“Mak cik, tutuplah
mulut tu,” tegur Adam di sebelah. Dia yang sedang memandu itu,
menutup mulut isterinya yang menguap besar dengan tangannya. Serentak
itu, tangannya itu dipeluk erat.
“Awak… saya
lapar…”
“Nak pergi makan
ke?” tanya Adam menjeling tengok jam. Pukul 10.00 malam. Masih
banyak lagi kedai makan yang masih buka.
“Tak nak makan kat
luar,” Apy Elina menggeleng.
“Kalau tak nak
makan kat luar. Kita makan kat dalam kedai.”
“Dia buat lawak
pula!”
“Habis tu?”
“Saya nak awak
masak,” perlahan-lahan dia bersuara.
“Mak cik…”
“Ala, bolehlah.
Dah lama saya tak merasa masakan awak. Masak burger telanjang pun tak
kisah asalkan awak yang masak. Boleh ya?” pujuknya dengan berusaha
membuat muka comel.
“Burger
telanjang?” Adam mengerut dahi.
“Daging burger
tanpa roti… itulah burger telanjang,” jawab Apy Elina sambil
tersengih-sengih.
Adam hanya
menggeleng. Pening betul dengan isterinya. Ada sahaja nama masakan
baru yang diciptanya.
“Boleh tak?”
“Kalau kata tak
boleh, ada pula yang mengigau tengah malam nanti,” balas Adam
menjeling tajam.
Apy Elina tidak
henti-henti tersenyum sejak tadi. Tidak lama kemudian, mereka sudah
sampai ke rumah. Sebuah kereta CRV hitam turut berada di halaman
rumah. Tahulah mereka yang Mellissa berada di rumah mereka sekarang.
“Awak, saya rasa
peliklah,” ujar Apy Elina seraya meleraikan tali pinggang
keselamatan yang dipakainya.
“Mmm… memang
pelik pun. Malam-malam minta suami masakan burger telanjang. Macam
ada apa-apa je,” balas Adam selamba.
“Bukanlah!”
tegas Apy Elina. Orang serius, dia buat lawak pula. “Ini pasal
kakak awak tu.”
“Kenapa?”
“Awak tak rasa
pelik ke? Dia datang Malaysia dengan tiba-tiba. Kalau dia datang
sebab gosip Izwan, kenapa sampai sekarang masih tak ada progres lagi?
Atau dia datang sebab lain?”
“Jangan pandang
rendah dengan Kak Mel. Dia tu nampak macam tak peduli tapi dalam diam
dia tengah rancang rancangan yang kejam. Tunggu dan lihat sajalah.”
“Cara awak cakap
macam kakak awak tu, wanita paling kejam di dunia.”
“Memang pun,”
jawab Adam selamba lagi.
Apy Elina hanya
menggeleng. Bercakap dengan suaminya memang payah. Payah nak kesan
sama ada yang dicakapnya itu betul atau tipu. Setiap bait yang keluar
ada maknanya sendiri. Kadangkala kena tipu hidup-hidup. Kadangkala
pula menyesal percaya!
Tapi banyak yang dia
tidak tahu tentang Mellissa sebenarnya. Adam pula banyak kali juga
menasihatinya supaya berhati-hati dengan Mellissa. Alasannya langsung
tidak diketahui. Mungkin ada sesuatu yang dia tidak tahu tentang
Mellissa.
Sebaik sahaja dia
melangkah masuk ke dalam rumahnya, dia melihat Mellissa sedang asyik
merenung laptop di ruang tamu. Apabila kehadirannya disedari,
menggelabah Mellissa menekan sesuatu pada laptopnya seperti
menyembunyikan sesuatu yang diusahakan tadi.
“Mellissa, aku nak
pinjam laptop sekejap,” pinta Apy Elina. Lihat sahaja laptop itu,
dia teringatkan peristiwa yang berlaku siang tadi di Arena.
“Tak boleh. Aku
ada masa selama 365 hari untuk cari calon suami sebelum umur aku
bertambah lagi,” balas Mellissa selamba.
“Apa dah jadi
dengan Izwan?” Apy Elina cuba mengorek rahsia.
“Jangan sebut nama
dia. Hari-hari dia buat aku tension dengan gosip dia dengan
perempuan plastik tu.”
“Tapi kau mesti
nak tengok CD ni,” kata Apy sambil menunjukkan sekeping CD kepada
Mellissa.
“Tontonan umum
atau 18sx?”
“Mmm…
tengah-tengah. Hot and spicy. Mungkin.”
“I like,”
Mellissa tersenyum dan menghulurkan tangan meminta CD itu. CD
bertukar tangan. Tanpa berlengah lagi dia segera memasang CD itu.
“Apa ni?” soal
Mellissa sebaik sahaja video itu bermula.
“Tengok sajalah,”
jawab Apy Elina di sebelah.
Dalam masa yang sama
juga Adam melalui belakang mereka. Kakinya berhenti melangkah sebaik
sahaja melihat video itu. Dengan jelas, dia melihat seorang lelaki
mengalahkan beberapa orang pemain bola keranjang.
“Wau, dia
kalahkan semua orang dalam sekelip mata?” Mellissa terkejut.
“Hebat bukan?
Dapat kalahkan semua pemain kebangsaan, bukan calang-calang orang
boleh lakukan begitu dalam masa yang singkat.”
“Siapa dia?”
soal Mellissa cuba meneliti rakaman itu sekali lagi.
“Tak tahu. Dia
ceroboh masuk dan pergi begitu saja.”
“Motif?”
Apy Elina mengangkat
bahu.
“Mungkin dah bosan
asyik main seorang diri…”
“Mesti hidupnya
sangat membosankan jadi cuba cari keseronokan,” balas Mellissa.
“Mungkin,”Apy
Elina mengangguk dan turut bersetuju. “Orang muda sekarang memang
suka buat perkara yang diluar jangkaan semata-mata kerana hendak
hilangkan bosan. Tengok gaya lelaki yang menceroboh masuk ke Arena
itu, aku yakin, orang itu hanya mahu berseronok.”
“Tapi dia
handsome!” jerit Mellissa tiba-tiba.
“Betul! Betul!”
sokong Apy Elina begitu teruja.
“Handsome?”
Dahi Adam berkerut. Dia cuba teliti rakaman itu sekali lagi. Walaupun
rupa lelaki misteri itu boleh dilihat dengan jelas tetapi dia kurang
pasti yang mana datangnya handsome itu. Mata orang perempuan
memang menakjubkan.
“Ehem... ada orang
cemburulah,” Mellissa ketawa mengekek.
“Awak nampak macam
baru putus cinta tapi cute!” balas Apy Elina menyakat
suaminya. Memang dia sengaja cakap lelaki itu handsome. Yalah. Memang
lelaki itu handsome pun. Tapi yang sebenarnya dia sengaja
ingin menarik perhatian suaminya.
“Ah, korang berdua
ni. Menyampah aku tengok. Seorang gedik, seorang lagi cemburu. Lebih
baik aku masuk bilik dan sambung mimpi malam tadi,” ujar Mellissa
yang sudah berdiri bangun. Tanpa berlengah lagi dia segera berlalu
dari situ.
“Macam mana dia
boleh ceroboh masuk dalam Arena?” tanya Adam, kali ini dengan nada
yang serius.
“Dia panjat pagar
belakang,” jawabnya.
“Kalau macam tu,
lepas ni kita kena kaji semula keselamatan di Arena.”
Apy Elina
mengangguk. Itulah Adam. Pantang bila ada sesuatu yang boleh
mengancam nyawanya, dia pasti akan bertindak dengan cepat. Sistem
kawalan keselamatan di Arena boleh dikatakan yang terbaik tapi bak
kata orang, manusia pun ada kelemahan, apatah lagi sistem yang
dibangunkan oleh manusia. Tapi bagi Adam, setiap kelemahan yang
dikesan, dia pasti akan cuba perbaikinya secepat mungkin.
“Awak rasa dia
ceroboh masuk ke Arena sebab nak kalahkan semua pemain kebangsaan
atau ada motif lain?” soal Apy Elina meminta pendapat.
“Dah, tak payah
fikir apa-apa lagi. Anggap saja mat gian datang melawat,” ujar Adam
segera menutup laptop itu.
“Mat gian datang
melawat tu serius tau!” Apy Elina tidak puas hati. Selagi dia tidak
dapat jawapan yang munasabah, selagi itulah dia tidak akan berhenti
mempertikaiannya.
“Sebab tulah kita
kena tingkatkan keselamatan di Arena. Tapi sekarang ni, masa untuk
berehat. Jangan fikir pasal kerja lagi, faham?” ujar Adam tegas.
Perlahan-lahan Apy
Elina mengangguk. Nampaknya ini bukan masa yang sesuai untuk dia
bertanyakan hal itu.
SELEPAS
beberapa kali cuba menghubungi kembarnya, barulah panggilannya itu
disambut. Payah betul hendak menghubungi ahli keluarga sendiri
terutamanya kembarnya itu. Sibuknya kalah Perdana Menteri Malaysia.
Setiap kali telefon mesti panggilan sibuk.
“Untuk sekalian
kalinya aku harap aku ada superpower yang boleh transport
ke depan kau apabila kau malas nak jawab panggilan aku,” ujar
Mellissa dengan geram.
“Mujurlah kau tak
diberikan super power macam tu. Kalau tak, buat pertama
kalinya kau akan nampak kembar kau buang hajat.”
“Eee… tak
senonoh!”
“Itulah. Lain kali
sila berfikir positif sikit. Aku bukan kekasih sejati handset aku,”
balas Adnan di hujung talian.
“Ah, aku tak nak
dengar kau merepek. Sekarang ni, kita ada masalah besar.”
“Pasal orang yang
ceroboh masuk Arena siang tadi?”
“Kau tahu?”
Mellissa sedikit terkejut. Berita ini baru sahaja dia dapat tahu
tadi. Pantas sungguh kembarnya itu mendapatkan maklumat.
“Berita macam ni
dah tentulah aku tahu.”
Betul juga.
Kembarnya itu memang banyak mata-mata. Dia jugalah yang paling pantas
mendapatkan maklumat jika ada sebarang kejadian yang boleh mengancam
keluarga mereka. Jadi, tak hairanlah kalau kembarnya itu tahu
kejadian siang tadi.
“Kau kenal budak
tu?” soal Adnan.
“Mungkin…”
“Siapa?”
“Aku tak boleh nak
beritahu lagi. Aku nak pastikan dulu sama ada budak tu adalah orang
yang sama…”
“Walau apa pun,
aku nak bagi amaran. Jangan bertindak terburu-buru.”
“Kau macam tak
percayakan aku…”
“Bukan aku tak
percaya tapi susah nak percaya. Kau mudah ikut perasaan.”
“Yalah. Aku tahu!
Kau ni macam Adam. Suka sangat membebel!”
“Okeylah. Aku off
dulu. Suara kau buat perut aku senak semula.”
“Eee… tak
senonoh! Pergilah lepaskan hajat kau tu!” tanpa berlengah lagi
Mellissa segera menamatkan panggilan itu. Dia menghela nafas berat.
Lalu dia mengorak langkah ke beranda luar.
Dari atas dia dapat
melihat rumah Izwan dengan jelas. Tidak lama kemudian, kelihatan
kereta Izwan mula dipandu masuk ke dalam rumah teres dua tingkat itu.
Dia mengeluh lagi.
“Macam mana kita
nak bercinta macam orang biasa kalau keluarga aku masih kucar-kacir?”
ujarnya sendirian.
keciannya nk bercinta pn ssh byk sgt halangannya