“Perlu
balik ke?” tanya Adam yang masih berbaring di atas katil. Kalau
boleh dia tak mahu tinggalkan katil itu apatah lagi rumah mak
mertuanya itu. Hampir seminggu bercuti di kampung, akhirnya tibalah
masanya untuk mereka pulang ke bandar semula. Cuti sudah habis. Kini
masa untuk honeymoon dengan kerja yang berlambak-lambak di Kuala
Lumpur.
“Habis
tu?” Apy Elina bercekak pinggang. Dari tadi dia tak habis-habis
mengemas pakaian mereka masuk ke dalam bagasi, suaminya pula tak
habis-habis tanya soalan yang sama.
“Rasanya
macam baru semalam kita sampai sini,” tambah Adam lagi kecewa.
“Pak
cik, sedar sikit. Dah seminggu kita di sini,” balas isterinya.
“Apa
kata kalau kita tinggal di sini terus? Kesian mak awak tinggal
seorang, tak ada sesiapa meneman,” cadang Adam terus bangun dengan
terujanya.
“Habis
tu kerja awak macam mana? Siapa nak jadi bos kat ofis tu?” Apy
Elina cuba mengingatkan Adam.
Adam
mengeluh panjang. Betul kata isterinya itu. Ada banyak kerja yang
sedang menantinya setibanya di Kuala Lumpur nanti. Dia berat hati
hendak tinggalkan kampung yang aman damai ini. Sepanjang hidupnya,
belum pernah lagi dia menjalani hidup dengan aman dan tenteram
begini. Tempat ini sama seperti tempat yang dia impikan selama ini.
“Janganlah
risaukan mak saya tu. Dekat sini dia banyak adik-beradik dan saudara
mara. Lagipun Angah tinggal tak jauh dari sini. Boleh dikatakan
selang seminggu dia balik. Kalau dia nak ponteng kerja pun dia datang
sini juga. Jadi, tak perlulah risau sangat,” tambah Apy Elina lagi.
Seperti
Adam, dia juga risaukan emaknya. Pernah juga dia ajak emaknya tinggal
bersamanya di Kuala Lumpur tapi seperti biasa emaknya pasti akan
menolak perlawaannya itu dengan alasan yang cukup skema.
“Kalau
mak tinggal dengan kau di sana, siapa nak bagi ayam dengan itik kat
belakang tu makan?”
Alasan
ini cukup terkenal yang pernah didengarnya. Padahal maknya bukan
meneternak ayam atau itik di belakang rumah. Memanglah banyak ayam
dan itik di belakang rumahnya tapi kebanyakannya ayam dan itik tidak
bertuan. Hanya datang untuk makan di belakang rumahnya kerana emaknya
rajin bagi makan.
Bila
si emak sudah bagi alasan begitu, dia sebagai anak, kena faham. Itu
maknanya walau apa pun yang berlaku, emaknya memang tak suka
tinggalkan rumah peninggalan itu. Apy Elina hanya mengharapkan
jiran-jiran dan saudara mara yang tinggal berdekatan menemani
emaknya.
Setakat
ini belum lagi terjadi apa-apa. Mungkin kerana rukun tetangga masih
lagi kuat di area situ. Maklumlah kebanyakan yang duduk di sekeliling
kampung itu merupakan ibu tunggal yang tinggal seorang diri. Jadi,
rondaan rukun tetangga memang diperkuatkan.
Tiba-tiba
mereka dikejutkan dengan deringan telefon bimbit Adam. Adam segera
mengeluarkan telefon bimbitnya di poket seluarnya. Dia melihat skrin,
satu panggilan daripada private nombor diterimanya.
“Abang
tunggu kat bawah,” ujarnya kepada isterinya sebelum bergegas keluar
dari bilik.
Apy
Elina mula perasan ada sesuatu yang tidak kena dengan suaminya itu.
Tiap kali ada panggilan mesti Adam akan menjawab jauh daripadanya.
Bukan sekali tapi banyak kali. Yang peliknya, hanya mereka berada di
kampung. Selalunya walau ada urusan syarikat apa pun, Adam pasti akan
menjawab panggilan di hadapannya. Cuma kali ini.
Adam
ada kekasih baru? Atau ada perempuan simpanan? Atau isteri simpanan?
Macam macam yang difikirkannya. Lelaki. Kalau jawab panggilan
sembunyi-sembunyi macam itu pastilah mesti ada rahsia yang mereka
sembunyikan.
Walaupun
dia berfikir begitu, tapi dia kurang yakin Adam ada hubungan sulit.
Dia tahu siapa Adam. Dia kenal perangai Adam. Jeling untuk tengok
perempuan yang lalu di depan mata pun tak pernah. Tapi kalau tengok
bola keranjang melantun-lantun di depan mata, memang tak berkelip
dilihatnya. Itulah Adam.
Ini
tak lain dan tak bukan mesti pasal hal keluarga Alexander. Apy Elina
mengeluh panjang. Walaupun Adam tak pernah berkongsi tentang itu,
tetapi dia tahu suaminya itu masih belum boleh tarik diri sepenuhnya
daripada keluarga Alexander. Kalau pergi ke mana-mana, orang masih
lagi menghormati Adam sebagai sebahagian daripada keluarga Alexander.
Seperti kata Mellissa, Adam tak boleh lari daripada keluarga itu
sebab dia pernah jadi sebahagian daripada keluarga itu.
Malah,
sebelum berkahwin lagi, Dato’ Azrina yang pernah menjadi ibu kepada
suaminya itu, pernah mengingatkan dia tentang keluarga Alexander.
Mahu atau tidak, dia sudah menjadi sebahagian daripada keluarga itu.
Oleh itu, dia kena bersedia dengan sebarang ancaman yang boleh
merosakkan rumah tangga mereka.
“Mama
dah lama jadi sebahagian daripada keluarga Alexander. Apa yang mama
boleh tolong hanyalah satu nasihat. Kamu perlu kuat dari segi mental
dan fizikal. Kalau kamu lemah, sesiapa saja boleh ambil peluang ini
dan jatuhkan kamu dalam sekelip mata. Keluarga Alexander ada ramai
musuh yang dengki sampaikan kami sendiri pun tak tahu siapa mereka.
Jadi, walau apa pun yang berlaku, kamu perlu kuat. Suatu hari nanti,
kamu akan nampak satu persatu kebenaran dalam keluarga ni dan masa
tu, jangan terkejut kalau orang yang kamu kenal jadi seseorang yang
kamu tak kenal langsung.”
Kata-kata
Dato’ Azrina, ibu mertuanya itu masih lagi ternyiang-nyiang di
telinganya. Dia tak pernah melupakan atau mengambil mudah kata-kata
itu. Dato’ Azrina lebih makan garam dalam hal ini, mungkin apa yang
dikatakan oleh ibu mertuanya itu bukan untuk menakut-nakutkannya tapi
supaya dia lebih berhati-hati.
Selepas
mengemas kain baju dan semua barang, dia segera membawa beg bagasi ke
bawah. Di bawah, bonet kereta sudah pun terbuka manakala enjin kereta
telah pun dihidupkan. Dari jauh dia dapat melihat suaminya sedang
berbual dengan seseorang melalui telefon.
Apy
Elina tidak mengambil pusing. Kalau Adam tak mahu berkongsi
dengannya, itu maknanya memang Adam tak nak dia tahu. Kalau dia
berkeras juga memaksa Adam membuka mulut, itu maknanya derhaka kepada
suami. Adam bukan lagi anak muridnya tapi kini sudah menjadi
suaminya. Lagipun dia kenal Adam, kalau Adam hendak berkongsi, memang
sudah lama dia buka mulut tanpa dipaksa. Jadi, dia tak mahu buang
masa memikirkan hal itu.
“Mak
jangan menangis tau. Apy nak balik KL dah ni,” tegur Apy Elina
kepada Puan Fatimah yang duduk di kerusi di luar rumah. Tempat itulah
menjadi sarang lepak mereka sekeluarga dahulu.
“Huh,
tak ada maknanya mak nak menangis. Kau duduk lama-lama dalam rumah
mak ni yang buat mak menangis. Jadi lebih baik kau balik KL
sekarang. Dapatlah mak bersenang-lenang macam mak datin dalam rumah
ni,” balas Puan Fatimah tak nak mengalah.
“Mak
ni macam halau Apy je,” balas Apy Elina pura-pura merajuk.
“Dah
hobi mak halau kau dari rumah. Kalau tak kerana mak halau kau dulu,
kau mesti takkan kahwin sekarang sebab tak ada siapa yang sudi
jadikan kau isteri. Hah, sekarang mak nak halau kau lagi. Semoga kali
ni mak dapat cucu. Amin.”
Apy
Elina terdiam. Tak tahu nak kata apa lagi dah. Nak membalas, macam
bagi alasan pula. Lebih baik dia diam. Malas nak komen
panjang-panjang pasal anak. Nak kata belum ada rezeki lagi nanti
macam-macam pula ceramah agama yang dia kena tadah telinga dengar.
Pasangan
mana yang berkahwin tak nak anak. Begitu juga dia dengan Adam. Mereka
tidak merancang. Kalau boleh dia juga nak anak tapi apakan daya kalau
ditakdirkan belum ada rezeki lagi.
“Semua
barang dah ada?” sapa Adam tiba-tiba mengejutkannya. Dia langsung
tak perasan Adam sudah berdiri di sebelahnya. Bunyi tapak kasut pun
dia tak dengar. Macam ninja pula berjalan tanpa bunyi.
“Dah,”
jawabnya sepatah. “Nak gerak sekarang ke?”
Adam
mengangguk.
“Mak
kami balik dulu,” Apy Elina segera bersalaman dengan emaknya dan
diikuti dengan Adam.
Puan
Fatimah hanya melihat mereka berdua melangkah masuk ke dalam
kenderaan mereka. Sayu hatinya. Hati ibu mana yang tak sedih kalau
semua anak-anak yang dibesarkan dulu, kini tak tinggal dengannya.
Kalau
diikutkan hati memang dia ingin semua anak-anaknya tinggal dengannya
tapi arwah suaminya sudah berpesan supaya jangan memaksa anak-anak
tinggal di situ. Biarlah mereka membuat keputusan sendiri. Tiba
masanya pulanglah mereka ke rumah itu. Sehingga hari ini, dia masih
berpegang dengan janjinya. Tak mengapalah. Asalkan semua anak-anaknya
bahagia dengan hidup masing-masing.
Sebentar
kemudian, kereta yang dipandu oleh Adam memulakan perjalanan. Kampung
halaman ditinggalkan.
“Ah,
tak sangka dah seminggu kita di sini…” keluh Apy Elina kembali
menoleh ke belakang. Rumah pusaka peninggalan arwah ayahnya kini
semakin mengecil di mata.
“Mmm…
tapi kita ada berita buruk,” ujar Adam tiba-tiba.
“Buruk?”
pantas dia memandang wajah suaminya. Serius sungguh wajah Adam ketika
itu. Hatinya mula tak tenteram. Adam bukan jenis yang suka bergurau.
Kalau dia kata ada berita buruk memang buruklah berita itu.
“Awak
nak ke mana ni?” tanya Apy Elina apbila melihat Adam berhenti di
banggunan deretan kedai.
“Tunggu
jap,” Adam keluar dan berlalu ke sebuah kedai runcit. Dari dalam
kereta dia nampak Adam sedang memilih surat khabar. Ini memang
betul-betul berita buruk. Dia pasti! Berita buruk Adam selalunya akan
terpampang dalam surat khabar. Kalau tak pasal urusan kerja mesti
urusan kongsi gelap!
Tak
lama kemudian, Adam kembali masuk ke dalam kereta. Surat khabar itu
diberikan kepada isterinya.
“Apa
yang buruknya? Syarikat awak ada masalah ke?” tanya Apy Elina
melilau mencari berita niaga.
“Bukan.
Cuba baca ruangan gosip artis,” Adam beri senaskah surat khabar
yang diasingkan dengan surat khabar yang lain.
“Awak
ada nakal-nakal lagi ke masa saya tak ada di sini?” tanya Apy Elina
sambil menjeling tajam.
Ini
mesti ada apa-apa. Gosip pasal Adam jadi lelaki VVIP yang dikatakan
support seorang artis wanita lagi ke? Biarpun dia tahu gosip itu
adalah palsu semata-mata nak naikkan jualan akhbar tapi sebagai
isteri, memang kesabarannya teruji. Apatah lagi terpaksa membaca
pengakuan makhluk gedik yang mengaku ada hubungan dengan suaminya.
Stres dibuatnya!
“Cubalah
baca dulu. Tengok siapa yang buat hal kali ni,” balas Adam.
Kata-kata
Adam tadi buat Apy Elina pula cuak. Jangan-jangan kali ini dia punya
gosip. Walaupun dia bukan artis tapi pernah juga sekali dia jadi
bahan gosip artis dalam akhbar begini. Apa pula kali ini?
Tanpa
berlengah lagi dia segera menyelak akhbar itu. Tapi dia undur
kembali. Kembali lihat muka hadapan surat khabar itu. Satu wajah yang
amat dikenalinya terpampang sebagai tajuk hadapan surat khabar itu.
Liliyana
– Izwan sah bercinta!
“Apa?”
Apy Elina terkejut besar.
Izwan?
Liliyana? Kalau tak silap itulah makhluk gedik yang mengaku pernah
ada hubungan sulit dengan suaminya. Kini, bercuti dengan Izwan?
Pelik! Ini memang pelik! Dia kenal sangat dengan Izwan. Liliyana
bukan spesies yang Izwan suka.
Tapi…
apa pula yang buruknya? Ini bukan berita buruk. Ini berita yang
mengejutkan. Sekali lagi Apy Elina memandang tajam suaminya.
“Kenapa?
Jangan pandang abang macam tu, abang pun baru dapat tahu tadi.”
“Boleh
terangkan kepada saya kenapa awak kata ini berita buruk?” tanya Apy
Elina tak puas hati.
“Buruklah
tu.”
“Pak
cik, cuba tengok betul-betul perempuan ni. Awak dah lupa perempuan ni
pernah mengaku awak sebagai kekasihnya dulu? Siapa akan percaya
dengan perempuan gedik macam ni. Walaupun orang kata saya ni gedik
teramat sangat tapi gedik perempuan ni buat orang lain menyampah
sampai menyumpah tong sampah. Agaknya dia meroyan lagi kot. Kali ni
sasarannya Izwan. Mentang-mentanglah Izwan tu dah jadi pemain
kebangsaan dan selebriti popular sekarang ni. Hisy, stres saya dengan
dunia hiburan macam ni! Lagi stres bila awak kata ini berita buruk,”
ujar Apy Elina. Ingatkan buruk sangatlah berita yang akan
diterimanya. Rupa-rupanya berita tentang gosip perempuan itu dengan
Izwan. Memang dia takkan percaya.
“Masih
tak sedar lagi berita buruknya?” tanya Adam.
“Apa?”
Apy Elina langsung tak faham.
“Bila
kali terakhir rumah kita jadi tunggang langgang disebabkan
seseorang?” tanya Adam.
Apy
Elina cuba berfikir. Rasanya selama ini mereka hidup aman damai.
Belum ada lagi orang lain datang cuba tunggang-langgangkan rumah
mereka kecuali…
“Oh
tidak!” dia teringatkan seseorang.
Seseorang
yang duduk menumpang di rumah mereka dan buat rumah mereka jadi
tunggang-langgang. Bukan itu saja, orang itu juga selalu buat perkara
yang tak senonoh. Antaranya, teropong anak teruna orang tengah-tengah
malam. Anak teruna yang menjadi sasaran ialah Izwan yang tinggal
tidak jauh dari situ. Izwan! Sekarang baru dia dapat kaitkan berita
buruk itu.
“Habislah…
Mellissa!” Apy Elina mula dapat tangkap.
Adam
hanya mengukir senyuman. Laju juga otak isterinya memproses maklumat.
Tak perlu dia terangkan lagi.
“Nanti,
kalau Mellissa tahu Izwan ada hubungan dengan Liliyana pasti…”
Tak
lama kemudian, telefon bimbit Adam kedengaran. Adam segera membaca
mesej yang diterimanya.
“… pasti
dia dah berada tak jauh dari kita sekarang…” sambung Adam sambil
menunjukkan mesej yang diterimanya itu. Mesej bergambar. Seorang
wanita sedang selfie dengan berpura-pura membuat muka comel. Ada satu
caption di bawah gambar itu. Satu pertanyaan.
Hai,
Adam! Teka di mana akak berada sekarang! – Mellissa.
Melihat
latar belakang gambar itu, Apy Elina sudah tahu yang Mellissa kini
berada di KLIA! Ini mesti tentang Izwan. Mellissa memang jarang
jejakkan kaki ke Malaysia tapi bila dia jejak… itu maknanya, bom
jangka sudah berdetik!
“SURPRISE!”
jerit Mellissa sebaik sahaja Apy Elina membuka pintu.
Memang
dia sudah agak Mellissa yang mengetuk pintu rumahnya itu tapi dia
tetap surprise cara Mellissa berikan salam. Mujurlah jantungnya masih
sihat walafiat. Kalau tidak gerenti dia masuk bilik mayat.
Mellissa
melulu memeluknya dengan erat. Kuat sangat sampai dia hampir rasa tak
bernafas. Mujurlah Mellissa lepaskan dia. Kalau tidak, kena cari tong
oksigen pula.
“Mak
cik, macam ni ke masuk rumah orang? Salam mana?” tegur Adam dengan
suara kereknya.
“Opss…
salam. Lupa pula. Maklumlah tinggal di Taiwan jarang sekali bagi
salam kalau masuk rumah orang ni. Ehem…” Mellissa kembali ke muka
pintu dan berpura-pura mengetuk pintu rumah itu dengan gaya lemah
lembutnya.
“Assalamualaikum
tuan rumah yang baik hati. Boleh saya masuk sekarang?” ujar
Mellissa dengan suara lemah gemalai. Seram bulu roma Apy Elina
dibuatnya.
“Waalaikumsalam.
Tuan rumah tak…” belum sempat Adam nak kata ‘tak bagi masuk’,
kakaknya itu sudah bergegas masuk ke dalam.
“Adam,
akak pinjam Apy kejap ye…” cepat-cepat Mellissa tarik Apy Elina
naik ke atas.
Adam
hanya memerhati mereka berdua berlalu ke atas. Hilang sahaja kelibat
mereka, dia menggeleng kepala. Bagasi milik Mellissa ditarik bawa
masuk ke dalam. Itu mesti ada hal perempuan yang dibincangkan. Kalau
tidak, bagasi ini tak akan tertinggal di luar.
Selepas
menutup pintu, dia mencapai telefon bimbitnya dan menghubungi
seseorang. Hanya dua deringan panggilannya disambut. Suara Izwan
kedengaran.
“Mak
cik kesayangan kau dah balik sini,” Adam memulakan mukadimah.
“Serius?”
suara Izwan kedengaran terkejut. “Bila?”
“Baru
tadi sampai rumah.”
“Cepat
sungguh! Dia marah tak?” tanya Izwan.
“Kalau
dia marah, dia dah hantar bom kat rumah kau. Setakat ni, rumah kau
masih tak meletop lagi,” balas Adam selamba.
Dia
mendengar Izwan mengeluh lega.
“Aku
boleh tolong kau setakat ni saja. Selebihnya semua bergantung dengan
usaha kau sendiri.”
“Tapi
sebelum tu tolong bagi tip macam mana nak singkirkan perempuan gedik
tu. Handset aku hampir meletop disebabkan dia asyik call aku tau!”
Adam
ketawa sendirian.
“Kau
jangan risau, kakak aku pandai uruskan orang macam dia… jangan
lupa. Kakak aku tu umpama bom jangka. Perempuan tu bukan lawannya…”
ujar Adam.
“Hah?”
Izwan kedengaran terkejut.
“Jadi,
bertindaklah cepat,” tambahnya lagi dan segera menamatkan
perbualan.
APY
ELINA langsung tak boleh berbuat apa-apa. Dia pun terkejut dengan
tindakan kakak iparnya itu. Tariknya mengejut masuk ke bilik tetamu
yang juga bilik yang menjadi tempat Mellissa apabila datang ke sini.
Pintu dikunci.
Mellissa,
kakak kepada Adam. Walaupun bukan kakak betul tapi hubungan mereka
berdua masih lagi akrab seperti dahulu. Panggilan ‘mak cik’
bermula daripada sikap Mellissa yang seringkali buat Adam pening
kepala melayan. Panggilan itu jugalah panggilan yang paling berharga.
Kedengaran agak keterlaluan tapi bila keluar dari mulut Adam, itulah
panggilan paling sweet yang dia dengar. Sekarang, dia masih berkongsi
panggilan itu dengan Mellissa. Reda jelah.
“Okey…”
Mellissa menarik nafas panjang-panjang. Kemudian dia mengeluarkan
telefon bimbitnya dan ditunjukkan kepada Apy Elina.
“Siapa
minah terlebih gedik ni?” tanya Mellissa.
Apy
Elina tak dapat menahan diri daripada ketawa. Dia sudah agak!
Mellissa pasti akan tanya tentang Liliyana, seorang pelakon suam-suam
kuku yang popular dengan gosip sana sini. Sah, dia datang sini sebab
Izwan.
“Rileks.
Dia ni memang suka cari publisiti. Dulu dia juga yang gedik mengaku
ada hubungan dengan Adam, ingat?”
“Ohhh…
budak tu…” Mellissa mengangguk banyak kali. Patutlah dia rasa
macam pernah lihat sahaja perempuan dalam gambar ini. Dia tengok lagi
sekali gambar itu. Sekali lagi dia mengangguk apabila dapat cam
orangnya.
“Patutlah
tak dapat cam. Dia buat pembedahan plastik rupa-rupanya. Dulu muka
dia tak adalah lonjong macam ni. Pipi pun dah naik botox. Mmm…
hidung dia tetap fail. Mancung dia lain macam dah,” komen Mellissa
siap mengutuk lagi.
“Jangan
risaulah. Dia tu bukan taste Izwan pun,” balas Apy Elina
cuba tenangkan kakak iparnya itu.
“Apy,
jangan terlampau confident. Perempuan macam ni, boleh buat
lelaki sukakan dia dalam sekelip mata je tau. Selagi kita boleh
jauhkan mereka, kita kena jauhkan. Jadi, mana teropong aku?” tanya
Mellissa sambil membuka sebuah laci demi laci.
Apy
Elina hanya menggeleng sambil memerhatikan Mellissa menggeledah laci
demi laci sehingga menjumpai teropong yang menjadi alat untuk
mengintip pergerakan Izwan. Atau dengan kata lain, skodeng Izwan dari
rumah ini! Apy Elina segera keluar dari bilik itu. Dia malas hendak
masuk campur.
Nasib
kaulah Izwan dapat peminat macam ni…
“MANA
dia pergi tak balik-balik lagi ni?” keluh Mellissa sambil melihat
jam di tangannya. Hampir jam 12.00 malam.
Matanya
tidak berkelip memandang ke arah sebuah rumah teres dua tingkat yang
tidak jauh dari rumahnya itu. Dari beranda luar, dia dapat lihat
dengan jelas rumah teres itu tidak disinari cahaya lampu. Luar
mahupun dalam. Itu bermakna tuan empunya rumah itu masih belum balik.
Puas dia menunggu sejak tadi.
Tidak
lama kemudian, dia melihat sebuah kereta berhenti di hadapan pagar
rumah itu. Menggelabah dia memakai semula teropong. Pintu pagar rumah
itu terbuka secara automatik dan kereta itu pun dipandu masuk ke
dalam. Beberapa saat kemudian, lampu kereta dimatikan. Secara
automatik, lampu hadapan rumah itu juga dinyalakan secara automatik.
“Balik
pukul 12.00 tengah malam. Kau pergi mana ni hah, Izwan?” tanyanya
seorang diri apabila melihat kelibat Izwan keluar dari kereta. Dia
mengintip setiap pergerakan lelaki itu dengan teropong di tangannya
sehinggalah Izwan masuk ke dalam.
“Huh,
nasib baik dia tak bawa balik perempuan tu. Kalau tak, memang aku bom
rumah tu!” rungutnya sendirian. Bau-bau cemburu masih lagi
menggunung.
“Ehem!”
Tiba-tiba
dengar bunyi orang berdehem dengan kuat. Mellissa yang sedang
meneropong itu segera berpaling. Terkejut bukan kepalang lagi apabila
melihat Adam berdiri sambil memeluk tubuh di sebelahnya. Lantas dia
cuba menyorokkan teropong itu di belakang.
“Belum
tidur lagi?” tegur Mellissa pura-pura seperti tiada apa-apa yang
berlaku. Dia berasa hairan. Dari mana pula adiknya datang? Kalau tak
silap dia sudah pun kunci pintu bilik awal-awal lagi sebab dia tahu
pasti adiknya itu akan mengagak rancangan mengendap anak teruna orang
ini.
Dia
memandang pintu bilik. Terbuka luas. Dia menepuk dahi. Sudah tentulah
adiknya itu boleh masuk walaupun dia sudah kunci pintu. Ini rumah
adiknya dan ini bermakna sudah tentulah adiknya ada kunci untuk buka
pintu itu.
Ah,
lembab betul!
“Mengintai
anak teruna orang? Tak ada kerja lain ke?” tanya Adam serius. Ini
bukan kali pertama kakaknya buat hal. Sudah banyak kali sampai
jiran-jiran sebelah rumah mereka takut dengan kakaknya yang suka
mengintip orang dengan teropong.
“Mana
ada…” dia cuba menafikannya.
“Kalau
dah suka kenapa tak luahkan kepada Izwan?”
“Bila
masa akak kata akak sukakan Izwan?” Mellissa menarik muncung.
“Habis
tu?”
“Saja
nak tengok Izwan tu kaki perempuan ke tak,” jawabnya selamba.
“Izwan
bukan kaki perempuan,” ujar Adam sambil menghulurkan tangannya. Dia
memberikan isyarat meminta teropong yang disorok oleh Mellissa itu.
Nak tak nak Mellissa terpaksa beri teropong itu.
“Dan
kalau dia sukakan seseorang, dia akan tunggu dengan setia,” tambah
Adam lagi sebelum berlalu dari situ.
Serentak
itu Mellissa mengeluh panjang. Memang Izwan lelaki yang setia tapi
dia yang tak layak dicintai...
serius dorg husband n wife ni comel gila,,,,
masih setia izwan lama dia tunggu
RBN best2