"Tak dapat tangkap
dia. Dia berjaya melarikan diri tapi saya dapat tangkap nombor plat
motor yang dia parking di luar Arena,” kata Izwan sambil
menunjukkan gambar yang ditangkap menggunakan telefon bimbitnya tadi.
Tanpa berlengah lagi dia segera memajukan gambar itu kepada Apy
Elina.
Beberapa saat
kemudian telefon bimbitnya menerima gambar yang dihantar oleh Izwan
tadi. Dia dapat lihat dengan jelas, seorang lelaki sedang membonceng
motorsikal dalam gambar itu. Jadi, apa yang mereka beritahu tadi
memang betul. Seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam dewan
gelanggang dan mencabar para pemain yang ada di situ.
Seorang lelaki! Ini
betul-betul membuatnya angin satu badan!
“Seorang lelaki
kalahkan korang semua?” soalnya dengan nada yang geram sambil
memandang satu demi satu para pemain kebangsaan. “Macam mana pemain
kebangsaan boleh kalah dengan seorang lelaki yang entah mana asal
usulnya?”
“Macam mana tak
kalah kalau dia main kasar,” jawab salah seorang daripada mereka.
“Oh, kalau macam
tu, selama ni kamu tak pernah merasa dikasari pemain lain di semasa
di gelanggang?” soalnya lagi. Kali ini mereka semua diam. Langsung
tidak berani membalas kata-katanya mahupun mengangkat kepala.
“Itu perkara yang
berbeza, Puan Elina,” kata seorang lelaki berkemeja kemas tiba-tiba
mencelah.
Tumpuan Apy Elina
kini tertumpu ke arah lelaki yang bergelar jurulatih kebangsaan,
Encik Zakuan. Lelaki yang paling dibenci abad ini. Tahap lagaknya
lebih menjengkelkan daripada Adam. Selalu juga buat hidupnya tunggang
langgang.
Mana tidaknya, kalau
pasukan Malaysia kalah, pengawai atasan pasti akan menuding jari ke
arahnya. Lelaki itu pula bebas daripada segala kesalahan.
Tapi berbeza pula
bila menang. Terpampang muka Zakuan di surat khabar, majalah dan
media sosial. Semua orang puji dia. Maklumlah orangnya masih lagi
muda dan masih ada rupa lagi dan dari golongan yang berpengaruh dalam
bidang politik. Jadi tak hairanlah semua pegawai atasan kipas dia.
“Apa yang bezanya?
Mereka semua pemain profesional dan berpengalaman. Hadiri banyak
latihan di dalam dan di negara luar. Takkan langsung tak boleh nak
kalahkan seorang pemain amatur?” balas Apy Elina masih tidak puas
hati. Encik Zakuan memang selalu cari pasal dengannya. Apa yang dia
aturkan semua dibangkangnya.
“Budak tu bukan
setakat pemain amatur tapi samseng. Saya saksi kejadian ni,” kata
Encik Zakuan penuh yakin. Walau macam mana pun dia tetap tidak setuju
apabila anak didikannya disalahkan dalam kejadian itu.
“Dan awak biarkan
orang tak dikenali bertarung dengan mereka?”
“Dia yang nak
sangat bertarung…”
“Dan sekarang
padan dengan muka awak. Anak didikan awak dah kalah dalam sekelip
mata dengan seorang pemain amatur. Kalaulah berita seperti ini
tersebar di media sosial, awak juga yang malu.”
“Bukan saya saja,
awak juga. Nanti satu dunia akan tahu bahawa Arena ni hanya gah pada
nama. Pusat sukan bertaraf dunia konon. Seorang lelaki pun boleh
ceroboh masuk,” balas Zakuan seolah-olah cuba menyalahkannya pula.
Tiba Apy Elina
hendak membalas, Rohana menyapanya.
“Ini rakaman CCTV
yang Puan Apy minta,” kata Rohana sambil menyerahkan sebuah iPad
kepadanya.
Tanpa berlengah
lagi, dia segera melihat rakaman itu. Memang seorang lelaki yang
datang dan mencabar beberapa orang pemain kebangsaan tadi. Rakaman
itu hanya memakan masa dalam 10 minit. Tidak sangka, hanya dengan 10
minit lelaki itu mampu kalahkan mereka semua sampai tersungkur jatuh
kepenatan.
“Tengok, dia main
kasar. Saya dah kata, dia bukannya setakat penceroboh tapi samseng
nak huru-harakan pasukan kebangsaan,” kata Zakuan di sebelah.
Apy Elina langsung
tidak hiraukan Zakuan di sebelahnya. Dia hanya tumpukan pada rakaman
itu berulang kali dan mendapat sesuatu yang tidak masuk akal!
ROHANA mengetuk
pintu bilik bosnya yang terbuka sedikit. Tiada reaksi daripada bosnya
itu. Sejak dari tadi hanya leka memandang iPad, barangkali masih lagi
mengulang rakaman yang sama. Tanpa berlengah lagi dia segera
melangkah masuk ke dalam dengan membawa secawan kopi.
“Kopi yang Puan
minta tadi,” tegurnya seraya meletakkan secawan kopi itu di atas
meja.
“Apa pendapat awak
tentang rakaman ni?” tanya bosnya tiba-tiba.
“Err… saya tak
tahu sangat tentang bola keranjang tapi lelaki tu memang hebat dapat
kalahkan semua orang dalam masa yang singkat. Macam dalam filem
pula,” jawab Rohana teruja.
“Betul tu,” Apy
Elina turut menyokong.
“Tapi…” suara
Rohana teragak-agak.
“Kenapa?”
“Saya masih tak
faham. Macam mana Puan tahu apa yang dah berlaku? Waktu tu, Puan
hanya dengar, bukan?”
Apy Elina mengukir
senyuman.
“Awak mesti pernah
alami, kalau awak dah biasa dengan seseorang, semua tentang orang tu
awak tahu termasuklah awak tahu macam mana bunyi detap kaki semasa
orang itu berjalan. Deria pendengaran kita dah boleh cam bunyi jika
kita sudah selalu sangat dengar bunyi yang sama.”
“Jadi, Puan dapat
rasa ada sesuatu tak kena di dalam selepas dengar bunyi tu?” tanya
Rohana bagaikan tidak percaya.
Apy Elina
mengangguk.
“Setiap pemain
kebangsaan, saya sudah hafal teknik dan gaya mereka. Setiap pemain,
ada rentak mereka tersendiri apabila melantunkan bola. Saya boleh
tahu siapa yang lantunkan bola dengan menutup mata. Jadi, bila saya
dengar bunyi lantunan bola itu tadi, saya mula rasa ada sesuatu yang
tak kena.”
“Sebab Puan tak
pernah dengar bunyi lantunan tu sebelum ni? Wah, hebatnya!” Rohana
tiba-tiba teruja.
“Tak,” jawabnya
serius.
“Eh?”
“Bunyi tu… macam
yang selalu saya dengar…”
“Selalu dengar?
Jadi, Puan tahu siapa yang ceroboh masuk tadi?”
Apy Elina hanya
tersenyum. Masih awal lagi untuk dia simpulkan sesuatu. Lagipun masih
ada banyak lagi persoalan yang dia tidak dapat jawab. Mungkin
seseorang boleh tolong dia jawabkan.
“Tolong panggilkan
Izwan. Saya ada hal nak bincang dengan dia,” arahnya kepada Rohana.
“KENAPA? Ini ada
kena mengena dengan orang yang menceroboh tadi ke?” tanya Izwan
mula mengagak sesuatu.
“Cuba lihat
rakaman ni,” kata Apy Elina sambil memusing laptopnya supaya
menghadap Izwan. Rakaman tadi sudah dimasukkan ke dalam laptop
disebabkan bateri iPad sudah habis.
Izwan menurut. Dia
memerhati tanpa berkelip setiap gerakan dalam rakaman itu. Tidak
sangka, dalam beberapa minit sahaja rakan-rakannya boleh kalah dengan
seorang lelaki. Bukan itu sahaja, lelaki itu juga dilihat bukan
seperti calang-calang orang. Mungkin orang itu pernah mendapat
latihan yang serius sebelum ini.
“Dia laju dan ada
teknik yang hebat,” komennya.
“Betul?” tanya
Apy Elina seperti menyesyki sesuatu.
“Kenapa?” tanya
Izwan hairan. Nada cikgunya seperti mengesyaki sesuatu.
“Saya nak awak
jawab soalan saya dengan jujur.”
“Okey…” seram
sejuk pula Izwan dibuatnya.
“Berapa lama awak
kenal Adam?” tanya Apy Elina dengan serius.
“Hah?” Izwan
terkejut. “Apa kaitan Adam dengan semua ni?”
“Jawab soalan saya
dulu.”
“Semasa Tingkatan
4 waktu kami sama-sama join pasukan bola keranjang sekolah,” jawab
Izwan teragak-agak.
“Jadi, awak tak
kenal orang ni?”
Dia menggeleng.
Lagilah dia tidak faham.
“Waktu tu, ada tak
sesiapa yang rapat dengan korang berdua? Reti main bola keranjang?”
tanya Apy Elina lagi.
Sekali lagi Izwan
menggeleng.
“Saya bukan nak
membangga diri tapi selain saya, Adam memang tak ramai kawan,”
jawabnya dengan ikhlas. Dia masih ingat lagi, disebabkan Adam suka
berlagak, jadi tidak ada sesiapa yang suka berkawan dengan Adam di
sekolah.
Apy Elina
mengangguk. Kemudian, mengeluh.
“Kenapa cikgu
tanya pasal ni?”
“Kamu tak
perasan?” tanyanya semula.
“Perasan apa?”
“Cuba perhatikan
teknik slum dunk yang dia lakukan,” kata Apy Elina sambil
menayangkan video itu lagi.
Izwan memerhati
video itu sekali lagi dan menumpukan kepada gerakan slum dunk lelaki
itu. Dia mengerut dahi. Baru dia perasan. Teknik slum dunk yang
dilakukan oleh lelaki itu sama seperti yang pernah dilihatnya sebelum
ini.
“Teknik ni… sama
macam teknik Adam.”
“Baru perasan?
Walaupun dah lama Adam tak beraksi di gelanggang tapi saya masih
ingat lagi teknik slum dunk dia. Sama seperti ini.”
“Boleh jadi
kebetulan? Atau lelaki ni peminat Adam dan copy gerakannya?”
“Walaupun ramai
pemain yang tahu gerakan slum dunk tapi setiap orang ada teknik
tersendiri yang mana tak semua orang boleh copy. Setelah banyak kali
saya tengok, lelaki ni bukan sahaja copy teknik slum dunk tapi cara
dia menyerang dan bertahan sama seperti Adam. Malah, lebih daripada
tu.”
“Maksud cikgu?”
“Antara dia copy
teknik Adam atau Adam copy teknik dia. Atau lebih tepat lagi, mereka
berdua pernah berjumpa sebelum ini.”
“Apa kata kalau
cikgu tanya Adam saja tentang hal ni.”
“Kalau saya tanya,
pak cik tu pasti takkan dapat jawab. Kalau dia jawab pun mesti
jawapannya tak tahu atau malas nak ambil tahu. Awak fahamlah perangai
kawan awak tu yang bukannya kisah sangat. Samalah macam dia buat tak
kisah bila saya terjumpa album gambar yang penuh dengan gambar saya
dalam stor dia.”
“Album gambar?”
“Jangan pura-pura
tak tahu. Mata awak langsung tak berkelip tadi. Itu maknanya awak
memang dah tahu pasal album gambar tu. Lagi satu, walau apa pun Adam
pasti akan berkongsi cerita dengan awak kalau dia tak tahu kepada
siapa lagi dia nak berkongsi.”
Izwan mengeluh
panjang. Nampaknya tiada gunanya lagi dia menafikannya lagi. Apy
Elina, bukan memang bukan sembarangan orang. Walaupun nampak naif
tetapi dia seorang yang pandai memerhati orang.
“Boleh tak kalau
saya buat-buat tak tahu pasal ni?” ujar Izwan tidak mahu masuk
campur.
“Kenapa? Apa yang
kamu takut?”
“Bukan takut tapi
saya rasa ini hal rumah tangga orang…”
“Memang pun tapi
secara automatiknya kamu dah masuk campur sebab kamu tahu pasal hal
ini.”
Izwan menggaru
kepala. Habislah! Masak kalau cikgunya tanya banyak tentang Adam.
“Awak percaya dia
tak ingat?”
Izwan mengangkat
bahu.
Cis, kenapalah
lelaki suka sangat berahsia? Geram Apy Elina dibuatnya.
terbaik.. mendebarkan.. setiap hari menantikan...