ARISSA
terjengket-jengket berjalan keluar dengan perlahan-lahan keluar dari
biliknya. Lagaknya seperti sang pencuri memasuki rumah orang dengan
senyap dan memastikan tiada penghuni rumah itu sedar akan
kehadirannya. Arissa memandang kiri dan kanan. Suasana sekitar
rumahnya jam 6.30 pagi masih gelap seperti malam. Setelah memastikan
tiada sesiapa yang menyedari dia sudah keluar bilik, dia segera
mengorak seribu langkah bergegas turun ke bawah.
Tiba
di kaki anak tangga, dia mengulangi perkara yang sama. Perlahan-lahan
dia berlalu menghala ke pintu. Anak kunci yang tersangkut di pintu
diambil dengan perlahan-lahan tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.
Lantas, dia membuka pintu dengan kunci di tangannya.
Bunyi
kunci pintu kedengaran. Dia memandang sekeliling. Tiada yang
menyedari hal itu. Perlahan-lahan dia menarik pintu utama rumahnya
itu. Mujurlah pintu rumahnya tidak berbunyi. Lantas, Arissa melangkah
ke luar. Pintu rumahnya ditutup kembali dengan perlahan-lahan.
Berjaya. Kemudian, dia mengunci semula pintu rumahnya.
Misi
pertama berjaya!
“
Wahhh...
pemandangan pagi yang cantik,” ujar Arissa yang terpegun melihat
pemandangan pagi itu.
Selalunya,
dia hanya akan keluar rumah tepat pukul 8.00 pagi atau paling cepat
pukul 7.00 pagi. Waktu itu matahari sudah kelihatan sedikit. Tapi
hari ini, dia keluar rumah pukul 6.30 pagi! Keadaan di luar masih
gelap lagi.
Apa
boleh buat. Dia tidak mahu disoal siasat oleh Mama Fiza, jadi dia
terpaksa keluar rumah seawal itu. Dia juga sempat meninggalkan nota
kepada Mama Fiza sebelum keluar tadi bagi mengelakkan Mama Fiza
merisaukan dia lagi.
Tanpa
berlengah lagi, Arissa berjalan perlahan-lahan bergerak ke keretanya.
Perlahan-lahan dia menekan remote kunci kawalan jauh. Pintu kereta
dibuka perlahan-lahan. Perlahan-lahan juga dia menutup pintu kereta.
Tidak menunggu lama, Arissa terus menghidupkan enjin kereta.
Kemudian, tidak sampai lima minit, dia sudah memandu keretanya keluar
dari pekarangan rumah.
Misi
kedua berjaya!
“Yahoo!
Rancangan keluar senyap-senyap dari rumah berjaya!” sorak Arissa
dalam kereta. Setelah dia memandu keretanya jauh dari kawasan
perumahannya, Arissa memberhentikan kereta di bahu jalan.
“Okey,
mari kita tengok jadual,” katanya kepada diri sendiri sambil
membuka buku nota yang sudah siap ditulis awal pagi tadi. “Mula-mula,
pergi pejabat pendaftaran, buat kad pengenalan. Masa tu, telefon bank
suruh batalkan semua kad kredit, kad debit dan semua jenis kad yang
ada. Lepas siap kad pengenalan, pergi buat lesen memandu pulak. Lepas
tu barulah pergi ke bank buat kad bank yang baru. Lepas tu kena beli
handset lagi.
Huh,
banyaknya kerja. Memang betul-betul menyusahkan orang sajalah peragut
tu. Kalau nak duit, cakap. Aku boleh bagi. Ini tak. Tak pasal-pasal
kena buat benda-benda yang melecehkan ni,” kata Arissa sempat lagi
merungut. Tanpa berlengah lagi, dia segera memberikan isyarat ke
kanan. Setelah mendapati tiada kereta yang lalu, barulah dia memandu
masuk ke lorong dan meneruskan pemanduan ke destinasi yang dituju.
***
NAZWAN
masih merenung handsetnya yang sunyi sepi sejak awal pagi tadi. Tiada
langsung mesej mahupun panggilan daripada Arissa yang diterimanya.
Manakala, sudah banyak kali dia cuba menghubungi Arissa tetapi suara
operator yang menjawab. Dia juga menghantar berpuluh mesej, tiada
balasan juga. Akibatnya, satu malam dia tidak dapat tidur disebabkan
menunggu panggilan ataupun mesej daripada Arissa.
Gila.
Memang gila. Dia tidak pernah dilanda rasa bersalah sehingga
menganggu tidurnya. Macam tidak percaya sahaja yang dia risaukan
Arissa.
“Masih
tak de mesej daripada Arissa?” tanya Luqman yang sudah pun terjaga
daripada tidur yang nyenyak. Malam tadi, selepas kembali ke bilik,
Luqman terus masuk ke biliknya. Mereka berbual sebentar sebelum
Luqman mengadu dia mengantuk dan mahu sambung tidur.
Nazwan
yang duduk di kerusi panjang sepanjang malam sekadar menggeleng.
Dia
mengeluh kecil. Macam-macam yang difikirnya. Awal pagi tadi, Mama
Tifa yang mengetahui perkara itu sempat memberikan arahan kepadanya
supaya datang menghadap bila-bila masa jika dia lapang. Tidak perlu
ditanya kenapa. Pastinya hendak bertanya lebih lanjut tentang apa
yang terjadi. Masalahnya, dia juga tidak tahu apa yang terjadi.
Nasib
baiklah nenek tidak menyedari hal itu. Dia juga berharap Mama Tifa
atau sesiapa tidak memberitahu nenek pasal perkara itu. Kalau tidak
satu hal lagi dia perlu menghadap nenek. Kalau dia cucu kesayangan,
Arissa pula orang kesayangan nenek. Apa-apa berlaku pada Arissa,
memang nahaslah orang itu.
“Dia
merajuk kot?” agak Luqman.
“Agaknya,”
balas Nazwan acuh tak acuh.
“Kalau
dia merajuk okey lagi.”
“Maksud
kau?”
“Laa...
bukan ke kau seorang saja yang pandai pujuk Arissa. Kalau Arissa
merajuk, dia hanya dengar cakap kau je.”
Nazwan
mengerut dahi.
“Jangan
buat muka yang menjengkelkan macam tu. Aku pun benci nak akui semua
ni tapi memang Arissa hanya akan dengar cakap kau. Sejak dari dulu
lagi. Takkan kau tak persan?”
Nazwan
menggeleng.
“Kalau
kau nak tahu sama ada apa yang aku kata ni betul atau tidak,
cubalah,” Luqman mengeluh kecil.
Dia
pun tidak pasti sama ada Nazwan betul-betul tidak tahu atau
berpura-pura tidak tahu. Sejak mereka mengenali Arissa lagi, dia
lihat Arissa begitu serasi dengan Nazwan. Apa yang Nazwan tegur,
pasti Arissa dengar dan ikut. Disebabkan itulah dia takut Nazwan akan
jatuh cinta dengan Arissa atau Arissa jatuh cinta dengan Nazwan. Dia
cuba mengelak hal ini berlaku kerana dia memang tidak dapat terima
kehadiran Arissa dalam keluarganya itu.
“Kau
masih risaukan dia?” tanya Luqman selepas dia menyedari Nazwan
asyik membelek-belek telefonnya.
Nazwan
memang jarang menghabiskan masa dengan merenung handset seperti
sekarang. Malah, masa bercinta dengan arwah Natasya dulu pun, jarang
dia melihat Nazwan bermesej ataupun bergayut. Kini, bila dia tengok
Nazwan asyik merenung handset sejak pukul tiga pagi tadi, tidak lain
tidak bukan pasti risaukan Arissa.
“Tak,”
ujar Nazwan sepatah sambil meletakkan handsetnya di atas meja
bersebelahan sofa panjang yang dia duduk. Tanpa berkata banyak, dia
berlalu masuk ke dalam kamar mandi.
“Parah,”
keluh Luqman sebelum kembali ke biliknya untuk bersiap ke kuliah.
***
Mama
Fiza,
Maaf.
Rissa keluar awal sebab ada hal. Jangan risaukan Rissa ya. - Arissa
^_^
FAZIRA
hanya mampu menggeleng tatkala dia membaca nota yang dijumpai
terlekat di depan pintu bilik Arissa. Dia menjumpai nota itu ketika
hendak mengejutkan Arissa bangun pada awal pagi tetapi dia pula yang
terkejut.
“Bila
dia tulis 'Jangan risau' serta-merta orang akan risaukan dia,” ujar
Puan Fiza yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang.
Dia
hampir hendak menelefon Arissa dan bertanya di mana Arissa berada
tetapi mujurlah dia tidak berbuat demikian. Semalam baru sahaja
Arissa beritahu yang handsetnya tercicir di pawagam. Entah betul atau
tidak dia sendiri tidak pasti. Sekarang, dia cuma boleh berharap
Arissa pandai jaga diri dan pulang secepat mungkin.
“Entah
kenapa Zira rasa yang Kak Arissa berbohong? Dia sepatutnya tengok
wayang dengan Nazwan tapi Nazwan pula ada dekat rumah. Betul ke dia
dating dengan Nazwan?” tanya Fazira sambil memerhati mamanya
membancuh air kopi.
“Hanya
dia yang tahu,” ujar Puan Fiza menuangkan air kopi yang dibancuhnya
tadi ke dalam secawan kopi dan diberikan kepada anak perempuannya
itu.
Belum
sempat Fazira hendak menikmati sehirup kopi panas, loceng rumahnya
berbunyi. Fazira lantas bangun daripada kerusinya dan berlalu membuka
pintu utama rumahnya itu. Seperti yang dijangka, pasti Nazwan yang
menekan loceng awal-awal pagi.
“Arissa
ada?” tanya Nazwan.
“Kau
nampak kereta dia di sini?” tanya Fazira semula.
Nazwan
kemudiannya berpaling melihat pekarangan rumah Arissa itu. Baru dia
perasan yang kereta Myvi Arissa tiada di pekarangan rumah itu.
Kemudian, dia memandang ke arah Fazira semula.
“Dia
tak ada. Awal-awal pagi dia dah cabut lari.”
“Cabut
lari?”
“Dia
tinggalkan nota. Dia kata dia ada hal dan minta semua orang jangan
risaukan dia,” beritahu Fazira. “Aku ada satu soalan, kau
betul-betul ada date dengan Kak Arissa atau dia yang menggedik sangat
kata kau ada date dengan dia?” soal Fazira.
Nazwan
tidak menjawab soalan itu, tetapi sebaliknya mengeluarkan handsetnya
dan cuba menghubungi Arissa lagi.
“Kau
takkan dapat hubungi dia,” kata Fazira menyebabkan Nazwan berhenti
menunggu jawapan daripada Arissa. “Dia kata dia tercicir handsetnya
dekat pawagam tapi aku tak rasa macam tu. Dia tu, memang suka sangat
berahsia kalau ada sesuatu yang berlaku kepadanya. Lagi-lagi bila dia
kata 'jangan risau' pasti ada sesuatu dah berlaku pada dia semalam,”
tambah Fazira lagi.
“Okey...
dan sorry
menganggu,” ujar Nazwan sebelum meminta diri. Namun, baru sahaja
dia mengorak selangkah, Fazira memanggilnya. Automatik kakinya
berhenti melangkah.
“Aku
tak tahu apa yang dah berlaku antara kau orang berdua tapi aku cuma
nak beritahu yang Kak Arissa memang serius dengan kau. Serius. Aku
tak pernah tengok dia macam ni....”
“Macam
ni?” tanya Nazwan mengerut dahi.
Fazira
melepaskan keluhan kecil.
“Dia
banyak kecewa daripada gembira. Aku tak suka tengok dia macam ni.
Rumah kami walaupun tak ramai orang tapi akan ceria bila dia ceria.
Tapi sejak beberapa hari ni, dia tak seperti dulu. Kalau ini
berterusan, aku takut, kita akan kehilangan Arissa yang kita kenal
dulu,” ujar Fazira.
“Kau
tak boleh salahkan aku dalam hal ni. Dia yang cari nahas sendiri.
Kalau aku suruh dia lupakan aku, dia tetap dengan rancangannya nak
pikat aku,” balas Nazwan mempertahankan dirinya sendiri.
“Kalau
macam tu, kau tak ada cara lain lagi selain berikan Kak Arissa
peluang. Lagipun kau masih single.
Kak Arissa pun sama. Jadi, aku rasa tak ada masalah kalau kau orang
berdua bercinta pun. Mana tahu kalau Kak Arissa adalah jodoh kau,”
cadang Fazira.
Nazwan
menghela nafas panjang. Terkejut juga dia apabila Fazira berbicara
soal jodoh dengannya sedangkan Fazira masih muda lagi.
“Fazira,
buat masa ni aku tak nak fikir pasal hal tu lagi....”
“Sebab
arwah Natasya?” ujar Fazira lagi memintas penjelasan Nazwan. “Kau
masih belum lupakan dia, bukan?”
Sekali
lagi Nazwan mengeluh kecil.
“Aku
dah terlambat nak ke kuliah,” Nazwan cuba mengelak daripada
menjawab soalan itu. Apatah lagi nama Natasya disebut.
“Kau
boleh mengelak daripada menjawab soalan aku tapi kau perlu ingat, kau
tak boleh mengelak daripada takdir. Natasya dah tiada. Tak guna kau
masih menanti kepulangannya. Dia takkan kembali lagi, Nazwan,” ujar
Fazira.
“Aku
tahu,” balas Nazwan dengan nada tidak mahu melanjutkan perbualan
itu lagi. Sebelum Fazira bersuara lagi, dia cepat-cepat melangkah
pergi.
***
“HAI
Nazwan,” sapa Sarah mesra.
“Mmm...,”
hanya itu yang dibalas oleh Nazwan dan kembali berbaring berbantalkan
tangan di atas meja.
“Luqman
tak datang lagi?” tanya Sarah sambil duduk bertentangan dengan
Nazwan.
“Mmm...,”
jawab Nazwan tanpa memandang ke arahnya.
Sarah
mengerut dahi. Entah apa pula yang berlaku pada Nazwan hari ini. Ada
sesuatu yang sudah berlaku semalamkah, fikirnya. Seingatnya Arissa
memaksa Nazwan pergi tengok wayang. Selepas itu dia tidak tahu
apa-apa berita tentang hal itu. Baik daripada Arissa mahupun Luqman.
Lagipun, sejak akhir-akhir ini dia jarang mendampingi Arissa.
Semuanya kerana dia kurang setuju dengan keputusan Arissa ingin
memikat Nazwan.
“Macam
mana date
semalam? Seronok?” tanya Sarah.
Diam.
Nazwan tidak menjawab tetapi sebaliknya dilihat asyik merenung
handset seolah-olah menanti panggilan ataupun mesej daripada
seseorang. Dia tertanya-tanya, apakah yang sudah berlaku semalam
sehingga Nazwan bertukar menjadi muram begini. Takkan, Nazwan sudah
mula merindui Arissa. Mustahil!
“Kau
tunggu panggilan daripada siapa?”
“Arissa
ada call
kau tak?” tanya Nazwan tiba-tiba.
“Err...
tak de. Aku pun tak nampak dia hari ni,” jawabnya. “Kenapa?”
Nazwan
bertanya tentang Arissa. Itu sesuatu yang tidak dapat dia terima.
Selama ini Nazwan mana pernah peduli pasal Arissa. Entah sihir apa
yang Arissa bagi pada Nazwan sehingga buat Nazwan jadi begini.
“Apa
dah berlaku semalam?” tanya Sarah lagi walaupun Nazwan tidak
menjawab soalannya tadi. “Kau tak pernah macam ni. Asyik renung
handset. Kau tunggu panggilan daripada Arissa ke?”
“Tak
de,” jawab Nazwan pendek. “Kau tahu tempat yang dia mesti pergi
kalau dia ada masalah?” tanya Nazwan lagi.
“Hah?”
Sarah berfikir sebentar. Bagaimanapun dia tidak memikirkan soalan
Nazwan tadi tetapi memikirkan kenapa Nazwan bertanya begitu. Sah!
Nazwan sudah terkena sihir cinta Arissa. Kalau tak, masakan Nazwan
jadi begini.
“Kenapa
kau tanya soalan yang pelik macam ni? Came
on, selalunya kau tak
pernah macam ni. Takkanlah kau dah terkena sihir Arissa. Aku rasa aku
dapat teka, sekarang kau tengah cari Arissa sebab Arissa tiba-tiba
merajuk atau hilangkan diri dan buat kau rasa bersalah dan sebab
tulah kau renung handset kau tu macam nak tembus je aku tengok.
Bangun Nazwan! Takkanlah kau selemah ni?” ujar Sarah cuba
menyalurkan kekuatan kepada Nazwan.
“Kau
tak jawab soalan aku tadi,” kata Nazwan mula mengangkat kepala.
Sarah direnungnya dengan tajam seolah-olah hendak mencari gaduh.
“Kenapa
dengan kau hari ni? Apa yang Arissa dah buat dekat kau semalam sampai
kau berubah jadi macam ni?” tanya Sarah bertubi-tubi.
Tiba-tiba
Nazwan mendengus marah. Tanpa berkata apa-apa, dia lantas mencapai
begnya dan berlalu pergi dari situ. Sarah terkesima seketika. Dia
tidak pernah melihat Nazwan semarah ini. Entah dimana salahnya sampai
dia membuat Nazwan bertukar menjadi pemarah. Dia ingin mengejar
Nazwan tetapi baru sahaja dia berpaling, dia melihat Luqman sudahpun
melangkah masuk ke dalam kafeteria itu. Luqman dilihat menegur Nazwan
sebelum berlalu pergi.
“Kenapa
tu?” tanya Sarah apabila Luqman menghampirinya.
“Sepatutnya
aku yang tanya kau,” ujar Luqman.
“Aku
tak tahu. Aku tegur dia tapi dia tak jawab. Dia banyak bertanya pasal
Arissa. Bercakap tentang Arissa, dia tak datang ke kuliah hari ni.
Apa dah berlaku semalam? Diorang bergaduh ke?”
“Rumit,”
keluh Luqman.
“Rumit
macam mana?”
“Nazwan
tak pergi date
semalam. Sengaja tak nak pergi,” beritahu Luqman.
“Jadi,
sebab tulah Arissa merajuk sampai tak datang kelas manakala Nazwan
rasa bersalah sebab tak teman Arissa pergi tengok wayang?”
Luqman
menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia juga tidak tahu apa
sebenarnya masalah mereka berdua.
“Arissa
balik pukul 3.00 pagi.”
“Apa?
Dia tunggu sampai pukul 3.00 pagi? Gila apa?”
Luqman
mengangkat bahu.
“Dan
sekarang Nazwan nak pujuk Arissa?”
“Agaknya.”
“Dan
kau tak buat sesuatu halang Nazwan?” Sarah tidak puas hati.
Luqman
menggeleng.
“Kenapa?”
“Sekarang
dia tengah bad mood.
Cari nahas saja kalau kita masuk campur hal dia. Biarkan dia,”
jawab Luqman selamba.
Namun,
Sarah tetap tidak senang duduk.
***
NAZWAN
menghempas pintu keretanya dengan kuat sebaik sahaja dia melangkah
masuk ke dalam. Dia tidak gembira. Mood dia pula bertukar jadi serba
tidak kena. Semuanya gara-gara Arissa. Mungkin benar kata Sarah tadi,
dia sudah terkena sihir cinta Arissa. Kalau tidak, takkanlah dia
boleh jadi macam orang sasau mencari Arissa.
Dia
mengeluh sambil memandang handsetnya lagi. Memang dia sudah sedia
maklum yang Arissa sudah kehilangan handset tetapi dia sendiri tidak
faham kenapa dia masih hendak tenung handsetnya dan berharap Arissa
akan menghubunginya.
Nazwan
melemparkan handsetnya di tempat duduk di sebelah. Dia sudah malas
ingin menunggu. Dia juga tiada mood hendak menghadiri kuliah
seterusnya. Lebih baik dia pulang ke rumah dan sambung tidur.
Sudahlah sejak awal pagi tadi dia tidak dapat tidur. Semuanya
gara-gara risaukan Arissa tapi gadis itu tidak pernah pedulikan
orang-orang di sekelilingnya.
Enjin
kereta dihidupkan. Belum sempat dia hendak masuk gear satu,
handsetnya berbunyi. Cepat-cepat dia mencapai handsetnya dan melihat
nama pemanggil. Satu keluhan dilepaskan apabila melihat nama Mama
Tifa di skrin handsetnya. Dengan hampa dia menjawab panggilan itu.
“Assalamualaikum,”
sapa Mama Tifa di talian.
“Waalaikumsalam,”
jawabnya tidak bermaya.
“Kenapa
ni? Macam tak sihat saja,” tegur Mama Tifa.
“Tak
de apa. Mama Tifa nak apa?” tanyanya.
“Amboi,
macam tak suka saja Mama Tifa telefon,” suara Mama Tifa seakan
memerli.
Nazwan
mengeluh kecil.
“Naz
tak de mood sekarang dan mengantuk,” ujarnya.
“Risaukan
Arissa?”
Nazwan
mati akal. Kalau Luqman kata Arissa ahli sihir, Mama Tifa pula ibu
kepada segala ahli sihir. Tahu sahaja apa yang sedang difikirkannya.
“Kalau
Mama Tifa nak marah, marah ajelah. Tak perlulah nak perli Naz macam
tu,” ujarnya yang hanya mampu reda buat masa sekarang ini.
“Naz
oh Naz, Mama Tifa tak sekejam tu. Mama Tifa telefon sebab nak tanya
tentang Arissa. Naz dah jumpa dia ke?”
“Belum.
Dia tak dapat dikesan.”
“Ohhh...
patutlah.”
“Mmm?”
“Tak
ada apa. Tadi masa Mama Tifa baru keluar dari bank, Mama Tifa
ternampak orang seakan Arissa. Pelik pulak apa yang Arissa buat kat
situ. Sepatutnya dia ada kuliah hari ni, bukan? Jadi, Mama Tifa
anggap salah orang tapi Mama Tifa tak sedap hati. Itu yang Mama Tifa
nak tanya Naz. Kalau Naz pun tak nampak dia... dekat kuliah, mungkin
betullah,” ujar Mama Tifa dengan nada kerisauan.
“Dekat
bank mana?” tanya Nazwan pantas.
“Bank
yang Mama Tifa selalu buat urusan tulah.....”
Talian
segera ditamatkan selepas Nazwan mendapat jawapan. Tanpa berlengah
lagi, dia segera memandu keretanya ke destinasi yang dimaksudkan oleh
Mama Tifa. Mujurlah tempat itu tidak jauh daripada universitinya.
Hanya memerlukan masa selama 20 minit dengan melalui jalan
alternatif, dia sudah sampai ke bank yang dimaksudkan.
Setelah
meletakkan keretanya di kotak letak kereta yang disediakan Nazwan
segera mengatur langkah ke bank berkenaan. Dia amat berharap Arissa
masih berada dalam bank itu lagi. Dan pada masa itu, tahulah apa yang
dia nak buat dengan Arissa nanti. Tiba-tiba langkahnya terhenti
apabila terpandang kereta yang amat dikenalinya.
Perlahan-lahan
bibirnya mengukir senyuman. Dia terfikir satu idea yang mampu
membuatkan hatinya puas. Setelah melaksanakan ideanya itu, Nazwan
segera menyambung langkahnya.
Baru
sahaja dia hendak masuk ke dalam bank berkenaan, dia nasibnya baik
apabila ternampak Arissa keluar dari bank itu. Memang betul apa yang
Mama Tifa beritahu tadi. Namun, Arissa langsung tidak menyedari
kehadirannya. Gadis itu hanya dengan dunianya. Jadi, Nazwan membuat
keputusan untuk mengekori Arissa dari belakang.
“Kad
pengenalan sudah tapi minggu depan kena ambil yang original. Okeylah
daripada tak ada. Semua kad bank pun sudah buat. Sekarang kena buat
lesan memandu pulak. Mmm... buat dekat mana ya? Kalau nak renew lesen
boleh buat dekat pejabat pos tapi kalau lesen memandu hilang takkan
nak buat dekat pejabat pos jugak,” soal Arissa seorang diri.
“Mestilah
dekat pejabat JPJ,” ujar Nazwan di belakang.
“Oh
ya... lupa pulak!” balas Arissa tanpa memandang belakang.
Tiba-tiba
langkah Arissa terhenti. Begitu juga dengan Nazwan. Perlahan-lahan
Arissa berpaling ke belakang dan mendongak ke atas.
“Nazwan!!!”
jerit Arissa terperanjat.
baru nk komen,,hhihi..overall best..arisa n nazwan couple kn nanti..hihi
xsabo nk tguu.. :))