2: Persahabatan
Natasya
terjaga daripada lenanya apabila terdengar sesuatu. Dia memandang
sekeliling biliknya. Hanya dia seorang sahaja yang berada di dalam
bilik itu. Lantas dia mencapai handsetnya untuk melihat jam. Pukul
4.30 pagi. Satu keluhan dilepaskan.
Kalau
diikutkan dia masih lagi mengantuk, tetapi apabila dia mendengar lagi
bunyi yang sama di dapurnya, dia mengerah tenaga yang ada dengan
bangun keluar dari biliknya. Keluar sahaja dari biliknya, dia dapat
melihat cahaya lampu di bahagian dapur rumahnya seiring dengan suara
manusia sedang bercakap.
“Apa
yang kau orang buat pagi-pagi buta ni?” tanya Natasya apabila
melihat kelibat Arissa bersama Fazira di dapur.
Malam
tadi, ketika dia hendak masuk tidur, dia dikejutkan dengan kedatangan
mereka berdua di hadapan rumahnya. Tidak perlu diteka lagi. Kalau
mereka berdua tiba-tiba sahaja muncul di hadapan rumahnya, pasti
mereka berdua sedang mengelakkan diri daripada pulang ke rumah. Jadi,
destinasi mereka adalah rumahnya.
“Err...
kami bising sangat ke sampai buat kau terjaga?” tanya Arissa serba
salah.
“Aku
cuma nak pastikan yang rumah aku tak dimasuk pencuri,” jawab
Natasya. “Apa yang kau orang tengah buat?”
“Donut,”
jawab Fazira. “Kami tak dapat tidur dan terfikir pasal donut yang
kami makan petang tadi, jadi kami terfikir nak buat donut.”
“Sejak
bila kau orang tahu memasak?” tanya Natasya.
“Takkan
Kak Tasya tak tahu?” soal Fazira.
“Tahu
apa?”
“Kak
Arissa memang master dalam masak donut. Hanya donut dan kek tapi yang
lain dia fail,”
beritahu Fazira.
“Kenapa
aku tak tahu langsung?” Natasya kelihatan terkejut apabila
mendengar akan kemahiran Arissa. Selama dia kenal Arissa, dia hanya
tahu Arissa seorang anak manja yang hanya tahu mengkritik masakan
orang tetapi tidak pandai memasak.
“Peliknya.
Takkan Nazwan tak beritahu Kak Tasya langsung?” soal Fazira lagi.
Natasya
mengerut dahi. Ada kena mengena dengan Nazwankah?
“Laa...
dia tu memang suka makan....”
“Fazira!”
pantas Arissa bersuara menghentikan kata-kata Fazira yang mungkin
akan membuatkan Natasya kurang senang.
“Opss...”
“Dia
suka makan donut yang Arissa buat?” teka Natasya.
Arissa
menghela nafas berat. Kemudian, dia memandang ke arah adik tirinya
itu.
“Sorry,”
ujar Fazira rasa serba salah. Kadangkala dia terlupa bahawa Natasya
merupakan teman wanita Nazwan.
Arissa
sekadar menggeleng. Hendak salahkan adik tirinya pun tidak boleh juga
kerana Fazira tidak tahu apa-apa tentang hal itu. Ini adalah
perjanjian dia dengan Nazwan. Natasya tidak perlu tahu tentang hal
itu kerana masing-masing tidak mahu melukakan hati Natasya.
“Aku
minta maaf sebab rahsiakan perkara ini. Benda ni terjadi secara tak
sengaja. Kebetulan kami berjiran dan kami sekeluarga pernah makan
bersama dengan keluarga Nazwan. Masa tu, aku buat donut dan dia suka
donut tu dan tiap kali aku buat donut, aku akan bagi dia,” terang
Arissa.
“Aku
tahu. Kau tak perlu terangkan pada aku macam aku takkan percaya pada
kau. Kau kawan aku dan walaupun Nazwan teman lelaki aku tapi aku
kenal kau dahulu berbanding dia,” ujar Natasya.
“Jadi,
kau tak kecil hati?”
“Kenapa
aku nak kecil hati disebabkan donut?” balas Natasya.
“Terima
kasih Natasya! Kaulah kawan baik aku sampai bila-bila,” kata Arissa
yang ingin memeluk Natasya tetapi lantas Natasya menjarakkan diri.
“Aku
baru bangun tidur. Aku tak nak donut yang kau buat tu ada bau badan
aku,” kata Natasya cuba menahan Arissa daripada memeluknya. Arissa
memang begitu. Kalau rasa terharu atau gembira, dia pasti akan peluk
orang itu.
“Tapi,”
Arissa kembali bermuram. “Kalau Nazwan dapat tahu yang kau dah tahu
pasal ni, dia mesti marah. Dia tu kalau marah, apa pun tak peduli.”
“Hah?”
Natasya mengerut dahi. Dia tidak faham dengan apa yang dimaksudkan
oleh Arissa. Nazwan marah? Baru dia sedar. Selama dia berkawan dengan
Nazwan, dia langsung tidak pernah melihat Nazwan marah. “Dia pernah
marah ke selama ni?”
“Kak
Tasya takkan tak pernah tengok dia marah?”
Natasya
menggeleng.
“Huh,
bertuahnya. Kami pernah tengok dia marah. Tak tahulah sebab apa tapi
masa tu dia memang tengah marah. Nak tahu apa yang dia buat?”
“Dia
buat aksi pinggan terbang ke?”
“Itu
aksi suami isteri bergaduh. Dia tak buat aksi yang berbahaya tu,”
kata Arissa.
“Habis
tu?”
“Dia
keluar dari rumah dan langsung tak beritahu ke mana dia pergi.”
“Merajuk?”
“Bukan
merajuk. Marahnya bukan pada aksi berbahaya tapi lebih kepada
menyeksa psikologi seseorang. Seminggu keluarga dia orang tension
mencari Nazwan,” terang Fazira.
“Kenapa
aku tak tahu pun tentang tu?” tanya Natasya.
Aneh
sungguh. Hari ini dia dapat tahu banyak perkara yang dia tidak tahu
tentang Nazwan. Selama ini dia juga tidak pernah bertanya Arissa
tentang hal Nazwan.
“Hal
lama,” jawab Arissa. “Jadi, jangan beritahu Nazwan ya. Diam-diam
saja.”
“Okey,”
jawab Natasya walaupun sebenarnya dia rasa kurang selesa. Entah
kenapa dia rasa orang yang paling mengenali Nazwan adalah Arissa.
Mungkin apa yang Arissa mimpikan semalam akan menjadi kenyataan.
Nazwan dengan Arissa. Perasaan cemburu pada Arissa pula terbit di
hatinya.
“Kak
Tasya tak perlu cemburu dengan kakak saya sebab dia dah ada seseorang
yang istimewa,” kata Fazira seperti dapat membaca apa yang
difikirnya.
“Oh
ya? Siapa?”
“Tekalah.”
“Zakri?”
Arissa
mengangguk.
“Dia
dah lamar kau jadi teman wanita dia?”
“Err...
ya.”
“Jadi,
musim bercinta bermula lagi,” ujar Fazira separuh menyindir.
***
“Selamat
pagi,” ucap Nazwan kepada Puan Latifah sebaik sahaja kakinya
melangkah ke dapur. Seperti biasa, ibu saudaranya itu akan
menjalankan tugas menyediakan sarapan pagi untuk mereka sekeluarga.
“Selamat
pagi,” jawab Puan Latifah dengan senyuman yang tidak pernah lekang
di bibir. “Mana Luqman? Takkan tak bangun lagi?”
“Bilalah
mama nak anggap anak mama ni dah besar? Luq dah besar dan dah tahu
bangun pagi tanpa dikejut,” suara Luqman kedengaran menjawab
pertanyaan Puan Latifah tadi sebelum sempat Nazwan bersuara.
“Setelah
dihadiahkan dengan 10 jam loceng…,” ujar Puan Latifah sedikit
menyindir. Bukannya dia tidak dengar jam loceng demi jam loceng yang
berbunyi sejak pukul 5.00 pagi tadi. Jam loceng Luqman saja sudah
cukup untuk membangunkan semua orang dalam rumah itu.
“Thanks
to Sarah yang asyik bagi hadiah hari jadi jam loceng,” balas Luqman
yang sudah duduk di sebelah Nazwan.
“Mama
harap dia akan terus hadiahkan kamu jam loceng.”
“Macam
tu juga dengan mama. Tengok… dah pukul 7.00 pagi tapi papa tak
muncul-muncul lagi,” ujar Luqman.
“Haha…
jangan nak bermimpi. Papa dengan nenek ada meeting pagi ni, jadi dia
orang keluar jam 6.30 pagi tadi.”
“Meeting?
Luq tak tahu pula papa dengan nenek merupakan rakan niaga,” katanya
sedikit terkejut dengan apa yang didengarnya.
“Family
business,” jawab Puan Latifah pendek.
“Ahh…
business…,” Luqman mengangguk faham apabila melihat wajah mamanya
yang tidak berminat hendak bercakap dengan lebih lanjut tentang
perkara itu.
“Nenek
masih nak pertahankan saham dia dalam syarikat tu?” tanya Nazwan.
“Nampak
gayanya… macam tulah,” jawab Puan Latifah.
Nazwan
kelihatan tidak senang dengan jawapan Puan Latifah tadi.
“Nenek
patut lepaskan saja syarikat tu,” ujar Nazwan.
“Naz,
walaupun Mama Tifa tak suka dengan apa yang nenek buat ni tapi ini
juga untuk kebaikan kamu. Syarikat tu daripada penat lelah arwah atok
dan arwah mama kamu sendiri. Memang logik la kalau nenek cuba
pertahankan syarikat tu daripada dirampas oleh keluarga sebelah atok
yang tamak kuasa. Nenek cuma nak pertahankan hak dia dan hak kamu,”
terang Puan Latifah.
“Ya.
Betul kata mama. Nenek cuma nak pertahankan hak kita sekeluarga dan
kalau nenek berjaya pertahankan hak kita, kau perlu tolong aku. Kalau
kau dah jadi CEO dalam syarikat tu… tolong jangan paksa aku untuk
jadi timbalan pengarah atau segala jenis timbalan dalam syarikat tu.
Aku ada impian sendiri,” kata Luqman.
“Ohh…
baru mama teringat, nenek pernah cakap, dia tetap akan paksa kamu
bekerja di syarikat tu,” balas Puan Latifah.
“Apa?”
“Sebagai
tukang sapu,” tambah Puan Latifah.
Luqman
terdiam seketika. Dia berfikir sesuatu.
“Berapa
tingkat bangunan syarikat tu?” soal Luqman kepada Nazwan.
“20
tingkat,” cepat Nazwan menjawab.
“Okey,
mencabar. Luq sahut cabaran nenek jadi tukang sapu,” jawab Luqman
sebelum berlalu dari situ.
“Apa
dia kata?” tanya Puan Latifah kepada Nazwan. Dia pasti apa yang
didengarnya tadi, tetapi dia tetap ingin bertanya kepada anak buahnya
itu.
“Dia
sahut cabaran jadi tukang sapu,” jawab Nazwan yang sudah
menghabiskan sarapannya.
“Budak
ni...,” keluh Puan Latifah yang hanya mampu menggeleng.
“Naz
pun kena pergi sekarang,” ujar Nazwan yang sudah meletakkan pinggan
dan cawan yang digunakannya tadi ke dalam singki.
“Naz,
tunggu sebentar,” Puan Latifah segera menghalang anak saudaranya
itu.
“Ada
apa?”
“Kamu
tak ada ajak sesiapa untuk makan malam nanti?” soal Puan Latifah.
“Tak…
rasanya tak ada… kenapa?”
Kedengaran
keluhan panjang daripada Puan Latifah.
“Naz,
walaupun Mama Tifa bukan mama kandung Naz tapi kita satu keluarga dan
Mama Tifa anggap Naz macam anak sendiri. Macam Luqman, Mama Tifa tahu
dia ada teman wanita walaupun dia menafikannya. Macam tu juga dengan
Naz. Siapa nama dia? Natasya?”
Kedengaran
pula keluhan kecil daripada Nazwan. Ini tidak lain dan tidak bukan
mesti Luqman yang buka cerita. Kalau bukan Luqman mesti Sarah. Hanya
mereka berdua sahaja yang berkemungkinan telah memberitahu Mama Tifa
pasal Natasya. Tidak mungkin Arissa walaupun Arissa juga rapat dengan
keluarganya itu. Hal ini kerana Arissa jarang datang bertandang ke
rumahnya itu walaupun mereka rapat.
“Bila
lagi nak jemput dia datang ke rumah?” tanya Mama Tifa.
“Naz
dah jemput tapi…,” dia meneruskan kata-katannya dengan gelengan.
“Sebab
dia fikir dia tak setaraf dengan kita?” soal Mama Tifa lagi.
Kali
ini Nazwan menggangguk. Nampak sangat Mama Tifa sudah mengorek rahsia
daripada Luqman dan Sarah.
“Dia
takut nenek tak terima dia.”
“Naz,
kamu tahu bukan, keluarga kita tak pernah bezakan status seseorang.
Pak Cik Luqfi kamu hanya orang biasa tapi nenek tetap terima dia
sebab dia ada matlamat hidup. Sama juga dengan arwah papa kamu. Dia
hanyalah seorang peguam, tapi kerana arwah papa kamu banyak menolong
orang susah, nenek terima dia sebagai menantu,” ujar Mama Tifa.
“Naz
tahu… tapi dia anggap kes papa dengan pak cik Luqfi lain,” balas
Nazwan.
“Lain?
Apa yang lainnya?”
“Nenek
hanya ada dua orang anak perempuan masa tu tapi sekarang ni, nenek
ada dua cucu lelaki dan Mama Tifa pun mesti tahu hasrat nenek yang
dah tetapkan masa depan Naz,” terang Nazwan.
Mendengar
luahan Nazwan tadi membuatkan Puan Latifah terdiam seketika. Apa yang
Nazwan kata itu memang betul. Oleh kerana Nazwan merupakan anak arwah
kakaknya, sudah tentu Nazwan akan menerajui syarikat mereka suatu
hari nanti. Kemungkinan besar juga nenek sudah senyap-senyap
mengaturkan jodoh untuk Nazwan.
“Okey,
jangan panik,” ujar Puan Latifah. Nazwan memang sudah sedia maklum.
Kalau Puan Latifah menyebut ‘jangan panik’ maknanya Puan Latifah
sedang panik. “Ajak Natasya makan malam ni. Mama Tifa akan uruskan
hal nenek.”
“Tapi
macam mana?”
“Jangan
risau, serahkan pada Mama Tifa. Tugas kamu, yakinkan Natasya datang
ke rumah malam ini, faham? Okey, kamu boleh pergi sekarang, nanti
terlambat masuk kuliah,” ujar Puan Latifah sambil menolak Nazwan
keluar dari dapur itu. “Ingat! Pastikan dia datang malam ni, kalau
tak Mama Tifa tak nak tolong lagi!”
***
“Maaf
Natasya. Aku bukan nak hina kau tapi kau perlu lakukan sesuatu dengan
baju-baju dalam almari kau ni. 99 peratus baju dalam ni adalah baju
kurung. Patutlah hari-hari aku nampak kau pakai baju kurung tapi aku
tak pernah sangka yang almari kau penuh dengan baju kurung,” ujar
Arissa yang dari tadi berdiri di hadapan almari baju Natasya.
“Lain
kali kalau nak bermalam kat rumah aku, bawalah baju kau sendiri.
Jadi, tak adalah kau rasa terpaksa pakai baju kurung,” ujar Natasya
separuh geram.
Kalau
orang sepertinya baru kenal Arissa, pasti akan rasa sakit hati dengan
komen Arissa tadi. Tapi mujurlah dia sudah kenal sangat dengan
perangai Arissa.
“Ini
semua salah Fazira.”
“Hah,
salah aku pulak. Aku tak tahu pun yang kau nak tidur rumah Kak
Natasya,” ujar Fazira yang sudah lengkap berpakaian sekolah.
“Habis
tu, macam mana baju sekolah kau ada kat dalam bonet kereta?”
“Dah
lupa plan B kita?”
“Err...,”
Arissa menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Dia
sendiri yang plan, dia sendiri yang lupa,” ujar Fazira yang hanya
mampu menggeleng.
“Plan
melarikan diri dari rumah? Macam pernah dengar saja,” ujar Natasya
seperti memerli.
“Plan
kami plan yang halal dan diketahui oleh Mama Fiza dan papa aku. Jadi,
jangan samakan plan kami dengan plan Nazwan yang lagi gila tu,”
balas Arissa.
“Betul!”
Sokong Fazira.
“Kadangkala
aku terfikir, betul ke kau orang ni adik beradik tiri?” tanya
Natasya.
“Kenapa?”
“Sebab
kau orang tak macam adik beradik tiri.”
“Oh...
tolonglah. Zaman Cinderella sudah lama berlalu,” ujar Arissa.
“Ya.
Sekarang, zaman kakak tiri kena hantar adik tirinya pergi ke sekolah
sebelum pagar sekolah ditutup,” ujar Fazira yang memeluk tubuh di
hadapan pintu bilik Natasya.
“Macamlah
kau tak pernah lambat,” balas Arissa yang sudah mengenakan baju
kurung yang dipinjam daripada Natasya. “Pergi panaskan enjin
kereta!” arah Arissa dengan garang. Tanpa berlengah lagi, Fazira
berlalu dari situ.
“Sekarang
baru aku percaya yang dia adik tiri kau,” ujar Natasya.
***
Arissa
memberhentikan kereta yang dipandunya di sebuah kawasan tempat letak
kereta yang kosong berdekatan dengan kafeteria dalam universitinya.
Baru sahaja dia mematikan enjin keretanya, kereta yang dipandu oleh
Nazwan diparkir masuk ke kotak parkir yang kosong di sebelah
keretanya.
“Hai
Nazwan,” sapa Arissa kepada Nazwan sebaik sahaja keluar dari
keretanya.
“Hai,”
balas Nazwan acuh tak acuh. Seperti tidak mahu melayan pun ada juga.
“Tunggu
dulu,” ujar Arissa yang memintas langkah Nazwan yang ingin
mendekati Natasya. “Sebelum kau orang berdua menguapkan 'I love
you' atau 'I miss you' sesama sendiri, aku nak dengar pendapat kau
sebagai lelaki. Apa pendapat kau dengan aku hari ini?” tanya Arissa
sambil menggayakan baju kurung milik Natasya yang dipakainya.
“Hah?
Pendapat apa?” tanya Nazwan sekali lagi macam mahu tak mahu
melayannya.
“Pendapat
kau tentang perbezaan aku hari ini berbanding hari-hari yang lain,”
keluh Arissa. Kalaulah Nazwan adalah kekasihnya, memang sudah lumat
dia kerjakan. Takkan itu pun hendak tanya lagi.
“Ada
beza ke?” soal Nazwan spontan.
Sekali
lagi Arissa mengeluh.
“Ohhh
Nazwan. Setiap hari kau berjoging menguatkan otot-otot kau tapi
nampaknya kau terlupa nak kuatkan otak kau supaya berfikir luar
daripada kotak. Soalan aku ni, tahap 'dalam kotak' aje tau. Takkan
kau tak nampak aku pakai baju kurung hari ini?”
“Kau
bertanya dengan orang yang salah, Arissa,” sapa Luqman yang entah
bila berada di situ. Begitu juga dengan Sarah. Sememangnya, dia tahu
yang Luqman akan menumpangkan Sarah setiap pagi ke univerisiti.
“Ohh.
Kau pakai baju kurung. Ya, aku baru perasan,” ujar Nazwan sekali
lagi acuh tidak acuh menjawab. Kemudian, tanpa sempat Arissa
bersuara, Nazwan sudah pun berlalu menghampiri Natasya.
“Saya
ada hal nak cakap sikit,” kata Nazwan kepada Natasya. “Tapi,
bukan kat sini,” tambah Nazwan lagi.
Natasya
mengangguk faham. Dia berpaling memandang Arissa.
“Ya.
Ya. Kami tahu. Urusan peribadi. Pergi sajalah,” ujar Arissa yang
dapat mengagak apa yang Natasya hendak sampaikan.
“Sorry,
tak dapat temankan kau,” ujar Natasya sebelum berlalu mengorak
langkah seiringan dengan Nazwan. Arissa sekadar mampu memerhati dari
belakang.
“Di
mata Nazwan hanya ada Natasya,” kata Arissa sedikit kecewa.
“Baru
kau tahu?” celah Luqman. “Walau kau pakai apa sekali pun, mata
dia tetap akan pandang Natasya sebab Natasya tu seribu kali cantik
dan seribu kali lawa daripada kau,” tambah Luqman lagi.
“Mmm...
mungkin aku patut turunkan berat badan dan aku rasa pipi aku makin
tembam,” ujar Arissa yang langsung tidak mempedulikan komen-komen
negatif Luqman tadi. Dia dengar apa yang Luqman kata tapi selalunya
dia lebih suka tidak mengambil peduli apa yang keluar dari mulut
Luqman. Hanya dengan cara itu sahaja dia mampu bertahan dengan
kata-kata sindiran Luqman sehingga sekarang.
“Kau
dengar tak apa yang aku cakap tadi?” tegur Luqman.
“Sudahlah!”
ujar Sarah sambil menolak Luqman ke tepi. “Jangan pedulikan apa
yang dia kata. Dia tersalah ambil ubat.”
“Kau
tak rasa pipi aku tembam ke?” tanya Arissa.
“Kau
patut berbangga dapat pipi macam tu tau,” kata Sarah.
“Kenapa?”
“Sebab
pipi kau ni buat orang nak cubit saja!” kata Sarah pantas mencubit
pipi Arissa yang gebu itu.
“Adui!
Sakitlah! Sudahlah pipi aku gemuk, nanti tak normal pipi aku,”
lantas dia menampar bahu Sarah, barulah Sarah melepaskan cubitan.
***
“Kau
perlukan rancangan yang teratur dan terbaik,” kata Luqman ketika
mereka meluangkan masa yang ada sebelum kelas seterusnya bermula
sejam lagi.
“Entahlah…
aku rasa macam tak yakin,” balas Nazwan yang mula rasa takut untuk
menghadapi malam ini. Dia ada dua pilihan sekarang. Memujuk Natasya
ke rumahnya malam ini untuk diperkenalkan kepada keluarganya terutama
neneknya atau ikut cakap Natasya, lupakan hasratnya itu.
“Pulak…
sekarang siapa yang bermasalah ni?” soal Luqman.
“Kau
rasa apa yang akan berlaku kalau nenek jumpa Natasya?”
“Nenek
jumpa Natasya? Mmm…,” Luqman cuba memikirkan sebarang kemungkinan
yang akan berlaku. “Tak…, aku tak boleh bayangkan,” katanya
selepas lima minit mendiamkan diri berfikir.
“Beritahu
secara spesifik,” paksa Nazwan.
“Okey…
kau masih ingat lagi macam mana reaksi nenek bila dia dapat tahu aku
dengan Sarah?” tanya Luqman.
“Dia
tak bercakap dengan aku selama sebulan.”
“Ya!”
kata Luqman sambil memetik jari. “Tapi nasib baik Sarah pandai
ambil hati. Dan sekarang diorang berkawan baik.”
“Itu
sebab diorang ada minat yang sama. Big Bang,” balas Nazwan.
“Jadi,
suruh Natasya jadi peminat Big Bang untuk ambil hati nenek….”
“Dalam
mimpi,” balas Nazwan. “Ahh, aku tak tahu, mungkin aku patut
lupakan niat aku nak bawa dia jumpa nenek.”
“Atau
kau bawa nenek jumpa dia,” kata Luqman. “Ya. Itu yang terbaik.
Kau bawa nenek jumpa Natasya….”
“Dan
selepas tu tamatlah riwayat hubungan aku dengan Natasya. Bukan kau
tak kenal nenek. Nenek lebih suka dengan orang yang berani berhadapan
dengan dia. Kalau aku bawa nenek jumpa Natasya, dia akan anggap
Natasya pengecut,” ujar Nazwan yang teramat kenal dengan perangai
neneknya.
“Dia
memang pengecut pun,” kata Luqman selamba. Serentak itu Nazwan
memandang dengan pandangan tajam. “Face it!”
“Okey…
aku tak nak bergaduh dengan kau disebabkan hal ni. Anggap aku tak
pernah berbual dengan kau tentang ni,” ujar Nazwan melompat bangun
dari duduknya. “Hari ni aku tak lunch. Aku gerak dulu.”
Baru
kakinya hendak melangkah, Luqman lantas bersuara.
“Sebenarnya,
aku ada idea lain tapi aku tak pasti berjaya atau tak…”
“Kalau
kau berjaya, aku sanggup teman kau tengok konsert AKB48 walau di
Jepun sekalipun,” ujar Nazwan masih mengharap ada keajaiban akan
berlaku.
“Okey!
Aku pasti, rancangan aku ni akan berjaya! Percayalah. 100 peratus
terbaik!” ujar Luqman dengan penuh yakin.
Nazwan
tersenyum kecil. Kalau sebut nama AKB48, rancangan yang tak pasti
berjaya pun akan dikata berjaya juga. Tahu sangat dengan perangai
sepupunya itu.
***
Arissa
menjenguk ke dalam kafeteria. Matanya tertumpu pada Zakri yang sudah
pun sampai dan sedang menunggu kehadirannya di dalam sana. Dia tahu,
dia sepatutnya berjumpa dengan Zakri petang itu selepas sembahyang
jumaat habis, tetapi sekarang sudah hampir pukul 3.00 petang dan dia
masih lagi berdiri di tepi pintu mengintip setiap pergerakan Zakri di
dalam.
“Pergilah
jumpa dia. Kesian aku tengok dia tunggu kau sejak sejam tadi,” kata
Natasya yang menemani di tepi.
“Aku
takutlah. Kau temankan aku ye,” kata Arissa.
Dia
memang sudah kehilangan keberanian untuk berhadapan dengan Zakri. Ini
semua Sarah punya pasal. Kalaulah Sarah tak bagi dia pakai baju
kurung, mungkin sekarang dia sudah bergelak ketawa depan Zakri.
Arissa
mengeluh.
Dia
teringat kisah pagi tadi. Sewaktu dia tiba di kelas, semua orang di
dalam kelas memandangnya semacam. Macam dia tidak berpakaian. Semua
terlopong tengok perubahannya hari itu. Pakai baju kurung aje. Itu
pun dah buat semua orang melopong. Kalau mereka semua pelik melihat
dia memakai baju kurung, apatah lagi Zakri.
“Ahh…
aku tak boleh berfikir dengan waras. Aku nak balik rumah, nak tukar
baju,” kata Arissa dengan nekad tetapi pantas dihalang oleh
Natasya.
“Balik
sekarang? Kau gila? Zakri dah tunggu kau lama kat sana tu,” Natasya
mula angin. Mana tidak angin kalau dia sekali terheret sama dalam
masalah itu.
Seperti
Zakri, dia juga sudah berdiri lama di tepi pintu kafeteria itu
menemani Arissa. Kalau diikutkan hati memang dia abaikan permintaan
Arissa tapi dalam masa yang sama dia kasihan dengan Arissa. Arissa
seperti adiknya walaupun umur mereka sama.
“Tapi…,”
Arissa mula buat muka.
“Bilalah
kau nak matang?” keluh Natasya. “Aku harap Sarah ada kat sini dan
hentikan semua ni.”
“Ah…
panjang umur Sarah,” kata Arissa tiba-tiba bertukar ceria.
Natasya
berpaling. Dia tersenyum lega. Akhirnya, Sarah yang hilang tiba-tiba
tadi muncul juga akhirnya. Kemunculan Sarah buat dunianya kembali
selamat. Moga-moga Sarah dapat selesaikan masalah Arissa dan dia
boleh balik dengan aman.
“Sarah…,”
Arissa segera mendapatkan Sarah tetapi Sarah tidak mengendahkan
Arissa dan terus berjalan ke arah Natasya.
“Natasya,
aku perlukan kau hari ni. Ini antara hidup dan terus hidup aku,”
kata Sarah dengan serius.
“Hah?
Kenapa?” tanya Natasya yang blur dengan apa yang berlaku.
Sepatutnya dia yang meminta pertolongan Sarah sekarang bukan Sarah
yang meminta pertolongan dia.
“Aku
terangkan nanti. Jom, selamatkan masa depan aku,” kata Sarah sambil
menarik Natasya berlalu dari situ, tetapi Arissa pantas menghalang
dua kawannya berlalu dari situ.
“Habis,
aku ni macam mana? Zakri dah tunggu kat dalam tu… aku takut… kau
kena tolong aku dulu,” desak Arissa yang sudah kebuntuan.
“Oh
ya, aku terlupa,” ujar Sarah dan kembali menghampiri Arissa. “Bagi
kunci kereta kau,” minta Sarah.
Bagaikan
disihir, Arissa menghulurkan kunci keretanya kepada Sarah.
“Terima
kasih dan semoga berjaya,” ujar Sarah dan terus berlalu mendapatkan
Natasya semula.
“Hey!”
jerit Arissa yang tidak menyangka Sarah dan Natasya akan meninggalkan
dia seorang diri di situ. “Habislah… macam mana ni?”
“Arissa?”
sapa satu suara di belakangnya.
“Alamak,”
ujar Arissa perlahan. Dia kenal dengan suara itu. Tidak perlu
berpaling dan tengok gerangan orangnya kerana dia pasti Zakri yang
menegurnya.
“Arissa?”
panggil Zakri lagi.
Arissa
mula menggelabah. Dia tidak tahu apa yang patut dibuatnya. Kalau
Zakri dapat tahu, dia telah tiba lama tetapi sengaja tidak mahu
munculkan diri, entah apa reaksi lelaki itu nanti. Tambah lagi, kalau
Zakri nampak dia pakai baju kurung... lagilah dia takut apa tanggapan
Zakri nanti.
Idea!
Idea! Datanglah cepat!
“Arissa,
saya panggil awak,” kata Zakri.
Nada
suaranya agak lain. Macam cuba menahan marah pun ada. Arissa menghela
nafas panjang. Nampaknya, dia tidak ada cara lain selain berhadapan
dengan Zakri.
“Arissa?
Saya rasa saya pernah dengar nama tu. Ya... saya kenal orang tu tapi
saya bukan Arissa. Arissa yang awak kenal... mmm... dia takut nak
jumpa awak sekarang dan saya bukan Arissa sebab Arissa yang sebenar
takkan pakai baju kurung pergi kuliah,” ujar Arissa dengan pantas
sampai dia sendiri tidak tahu apa yang dia sedang katakan itu.
Semuanya kerana gemuruh dan takut punya pasal.
“Hah?”
Zakri kelihatan tidak faham dengan apa yang berlaku.
“Err...
anggap saja awak tak kenal saya. Okey, saya chow dulu!” ujar Arissa
yang kelam-kabut. Apa yang pasti, dia mesti pergi dari situ sebelum
dia merepek yang bukan-bukan.
“Awak…
nampak cantik hari ni,” kata Zakri separuh menjerit.
Terus
langkah Arissa kaku.
“Betul?”
hati Arissa terus melonjak ceria. “Awak tak rasa pelik bila saya
pakai baju kurung?” tanya Arissa inginkan kepastian lagi.
“Awak
lebih cantik kalau pakai baju kurung,” puji Zakri sambil
mengukirkan senyuman.
“Oh...
sweetnya... Terima kasih,” kata Arissa serentak membalas senyuman
Zakri.
sweet je ^^ haha tak sbr nk tau psl plan luqman tuh ~.^' hee