkan diri.”
“Aku nak ke UK,”
beritahu Nazwan serius.
“Apa?” terkejut
Luqman mendengarnya. “UK? Kau serius?”
Nazwan mengangguk
tanpa teragak-agak.
“Haaa... aku tahu.
Kau ada skandal dengan Natasya tu bukan? Kau tahu dia duduk di sana
jadi kau nak pergi ke sana!” teka Luqman.
“Pak cik aku ada
dekat sana,” jawab Nazwan sekali gus menafikan terus tuduhan Luqman
tadi.
“Ohhh...,”
Luqman mengangguk faham. “Tapi kenapa jauh sangat kau nak merajuk?”
“Aku tak
merajuklah,” keluh Nazwan menarik nafas panjang. Sabar sajalah.
Melayan soalan-soalan Luqman memang begitu. “Buat masa ni, aku
fikir lebih baik aku pergi jauh dari sini.”
“Maknanya kau
takkan kembali?” tanya Luqman.
“Susah nak cakap.”
“Kalau macam tu,
aku tak nak tolong kau.”
“Jadi, kau rela
aku kahwin dengan Arissa?” tanya Nazwan kembali.
“Bukan macam
tu...”
“Then, kau patut
tolong aku,” potong Nazwan. Mendesak.
“Tapi kenapa
sampai nak pergi jauh? Kau tahukan, aku tak boleh hidup tanpa kau?”
soalan budak-budak umur 10 tahun keluar dari mulut Luqman. Nasib
baiklah Nazwan faham sangat dengan perangai Luqman yang tidak ubah
seperti budak-budak.
“Luqman, kau
pernah dengar istilah facebook?” tanya Nazwan.
Luqman mengangguk.
“Twitter?”
Sekali lagi Luqman
mengangguk.
“Skype? Blogger?
Instagram?”
Angguk. Angguk.
Angguk.
“Tahniah. Jadi,
sila jangan buat dunia ni seperti dunia zaman batu,” ujar Nazwan
menyindir.
“Masalahnya kau tu
yang hidup dalam zaman batu. Macamlah kau ada semua akaun laman
sosial yang kau cakap tadi tu,” perli Luqman kembali.
“Kalau tak ada,
boleh buat. Tak ada masalah, bukan?” balas Nazwan.
“Okey,” keluh
Luqman malas hendak panjangkan cerita walaupun dia masih ragu-ragu
lagi. Dia sudah lama kenal Nazwan yang buta IT tapi semua itu letak
nombor dua. Yang penting sekarang, Nazwan sudah bersetuju hendak
jalankan misi mustahil mereka itu.
“Kau pasti?”
tanya Luqman sekali lagi.
Laju sahaja Nazwan
mengangguk.
“Okey, aku akan
uruskan. Bila kau nak pergi?”
“Esok.”
“Gila. Mana sempat
aku nak uruskan semua dalam masa yang singkat tu.”
“Kau yang tanya,
bila aku nak pergi. Jadi, aku jawablah esok,” jawab Nazwan selamba.
“Habis tu, kau nak
masuk negara orang dari pintu belakang? Orang masuk dari pintu
belakang pun makan masa berbulan-bulan tau. Aku kena booking tiket
kapal terbang kau dulu, uruskan visa kau dan uruskan barang-barang
kau. Takkanlah kau nak bawa beg besar terang-terang tunjuk depan
nenek. Ini perancangan nak larikan diri, bukannya perancangan nak
pergi honeymoon senyap-senyap,” bising Luqman.
“Okey, berapa hari
kau boleh uruskan?”
“Aku perlukan
rakan subahat lagi satu sebelum buat keputusan,” jawab Luqman
dengan senyuman misterinya.
Ah, lantak. Asalkan
semuanya berjalan lancar.
***
Sarah mengeluh. Dia
sendiri tidak pasti untuk kali ke berapa. Tapi yang pasti, sejak dia
datang ke rumah Arissa pagi tadi, dia sudah mengeluh banyak kali.
Kedatangannya ke situ atas paksaan. Bukan sahaja Arissa yang
memaksanya tetapi Mama Fiza juga memaksa. Katanya, Arissa mogok tidak
mahu keluar bilik selagi dia tidak datang.
Menyusahkan! Jadi,
dalam keadaan terpaksa, Sarah akhirnya datang juga. Bila dia sampai
ke rumah Arissa, tersengih-sengih Arissa buka pintu. Sah, memang dia
kena tipu. Kata Puan Fiza, dia minta maaf kerana terpaksa panggilnya
ke situ. Alasannya, Arissa hanya akan mencuba pakaian itu kalau Sarah
ada. Sabar sajalah.
Walaupun hati rasa
macam hendak terkam saja Arissa tu, tapi dia hanya mampu bersabar.
Entah macam mana Puan Fiza dan Fazira boleh layan saja perangai
Arissa yang makin lama makin menjadi-jadi. Ingatkan bila nak jadi
tunang orang kurang sikit perangai manja tak bertempat itu tapi makin
teruk pula! Kesian dengan Nazwan dapat bakal tunang begini. Sarah
melihat jam di tangannya. Sudah setengah jam berlalu tapi batang
hidung Arissa masih tidak kelihatan. Penat dia menunggu sampai habis
beberapa majalah perkahwinan yang ada di ruang tamu itu dibeleknya.
Huh, ini tengah cuba
baju atau tengah jahit baju ni? Hatinya puas menyumpah.
Tiba-tiba handsetnya
berbunyi. Panggilan daripada Luqman. Sarah segera menjawab panggilan
itu memandangkan dia terlampau bosan sangat menunggu.
“Saya nampak
kereta awak di rumah Arissa,” ujar Luqman sebaik sahaja Sarah
menjawab panggilan itu.
“Huh, saya tak nak
cakap pasal tu buat masa ni,” balas Sarah tension.
“Dia buat hal
lagi?” teka Luqman.
“Awak pun kenalkan
perangai diakan? Jadi, saya harap awak telefon saya ni sebab nak
beritahu berita gembira,” ujar Sarah yang masih berharap lagi.
“Pandai pun. Tapi
sekali dengan berita buruk,” balas Luqman.
“Jadi, dia setuju
dengan rancangan tu?” tanya Sarah yang dapat mengagak berita
gembira itu.
“Yup,” jawab
Luqman.
Jawapan Luqman tadi
sudah mampu buat dia tersenyum. Hilang terus mood kurang baiknya
tadi. Tapi, hanya sekejap saja gembira itu datang apabila dia
teringat berita buruk yang belum disampaikan lagi.
“Dan berita buruk
pula?” tanya Sarah.
“Dia nak ke UK.”
“Apa?” terkejut
Sarah dibuatnya. Dia hampir menjerit tadi. Kemudian, dia melihat dan
kanan sebelum mengeluh lega apabila tiada orang di sekelilingnya.
Lantas dia bangun dan berlalu ke kawasan taman di luar rumah Arissa
itu.
“Kenapa jauh
sangat?” tanya Sarah tidak puas hati.
“Dia fikir, kalau
dia masih ada di sini, rancangan nenek tu tetap akan berjalan. Memang
betul pun. Saya kenal sangat dengan nenek, jadi mungkin lebih baik
kita biarkan dia pergi UK,” beritahu Luqman.
“Tapi, dia seorang
diri pergi sana? Boleh percaya ke?”
“Dia ada pak cik
yang duduk dekat sana. Jadi, tiada masalah untuk kita risaukan dia,”
kata Luqman lagi.
“Awak pasti?”
tanya Sarah lagi.
Berita Nazwan hendak
larikan diri itu sudah menggembirakannya tapi berita hendak ke UK,
dia masih was-was lagi. Tapi kalau ada orang yang Nazwan kenali di
sana, mungkin tiada masalah.
“Pasti,” jawab
Luqman dengan yakin.
“Okey, jadi kita
setuju sajalah,” Sarah tiada pilihan lain lagi.
“Sarah!” panggil
Arissa dari dalam.
“Oh tidak, Arissa
dah datang,” keluh Sarah.
“Okey, saya akan
datang selamatkan awak sekejap lagi,” balas Luqman sebelum
menamatkan perbualan tadi.
“Sarah!” panggil
Arissa dari belakang.
“Ye!” terkejut
Sarah dibuatnya apabila menyedari Arissa berada di muka pintu tidak
jauh dari tempatnya berdiri.
“Kau buat apa di
sini?” tanya Arissa yang sudah menyarung baju pertunangannya.
“Err... saja.
Loving-loving dengan taman bunga ni sementara menunggu Cik Arissa
yang cerewet pakai baju,” balasnya selamba.
Serentak itu bibir
Arissa mengukir senyuman lebar.
“Macam mana?
Cantik tak?” tanya Arissa kepada Sarah sambil menggayakan baju yang
akan dipakai semasa hari pertunangannya. Baju kurung moden yang
dijahit bersama manik-manik cantik itu memang menepati cita rasanya.
Simple dan nampak elegen.
“Not bad,” jawab
Sarah acuh tidak acuh.
“Itu je?” tanya
Arissa tidak puas hati.
“Ye. Memang
cantik. Sangat cantik. Kalau aku lelaki dah lama aku ajak kau kahwin
sekarang tapi masalahnya sekarang ni aku perempuan, jadi aku boleh
puji kau cantik sajalah,” ujar Sarah separuh geram. Orang komen
satu patah dia tidak puas hati, jadi terpaksalah dia memuji tanpa
kerelaannya.
“Manis mulut kau.
Memandangkan kau puji aku, jadi aku beri kau penghormatan untuk
tangkap gambar kita bersama-sama,” ujar Arissa terus memeluk bahu
Sarah sementara satu lagi tangannya menghalakan kamera handset ke
arah mereka berdua.
Sarah pun layan
ajelah. Orang syok sendiri memang begini. Biarlah Arissa bergembira
sekarang. Yang pasti, dia akan memastikan rancangan mereka berjalan
dengan lancar.
***
“Dating?” tanya
Nazwan yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu bilik Luqman. Terkejut
Luqman dibuatnya. Hampir gugur jantungnya bila ditegur begitu.
“Wei, tolong
jangan sergah sepupu sehati sejiwa kau ni boleh tak? Kalau aku tetiba
tak ada nanti, siapa nak tolong kau lepas ni?” marah Luqman tidak
puas hati.
“Aku terpaksa
sergah kau sebab kau tak jawab mesej aku tadi,” ujar Nazwan yang
sudah masuk ke dalam bilik tanpa dipelawa.
“Aku terpaksa
abaikan mesej kau tu sebab... buat apa kau mesej aku sedangkan bilik
kau tu depan bilik aku je,” bengang Luqman seketika.
“Sebab aku tak
tahu nak buat apa dengan kredit aku yang banyak macam tu,” balas
Nazwan selamba.
Luqman hanya
menggeleng. Ada sahaja bahan yang dibalasnya. Kalau begini, sampai
bila pun Nazwan tetap akan menang. Lebih baik dia berhenti panjangkan
topik dan terus ke topis sebenar.
“Apa hal penting
sangat kau nak tanya?” tanya Luqman.
“Aku cadang nak
beritahu Arissa.”
“Apa? Kau dah gila
ke? Jangan. Jangan!” bantah Luqman.
“Walau apa pun dia
kena tahu. Aku tak nak dia jadi mangsa....”
“Dia bukan mangsa.
Dia memang suka cari masalah,” potong Luqman tidak setuju. Gila
hendak beritahu Arissa. Baru sahaja dia bercita-cita hendak balas
dendam, boleh pulak Nazwan cakap begitu.
“Tapi aku tak nak
dia sedih nanti,” ujar Nazwan serba salah.
“Dia takkan sedih.
Mungkin. Mungkin dia akan sedih tapi hanya sehari dua. Selepas tu,
dia akan lupakan kau dan cari mangsa lain,” tambah Luqman lagi.
Nazwan mengeluh.
Sejujurnya, dia memang berat hati hendak meninggalkan Malaysia. Dia
juga tidak mahu melihat Arissa bersedih tapi apa boleh buat, kalau
dia masih berada di sini, nenek pasti akan memaksa dia buat sesuatu
yang dia tidak suka.
“Jangan fikirkan
pasal dia. Kau patut fikirkan pasal kau dan pasal masa depan kau.
Kalau kau beritahu Arissa, aku takut rancangan ni akan gagal,”
Luqman cuba memujuk Nazwan. Entah sihir apa pula yang Arissa bagi
sampai Nazwan boleh jadi begini. Dia tahu, Nazwan ingin tinggalkan
Malaysia bukan kerana terpaksa ikat tali pertunangan dengan Arissa
tapi kerana Nazwan tidak mahu ikut rancangan nenek merampas kembali
syarikat yang ditinggalkan oleh arwah datuk dan mamanya.
“Aku percaya pada
Arissa. Sekurang-kurangnya aku nak dia tahu yang aku pergi bukan
sebab dia,” Nazwan masih berkeras lagi.
“Tapi aku tak
percaya,” balas Luqman. “Dia tu banyak agenda tersembunyi. Dia
lagi licik dari aku, kau tahu tak? Kalau tak, gerenti kau orang
berdua takkan kena kantoi dengan nenek,” sekali lagi Luqman cuba
memujuk Nazwan.
“Tapi....”
“Okey, aku faham.
Kau rasa bersalah sebab buat dia macam ni. Kau boleh beritahu dia dan
terangkan perkara sebenar tapi dengan syarat, kau hanya boleh
beritahu dia selepas kau berangkat ke luar negara. Kalau kau beritahu
dia selepas tu, aku yakin dia akan faham,” pujuk Luqman.
Akhirnya Nazwan
mengangguk. Terpaksa setuju. Dia tiada pilihan. Kini, hanya Luqman
sahaja harapannya. Kalau dia masih berkeras hendak beritahu Arissa,
takut lain pula yang jadinya. Nak tak nak dia terpaksa simpan dahulu
hasratnya.
“Okey, aku nak
keluar sekarang jumpa Sarah. Kau duduk di rumah dan jangan ke
mana-mana. Jangan jumpa Arissa. Kau tu, bukannya boleh tengok dia
sangat. Mesti hilang kawalan punya. Tunggu je berita baik dari aku,”
ujar Luqman sebelum meninggalkan bilik itu.
***
“Hah? Dating?
Awalnya. Bukan ke kau baru sampai?” tanya Arissa kecewa.
“Dah alang-alang
aku datang sini, tambah lagi aku tak lama tak jumpa Luqman, jadi dia
ajak aku keluar,” balas Sarah.
“Haa... sweetnya.
Nazwan tak pernah ajak aku keluar,” muncung tajamnya mula
kelihatan. Cemburu habis dia dengan Sarah.
“Okey, aku pergi
dulu. Luqman dah tunggu di luar,” kata Sarah sebaik sahaja membaca
mesej yang diterimanya tadi.
“Sarah, tunggu!”
lantas Arissa bersuara sebaik sahaja melihat Sarah mengorak langkah
ke pintu utama.
“Kenapa?” tanya
Sarah terkejut.
Arissa tidak
menjawab tetapi sebaliknya terus memeluk Sarah dengan erat. Sarah
terkesima. Terkejut dengan tindakan Arissa itu. Memang Arissa suka
sangat memeluk orang, tapi dia terkejut sebab sudah lama Arissa tidak
berbuat demikian. Malah pelukannya, rasa lain macam.
“Err... Arissa...”
“Hadiah untuk kau
kerana sudi datang hari ni. Maaflah sebab terpaksa tipu kau pagi
tadi. Kalau aku tak buat macam tu, entah bila kita dapat tangkap
gambar sama-sama nanti,” ujar Arissa yang masih memeluk Sarah.
“Ohhh...” Serba
salah Sarah dibuatnya.
“Okey,” pelukan
segera dileraikan. “Mulai hari ini, aku perlu kuat. Aku dah tak
boleh manja-manja lagi dah. Aku ingin pastikan semuanya berjalan
dengan lancar!”
“Macam-macamlah
kau ni. Jangan risau, semuanya akan selamat.”
“Harap-harap macam
tulah,” balas Arissa.
“Okeylah aku pergi
dulu,” sekali lagi Sarah meminta diri.
“Hati-hati dating
tu. Jangan buat benda tak senonoh!” jerit Arissa sebelum Sarah
menghilang di sebalik pintu.
Selepas Sarah
meninggalkan pekarangan rumahnya, Arissa segera naik ke biliknya. Dia
mencapai handsetnya dan mendail nombor telefon seseorang.
“Hai bakal
pengantin, baru sekarang nak call aku ke?” tanya satu suara sebaik
sahaja panggilan itu disambut seseorang.
“Melati...”
“Kenapa ni?”
“Aku perlukan kau
sekarang.”
sedihhh...