PAGI
itu agak berbeza berbanding dengan hari-hari biasa apabila dia
dikejutkan dengan bunyi kicauan burung dan kokokkan ayam yang tidak
henti-henti sejak awal pagi tadi. Bagaikan burung dan ayam-ayam tidak
cemburu apabila dia dapat tidur dengan nyenyak. Sedar-sedar sahaja
dia mendapati tiada orang di sisinya.
Lantas
dia mencapai jam tangannya yang diletakkan di atas meja bersebelahan
katilnya memandangkan jam yang tergantung di dinding dalam bilik itu
sudah bertahun-tahun lamanya tidak beroperasi. Merajuk kata emaknya,
sebab tuannya sudah jarang balik ke rumah itu. Padahal dia tahu
sangat yang emaknya sedang memerlinya yang sudah lama tidak jejak
kaki ke tanah kelahirannya itu.
Jam
sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. 7.00 pagi! Jerit hatinya bercampur
bengang dengan burung dan ayam-ayam seangkatan dengannya. Kalau
diikutkan, selepas sembahyang subuh tadi, dia hanya tidur lebih
kurang satu jam setengah tetapi angkatan ayam-ayam di sekeliling
rumahnya sudah memberi isyarat bagaikan dia sudah terlambat untuk
mengerjakan solat Zuhur. Langsung tak benarkan dia tidur lebih masa.
Namun,
dia tetap beralah. Itu pun sebab menyedari suaminya tiada di
sebelahnya. Lagi-lagi apabila teringatkan dua orang abangnya turut
pulang, bertambah dia cemas dan bangun dari katilnya.
Kalau
seorang abangnya pulang, dia tak takut sangat tapi kalau dua-dua
pulang ke kampung sehelai sepinggang tanpa bawa kakak-kakak ipar dan
anak-anak buahnya, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena yang
pastinya kedua-dua mereka sedang merancang sesuatu yang besar. Oleh
itu, dia perlu jadi penentang secara besar-besaran juga.
Bukannya
dia tidak kenal kedua-dua abangnya itu. Mereka pembuli nombor satu.
Mereka jugalah antara penyebab kenapa dia tidak gentar dengan lelaki.
Sejak lahir lagi dia sudah dibesarkan dengan didikan gerila oleh
kedua-dua abangnya. Dia terpaksa menahan serangan buli daripada
mereka berdua seorang diri.
Walaupun
dia ada seorang kakak tetapi kakaknya sendiri tak dapat menolongnya
daripada terus dibuli oleh abang sendiri. Jadi, hasilnya, dia
membesar tanpa gentar berhadapan dengan lelaki. Dan disebabkan itu
jugalah dia ramai kawan lelaki berbanding perempuan.
Baru
sahaja dia hendak keluar dari bilik, dia terlihat suaminya sedang
bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit. Apy Elina mengeluh
lega apabila melihat suaminya selamat daripada dibuli abang-abangnya.
Dari jendela tingkap, dia mengintai setiap pergerakan suaminya.
Adam
Alexander atau Muhammad Adam, itulah suaminya. Kadangkala bila dia
tengok suaminya itu, dia tidak percaya yang dia sudah menjadi isteri
Adam Alexander. Mana tidaknya, pertama kali dia jumpa Adam, dia tak
pernah terfikir hubungan mereka akan sampai ke jinjang pelamin.
Sedikit
pun tak pernah. Tambah lagi dia memang anti dengan perangai Adam yang
sentiasa menyakitkan hatinya. Tapi, orang kata bila dah jatuh benci
mesti jatuh sayang. Namun, bukan dia seorang saja yang tak percaya.
Ramai lagi yang tak percaya terutamanya Nabila.
“Aku
nak kau jawab dengan jujur. Sejak bila kau berkawan rapat dengan
Alex? Bila korang berdua dating buat kali pertama? Macam mana dia
lamar kau jadi teman wanita dia?” soal Nabila bertubi-tubi suatu
ketika dahulu. Dia ingat lagi Nabila menyoal selidik hubungannya
dengan Adam selepas Nabila sendiri tak dapat hidu bilakah hubungan
ini berkembang.
“Aku
tak tahu. Yang aku tahu, 5 tahun yang lalu dia lamar aku tapi aku
baru tahu yang dia lamar aku lima tahun kemudian. Itu saja,”
jawabnya.
“Kau.
Dah. Gila!” Itu reaksi Nabila yang masih dia ingat lagi.
“Berbanding
aku, Adam lagi gila sebab berani lamar anak dara orang pakai bola.”
“Korang
memang pasangan yang gila.”
Dia
ketawa keseorangan apabila teringatkan perbualan dua tahun dulu.
Sehinggakan sampai sekarang juga Nabila masih tidak percaya dengan
hubungan itu. Bagaimana pun Apy Elina tidak kisah dengan tanggapan
orang lain. Mungkin di mata orang, dia nampak seperti wanita yang tak
matang dan kebudak-budakkan tetapi menurut suaminya, ada kalanya dia
seorang yang garang dan kuat membebel.
Sekali
lagi dia ketawa keseorangan.
“Apa
yang lucu sangat tu?” sergah satu suara dari belakang. Serta-merta
dia tersentak. Lantas dia berpaling ke belakang.
“Along!
Lain kali bagi salam dulu,” diurut dadanya yang berdegup kencang.
Mujurlah jantungnya tak meloncat keluar.
“Kenapa
kau gelak sorang-sorang tadi? Ada lembu berenang kuak lentang kat
parit ke?” tanya abang sulungnya yang lebih mesra dipanggil Along.
Umur
abang sulungnya dah hampir masuk 40 tahun tapi perangainya masih
tahap belasan tahun. Kalau dilayan, umpama melayan kanak-kanak rebina
yang terlampau aktif. Tak terlayan dibuatnya. Mungkin disebabkan
perangai happy go lucky itu, Alongnya nampak lebih muda
daripada umur sebenarnya. Bukan setakat Alongnya saja, Angahnya pun
sama.
“Ohhh…
rupanya ada alien yang kacak di sana,” kata Along yang sudah
berada di sebelahnya.
“Boleh
tak jangan kacau orang? Orang tak ada moodlah nak bertekak dengan
Along pagi-pagi ni,” dia menolak Alongnya ke tepi.
“Mmm…
agak-agak dia telefon siapa ye?” Along sudah buka soalan yang
membakar hatinya.
“Dia
boleh telefon sesiapa yang dia suka,” jawab Apy Elina cuba
menyedapkan hati.
Tapi
sebenarnya bila Along dia bertanya soalan itu tadi, dia mula terfikir
soalan itu. Dengan siapa pula pak cik itu sedang bercakap sekarang?
Lama pula tu. Nampak macam serius. Perempuankah?
“Entah-entah…”
“Kalau
perempuan pun apa masalahnya. Dia lelaki. Lelaki boleh kahwin empat.
Kalau Along nak kahwin empat pun boleh tapi malangnya Along ada
isteri yang garang macam singa. Huh!”
Cepat-cepat
Apy Elina mengatur langkah berlalu dari situ. Dia perlu larikan diri
daripada Along. Kalau tidak, macam-macam spekulasi yang cuba
ditimbulkan oleh abang sulungnya itu.
Kakinya
laju menyarung kasut dan mengatur langkah menghampiri suaminya yang
masih berbual dengan seseorang. Dari jauh dia cuba memasang telinga.
Namun, hampa apabila suaminya bercakap dalam bahasa Mandarin yang dia
tidak fahami. Perlahan-lahan dia mendekati suaminya dengan muka masam
kerana gagal memahami setiap bait perbualan suaminya itu.
Apabila
kehadirannya disedari, suaminya hanya menghadiahkan senyuman dan
sambung berbual. Namun, hanya sekejap. Selepas beberapa minit,
perbualan itu ditamatkan.
“Sorry,
ofis ada masalah sikit,” ujar Adam tanpa ditanya.
“Serius
sangat ke?” tanya Apy Elina pula teruja.
Mana
tahukan dia boleh jadikan alasan itu untuk balik ke Kuala Lumpur
semula dan sekali gus dapat mengelak daripada abang-abangnya yang
merancang sesuatu.
“Mmm…
tapi boleh dikawal lagi. Lagipun, buat apa ambil diorang bekerja
kalau tak boleh selesaikan masalah macam ni,” ujar Adam.
Apy
Elina mengangguk. Dia akhirnya terfikir bahawa alasan ada masalah
timbul di ofis suaminya takkan berjaya bawa mereka keluar dari rumah
itu. Ini kerana emaknya, walaupun bukan seorang usahawan tapi otak
emaknya serupa macam usahawan berjaya. Pasti emaknya akan fikir macam
suaminya fikir tadi.
Apy
Elina mengeluh pendek. Bila tersepit antara keluarga dengan suami
sekali gus membuatkan dia tak bersemangat.
“Kenapa
pula ni?” tanya Adam yang menyedari isterinya kelihatan tak
bersemangat.
“Tak
ada apa,” pantas Apy Elina menafikannya.
“Takkan
teringin nak makan roti canai lagi?” teka Adam.
Perlahan-lahan
bibir Apy mengukir senyuman.
“Boleh
ke?”
“Jangan
harap. Lepas ni kena berpuasa daripada makan roti canai selama
sebulan!”
“Hah?”
serentak itu kedua pipinya sengaja dikembungkan.
“Tu…
pipi tu nak kena cubit ke?”
Lantas
Apy Elina meletakkan kedua tangan melindungi pipinya daripada dicubit
lagi. Kalau cubit manja-manja, dia tak kisah sangat tapi suaminya itu
selalunya cubit geram. Boleh rosak pipinya kalau selalu dicubit
begitu.
“Hah,
baru saya teringat! Perempuan semalam yang tegur saya tu… dia tulah
yang tubuhkan kelab Kami Benci Apy Elina di sekolah dulu! Dia tu
kipas-angin-susah-mati Daniel dulu. Jadi, dia fikir saya ni pesaing
utamanya merebut cinta Daniel dan sebab tulah dia wujudkan kelab anti
Apy Elina!”
“Wah,
barulah abang tahu isteri abang ni memang hebat,” ujar Adam sambil
bertepuk tangan.
“Itu
tak lain tak bukan nak perli orang la tu,” Apy Elina menjeling
tajam.
“Musuh
sendiri pun boleh lupa.”
“Saya
bukan lupalah. Saya sengaja lupakan. Apa faedahnya ingat pada musuh
sendiri. Lagi satu, dia yang nak bermusuh dengan saya masa tu. Saya
cuma buat hal saya saja. Daripada memikirkan hal musuh sendiri yang
sudah tentu boleh menyakitkan hati lebih baik saya tumpukan pada
perkara yang boleh buat saya gembira. Tapi berbanding dengan kes
saya, kes awak lagi teruk. Dah tangkap curi gambar bakal isteri
sendiri tapi tak ingat pula. Entah-entah dia sengaja buat-buat tak
ingat!”
“Mak
cik, nampak tak burung tu?” tanya Adam sambil tunjuk ke arah
burung-burung yang berterbangan di langit.
“Kenapa?”
tanya Apy Elina.
Itu
mesti tak lain dan tak bukan hendak tukar topik lagi. Pelik juga. Dia
perasan suaminya itu pasti akan tukar topik apabila dia ungkit pasal
gambar-gambar yang dijumpainya tempoh hari.
“Tadi
burung tu duduk di atas wayar kabel tu tapi dia cepat-cepat dia
terbang.”
“Hah?
Ye ke? Kenapa? Apa dah berlaku?” tanya Apy Elina cemas.
“Mungkin
dia tak tahan dengar seorang mak cik membebel pagi-pagi yang indah
permai macam ni,” jawab Adam selamba dan segera mengangkat kaki
berlalu dari situ meninggalkan isterinya yang masih terpingga-pingga.
Lama
Apy Elina berfikir cuba memproses kata-kata suaminya tadi. Maklumlah
pagi-pagi begini memang otaknya lambat berhubung.
“Pak
cik!” jeritnya tak puas hati setelah berjaya memproses kata-kata
suaminya tadi. Lantas dia mengejar suaminya.
“Saya
merajuk, cepat pujuk saya dengan roti canai lima keping!”
“Macamlah
orang peduli sangat,” balas Adam langsung tak ambil pusing.
“Eee…
memang tak ada perasaan langsunglah awak ni,” rungut Apy Elina,
mengekori langkah suaminya masuk ke dalam rumah.
“Hah,”
sergah Puan Fatimah sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke rumah.
“Korang berdua ni pergi mana?”
“Mana
ada ke mana. Hirup udara segar di luar tu saja. Bukannya senang nak
dapat udara segar macam ni di KL,” jawab Apy, kecut perutnya
apabila disergah sebegitu. Mujurlah jantungnya masih kuat.
“Hah,
tahu pun tapi itu pun liat nak balik rumah sendiri. Bila dah balik
rumah, boleh pulak keluar awal pagi dengan tak mandi, tak gosok gigi.
Kalau orang kampung nampak, bukan saja satu kampung mengata tapi
kampung sebelah pun mengata. Dahlah diorang tu suka sangat bergosip
pasal kau.”
“Ye
ke? Alhamdulillah. Banyak betul pahala yang Apy dapat,” balas Apy
Elina yang sudah lali dengan leteran emaknya itu.
“Orang
cakap menjawab. Dah, mak ada sediakan nasi goreng tu. Sebelum makan
jangan lupa gosok gigi dulu!”
“Nasi
goreng...” kata Apy Elina, tersenyum memandang suaminya. “atau
lima keping roti canai?” ujar Apy Elina perlahan sambil mengangkat
tangan kanannya dengan meluruskan jari kelinkingnya seolah-olah cuba
membuat tawar menawar dengan suaminya.
Adam
mengeluh kecil. Sememangnya dia tiada pilihan lain. Kalau dia
berdegil, dia kena makan nasi goreng itu. Akhirnya jari kelinkingnya
mencapai jari kelinking isterinya. Apa boleh buat, isterinya memang
handal dalam mengelak daripada babak kena paksa makan nasi.
APY
ELINA memandang kiri dan kanan, mencari suaminya yang hilang
tiba-tiba. Baru seminit tadi, suaminya berdiri di sebelahnya. Selepas
sahaja dia bayar harga ayam tadi, Adam sudah hilang entah ke mana.
Melilau matanya mencari di mana suaminya berada. Dengan ketinggian
yang tidak sebeberapa menyebabkan dia terjengket-jengket meredah
orang ramai di pasar siang itu.
Sungguhpun
suaminya tinggi macam galah tapi dia yang pendek memang sukar hendak
melihat sekeliling. Lagi-lagi bila dia dikelilingi orang ramai yang
lebih tinggi daripadanya. Apy Elina mula cemas apabila gagal mencari
suaminya.
Apy
Elina mula berfikir yang bukan-bukan. Mustahil diculik. Suaminya
bukan setakat ada tali pinggang hitam, semua jenis seni pertahanan
diri yang berwarna-warni dia ada. Ghaib ke dunia lain? Itu lagilah
mustahil. Walaupun dia layan cerita Power Rangers yang terang-terang
penipu punya cerita tetapi dia memang sukar hendak percaya adanya
dunia lain.
Memandangkan
dia tak berjaya mencari suaminya dengan terjengket-jengket dan
meredah orang ramai, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menelefon
suaminya. Mujurlah dia tak suruh suaminya pegang handsetnya tadi.
Kalau tidak satu hal lagi hendak menghubungi dalam keadaan begini.
Namun
baru sahaja dia hendak menghubungi suaminya, matanya akhirnya
menangkap kelibat suaminya yang sedang membelakangkannya, berbual
dengan seseorang. Dia yakin daripada baju dan seluar yang lelaki itu
pakai, itu adalah suaminya. Namun, dia berasa hairan apabila melihat
suaminya sedang berbual mesra dengan seorang lelaki yang dalam
lingkungan akhir 50an.
Tanpa
berlengah lagi dia segera melangkah menghampiri mereka. Ketika dia
sampai di sebelah suaminya, mereka masih lagi berbual dengan lancar
seolah-olah tak menyedari kehadirannya di sebelah. Bengang apabila
tidak dipedulikan, Apy Elina berdehem kecil. Ketika itulah baru
mereka berdua menyedari kehadirannya.
“Ah,
lupa pula. Kenalkan ini isteri saya, Apy Elina,” Adam cepat-cepat
memperkenalkan isterinya kepada lelaki itu.
“Siapa?”
tanya Apy Elina tidak sabar lagi hendak mengetahui siapa gerangan
orangnya.
Setahunya
lelaki itu bukan orang kampungnya atau pekan di sini. Lagipun, Adam
mengenalnya. Pastinya lelaki itu bukan orang sini.
“Dr.
Omar, dia kawan baik mama dan merangkap doktor peribadi keluarga
kami,” jelas Adam.
“Oh…
Apa khabar. Akhirnya saya dapat jumpa juga dengan doktor,” Apy
Elina terus menyapa.
Dia
pernah dengar tentang Dr. Omar yang banyak menolong keluarga
suaminya. Tolong dari segi apa, dia tak pasti. Tapi kalau dah namanya
doktor, pastilah berkenaan dengan kesihatan.
“Baik.
Alhamdulillah,” jawab Dr. Omar dengan mesra. “Tak sangka, dia
lagi cantik berbanding dalam gambar,” puji Dr. Omar.
Adam
hanya tersenyum. Apy Elina pula sudah tersipu-sipu malu. Maklumlah,
bukan senang hendak dipuji sebagai wanita yang cantik. Hendak
harapkan suami sendiri… punyalah banyak berkias. Itulah Adam.
Memang susah hendak puji isteri sendiri.
“Habislah,
dia dah mula perasan. Dia ni pantang kena puji sikit. Bila kena puji,
mulalah perangai gedik dia tu,” Adam menjeling tajam.
“Awak
ni janganlah malukan isteri sendiri,” kata Apy Elina dengan geram
seraya mencubit lengan suaminya. Menyedari kelakuannya itu dilihat
Dr. Omar, sekali lagi dia berasa malu. Lantas dia cuba menukar tajuk
perbualan.
“Hah,
baguslah doktor ada di sini. Senanglah nanti saya nak hubungi doktor
kalau ada orang tu kena paksa makan nasi. Pagi tadi pun dia nyaris
kena makan nasi. Mujurlah dia ada isteri yang prihatin dan pandai
putar belit cerita. Tapi malangnya, isterinya dah berdosa sebab tipu
ibu sendiri…” keluh Apy Elina seakan cuba meraih rasa simpati.
Dr.
Omar ketawa seakan cuba menceriakan suasana. Adam pula memandang
isterinya seperti hendak cari gaduh saja. Namun, Apy Elina langsung
tak pedulikan suaminya.
“Fobianya
terhadap nasi masih lagi tak hilang,” kata Dr. Omar seraya dengan
tawaan.
“Fobia?
Bukan dia tak boleh makan nasi sejak lahir ke?” soal Apy Elina mula
sangsi.
“Err…
ya. Maksud saya itulah,” balas Dr. Omar teragak-agak.
Nadanya
seperti sedang menyembunyikan kebenaran. Macam ada sebab lain kenapa
suaminya tidak boleh makan nasi. Kalau ada pun, kenapa perlu
disembunyikan?
Apy
Elina ingin bertanya tetapi belum sempat dia hendak membuka mulut,
Dr. Omar terlebih dahulu meminta diri untuk pulang. Kali ini tingkah
laku Dr. Omar seakan cuba mengelak daripada disoal. Laju sahaja dia
meminta diri. Jalan pun macam hendak kejar kereta api yang hendak
bertolak.
“Ada
sesuatu yang saya tak tahu ke tentang awak?” tanya Apy Elina terus
menyoal suaminya. Mustahil suaminya tidak perasan dengan tingkah laku
Dr. Omar yang seakan cuba mengelak daripada ditanya tadi.
“Apa
dia?” tanya suaminya, seperti biasa, seakan tidak tahu apa yang
berlaku tadi.
“Kenapa
awak tak boleh makan nasi?” tanya Apy Elina tidak puas hati.
“Sebab
memang tak boleh makan,” jawab Adam tenang.
“Seriuslah!”
geram Apy Elina dibuatnya. Adam memang begitu. Selalu sangat bagi
jawapan yang tak serupa jawapan.
“Serius,”
jawab Adam sambil mengangkat tangan seakan berikrar.
“Habis
tu, kenapa Dr. Omar tu nampak macam orang dah terlepas cakap? Kenapa
dia cakap awak fobia makan nasi?” tanya Apy Elina tidak puas hati.
“Kalau
makan nasi dan muntah sampai nak keluar isi perut, memanglah boleh
jadi fobia.”
“Ohh…”
Apy Elina mengangguk faham. “Saya dengar dulu awak ada terima
latihan khas masa kecil. Takkan awak tak belajar nak tangani fobia
makan nasi?”
Adam
menggeleng.
“Kenapa?”
Perlahan-lahan
Adam mengangkat bahu. “Mungkin sebab itu tak penting…” jawabnya
acuh tak acuh.
“Kalau
saya ni penjahat dan saya tahu kelemahan awak, saya akan sumbat nasi
dalam mulut awak tau.”
“Memang
dah pernah, bukan?” kata Adam sambil menjeling tajam.
“Err…”
perlahan-lahan Apy Elina mengukir senyuman.
Memori
lama menerjah kembali. Dia teringatkan masa mula-mula dia hendak
tundukkan Adam dahulu. Itulah senjatanya. Sengaja suruh Adam makan
nasi. Sangkanya Adam tidak berani tapi lain pula yang jadi. Adam
sahut cabarannya makan nasi sehingga habis satu pinggan.
“Tapi…
tak sangka awak sahut cabaran saya tu. Kenapa awak makan nasi masa
tu?”
“Orang
dah cabar, sahut sajalah,” balas Adam acuh tak acuh.
“Mmm...
tapikan... bila saya ingat balik waktu tu... tak sangka awak ni cute
juga bila makan nasi,” tersengih-sengih Apy Elina mengimbas kembali
waktu dia mula-mula kenal suaminya dulu.
“Cute?
Mak cik, ingat suami awak ni kucing ke?”
“Ahh…
baru saya perasan, awak memang cute macam kucing. Ala
bucuk-bucuk… meowww...” Sengaja dia menyakat suaminya
seraya mengusup kepala suaminya seperti mengusup anak kucing.
“Meowww...”
sapa satu suara yang nyaring.
Tiba-tiba
tubuh Apy Elina menjadi kaku. Serentak itu dia terasa seperti ada
sesuatu sedang menyentuh kaki kanannya. Serta-merta darah gemuruhnya
datang.
“Err...
ada kucing dekat kaki saya ke?” tanya Apy Elina kepada suaminya.
Dia tidak berani hendak pandang ke bawah langsung.
Adam
memandang ke bawah dan kemudian mengangguk.
“Meoww!”
suara si comel itu kedengaran lagi.
Tiba-tiba
dia terasa ada sesuatu yang memaut pada seluarnya. Perlahan-lahan dia
memandang ke bawah. Kelihatan seekor anak kucing berwarna kuning
sedang memaut seluar pada kakinya.
“Arghhhh!!!”
jerit Apy Elina sekuat-kuatnya.
Jeritannya
yang kuat mengejutkan semua orang yang berada di pasar itu manakala
Adam yang berada di berdekatan terpaksa menyumbat telinga dengan
kedua jarinya.
APY
ELINA menjeling ke arah suaminya. Sejak dari tadi suaminya tidak
habis-habis tersenyum-senyum seorang diri. Itu tak lain dan tak bukan
mesti ketawakan dia yang fobia dengan anak kucing tadi. Dia berasa
teramat malu tadi. Bukan sahaja depan suaminya tetapi depan semua
orang yang tengok dia menjerit macam terserempak dengan hantu.
Apy
Elina mengeluh. Nak marah suaminya kerana tak habis-habis
ketawakannya pun tak terlarat. Habis berbongkar rahsianya. Punyalah
bertahun-tahun dia simpan rahsia itu daripada suaminya, akhirnya
terbongkar juga hari ini.
“Mmm...
apa kata mulai hari ni kita bela kucing?” Adam akhirnya bersuara.
“Jangan
nak cari pasal,” seraya Apy Elina menjeling tajam. Sekali lagi dia
melihat suaminya tersenyum mengetawakannya lagi.
“Sudahlah
tu. Hari ni saya dah cukup malu tau. Sekarang ni, bukan awak saja
yang tahu saya fobia dengan kucing tapi satu pekan tahu! Ah, mana nak
letak muka saya yang comel ni?” keluh Apy Elina sambil menangkup
muka dengan kedua-dua tangannya.
Adam
sekali lagi tersenyum sambil menggeleng. Sempat lagi puji diri
sendiri comel. Tapi itulah yang membuatkan dia jatuh cinta dengan
isterinya. Ada sahaja perkara yang melucukan hatinya. Adam segera
menarik kedua-dua tangan isterinya yang menakup muka tadi. Dia
menyedari tangan isterinya begitu sejuk. Mungkin kerana perasaan
fobia pada kucing tadi masih belum hilang.
“Kenapa
tangan awak panas? Awak demam ke?” tanya Apy tatkala suaminya
memegang tangannya. Dia segera meletakkan tangannya di dahi suaminya.
Juga panas. Namun, Adam segera menangkap tangannya sekali lagi.
“Memanglah
panas sebab tangan awak yang sejuk,” kata Adam seraya mengangkat
tangan isterinya. Apy Elina melihat kedua tangannya menggigil.
Barulah dia sedar yang badannya diserang seram sejuk.
“Ini
semua kucing tu punya pasal,” keluhnya. Sudah lama rasanya dia
tidak diserang perasaan fobia pada kucing.
“Itulah
padahnya kalau berahsia dengan suami sendiri,” balas Adam
menyindir.
“Ampun,
saya bukan sengaja nak sembunyikan tapi saya tak nak awak gunakan
kucing untuk kenakan saya,” lantas Apy Elina berterus-terang.
“Mak
cik, suami awak ni kejam ke?” tanya Adam.
“Err...
kejamlah juga,” jawab Apy Elina selamba.
“Apa?”
serentak Adam mencubit pipi isterinya.
“Aaaa...
tak. Tak kejam tapi baik hati,” segera dia tarik kembali
kenyataannya tadi.
“Lain
kali jangan rahsiakan apa-apa daripada abang,” kata Adam bernada
serius.
Apy
Elina mengangguk.
“Faham?”
sekali lagi Adam mencubit pipi isterinya. Kali ini dua-dua pipi
menjadi sasaran.
“Faham!”
jawab Apy Elina pantas. “Saya mengaku saya salah, jadi, lepaskan
pipi saya yang tak bersalah ni.”
Selepas
berpuas hati, akhirnya Adam melepaskan kedua-dua pipi isterinya itu.
Dia sendiri pun tak tahu kenapa dia suka sangat jadikan pipi
isterinya menjadi sasaran apabila dia geram.
“PERGI
memancing ikan?” terkejut Apy Elina apabila diberitahu suaminya
mengekori kedua-dua abangnya ke sungai untuk memancing ikan.
Patutlah
rumahnya sunyi semacam apabila dia selesai membasuh pinggan mangkuk
selepas menikmati makanan tengah hari tadi. Tak sangka, cepat betul
kedua-dua abangnya bertindak. Langsung dia tak sempat hendak
menghalang suaminya daripada ikut serta.
“Kenapa
mak benarkan Adam pergi dengan dia orang tu? Dahlah keduanya kaki
buli,” kata Apy Elina tak puas hati.
Dia
lantas mencapai handsetnya dan menghubungi handset suaminya. Namun,
hampa apabila terdengar deringan handset suaminya yang ditinggalkan
di atas meja.
“Ah,
dia tak bawa handset pula,” Apy Elina geram.
Dia
mula cemas. Tak dapat bayangkan macam mana keadaan Adam bila dibuli
oleh abangnya. Memancing? Sepanjang dia kenal suaminya memang
langsung dia tak pernah melihat Adam pergi memancing.
“Apa
masalahnya dia orang pergi memancing? Kau ni manjakan sangat suami
tu,” balas Puan Fatimah.
“Mak
ni takkan tak faham lagi. Along dengan Angah tu kaki buli. Nanti
entah apa yang dia suruh Adam buat. Jangan dia suruh Adam terjun
sungai sudah.”
“Mengarutlah.
Dia orang pergi memancing saja. Lagipun suami kau tu yang nak ikut
sangat. Kalau kena buli pun, suami kau dah besar. Takkan orang macam
dia tak tahan kena buli kot,” balas Puan Fatimah bernada menyindir.
Apy
Elina ingin bersuara membalas kata-kata emaknya tetapi terbantut.
Otaknya lancar memproses maklumat. Betul juga apa yang emaknya kata.
Suaminya sudah besar panjang, setakat kena buli memang tak ada hal.
Agaknya, kedua-dua abangnya yang kena buli dengan Adam.
“Dahlah.
Jangan fikir sangat. Biar suami kau tu belajar sikit macam mana
kehidupan di kampung ni. Biar dia tahu betapa susahnya hidup kita
dulu.”
“Apa
kena mengena dengan hidup kita dulu dengan dia?” tanya Apy Elina
tidak faham.
“Yelah.
Dia tu dah biasa hidup senang dari kecil. Agaknya, sungai pun tak
pernah tengok. Itulah agaknya dia teruja nak ikut tadi.”
Apy
Elina mengerut dahi. Begitukah apa yang difikirkan oleh emaknya
tentang suaminya? Mereka menganggap suaminya membesar dengan
kemewahan dan kesenangan kerana dibesarkan dalam keluarga berada.
Semua itu salah.
“Mak,
Adam bukan macam anak orang kaya yang mak fikirkan. Okey, jujur Apy
cakap, dulu pun Apy fikir macam tu. Tambah lagi dengan perangai
bongkak dia yang menjengkelkan tapi bila Apy kenal dia… dia bukan
seperti yang kita fikirkan. Adam lain,” tegas Apy Elina.
“Huh,
orang dah jatuh cinta memang macam tu. Orang bongkak pun dia boleh
kata romantik. Macam drama dalam TV tu. Mula-mula benci, lepas tu
kena gula sikit dah tergedik-gedik jatuh cinta,” komen Puan Fatimah
memang berbisa. Kalau pengarah atau penulis skrip dengar memang panas
hati. Tapi yang hairannya, mak tetap tengok juga drama begitu.
“Okey,
Apy tak nak berdebat lagi tapi pendek kata, Adam lain. Sangat lain,”
tegas Apy Elina tetap mempertahankan suaminya.
PANCING
di tangannya direnung kosong. Sejak dari tadi pancingnya langsung
tidak mengena. Satu ikan pun tak tersangkut pada mata kailnya. Lain
pula dengan kedua-dua abang iparnya. Sekejap sahaja letak, sudah
mengena. Namun, bukan itu yang membuatkan dia berasa tidak gembira.
Dia
kembali mengimbas kejadian yang berlaku di pekan pada pagi tadi.
Sungguh dia sendiri tidak menyangka, sepanjang dia kenal isterinya
baru itulah pertama kali dia melihat isterinya ketakutan begitu.
Lebih mengejutkan barulah dia tahu yang isterinya fobia dengan
kucing.
Selama
ini memang dia tak jangka isterinya fobia dengan kucing kerana
isterinya selalu puji kucing seekor binatang yang comel. Nampaknya
dia sudah tertipu dengan perwatakan isternya sendiri. Rasa bersalah
mula menghantui dirinya.
“Wei,”
tiba-tiba bahunya dicuit.
Adam
segera berpaling di sebelahnya. Along, abang sulung isterinya
memandangnya semacam. Sepanjang bergelar suami, inilah pertama kali
dia keluar dengan ahli keluarga isterinya. Sebelum ini, dia hanya
mengenali mereka dari jauh dan jarang berbual kerana masing-masing
sibuk dengan urusan sendiri.
Bagaimanapun
isterinya banyak kali suruhnya menjauhkan diri daripada mereka
berdua. Alasannya, kedua-dua abangnya suka membuli orang. Buli? Belum
lagi dalam sejarah hidupnya kena buli. Siapa yang berani bulinya
memang bernasib malang.
“Along
nak tanya sesuatu ni. Jangan ambil hati ye,” kata Along tiba-tiba.
Adam
mengerut dahi. Pasti ada apa-apa yang tidak kena di mana mereka.
“Dengar
kata sebelum ni kau ada tunang. Along cuma nak tahu, Apy ada buat
apa-apa ke sampai kau putus tunang?” tanya Along bernada sopan.
“Tak,”
jawabnya sepatah. Satu soalan yang diluar jangkaannya. Entah dari
mana mereka dapat tahu tentang hal itu. Setahunya hanya orang-orang
terdekat sahaja yang tahu pasal itu. Kalau mak cik tu ada bercerita
tentang hal ini kepada abang-abangnya pasti takkan timbul salah
faham.
“Habis
tu macam mana korang boleh berpisah?” tanya Along lagi.
“Ikatan
pertunangan tu tak sah sebabnya. Itu hanyalah gelaran yang diberikan
kepada bakal isteri pewaris keluarga Alexander. Memandangkan saya
bukan pewaris sebenar, automatik saya tak ada apa-apa dengan ikatan
tu,” jelas Alex tenang.
“Putus
macam tu saja?” soal Angah pula.
Adam
mengangguk.
“Macam
mana pula dengan perempuan tu?”
“Kami
masih berkawan dan dia juga ada life sendiri.”
“Apy
kenal?”
Sekali
lagi Adam mengangguk. Mananya tidak kenal. Selina dan isterinya sudah
jadi kawan baik. Setiap kali Selina datang ke Malaysia, pasti
keduanya akan berjumpa. Setakat ini mereka berdua tak banyak membawa
masalah kepadanya.
“Along,
kenapa Apy takut dengan kucing?” lantas Adam bertanya.
Inilah
masanya dia mengorek rahsia isterinya.
“Kucing?”
Along mengeluh berat.
“Panjang
ceritanya tapi boleh dipendekkan. Masa kecil dulu, Apy tu memang
pecinta kucing yang setia. Sehinggakan makan dan tidur pun
bertemankan kucing. Pada awalnya kami anggap itu perkara biasa dan
biarkan dia jadi pecinta kucing setia. Tapi semuanya berubah bila
kucing kesayangan dia mati kena langgar depan matanya sendiri. Sejak
tu dia jadi fobia bila nampak kucing. Mula-mula tu lagi teruk. Macam
kena rasuk dengan hantu kucing sampai terpaksa bawa dia pergi
berubat. Selepas berubat, okey sikit tapi masih lagi fobia pegang
kucing...”
“Dia
tak pernah cerita...”
Patutlah
dia lihat Apy sangat takut bila kucing memanjat kakinya tadi. Pada
mulanya memang seronok melihat isterinya menjerit ketakutan tapi bila
melihat wajah isterinya yang pucat, dia lantas mengambil anak kucing
itu dari kaki isterinya.
Tidak
habis di situ, isterinya hampir pengsan kerana ketakutan. Inilah kali
pertama dia melihat muka isterinya pucat bagaikan terjumpa hantu.
Dari awal lagi dia sudah menjangka pasti ada sesuatu yang membuatkan
isterinya fobia dengan kucing. Kalau seseorang itu takut akan sesuatu
sehingga hampir pengsan, itu bermakna pasti ada kenangan hitam di
sebaliknya.
Sebenarnya,
dia ingin bertanya kepada isternya apa yang menyebabkan dia fobia
pada kucing tapi ada satu perasaan menghalang dia bertanya soalan
itu. Mujurlah, dia tidak bertanya.
Tiba-tiba
dia terdengar sesuatu. Lantas dia berpaling ke arah sekumpulan
budak-budak yang sedang bermandi-manda di sungai tidak jauh dari
tempatnya duduk memancing ikan. Melihat mereka sedang bergembira
berenang-renang di dalam sungai, dia terfikir sesuatu.
“Hoi,
nak main-main tu jauh sikit. Habis ikan-ikan lari!” tegur Angah
kepada sekumpulan budak-budak itu.
“Along,
kenapa kita perlu memancing untuk dapatkan ikan? Bukan ke lebih baik
kita terjun dalam ni dan tangkap sendiri guna tangan?” tanya Adam
yang tension apabila tiada satu ikan pun makan umpannya.
Serentak
itu Along dan Angah ketawa terbahak-bahak. Adam mengerut dahi. Dia
memikirkan soalannya tadi. Lucukah?
“Kalau
kau pandai tangkap ikan guna tangan, dipersilakan terjun sekarang,”
balas Angah dan kembali menyambut tawa.
“Okey,”
Adam segera mengangkat batang pancingnya diletakkan di atas batas.
Kemudian dia bangun dari duduknya seraya membuka baju-T.
“Hoi,
kau serius ke?” Along di sebelah pula risau.
Adam
hanya sekadar tersenyum. Belum sempat mereka hendak menghalangnya,
Adam sudah pun terjun ke dalam sungai yang dalam itu.
“Dia
dah gila ke?” Angah sudah risau.
“Agak-agak
dia tahu berenang tak? Biasanya orang bandar ni tak tahu berenang
langsung,” tanya Along pula apabila menyedari adik iparnya tidak
timbul-timbul.
Satu
minit. Dua minit. Tiga minit. Kedua-dua mereka sudah menggelabah dan
tidak tahu hendak buat apa. Empat minit. Masih lagi tidak
timbul-timbul. Mereka sudah terbayang-bayang kejadian yang tidak
diingini.
“Along...
macam mana ni? Budak tu tak reti berenang!” Angah bertambah
menggelabah apabila sudah lima minit berlalu.
“Cepat
minta tolong!” arah Along.
“To...”
baru sahaja dia hendak menghabiskan ayatnya, dia terkejut apabila
melihat adik iparnya muncul di permukaan. Lagi terkejut apabila
ditangannya memegang seekor ikan kalapia yang agak besar. Kedua-dua
mereka saling berpandangan sesama sendiri.
“YA
ALLAH,” ucap Apy Elina yang terkejut dengan keadaan suaminya
yang basah lenjun. Ini tak lain dan tak bukan mesti pergi terjun
sungai. Cuma dia belum pasti lagi sama ada suaminya dengan rela hati
terjun sungai atau ada konspirasi yang di sebaliknya.
“Ini
hasil tangkapan hari ni,” ujar Adam menghulurkan dua baldi besar
yang penuh dengan pelbagai jenis ikan sungai. Sekali lagi dia
terkejut. Jumlah ikan yang banyak begini, seminggu makan pun tak
habis. Tambah lagi kebanyakannya besar-besar pula tu.
“Pergi
mandi sekarang. Awak tahu tak air sungai tu bukannya elok sangat,”
arah Apy Elina yang mula risau.
Tanpa
disuruh buat kali kedua, Adam segera berlalu ke bilik air yang
terletak di luar. Sebaik sahaja suaminya berlalu, matanya memandang
tajam ke arah kedua-dua abangnya.
“Explain,”
ujarnya sepatah tetapi tegas.
“Angah
suruh dia terjun,” jawab Along.
“Aku
berguraulah. Dia yang nak sangat terjun.”
“Hah,
dengar tu. Dia yang nak sangat terjun,” jawab Along tanpa rasa
bersalah.
“Along!”
“Ah,
suami kau tu pandai berenang cuma Along nak tanya sesuatu... Kau
pasti ke yang suami kau tu bukan orang asli?” tanya Along.
“Hah?
Apa punya soalan ni?” Apy Elina mengerut dahi.
Rasanya
semua orang sudah sedia maklum yang suaminya dari keluarga Alexander
yang berpengaruh dan kaya-raya. Mana datangnya idea suaminya dari
keluarga orang asli pula.
“Dia
tangkap ikan tadi guna tangan!” kata Angah seakan teruja
memberitahu hal itu.
“Habis
tu, korang tangkap ikan guna kaki ke?” balas Apy Elina selamba.
Memang sah mereka berdua ada niat hendak membuli suaminya.
“Bukan
tu maksud Angah. Dia... tangkap ikan ni guna tangan!” kata Along
pula. Teruja dan terkejut seperti Angah. Kali ini siap buat gaya
lagi.
“Dia
ada tangan mestilah dia tangkap guna tangan! Aku pun boleh tangkap
guna tangan. Tengok ni,” kata Apy Elina sambil mengambil seekor
ikan dari baldi yang diberikan oleh suaminya tadi.
“So,
puas hati?”
Tanpa
berlengah lagi Apy segera meletakkan ikan itu ke dalam baldi semula
dan berlalu ke dapur dengan membawa hasil tangkapan suaminya.
“Dia
masih tak faham...” keluh Angah.
“Abaikan...
yang pasti kita perlukan plan B!”
haha blur pye apy.. hebat lah adam tgkp ikan guna tgan jer