
“Kak Nurul,” panggil satu suara sebaik sahaja dia membelok ke kiri jalan. Seorang pelajar perempuan sekolahnya menghampirinya. Normaya, adalah salah seorang pelajar perempuan yang selalu mendapat perhatian semua orang di sekolah tidak kira lelaki ataupun perempuan, guru ataupun pekerja kantin. Orangnya memang cantik. Ayu. Berkulit putih melepak walaupun dia tidak menggunakan bedak yang tebal. Memiliki sepasang mata yang cantik. Pendek kata orangnya memang cantik.
“Maaf sebab menganggu Kak Nurul,” ujarnya dengan suara lembut. Memang padan dengan orangnya. Bak kata orang macam Gadis Melayu.
“Kenapa?”
“Sebenarnya, saya nak minta pertolongan,” jawab gadis itu agak tergagap-gagap.
“Pertolongan apa?”
Sehelai sampul surat kecil di keluarkan dari poket bajunya dan dihulurkan kepada Nurul. Nurul segera menyambut sampul surat tersebut tanpa banyak soal. Dia agak terkejut nama Nazrul tercatat di atas sampul surat tersebut. Terus di memandang Normaya yang menunduk muka. Malu.
“Tolong bagi pada Nazrul dan saya mintak akak tolong suruh dia baca surat saya ini. Saya tahu, dia tak pernah membaca surat yang saya bagi selama ini. Saya minta tolong sangat-sangat!” rayu Normaya tanpa segan silu di hadapannya.
Kalaulah dia wartawan sekolah memang dia akan hebohkan kepada semua pelajar bahawa pelajar yang menjadi pilihan ramai di sekolahnya itu sanggup merayu-rayu depannya supaya menyuruh orang yang tiga suku seperti Nazrul membaca surat tersebut. Tapi kenapa harus Nazrul?! Kenapa tak Fiq ataupun Rezza yang paling sempurna di matanya itu? Kenapa orang seperti Normaya melihat Nazrul sebagai Prince Charming pula? Kalaulah Normaya tahu bagaimana perangai Nazrul yang suka berdengkur bila tidur… Nurul hanya menggeleng.
Cinta itu buta.
Tapi kenapa mesti Nazrul?
“Mintak tolong sangat-sangat,” ujar Normaya lagi merayu-rayu sebelum meminta diri untuk pulang.
Nurul masih lagi berdiri di situ. Merenung surat yang di berikan oleh Normaya untuk Nazrul. Bermimpikah dia?
“Kenapa ni?” sapa seseorang di belakangnya.
“Ah, Farizat,” Nurul menarik nafas panjang. Mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung kalau tidak, tak pasal-pasal Kelab Bola Sepak kena mencari pengurus lagi selepas ini. “Lain kali bagi salam dulu.”
“Kalau bagi salam pun sama jugak. Kenapa kau tercegat kat sini?”
“Farizat, kau percaya tak?”
“Percaya apa?”
“Aku dapat surat cinta untuk Nazrul,” ujarnya lagi sambil menunjukkan sampul surat yang masih ditangannya lagi.
“So?” tanya Farizat pelik.
“Hey, takkan kau tak terkejut Nazrul yang kaki tidur tu dapat surat cinta?”
“Lelaki tak pernah pelik dengan kerja perempuan yang suka tulis surat cinta,” jawab Farizat selamba.
“Yelah tapi ini Nazrul yang dapat!”
“Kalau Nazrul dapat surat cinta, memang aku tak pelik tapi kalau Hayrul dapat surat cinta barulah aku pelik. So, perkara biasa saja.”
“Tapi aku pelik!”
“Kenapa kau pelik?”
“Nazrul yang suka tidur dan buat hal sendiri tu dapat surat cinta. Kau tak rasa pelik ke? Kalau akulah, memang aku takkan bagi surat cinta pada budak tiga suku tu. Buat sakit hati saja.”
“Itu pada kau tapi pada orang lain tak. Actually, tak pelik sangatlah kalau Nazrul dapat surat cinta sebab sebelum ni pun dia pernah dapat surat cinta tapi tak banyak seperti Fiq dan Rezza dapat. Tapikan, aku nasihatkan kalaulah kau jumpa dengan orang yang bagi surat cinta pada Nazrul tu, baik kau nasihatkan dia supaya berhenti tulis surat cinta untuk Nazrul.”
“Kenapa pula?” tanya Nurul hairan.
“Nazrul tak akan membacanya tapi akan terus buang ke dalam tong sampah,” kata Farizat yang sememangnya tahu sangat dengan perangai Nazrul.
“Amboi, lelaki pun jual mahal ke.”
“Ini bukan jual mahal tapi terpaksa jual mahal. Cubalah kau bayangkan macam mana nak bercinta kalau Nazrul tu…,” tiba-tiba Farizat berhenti berkata-kata.
“Kenapa dengan Nazrul?” tanya Nurul yang dapat rasakan ada sesuatu yang ingin dicakapkan oleh Farizat tadi.
“Err… tak de apa-apa. Okeylah, aku nak balik rumah ni,” takut disoal siasat oleh Nurul terus Farizat mengorak langkah berlalu dari situ meninggalkan Nurul yang masih terpinga-pinga.
“Kenapa dengan Nazrul?” tanyanya pada dirinya sendiri.
bestnya n3 baru.. makin suspen.. tertanya2 kenapa ngan nazrul 2..