Pesan Hikayat,
Cinta itu indah, hanya jika seseorang itu berusaha mengindahkannya.
“HAH,
ni mesti baru bangun tidur ni. Isteri jenis apa kau ni?” lantang
suara itu memarahinya sebaik sahaja dia menjawab panggilan telefon
pagi itu.
Mendengar
sahaja suara itu, Apy Elina sudah tahu siapa yang berada di talian
sekarang. Suara siapa lagi yang lantang membebel kalau bukan suara
emak sendiri. Kalau anak tak cam suara emak sendiri, memang sah patut
kena pancung la jawabnya.
“Mana
ada. Apy baru saja habis layan Power Rangers tadi. Lagipun sebulan
duduk kat negara orang, payah sikit nak suaikan dengan waktu di
Malaysia,” jawab Apy Elina sambil berlalu ke dapur dan membuka peti
ais.
Dia
mengeluh lemah. Peti ais kosong! Hanya ada satu burger. Itu pun dia
tak pasti berapa lama burger itu berada di dalam peti ais. Agaknya
sudah sebulan lebih iaitu, sebelum dia bertolak ke Shanghai bulan
lepas. Selepas tiada apa-apa di dalam, dia menutup pintu peti ais
itu.
“Alasan...
Bila nak balik sini?” tanya emaknya seakan arahan. “Jangan nak
bagi alasan sibuk lagi!”
Ah,
baru saja dia nak bagi alasan itu. Emaknya macam tahu-tahu yang dia
diberi cuti selama seminggu sebelum kembali ke tempat kerja.
“Tahu.
Nanti, Apy baliklah,” jawabnya berbelah bahagi.
Bukan
dia tak mahu balik. Bukan juga dia dah lupakan emaknya di kampung
sana tapi buat masa ini dia belum ada kekuatan lagi nak pulang ke
sana. Mana tidaknya, setiap kali pulang mesti dia dilanda rasa
bersalah.
Pertama,
dia bersalah terhadap suaminya, Adam yang terpaksa makan nasi. Sudah
banyak kali dia beritahu emaknya yang Adam tak boleh makan nasi tapi
dipaksa-paksa pula. Suaminya pula, jenis yang cepat mengalah bila
berhadapan dengan orang tua. Kesudahannya, bila balik KL, Adam mesti
demam seminggu. Memang cari nahas betul pak cik tu.
Kedua,
dia tak suka cara saudara-maranya yang ingin mendekati Adam.
Kebanyakan mereka tahu yang Adam adalah usahawan berjaya. Jadi, bila
mereka balik, pasti rumahnya akan dikunjungi saudara mara atau jiran
tetangga yang ingin meminta pertolongan Adam.
Ada
satu kes, jiran sebelah-sebelah rumahnya ingin jadikan suaminya
sebagai menantu. Manalah tak angin satu badan. Cakap depan-depan pula
tu. Yang anak daranya pula jenis yang pandai menggoda. Suami orang
pun dia sanggup. Asalkan berharta. Nasib baiklah Adam jenis yang
setia.
Ketiga,
dia paling tak tahan apabila orang asyik bertanya, “Bila lagi nak
bertiga?”; “Bila lagi nak ada anak?” tapi yang paling buat dia
angin satu kepala bila orang tanya, “Kau ni mandul ke?” dan
bermulalah kebimbangan Puan Fatimah. Sanggup cari ustaz untuk
dapatkan air penawar supaya permudahkan cara anak perempuannya ini
untuk mendapatkan zuriat.
Pendek
kata, balik kampung boleh stres jadinya!
“Nanti
tu bila?” tanya Puan Fatimah tak sabar-sabar lagi. Kali ini nampak
macam terdesak.
“Insya
Allah, Apy balik dalam masa terdekat ni,” jawabnya sopan. Takkan
nak kata tak nak balik pula. Dia tak mahu jadi anak derhaka.
“Mak
tak kira, kau kena balik juga minggu ni!”
“Hah?
Minggu ni? Minggu ni tak bolehlah mak. Sibuk. Apy kena siapkan
laporan dulu. Adam pulak...”
“Ah,
laporan tu boleh tunggu. Suami kau tu kerja sendiri, bukannya kerja
dengan orang lain!”
Apy
Elina menggaru kepalanya yang tidak gatal. Ah, susah macam ni. Dia
sudah kebuntuan idea untuk mencipta alasan bagus. Emaknya bukan
calang orang. Walaupun belajar sampai darjah tiga, tapi jangan harap
emaknya akan termakan dengan setiap alasannya.
“Yalah,
Apy balik minggu ni,” akhirnya dia terpaksa mengalah. Bertahanlah
wahai suamiku!
“Suami
kau mana? Tidur lagi?” soal emaknya mengubah topik setelah berpuas
hati dengan jawapannya tadi.
“Ada
kat atas tu. Tengah mandi. Dia baru je habis joging tadi,” jawab
Apy Elina.
“Mmm...
baguslah. Kuatkan stamina tu supaya senang nak dapat anak…”
“Mak...”
pantas Apy Elina memotong apabila dapat menangkap maksud emaknya itu.
“Alah,
kau tu bukannya anak dara lagi.”
Apy
Elina mengurut dahinya. Boleh pening kepala melayan kerenah emaknya
itu. Bukan itu sahaja, pipinya pun terasa macam terbakar bila hal itu
diungkit.
“Ingat,
balik jugak minggu ni. Kalau tak... mak yang pergi sana!” ujar
emaknya seakan mengugut. Mahu atau tidak, Apy Elina terpaksa berjanji
akan pulang ke kampung dalam minggu ini juga. Bila emaknya berpuas
hati, barulah perbualan itu ditamatkan. Nampaknya memang dia tiada
pilihan lain.
Ganggang
telefon diletak di tempat asal. Dia memegang perutnya. Lapar.
Walaupun sudah bedal lima keping roti canai pada tengah malam tadi
sewaktu tiba di Malaysia, tetapi dia tidak rasa cukup. Inilah
masalahnya kalau suami sendiri tak boleh makan nasi. Dengan dia
sekali tak boleh makan nasi.
Tapi
yang untungnya, dia tak seperti suri rumah tangga lain yang akan
pening kepala memikirkan apa yang nak dimasak.
Tanpa
berlengah lagi dia segera mendaki anak tangga. Buka sahaja pintu
bilik, membuatkan dia bercekak pinggang.
“Ya
Allah. Dia tidur lagi rupanya!” Tanpa berlengah dia segera
mendekati katil dan mengejutkan Adam yang sedang dibuai mimpi.
Patutlah dia tidak mendengar air, rupanya selepas Adam joging tadi
dia terus kembali ke katil.
“Bangunlah,”
tangan Adam ditarik. Dia tahu suaminya itu belum lena lagi. Sengaja
pejam mata dan berpura-pura tidur. “Bangunlah... Jom kita pergi
cari makanan. Dalam peti ais langsung tak ada makanan tau!”
“Bukan
ke ada burger dalam tu,” jawab Adam membuka sedikit matanya.
“Itu
burger zaman bila la tu. Cepatlah bangun,” Apy Elina cuba menarik
suaminya bangun dari katil tetapi tubuh Adam tidak bergerak satu inci
pun.
“Mak
cik, orang kata, kita kena pandai gunakan masa cuti dengan mencutikan
diri sendiri,” jawab Adam dan kembali menarik selimut.
“Memanglah
tapi masalahnya bukan senang kita berdua nak dapat cuti serentak.
Bukan senang saya nak dapat cuti dan bukan senang juga awak nak
mencutikan diri sendiri daripada kerja ofis yang tak
henti-henti tu. Bila dah cuti begini, buat cara cuti bukannya tidur
tak ingat dunia,” Apy Elina sudah mula membebel.
“Mak
cik, terasa macam dah telinga ni tak dengar awak membebel,” ujar
Adam sambil tersenyum.
Sudah.
Dia senyum pula! Kalau dulu, punyalah payah dia hendak lihat senyuman
Adam. Muka asyik serius sepanjang masa. Tapi bila sudah berkahwin,
boleh dikatakan hari-hari dia lihat suaminya senyum. Cuma satu,
senyuman hari ini agak lain daripada yang lain. Macam senyuman mat
romeo gatal pun ada. Membuatkan dia berasa seram pula. Seram sampai
ke tulang! Jadi, sebelum terjadi apa-apa baik dia lari dulu!
Namun,
belum sempat dia hendak berbuat apa-apa, Adam terlebih dahulu
menariknya tubuhnya ke katil. Kini, kedua tangan Adam sudah meliliti
tubuhnya membuatkan dirinya tak ubah seperti bantal peluk.
Apy
Elina hanya diam dalam pelukan. Sepanjang jadi isteri Adam, dia
banyak memahami lelaki itu. Orangnya memang payah sikit nak meluahkan
kata-kata cinta. Rindu macam mana pun dia ada cara tersendiri untuk
beritahu. Bukan dengan kata-kata manis yang boleh bagi orang kencing
manis. Walau harga gula naik pun, dia punya gula ditahap yang sama.
Sudah tentu hidup akan bebas daripada terkena penyakit kencing manis.
Bagi
Apy Elina, dia tak kisah dengan semua itu. Awal-awal lagi dia sudah
tahu macam mana perangai Adam. Malah, awal-awal lagi waktu dia
mengenali suaminya itu, memang dikutuknya habis-habisan. Baginya Adam
seorang yang ego, tak berhati perut, menjengkelkan, anak orang kaya
yang angkuh. Pendek kata semua watak jahat ada pada Adam.
Tapi
entah macam mana dan entah di mana silapnya, hatinya terjelapuk
jatuh. Dia sendiri pelik. Punyalah banyak lelaki dalam dunia ini,
lelaki yang pernah dianggap musuh juga yang mencuri hatinya.
Orang
kata dia mata duitan. Dia mahu hidup senang dan sebab itulah dia
memilih untuk bersama dengan Adam seumur hidup. Padahal, dia juga
tercari-cari sebab utama kenapa dia tak boleh tolak pinangan Adam.
Lima tahun menyimpan rasa. Maklumlah, dia perempuan. Takkan nak jadi
macam perigi cari timba. Tambah pula umurnya lima tahun lebih tua
daripada Adam. Sudah tentulah orang akan kata dia gatal. Dia juga tak
pernah tahu perasaan Adam.
Adam
bukan jenis mat romeo yang sentiasa berkepit dengan perempuan. Nak
tengok dia keluar dengan perempuan pun payah. Sampai ada gosip
mengatakan Adam gay. Dia pun hampir percaya juga. Susah nak tahu isi
hati Adam ketika itu.
Selepas
lima tahun barulah dia dapat tahu jawapannya. Itu pun dia terlampau
lembab sangat sebab pegang ‘cincin lamaran’ tanpa tahu itu adalah
lamaran. Dia bukannya bodoh sangat tapi siapa yang akan tahu kalau
tulis lamaran di atas bola keranjang dengan tulisan cina? Lima tahun
dia simpan bola itu. Mati-mati ingat itu betul-betul Adam punya
tandatangan.
Agaknya
itulah jodoh yang telah ditetapkan, dia terjumpa sepasang suami
isteri berbangsa Cina yang terjumpa bola itu. Mereka yang tolong
terjemahkan. Waktu itu fikirannya jadi kosong. Hanya dia fikir adalah
jumpa Adam dan terima lamaran itu.
Dan
kini sudah setahun kejadian itu berlalu. Setahun juga dia menjadi
isteri Adam yang sah…
“Siapa
telefon tadi?” tanya Adam sekali gus mengejutkan dia dari lamunan.
“Mak.
Mak suruh kita balik minggu ni,” jawab Apy Elina dengan rasa serba
salah.
“Mmm...
okey. Kita balik sajalah.”
Apy
Elina melepaskan keluhan berat. Dia memusingkan badannya supaya
menghadap suaminya. Wajah Adam yang selalu dipuja handsome oleh
wanita-wanita miang ditatap sepuas-puasnya. Tiba-tiba Adam jadi
handsome pula. Tapi kalau dia kena makan nasi lagi handsome! Cuma,
dia sebagai isteri tak sampai hati pula melihatnya.
“Awak
tak takut kena makan nasi?” tanya Apy Elina yang penuh risau.
“Lebih
baik makan nasi daripada mak awak makan hati,” balas Adam.
“Tapi...”
“Jangan
risaulah. Lagipun kita dah lama tak balik, bukan?” pujuk Adam.
“Serius?”
tanya Apy Elina lagi untuk kepastian.
“Serius.
Lagipun dah lama tak bercuti kat kampung,” jawab Adam macam teruja
pula.
Lantaklah.
Apy
Elina mengeluh lega. Beban yang ditanggung terasa ringan sedikit demi
sedikit. Hatinya berbelah bahagi sebenarnya. Dia rindukan mak di
kampung tapi dalam masa yang sama tak nak mak buli suaminya.
Maklumlah
Adam bukan calon utama maknya. Menurut Along, mak ada calon lain tapi
bila berita dia terima lamaran Adam disiarkan secara live seluruh
Malaysia (terima kasih kepada Leo yang juga anak kepada pengarah
station televisyen), jadi nak tak nak mak pun terpaksa terima.
“Jangan
menyesal tau,” awal-awal lagi dia bagi amaran.
Orang
kata, tidak elok membantah cakap suami. Kalau Adam sudah setuju, dia
pun setuju. Perasaan takut memang ada tetapi apakan dayanya, dia
masih ada emak dan keluarga lagi. Dia tidak mahu menjadi anak
derhaka. Cuma, dia berharap Adam mampu bertahan!
Apy
Elina menguap lemah. Matanya yang segar tadi mula layu. Tahu sangat
dah dengan matanya itu. Inilah yang dikatakan kuasa pelukan hangat
suami. Mata yang tak mengantuk pun boleh jadi mengantuk. Perut lapar
pun dia tak peduli lagi. Yang pasti, pelukan itu membolehkan dia
ingin tidur sebentar…
SHOPPING!
Rasa
macam baru kahwin pun ada bila dapat shopping barangan dapur
bersama-sama Adam. Sebulan duduk di negara orang, berpisah dengan
suami, walaupun ada teknologi canggih yang boleh menghubungkan yang
jauh supaya dekat tapi semua itu tak dipraktikkan pun.
Adam
bukan jenis lelaki yang akan membazirkan masa dengan bergayut di
telefon lama-lama apatah lagi sekejap. Harap telefon sahaja canggih.
Ada LINE, WhatsApps, WeChat dan seangkatan dengannya tapi semua itu
langsung tak pernah digunanya. Install semua aplikasi itu sebagai
perhiasan sahaja.
Kalau
perempuan lain memang sudah hilang sabar, sudah fikir yang
bukan-bukan tentang suami di Malaysia tapi bagi Apy, dia percaya Adam
seperti mana Adam percayakannya. Lagipun dia boleh tahu banyak berita
tentang Adam melalui Facebook kawan-kawan Adam yang juga bekas anak
buahnya semasa dia menjadi jurulatih The Legend.
Adam
pula ada cara tersendiri untuk tahu perkembangannya di Shanghai.
Sungguhpun Adam tak beritahu tapi dia boleh agak. Sebelum berkahwin
dengan Adam, dia sudah tahu tentang keluarga Alexander yang terkenal
satu benua China. Mana-mana dia pergi, mesti akan nampak
‘penjaga-penjaga’ terhormat yang sentiasa mengawasinya. Walaupun
rimas tapi dia tahu, itu untuk keselamatannya juga. Tak guna dia
bertekak dengan suami sendiri tentang hal itu. Asalkan ‘orang-orang’
Adam itu tak mengganggu urusannya di sana.
“Kenapa
kau nak susah-susah sangat bekerja? Suami kau tu tak mampu ke nak
sara kau?” tanya Puan Fatimah tak lama dulu.
Betul.
Adam mampu menyaranya. Lebih daripada mampu. Dia juga tak perlu
bekerja sebenarnya. Macam perempuan semalam cakap. Kalau kahwin
dengan Adam gerenti tak payah susah payah bekerja. Setiap bulan pergi
shopping. Setiap tahun boleh pergi melancong di luar negara.
Tapi masalahnya dia sendiri yang tak boleh duduk rumah macam suri
rumah tangga yang lain.
Bukannya
dia tak pernah mencuba. Dulu, selepas berkahwin dia pernah jadi suri
rumah tangga sepenuh masa. Sebelum itu juga memang dia tak bekerja
sejak balik dari luar negara. Jadi suri rumah tangga memang
membuatkan hidupnya dilanda kebosanan dan dia hanya mampu bertahan
selama tiga bulan. Selepas itu, dia minta izin untuk bekerja semula.
Mujurlah
Adam juga memahami. Kebetulan pula Adam perlukan seseorang untuk
uruskan pusat sukan. Lantaklah orang kata apa. Dia gila kuasa ke atau
tamak ke, asalkan dia tak perlu duduk rumah goyang kaki. Lagipun
sukan dengan hidupnya memang tak boleh dipisahkan.
Selepas
beberapa bulan, datang pula wakil daripada kementerian meminta
bantuannya untuk menjadi penasihat bagi pasukan bola keranjang remaja
kebangsaan. Memandangkan minatnya masih sama dan Adam pun tidak
menghalang, dia menerima tawaran itu.
Kerjanya
menjadi berganda. Seperti baru-baru ini dia terpaksa bertolak ke
Shanghai kerana menghadiri kursus selama sebulan lebih. Dia bersyukur
kerana Adam sering memberikan sokongan kepadanya.
Adam
pula semakin terkenal setelah menceburi dunia korporat. Kerjanya
sentiasa bertimbun. Lebih-lebih lagi apabila melabur dalam sektor
perhotelan. Semuanya bermula apabila mereka menginap di sebuah hotel
semasa menghadiri majlis perkahwinan rakan Adam. Adam merungut kerana
keadaan hotel yang mengecewakan. Rupa-rupanya setelah berkahwin
dengan Adam barulah dia tahu yang Adam kuat merungut juga. Kalau ada
yang tidak kena dengan apa yang dia usahakan/dapat, mesti ada sahaja
yang akan dipersoalkan.
Tapi
apa yang Adam rungut itu betul juga. Booking bilik standard
tapi bila sudah datang tiba-tiba cakap bilik itu sudah habis. Yang
tinggal hanyalah bilik paling mahal. Bilik orang berbulan madu. Itu
satu hal. Bila sudah masuk bilik itu, banyak masalah pula. Tiada air
panas, penyaman udara rosak dan macam-macam lagi. Jadi, bermulalah
rungutan Adam yang tidak puas hati.
“Apa
kata awak melabur dalam perhotelan. Setiap negeri mesti ada hotel
sendiri. Jadi, tak adalah timbul masalah macam ni,” kata Apy Elina.
Apy
Elina ingat lagi kata-katanya yang ingin menutup mulut Adam daripada
terus merungut. Terus Adam berhenti merungut dan seminggu kemudian
Adam beritahu rancangannya hendak melabur dalam perhotelan. Terkejut
tidak terkata dibuatnya.
Bila
bercerita kepada Melissa, dia pula kena gelak.
“Adam
tu, pantang dicabar. Kadang-kadang tu orang bergurau saja dengan dia
tapi dia betul-betul sahut cabaran tu. Apa boleh buat, dia didik
untuk jadi pewaris Empayar Alexander, walaupun dia bukan lagi Adam
Alexander tapi dia tetap orang yang sama,” kata Mellissa.
Sejak
itu, Apy Elina berhati-hati berkata dengan suaminya. Mana tahukan,
kalau dia terkata hendak pergi melancong ke angkasa lepas, bukan ke
cari penyakit. Boleh botak kepala Adam memikirkan bagaimana cara
hendak melancong ke angkasa lepas.
“Mak
cik, ikan-ikan tu buat tarian tango ke sampai tersenyum seorang diri
ni?” tegur suara Adam sekali gus mengejutkan Apy Elina daripada
lamunan.
Baru
dia tersedar yang dia sudah lama termenung. Hisy, pelik betul. Sejak
pulang dari Shanghai ligat pula dia menggeledah memori lama.
Tanpa
berlengah lagi, dia memasukkan ikan-ikan yang ingin dibelinya tadi ke
dalam beg plastik. Setelah menimbang ikan-ikan itu, dia berlalu
mendapatkan suaminya yang sedang memilih daging ayam. Terus kaget
dibuatnya apabila melihat troli.
Ya.
Dia tahu. Itu pasti trolinya. Rasanya belum pernah lagi dia nampak
orang borong daging burger satu troli. Hanya Adam yang akan buat
begitu.
“Pak
cik, sejak bila kita ada bela buaya ni?” tanya Apy Elina menyindir.
“Dah
sebulan abang tak makan burger,” balas Adam dengan muka tak
bersalah.
“Habis
tu awak makan apa? Awak jangan nak tipu. Kawan-kawan awak ada banyak
upload gambar awak tengah ratah burger lepas main bola
keranjang,” kata Apy Elina sambil memandang suaminya dengan tajam.
“Itu
burger tepi jalan… burger masak sendiri lain…”
“Tak
ada yang lain. Sama je! Pergi letak balik. Ambil dua bungkus sahaja.”
“Mak
cik, bukan nak makan semua sekali gus. Boleh dijadikan stok dalam
peti ais,” balas Adam.
“Hah,
yelah tu. Awak sedar tak yang peti ais di rumah kita tu kecik saja?
Mana cukup nak sumbat semua ni!” geram Apy Elina dibuatnya.
“Apa
kata kalau kita beli peti ais baru?” cadang Adam.
“Kita
baru je beli peti ais 6 bulan yang lepas, wahai abang sayang,”
balas Apy Elina lembut tetapi tegas. “Letak balik cepat.”
Adam
mengeluh. Nak tak nak, dia terpaksa mengambil beberapa plastik daging
burger dan keluarkan dari troli mereka. Apy Elina hanya menggeleng
melihat suaminya meletakkan kembali bungkusan demi bungkusan burger
yang hampir habis diborongnya.
Ini
antara salah satu sebab kenapa dia tak suka Adam pergi shopping
sendiri. Beli barangan dapur macam nak buat kenduri tujuh hari tujuh
malam! Padahal hanya mereka berdua di rumah. Peti ais pun semakin
lama semakin besar ditukarnya.
Dia
ingat lagi, Adam pernah merungut kerana peti ais mereka kecil dan
susah hendak menyumbat stok makanan. Memandangkan masing-masing sibuk
dan selalu membeli stok makanan yang banyak, Apy Elina pun setuju
untuk membeli peti ais yang lebih besar sedikit. Tapi, itu pun masih
tidak cukup bagi suaminya.
Satu
hal lagi, Adam memang kuat makan. Tapi walaupun banyak makan,
badannya tidak pernah naik. Mungkin sebab Adam mengamalkan senaman
setiap hari. Walau betapa sibuk pun Adam tetap akan meluangkan masa
pergi ke gim pusat sukan yang mereka usahakan. Malah, rumah mereka
juga terdapat mini gim.
Cuma
Apy saja yang takut hendak makan makanan begitu. Kalau dia makan,
gerenti berat badannya naik. Ini yang buat dia cemburu dengan Adam.
Walaupun dia bukanlah seorang yang pentingkan rupa bentuk tubuhnya
tetapi dia pentingkan kesihatannya.
“Eh,
mana pula pak cik ni?” tanya Apy Elina sambil memandang jam
tangannya.
Setelah
beberapa minit berlalu, Adam masih tak kembali-kembali lagi. Ini yang
menyebabkan Apy Elina berasa susah hati. Sesatkah? Mustahil. Hutan
rimba yang tebal pun suaminya mampu cari jalan pulang, mustahil boleh
sesat dalam pasar raya yang biasa mereka kunjungi. Tanpa berlengah
lagi dia segera berlalu ke bahagian makanan beku.
Sampai
di sana, tiada langsung kelibat Adam kelihatan. Apy Elina mula
menggelabah. Bukan sebab dia takut Adam hilang tapi takut Adam buat
idea gila. Mana tahukan dia pergi beli lebih banyak burger tanpa
pengetahuannya macam beberapa bulan yang lepas.
Punyalah
satu pasar raya dia mencari Adam, akhirnya dia dapat panggilan
suaminya itu sudah menunggunya di depan pintu pasar raya. Kelam-kabut
dia membayar, bila keluar, tersengih-sengih suaminya sedang pegang
troli yang banyak dengan stok burger. Masa itu jugalah mereka
terpaksa tukar peti ais. Harap-harap tak berlaku lagi kali ini.
Baru
dia hendak memusing mencari suaminya, langkahnya terhenti apabila
terpandang seseorang di satu sudut. Kelihatan suaminya sedang memujuk
seorang budak lelaki yang sedang menangis barangkali tidak menjumpai
ibu bapanya. Apy hanya tengok kejadian itu dari jauh. Bukan senang
dia hendak tengok suami sendiri melayan budak kecil.
Setelah
puas memujuk, akhirnya budak itu berhenti menangis. Ketika itu
hatinya tersentuh dan sekali gus teringat akan perbualan dia dengan
emaknya yang bertanyakan tentang status rumah tangganya. Apa lagi
kalau bukan pasal anak.
“Mak
bukannya apa, mak risau dengan kau tu. Orang kata, kalau ada anak
menguatkan hubungan rumah tangga. Suami kau tu bukan calang-calang
orang. Bila dia petik je jari, bukan sahaja 10 orang datang tapi
lebih. Dah tu, dia muda lagi dari kau. Kau tak takut ke kalau
tiba-tiba dia cari yang lain?”
Soalan
emaknya hanya tinggal soalan. Dia tidak berani hendak menjawab. Kalau
dulu bolehlah dia loyar buruk sikit. Tapi bila melibatkan soal hati
dan masa depan rumah tangga, memang dia tak berani berloyar buruk.
Takut nanti terjadi, boleh merana hidup. Lagipun urusan begini tidak
boleh bawa main. Setiap percakapan kita seperti doa.
Namun,
apa yang emaknya kata memang ada benarnya. Tapi, apakan dayanya kalau
dia ditakdirkan belum ada rezeki hendak menimbang cahaya mata. Lagi
menyakitkan hati apabila saudara maranya buat mulut yang bukan-bukan.
Sehinggalah
emaknya pergi ke sana sini cari bomoh dan ahli agama yang lain. Sebab
itulah dia jarang hendak balik kampung. Malangnya tiada siapa faham
apa yang dia dan Adam lalui. Mereka hanya pandai bertanya dan
menyimpulkan sesuatu yang tidak masuk akal sehingga melukakan hatinya
dan Adam juga.
Tiba-tiba
dia tersedar daripada lamunannya apabila menyedari suaminya menyeka
sesuatu pada matanya. Air mata? Entah bila dia menitiskan air mata
pun dia tak sedar. Tak sangka begini hebat ujian orang berumah
tangga. Masalah yang dirasakan kecil sahaja dahulu, boleh buat dia
menitiskan air mata tanpa sedar.
“Dah,
jangan nangis. Jom kita pergi makan ais krim,” pujuk Adam. Sungguh
rock betul pujukkannya. Hai, bilalah pak cik ini nak jadi suami
romantik?
“Ais
krim? Pak cik, awak ingat saya ni minah cintan? Minah cintan pun tak
layan ais krim tau sekarang ni,” balas Apy Elina cuba mengawal
emosinya.
“Habis
tu?”
“Nak
roti canai.”
“Bukan
ke semalam awak dah bedal lima keping?”
“Tak
cukup…” nada Apy Elina lembut dan manja. Kena tukar nada kalau
tidak pasti suaminya takkan layan.
“Tahulah
kat Shanghai tu susah nak cari roti canai tapi takkanlah sampai macam
tu sekali mengidamnya. Bagi idea lain.”
“Nasi
kandar?” cadang Apy Elina.
Serentak
dengan itu Adam memandang isterinya. Dia tahu sangat dengan taktik
itu. Mana tidaknya, dari dulu lagi Apy Elina memang suka gunakan
taktik itu supaya dia patuh dengan permintaan isterinya itu.
“Roti
canai atau nasi kandar? Pilih sekarang,” ugut Apy Elina lagi.
“Okeylah.
Roti canai,” Adam mengalah. Loya tekaknya apabila mendengar
perkataan ‘nasi’. Itu baru dengar, belum lagi tengok isterinya
makan lagi. Kadangkala dia pun tak faham kenapa sampai begitu sekali
dia alergi dengan nasi.
“Yes!”
Apy Elina melompat sambil bersorak gembira. Walau macam mana tegasnya
Adam, tetap kalah bila sebut nasi.
“Nasib
baiklah kedai mamak supply roti canai 24 jam. Kalau tidak,
satu hal lagi nak mencari roti canai tengah hari begini,” sindir
Adam yang belum puas hati.
“Pak
cik, jangan berkecil hati. Nanti cepat tua. Apa kata lepas ni, pak
cik belajar makan nasi pula? Ya?” balas Apy Elina tersengih-sengih
mengetawakan suaminya.
“Selepas
tu, adalah orang tu yang akan kena masak untuk suami hari-hari…”
balas Adam tak mahu kalah juga.
“Baik,
saya cabar awak!”
“Jangan
menyesal nanti,” balas Adam.
“Demi
awak, saya pasti takkan menyesal.”
agak2 cam ne lah adam bila tiba2 dia dh boleh mkn nasi..