Pesan Hikayat,
Yang cemburu itu cinta. Yang bercinta itu wajib cemburu.
PAGI
itu, selepas isterinya keluar atas urusan kerja, Adam menerima tetamu
yang tidak dijangka. Wawa, rakan yang sudah lama dia tidak dengar
khabar tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumahnya. Kali terakhir dia
berjumpa dengan Wawa ketika majlis perkahwinannya dua tahun yang
lalu. Selepas berkahwin, dia sibuk dengan keluarga dan kerja manakala
Wawa pula sibuk dengan sambung belajar di luar negara.
“Bercuti?”
tanya Wawa apabila terlihat beberapa buah beg diletak di tepi pintu.
“Boleh
dikatakan. Petang ni kami nak balik kampung.”
“Sejak
bila kau ada kampung?” gurau Wawa.
“Sejak
aku ada isteri yang keluarganya tinggal di kampung,” jawab Adam.
“Oh,”
Wawa mengangguk faham. Terlupa pula yang Adam sudah berkahwin.
Berkahwin dengan bekas jurulatih pula tu. “Mana cikgu? Err…
maksud aku isteri kau.”
“Keluar
uruskan anak-anak buah dia sebelum kami balik kampung.”
“Ah,
aku masih tak biasa lagi. Walaupun cikgu dah jadi isteri kau, tapi
aku tetap nak panggil dia cikgu,” ujar Wawa jujur.
“Samalah.
Aku tetap nak panggil dia mak cik,” balas Adam memahami maksud Wawa
tadi.
Bukan
sahaja Wawa, Izwan juga begitu. Rata-rata yang bekas ahli The Legend
akan memanggil isterinya dengan gelaran cikgu. Memandangkan Apy
memang ada kenangan dengan mereka semua, dia tidak ada masalah kalau
mereka terus memanggil isterinya dengan gelaran cikgu.
“Kau
nak minum apa?” tanya Adam berlalu ke dapur.
“Aku
dah minum masa datang sini tadi tapi memandangkan kau nak buat air,
aku teringin nak minum air yang kau bancuh,” ujar Wawa turut
mengekori rakannya ke dapur.
Tiba-tiba
Adam mencampak sesuatu ke arahnya. Mujurlah dia perasan dan pantas
menangkapnya. Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Sepeket kopi 3
in 1.
“Siapa
kata aku nak bancuhkan untuk kau. Bancuh sendiri kalau kau nak
minum,” ujar Adam selamba.
“Sampai
hati kau layan tetamu macam ni?” Nak tak nak, dia mengambil cawan
yang dihulurkan oleh Adam dan membancuh kopinya sendiri. Macam
selalu.
“Kau
bukan tetamu aku tapi kawan aku,” balas Adam selamba.
“Apa
bezanya tetamu dengan kawan?”
“Tetamu
biasanya akan datang menziarah tapi kalau kawan biasanya akan datang
menziarah dengan membawa hajat tertentu,” jawab Adam sudah dapat
agak akan kedatangan Wawa pagi itu.
“Aku
bukan nak menyusahkan kau…” ujar Wawa teragak-agak hendak
berkata-kata.
“Aku
tak kata kau menyusahkan aku. Kita dah berkawan lama. Aku kenal kau.
Kau takkan datang jumpa aku melainkan kau dah tak ada jalan lain
lagi. Jadi, kau nak aku tolong apa?”
“Beberapa
maklumat. Aku tahu kau arif dalam hal ni,” ujar Wawa sambil
menghulurkan handsetnya kepada Adam.
Handset
beralih tangan. Tidak lama kemudian, Adam mengeluh panjang. Handset
diberikan kembali kepada Wawa.
“Teruk
ke?” tanya Wawa kelihatan risau.
“Kau
patut datang bancuh kopi awal-awal lagi,” jawab Adam serius.
APY
ELINA memberhentikan keretanya di hadapan rumahnya. Matanya
tertarik dengan kehadiran sebuah kereta yang diparking di tepi
rumahnya. Sebelum ini dia tidak pernah lagi melihat kereta jenis itu
berada di situ.
Kawan-kawan
Adam? Lagilah mustahil sebab suaminya itu tidak gemar mempelawa orang
datang ke rumah melainkan sudah kenal lama. Dari dalam kereta dia
menjenguk ke dalam pagar rumahnya. Ada kelibat dua orang sedang
berbual di hadapan pintu. Salah seorangnya adalah suaminya dan
seorang lagi dia tidak dapat cam orangnya. Tapi nampak gaya seperti
seseorang yang dia kenal.
Tanpa
berlengah lagi dia segera keluar dari kereta. Masuk sahaja ke dalam,
matanya terpaku melihat tetamu asing yang misteri itu. Berkerut
dahinya sambil mendekati mereka.
“Hai
cikgu,” sapa tetamu asing itu.
Apy
Elina terkejut.
Tetamu
asing itu panggilnya cikgu. Dalam banyak-banyak lelaki yang dia
kenal, hanya beberapa orang yang pernah dan akan memanggilnya dengan
gelaran cikgu. Siapa lagi kalau bukan pasukan The Legend yang pernah
dilatihnya dahulu. Namun, dia masih tak dapat cam orang yang
menegurnya tadi. Tapi suaranya macam Wawa.
“Wawa?”
soal Apy Elina inginkan kepastian.
Tetamu
asing itu mengukir senyuman sekali dengan anggukkan.
“Wah,
Wawa!” jerit Apy Elina terkejut bercampur gembira.
Sungguh
tak sangka, lelaki di hadapannya itu ialah Wawa. Dia hampir tak
kenal. Mana tidaknya, kali terakhir dia jumpa Wawa semasa hari
perkahwinannya. Sejak itu Wawa hilang khabar berita. Bila jumpa
kembali, dia tengok Wawa sudah lain. Mujurlah dia masih ingat lagi
suara Wawa.
“Cikgu
sihat?” soal Wawa.
“Terlebih
sihat,” Adam pantas tolong jawabkan. Serentak dengan itu, Apy Elina
menjeling tajam.
“Wah,
lama tak jumpa. Tak sangka awak dah makin handsome!” puji
Apy Elin yang sungguh teruja.
“Ehem!”
Alex berdeham kecil.
“Err…
maksud saya, jambang Wawa tu handsome,” ujar Apy Elina dalam
keterpaksaan. Tiba-tiba ada orang cemburu pula.
Tapi
memang betul pun. Jambang Wawa memang handsome. Jambang itulah
yang membuatkan dia langsung tidak cam Wawa pada asalnya. Nasib
baiklah dia masih ingat lagi suara Wawa.
“Mmm…
memandangkan Adam dah cemburu, jadi, lebih baik saya minta diri
dulu,” kata Wawa. Lucu dia melihat mereka berdua yang masih tak
berubah.
Biarpun
sudah berkahwin, bekas jurulatihnya itu masih sama seperti dahulu.
Ceria dan selalu memuji lelaki handsome. Puji depan suami pula
tu. Itulah sebabnya kenapa dia rasa kekok pula apabila bertemu dengan
mereka berdua. Nak bergurau lebih, takut pula. Takut Adam tersalah
sangka.
“Hah?
Nak balik dah? Nantilah dulu. Jomlah kita berbual sambil minum kopi
dulu. Dahlah lama tak jumpa,” Apy Elina cuba menahan Wawa daripada
pulang.
“Mak
cik, dah lupa ke kita nak balik kampung kejap lagi?” celah Adam
mengingatkan isterinya.
Serentak
dengan itu Apy Elina menepuk dahi. Lupa pula tentang rancangan mereka
hendak balik kampung petang ini. Kalau ditunda, gerenti dia kena
dengar ceramah emaknya. Sudahlah dia emaknya berharap dia akan balik
hari ini. Bagaimanapun, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Apatah lagi
Wawa bertegas hendak pulang kerana ada urusan lain yang perlu
diselesaikan.
Tanpa
berlengah lagi Wawa segera meminta diri. Walaupun banyak yang ingin
dibualkan, namun Apy tidak dapat menahan Wawa lagi. Dia hanya melihat
Wawa meninggalkan rumahnya.
“Wawa
nampak lain,” ujar Apy Elina sebaik sahaja kereta Wawa hilang dari
pandangan matanya.
“Nampak
lain? Selain dia ada jambang yang handsome, tak ada apa yang
lainnya,” balas Adam bernada sinis sekali dengan jelingan tajam.
“Pak
cik, bagi saya, ada dua sebab lelaki simpan jambang. Pertama, sebab
dia akan nampak handsome kalau berjambang. Kedua, hidupnya tak
terurus yakni dia ada masalah besar yang melanda dia sekarang. Saya
kenal Wawa. Walaupun saya hanya kenalnya dalam masa yang singkat tapi
saya sangat-sangat pasti yang dia takkan simpan jambang,” terang
Apy Elina begitu pasti dengan firasatnya.
“Walaupun
jambang dia handsome?” tanya Adam lagi.
Kali
ini menekankan perkataan ‘handsome’. Nampak sangat
suaminya langsung tak puas hati atau dengan kata lain, cemburu.
Cemburu tak kena orang. Padahal Wawa juga kawannya.
“Ye.
Dia ada jambang yang handsome. Dan awak pula, lagi handsome
kalau tak berjambang,” balas Apy tersengih-sengih. Tak dapat dia
bayangkan suaminya berjambang. Ah, boleh pengsan dia kalau Adam buat
keputusan untuk berjambang nanti. Bukan apa, dia geli dengan
bulu-bulu di sekitar dagu dan pipi.
“Siapa
cakap abang nak simpan jambang?”
“Ingat
tak kali terakhir saya puji Izwan nampak handsome pakai seluar
kotak-kotak? Apa awak buat lepas tu? Awak borong sedozen seluar
kotak-kotak sampai saya rasa tension tengok kotak tau,” balas Apy
Elina separuh geram.
Memang
dia takkan lupa peristiwa Adam memborong seluar kotak-kotak suatu
masa dulu. Memang parah kalau suaminya cemburu.
“Salah
awak juga. Siapa suruh puji lelaki lain handsome,” ujar Adam
perlahan tetapi Apy Elina yang berada di sebelah tetap mendengarnya
dengan jelas.
“Apa?”
Satu jelingan tajam dihadiahkan kepada suaminya.
Namun,
belum sempat dia hendak berkata, dia teringat sesuatu. Dia sudah lari
dari topik asal. Lantas dilembutkan hatinya serentak dengan mengukir
senyuman manis.
“Apa
hal ni?” tanya Adam tiba-tiba gerun pula melihat isterinya berubah
mood tiba-tiba.
“Awak
nak beritahu saya kenapa Wawa datang tiba-tiba? Dia ada masalah,
bukan?”
“Err…”
Adam hilang kata-kata.
Memang
tepat jangkaannya. Isterinya tentu akan menyoal siasat tentang
kedatang Wawa ke rumah dan akan syak sesuatu. Namun, oleh sebab dia
sudah berjanji dengan Wawa yang dia akan simpan rahsia itu, dia tidak
boleh mungkar janji. Lagipun dia tak mahu isterinya terlibat dalam
hal ini. Silap langkah, boleh membawa bencana.
“Pak
cik…” tajam renungan si isteri merenungnya.
“Okey,
surrender. Jom kita pergi makan roti canai,” ajak Adam.
“Haa…
roti canai…”
Serentak
dengan itu, mata Apy Elina bersinar-sinar. Walaupun dia sudah curi
makan roti canai semasa hendak ke ofis pagi tadi, tapi dia tetap nak
makan lagi. Orang kata, daripada menanti rahsia yang belum tentu lagi
hendak dikongsi, lebih baik layan roti canai. Perut kenyang. Hati
senang!
ADAM
menjeling ke arah isterinya di sebelah yang tidak henti-henti
mengunyah dari sejam yang lepas. Dia yang sedang memandu tidak senang
duduk jadinya. Lepas habis satu keropok, keropok lain pula
dimakannya. Patutlah bawa beg besar letak di hadapan. Rupa-rupanya
satu beg itu penuh dengan makanan ringan. Kalau dia tidak memandu
memang sudah lama dia merampas makanan ringan itu.
“Mak
cik, macam ni ke nak diet?” tegur Adam yang sudah tidak tahan
melihat Apy Elina asyik makan di sebelah.
“Sikit
je,” ujar Apy Elina dan terus mengunyah.
“Sikit?
Cuba kira berapa plastik yang awak habiskan setakat ni?” tanya Adam
tidak puas hati.
Apy
Elina hanya mengukir senyuman. Dia sedar yang dia sudah habiskan tiga
bungkus keropok yang besar. Namun, apa boleh buat. Dia sememangnya
tidak boleh duduk di dalam kereta tanpa buat apa-apa. Kalau dia tidak
mengunyah sudah pasti dia akan tertidur. Adam pula memang pantang
tengok dia tidur dalam kereta.
“Dah.
Berhenti makan,” Adam mengeluarkan arahan.
Kalau
dia biarkan, isterinya itu akan makan sampai tak ingat dunia. Bila
orang tegur dia makin gemuk, marah pula.
“Kalau
saya tak mengunyah nanti saya tertidur. Bila saya tertidur, awak
jangan marah pula,” ujar Apy Elina.
Itu
bukan alasan tapi memang dia terpaksa mengunyah untuk elakkan tidur
dalam kereta. Bila dia tertidur, siapa yang hendak temankan suaminya
memandu. Lagipun Adam memang tak suka orang tidur di sebelah ketika
dia sedang memandu.
“Mak
cik, kita dah nak dekat sampai,” balas Adam.
“Hah?”
Apy Elina terkejut seraya memandang keluar tingkap.
Adam
tidak berbohong. Memang mereka hampir sampai ke kampung halamannya!
Rasanya macam tak percaya sahaja. Dia melihat jam pada radio kereta
yang dinaikinya itu. Hampir pukul 5.00 petang. Patutlah suaminya
tegur dia makan tak henti-henti. Rupa-rupanya baru dia sedar, dia
sudah mengunyah hampir dua jam tanpa henti.
Ah,
habis diet!
Apy
Elina mengeluh panjang.
Tapi,
alang-alang dah termakan banyak, apa salahnya makan lagi! Apy
memandang suaminya yang sedang memandu. Tersengih-sengih bibirnya
seperti kerang busuk. Malangnya, Adam langsung tak perasan. Suaminya
itu masih memandang ke hadapan dan terus memandu.
“Abang
Adammm...” panggil Apy Elina dengan suara yang manja.
“Apa
pula ni?” Adam menjeling sekejap memandang isterinya.
Dia
tahu sangat. Kalau isterinya panggil dengan gelaran Abang Adam, mesti
ada sesuatu yang dimintanya. Itu tak lain tak bukan mesti nak minta
makan.
“Awak
tahu tak, dekat pekan ada satu kedai mamak yang roti canainya sedap,”
Apy Elina memulakan mukadimah.
Tekaannya
memang tepat. Itu tak lain dan tak bukan mesti nak memujuknya belanja
makan roti canai. Roti canai lagi! Agaknya selepas ini dia pun boleh
alergi dengan roti canai.
“Jangan
nak mengada. Bukan ke sebelum bertolak tadi kita dah makan roti
canai?”
“Ala…
Memanglah kita dah makan roti canai tadi tapi tak sama. Kedai dekat
pekan tu lagi sedap. Lagipun bukan selalu dapat makan,” pantas
sahaja isterinya menarik muka masam. “
Adam
mengeluh panjang. Dia memang lemah sikit apabila isterinya tarik muka
masam apabila tak dapat apa yang dihajati. Lebih-lebih lagi kalau
berkenaan makanan. Kalau tidak dituruti merajuk pula. Satu hal lagi,
dia kena memujuk. Namun, bak kata Izwan, lebih baik turutkan sahaja
kalau berkenaan dengan makanan. Lagipun nasib baik isterinya minta
roti canai daripada minta nak makan nasi.
“Yalah,”
jawab Adam akhirnya mengalah.
“Yes!”
serentak dengan itu Apy Elina bersorak gembira.
Inilah
penangannya bila duduk lama di negara orang. Maklumlah di Shanghai,
dia asyik makan nasi, nasi dan nasi! Tengok nasi pun dah jadi muak
tapi tak adalah sampai ke tahap suaminya. Langsung tak boleh makan
nasi.
Bau
nasi pun dah loya-loya. Huh, ini baru sebulan. Yang peliknya, di sini
juga dia makan nasi tapi sejak dia berkahwin dengan Adam, memang dia
jarang makan nasi. Ada kemungkinan suaminya mempengaruhi tabiat
pemakanannya.
Tapi
nasib baiklah dia belum lagi gila dengan burger. Buat masa ini, cuma
gilakan roti canai. Rasa sekali gerenti nak lagi!
“Cakap
apa?” Adam menjeling tajam dengan muka tak puas hati.
Oh
ya, terlupa nak puji Encik Suami.
“Terima
kasih Abang Adam yang baik hati,” ucap Apy Elina dengan penuh sopan
santun.
Adam
mengangguk puas.
“Jom
kita makan roti canai!” sorak Apy Elina dengan kuat sehingga
membuatkan Adam di sebelah turut terkejut.
“Ada
yang kena tinggal tepi highway ni nanti...” jeling Adam tajam.
“Opss...
sorry Abang Adam,” Apy Elina hanya tersengih.
SEJAK
tadi Adam hanya senyap. Matanya tidak berkelip memandang isterinya
yang sedang lahap menikmati roti canai. Roti canai yang kelima untuk
hari ini. Dia dah tak boleh nak kata apa lagi. Sudah banyak kali dia
cuba halang, tetapi isterinya masih lapar. Alasannya, roti canai yang
dimakannya itu bersaiz kecil. Tak puas makan. Akhirnya, disebabkan
isterinya pandai buat muka comel, dia mengalah lagi.
Dia
pun tak tahu sejak bila isterinya minat sangat makan roti canai.
Sewaktu mula-mula mendirikan rumah tangga, dia langsung tak pernah
tengok isterinya makan roti canai. Namun sejak beberapa bulan ini,
selalu sangat isterinya merayu nak makan roti canai.
Pada
awalnya dia turutkan sahaja tapi kalau pagi, tengah hari dan malam
nak makan roti canai, itu memang patut dia risau. Mana tidaknya, nasi
langsung tak disentuhnya. Hanya roti canai setiap hari. Walaupun dia
tak boleh makan nasi tapi dia sangat risau kalau isterinya tak dapat
khasiat yang secukupnya.
“Nanti
kita singgah pasar raya sekejap ya. Nak beli roti,” ujar Apy Elina
dengan masih tumpukan perhatian dengan roti canainya.
“Roti
lagi…” keluh Adam.
Dengar
perkataan ‘roti’ pun dia dah muak. Jangan pula dia alergi dengan
roti sama seperti dia alergi dengan nasi sudah.
“Untuk
awaklah. Hari tu saya terlupa nak borong roti banyak-banyak untuk
awak.”
“Nak
buat apa?”
“Stok
makanan awak la. Dekat kampung ni susah sangat nak cari burger
tengah-tengah malam tau. Kedai banyak tutup awal. Nanti kalau awak
lapar malam-malam, siapa yang susah? Isteri awak juga yang terpaksa
jalan jengket-jengket pergi ke dapur dan rebuskan telur untuk suami
kesayangannya yang tak boleh makan nasi,” kata Apy Elina yang
mengingatkan suaminya kenangan kali terakhir mereka balik kampung.
“Cakaplah
yang sebenarnya dia tu tak reti nak hidupkan api dapur,” balas Adam
dengan nada menyindir.
Serentak
dengan itu, Apy Elina yang tengah mengunyah makan itu tersedak.
Menggagau tangannya mencapai secawan teh tarik yang tinggal suku
sahaja. Adam bertindak pantas memberikan air kosong kepunyaannya.
“Mak
cik…” keluh Adam dengan menggeleng.
“Saya
bukan tak reti nak hidupkan api dapur tapi dapur mak saya tu memang
anti dengan saya ni,” jawab Apy Elina cuba pertahankan diri.
Apa
yang dia kata itu memang betul. Memang selama ini dia ada masalah
dengan dapur emaknya yang sudah bertahun-tahun digunakan. Tiap kali
dia hendak menggunakan dapur itu pasti api dapur tak menyala. Kalau
menyala pun, hanya beberapa saat kemudian padam.
“Alasan…”
Dia mengambil peluang itu dengan mengambil pinggan yang tinggal
sedikit roti canai dan diletakkan jauh daripada isterinya.
“Saya
nak makan lagi,” Apy cuba mengambil pinggannya itu tetapi Adam
pantas mengambil air dan tuang ke atas roti canai itu.
“Awak!”
marahnya.
Dua
pipinya serentak mengembung. Sengaja dikembongkan. Adam tahu sangat,
itu antara cara isterinya membuat muka comel apabila dia tak dapat
apa yang dia inginkan.
“Nak
makan lagi ke nak balik rumah sekarang?” tanya Adam seraya mencubit
kedua-dua pipi isterinya.
“Sakit!”
“Cepat
jawab.”
“Okey.
Okey. Kita balik rumah sekarang,” pantas Apy Elina menyerah diri.
Semakin lama semakin kuat pula pipinya dibuat begitu.
Akhirnya
Adam melepaskan kedua pipi isterinya setelah berpuas hati dengan
jawapan isterinya. ApyElina masih merungut kesakitan. Inilah padahnya
kalau suaminya sudah geram. Pipinya pasti akan menjadi sasaran.
“Tengok,
pipi saya dah gemuk sebab awak,” rungut Apy Elina dengan memegang
kedua-dua pipinya.
“Jom
gerak sekarang,” Adam langsung tak peduli dengan rungutan itu.
Dia
segera bangun dari duduknya dan menghulurkan tangan kepada isterinya.
Tanpa berlengah lagi Apy Elina mencapai tangan suaminya. Kedua-duanya
bergerak bersama-sama ke kaunter bayaran.
“Apy!”
satu jeritan penuh keterujaan menggegarkan restoran mamak itu.
Bukan
sahaja pelanggan yang sedang makan tetapi Apy Elina juga terkejut
apabila disapa dengan begitu kuat. Kelam-kabut Apy Elina dibuatnya.
Dia memandang kiri kanan mencari empunya suara yang memanggil namanya
tadi tetapi sekali lagi dia terkejut apabila dia dipeluk seseorang.
“Oh
Apy. I miss you so much!” ujar seorang wanita yang lebih
kurang bayanya selepas puas memeluk.
“Err…”
Belum sempat Apy Elina hendak berkata-kata wanita itu memeluknya
lagi.
Kali
ini dia peluk dengan kuat sehingga boleh sesak nafas dibuatnya. Kali
ini Apy Elina lantas meleraikan pelukan dan tersengih-sengih
memandang wanita yang langsung tidak dikenali itu. Namun dia tak
segera bertanya. Baginya kalau orang kampungnya menegurnya, mungkin
mereka salah seorang kawan sepermainannya waktu kecil atau kawan yang
pernah bersekolah dengannya. Jadi, dia hanya sengih.
“Gembiranya
aku dapat jumpa kau. Harap kau tak lupa aku kan?” wanita itu
bertanya.
Apy
Elina masih tersengih sekali dengan anggukkan. Sambil itu dia berdoa
agar wanita itu tidak menyuruhnya meneka siapa gerangan orang itu.
Memang dia tak dapat cam siapa gerangan orangnya.
“Kau
apa khabar sekarang?” tanya Apy Elina masih menyapa mesra.
Padahal
dia sengaja bertanya supaya wanita itu tidak menyuruh meneka siapa
orangnnya. Satu hal lagi hendak menggeledah kembali memori lamanya
yang sudah mula hilang akibat perubahan hormon dan penambahan tahun.
“Baik,
sihat dan masih single,” jawab wanita itu sambil bercekak
pinggang seperti mempamerkan badannya yang ramping dan tubuhnya yang
masih bergetah lagi seperti anak dara... tua.
“Ini
suami kau ke?” tanya wanita itu.
Belum
sempat Apy Elina hendak mengiyakan, wanita itu sudah terlebih dahulu
memperkenalkan diri.
“Hai,
saya Fira, kawan baik Apy masa di sekolah,” ujar wanita itu sambil
menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Fira?
Apy Elina cuba menggeledah memorinya. Nama itu begitu asing dalam
hidupnya seolah-olah dia tak pernah ada kawan bernama Fira atau
dipanggil Fira. Memang dia yakin dia tiada kawan bernama Fira kerana
di sekolah dahulu kawan perempuannya boleh dikira.
“Hai,
selamat berkenalan,” balas Adam tetapi tidak segera menyambut
tangan itu. Namun tangan itu tetap dihulur seolah-olah memaksanya
menyambut salaman itu.
“Sorry,
tangan kanan saya full,” balas Adam sambil mengangkat
tangannya yang erat memegang tangan isterinya.
“Takkan
tak boleh lepaskan kot,” selamba sahaja wanita itu membalas.
Tangannya itu masih dihulurkan.
Apy
Elina di sebelah mula tak selesa. Dia mula rasa lain macam dengan
wanita yang mengaku kenalnya itu. Tanpa berlengah lagi dia segera
melepaskan tangan daripada pegangan suaminya dan menyambut tangan
wanita bernama Fira itu. Terkejut Fira dibuatnya.
“Aku
sambut salam ni buat suami aku,” kata Apy Elina. Kesempatan itu
diambil oleh Adam membayar makanan mereka tadi di kaunter yang tidak
jauh dari situ.
“Apa
kau dah buat dengan suami kau tu sampai dia takut dengan bini?”
tanya Fira selamba. Pedas. Macam sengaja nak buat Apy Elina terasa.
Namun,
Apy Elina hanya membalas dengan senyuman. Tak ada maknanya dia hendak
terasa dengan kata-kata perempuan itu. Itu namanya kata-kata terdesak
oleh seseorang yang tak dapat apa yang dia dapat.
“Err…
aku nak balik dulu. Mak aku tengah tunggu kat rumah sekarang ni,”
kata Apy Elina apabila melihat suaminya sudah selesai membayar.
Namun, belum sempat dia hendak melangkah, Fira menarik tangannya.
“Aku
nak tumpang.”
“Hah?”
“Kau
ni, dah lupa ke rumah aku tak jauh dari rumah kau. Tadi aku datang
dengan adik aku, tapi sekarang entah ke mana dia pergi. Aku call
tak jawab. Jadi, aku tumpang ya,” lantas wanita itu melangkah.
“Ehhh…
tak boleh,” lantas juga Apy Elina menarik wanita itu daripada terus
mara menghampiri keretanya. “Kami ada hal sikit dan tak dapat nak
tumpangkan kau. Jadi, kau balik sendiri ye,” ujar Apy Elina dan
segera melangkah laju menghampiri masuk ke dalam keretanya.
“Cepat
pandu!” arah Apy Elina sebaik masuk dalam kereta apabila menyedari
rakannya itu mengejarnya dari belakang.
Serentak
dengan itu, suaminya segera memasukkan gear dan memandu meninggalkan
kedai itu. Dari cermin kereta, Apy Elina melihat kelibat wanita tadi
cuba mengejar keretanya.
“Huh,
gila betul minah tu,” keluhnya lega. “Awak, kita terus balik
rumah jelah. Takut pula kalau terserempak dengan dia lagi.”
“Bukan
ke dia kawan awak?” tanya Adam.
“Saya
tak ada kawan macam tu.”
“Habis
tu macam mana dia kenal awak?”
Apy
Elina mengangkat bahu. “Mungkin dia budak kampung sebelah.”
“Tapi
dia kata dia kawan sekolah awak.”
“Huh,
mengarut. Masa zaman sekolah hanya Nabila yang berani berkawan dengan
saya. Kebanyakan pelajar perempuan yang lain anti dengan saya. Siap
mereka diam-diam tubuhkan kelab ‘Kami benci Apy Elina’.”
“Kenapa?
Awak cantik sangat ke?”
“Cantik
tu satu hal. Comel pun satu hal. Tapi yang buat mereka anti sangat
dengan saya sebab saya rapat dengan budak-budak lelaki yang menjadi
jejaka pilihan diorang. Jadi, sila jangan cemburu,” balas Apy Elina
dengan penuh bangga.
Adam
mengeluh panjang. Baru sahaja dia ingin memerli isterinya tapi dia
pula yang terkena. Hampir dia terlupa, isterinya itu memang tak
teragak-agak untuk memuji diri sendiri.
“Kenapa?
Awak cemburu?” tanya Apy Elina.
“Huh,
tak heran. Suami awak ni lagi hebat. Abang boleh buat satu sekolah
tunduk dengan abang. Tak kira lelaki atau perempuan,” balas Adam
turut berbangga.
“Sebab
masa tu awak Adam Alexander!” Apy Elina menjeling tajam. Bercakap
dengan suaminya memang dia takkan menang punya. Ada sahaja yang
dibalas oleh suaminya.
“Jadi,
kita seri!” balas Adam.
“Okeylah,
seri pun serilah…” Apy Elina terpaksa mengalah.
Kereta
yang dipandu oleh suaminya mula memasuki pekarangan rumahnya. Masuk
sahaja, dia terpandang dua buah kereta turut diparkir di situ. Dia
kenal kedua-dua kereta itu.
Serentak
dengan itu, tubuhnya dilanda seram sejuk. Kemudian, dari dalam kereta
dia melihat dua kelibat orang lelaki keluar dari rumahnya. Sekali
lagi bulu romanya meremang.
“Habislah…”
suaranya tergetar-getar.
“Kenapa?”
tanya suaminya di sebelah apabila melihat si isteri seakan baru
melihat hantu.
Perlahan-lahan
Apy Elina memandang suaminya. Habislah. Dia sudah dapat bayangkan apa
yang akan terjadi pada suaminya selepas ini. Dua abangnya itu pasti
takkan lepaskan suaminya dengan mudah.
“Pak
cik, I love you. Walau apa pun saya tetap akan menyokong awak.
Jadi, bertabahlah!”
Adam
mengerut dahi. Apa hal pula ni?
Tak suka fira! Nyebok je dye. Apy and Adam sweet with their own way! Nak lagiiiii