PERLAHAN-LAHAN
Nazwan mencelik matanya. Siling bilik tidurnya di pandang kabur.
Pandangannya juga seperti melayang-layang. Pada masa yang sama, sakit
kepalanya datang menerjah lagi. Lantas dia memejamkan matanya.
Setelah peningnya semakin berkurangan, barulah dia kembali mencelik
matanya semula.
Selepas
seketika, pandangannya mula dapat fokus. Dia mengalihkan pandangannya
ke arah sofa panjang yang terletak tidak jauh dari katilnya.
Kelihatan tubuh Luqman sedang berbaring di situ. Dia tertanya-tanya,
sudah berapa lama dia tertidur.
Handsetnya
yang terletak bersebelahan dengan katilnya dipandang. Nazwan mengerah
semua tenaga yang dia ada untuk bangun mencapai handsetnya. Setelah
dapat barang yang diinginkan, dia kembali berbaring di katil.
Tidak
percaya yang dia sudah tidur selama itu. Kemudian dia mengangkat
tangan kanannya yang masih dicucuk IV dan diletakkan di dahinya.
Merasai sendiri kepanasan badannya. Dia mengeluh lega apabila merasai
panas semakin berkurangan.
“Apa
kau rasa?” tanya satu suara.
Nazwan
terkejut apabila melihat Luqman yang dilihat masih tidur di sofa
panjang tadi, kini berdiri di sebelahnya. Renungan tajam Luqman
membuatkan Nazwan berasa kurang selesa. Daripada demamnya hendak
baik, boleh menjadi-jadi pula nanti.
“Teruk,”
jawab Nazwan dengan suara rock dia. Dia sendiri terkejut bila
bersuara dengan suara kasar begitu. Tekaknya terasa pedih.
Luqman
hanya mampu menggeleng melihatnya.
“Itulah.
Tak ada masalah cari masalah.”
“Diam.
Aku tak nak dengar,” pantas Nazwan bersuara.
Luqman
mengangguk. Buat masa ini dia hormati permintaan sepupunya. Lagipun,
Nazwan baru sahaja sedar dan masih lemah lagi. Takut nanti lagi
melarat demam Nazwan.
“Kau
nak apa-apa tak? Air ke? Bubur ke?” tanya Luqman.
“Donut?”
pinta Nazwan.
Luqman
mengeluh kecil. Dia sudah agak dah. Memang tiap kali Nazwan demam,
pasti donut yang Nazwan minta. Bila mereka dah belikan donut, tak nak
pulak makan. Nak makan donut yang Arissa masak jugak! Tak faham
betul. Entah apa yang Arissa letak dalam donut tu sampai Nazwan boleh
mengidam sampai macam tu sekali.
“Donut
beli atau donut yang Arissa buat?” tanya Luqman.
“Ahh
lupa, Arissa pun demam,” keluh Nazwan mula teringat.
“Aku
suruh mama masak bubur sajalah,” kata Luqman.
Nazwan
mengangguk. Reda dan pasrah. Selepas Luqman keluar dari biliknya, dia
mencapai handsetnya semula. Baru sahaja dia ingin menghubungi nombor
handset Arissa, baru dia teringat yang Arissa punya handset turut
kena ragut.
“Kenapa
pula nak telefon Arissa? Bukan ke dia pun demam?” dia bertanya
kepada dirinya sendiri. Dia sendiri tidak faham dengan situasinya
sekarang. Mungkin kerana demam, otaknya sudah putus fius. Atau dia
sendiri sudah terkena sihir Arissa. “Ah, parah!”
Tiba-tiba,
dia terdengar loceng rumahnya berbunyi.
***
“MAMA,
Nazwan dah sedar. Dia nak bubur nasi,” beritahu Luqman kepada Puan
Latifah yang sedang duduk menonton televisyen di ruang tamu bersama
neneknya.
“Mama
dah sediakan bubur nasi kat atas meja tu,” ujar Puan Latifah
menunjukkan sebuah periuk yang terletak di tengah-tengah meja makan.
“Kaut sikit saja, rasanya dia takkan makan banyak tapi pastikan dia
makan,” tambah Puan Latifah lagi.
“Nak
pula dia minta bubur nasi. Selalunya minta donut,” neneknya
menyedari hal itu.
“Memang
dia minta donut tadi nenek tapi dah Arissa pun demam nak buat macam
mana lagi. Reda jelah tu,” beritahu Luqman sambil menceduk bubur
nasi yang dimasak oleh mamanya ke dalam mangkuk kecil.
Tidak
lama kemudian, loceng rumahnya berbunyi. Tanpa berlengah lagi, Luqman
segera berlalu mendapatkan pintu utama. Seperti yang dijanjikan siang
tadi, Sarah akhirnya datang melawat. Dia segera mempersilakan Sarah
masuk.
“Aku
bawakan donut. Tadi dalam perjalanan ke sini aku teringat yang Nazwan
memang suka makan donut kalau dia demam, jadi aku belikan donut
kegemaran dia,” ujar Sarah sambil memberikan sekotak donut yang
dibelinya bersama-sama sebakul buah-buahan pelbagai jenis.
“Terima
kasih. Kau memang bakal sepupu ipar yang baik,” puji Luqman apabila
barang-barang itu bertukar tangan. “Nenek dengan mama ada dekat
ruang tamu,” Luqman memberikan isyarat mata.
“Aku
pergi jumpa mereka,” ujar Sarah segera berlalu ke ruang tamu. Salam
diberi dengan sopan dan bersalaman dengan kedua orang penting dalam
keluarga Luqman. “Luqman beritahu yang Nazwan tak sihat, itulah
yang Sarah datang sini.”
“Baguslah.
Nenek memang tengah tunggu Sarah,” kata Puan Latifah.
“Ye
ke? Ada apa-apa yang Sarah boleh tolong ke?” tanya Sarah teruja.
“Mmm...
tolong temankan nenek ziarah Arissa. Sarah tahukan yang dia pun
demam?” kata Puan Latifah.
“Oh
ya. Sarah memang nak pergi lawat Arissa sebentar lagi,” kata Sarah
teragak-agak.
“Baguslah.
Temankan nenek ya,” Puan Azizah mula bersuara.
“Tak
ada hal. Nak pergi sekarang?”
“Jomlah,”
wanita yang sudah berusia 60an itu perlahan-lahan bangun. Walaupun
sudah dimamah usia tetapi Puan Azizah masih lagi mampu berjalan
dengan gagah.
“Nak
pergi mana?” tanya Luqman yang menatang dulang yang berisi
semangkuk bubur, satu botol air mineral dan beberapa donut yang
dibawa oleh Sarah tadi.
“Teman
nenek pergi melawat Arissa jap.”
“Hati-hati
dengan ahli sihir tu,” sempat lagi Luqman berjenaka.
“Luqman!”
tegur Puan Latifah. “Suka sangat panggil Arissa macam tu. Nanti
mama suruh dia sihir kamu jadi katak, baru tahu.”
“Tak
pe. Ada Sarah tolong ciumkan!”
“Ya
Allah budak ni! Cepat, pergi hantar makanan tu pada Nazwan!” geram
Puan Latifah mendengarnya. Ada sahaja modal anaknya membalas. Entah
perangai siapa yang diikutnya. “Pastikan Nazwan makan!”
***
“NENEK?”
Terkejut apabila Arissa mendapat tahu daripada Mama Fiza bahawa nenek
Nazwan datang melawat. Daripada tidak bermaya tadi, terus bertenaga
jadinya. “Habislah! Habislah! Mesti nenek datang nak marah Rissa.
Macam mana ni?” Tidak keruan Arissa jadinya.
“Apa
Rissa ni? Nenek cuma nak melawat saja. Bukannya nak marah Rissa.
Rissa nak jumpa tak?” tanya Mama Fiza.
“Tak
nak!” Tiba-tiba tubuhnya diserang seram sejuk. Terus dia mencapai
gebar dan menyelimut seluruh tubuhnya. Macam-macam yang dia fikir,
pasti nenek hendak memarahinya sebab buat Nazwan dapat demam teruk.
Sampai tahap kena masuk air tu dah kira teruklah.
Tiba-tiba
gebar yang menyelimut tubuhnya ditarik oleh Mama Fiza.
“Tak
ada apalah. Nenek tu risaukan Rissa je,” Puan Fiza cuba memujuk.
“Tahu
tapi Rissa dah malu nak jumpa nenek. Tambah lagi Rissa dah buat cucu
kesayangan dia jatuh sakit,” jawabnya memberikan alasan.
“Kalau
takut jumpa nenek, macam mana Rissa nak kahwin dengan Nazwan?”
tiba-tiba satu suara menyapa. Arissa tergamam. Begitu juga dengan
Puan Fiza. Tersentak Arissa apabila melihat nenek Nazwan sudah pun
berada di dalam biliknya. Sarah juga ada di sebelah.
“Apa
nenek cakap tadi?” tanya Arissa inginkan kepastian.
“Rissa
nak kahwin dengan Nazwan tak?” tanya Puan Azizah.
“Mestilah
nak!” Dalam sekelip mata sahaja Arissa bertukar menjadi periang.
Walaupun badannya masih lemah lagi dia terus berlalu bangun dari
katilnya dan memeluk Puan Azizah dengan perasaan gembira yang sukar
diungkap.
“Amboi,
nenek cakap pasal kahwin terus baik demam ya,” Puan Fiza menegur.
“Mama
Fiza jangan cemburu. Bukan ke Rissa ni seseorang untuk dicintai. Eh,
dah tak sesuai, seseorang untuk dinikahi! Mmm... itu baru sesuai!
Bila boleh kahwin nenek?” tanya Arissa mula dengan aksi
menggediknya.
Sekali
telinga dia dipulas Puan Azizah. Arissa mengerang kesakitan walaupun
tidaklah sakit sangat. Bukannya sesuatu yang baru. Sudah banyak kali
telinganya kena pulas dengan Puan Azizah. Tahu sangat maksudnya.
“Aduh,
kenapa nenek pulas telinga Rissa pula,” rungut Arissa setelah
telinganya dilepaskan. Punyalah dia beriya hendak tahu rancangan Puan
Azizah hendak menjodohkan dia dengan Nazwan, alih-alih kena pulas
telinga pula.
“Siapa
suruh degil sangat?” Puan Azizah sudah duduk di hujung katil
Arissa. Dia merenung Arissa yang dianggap seperti cucunya sendiri.
“Kamu tahu tak yang kamu tu perempuan?”
“Nenek
dah mula nak membebel,” rungut Arissa sambil mencapai gebarnya dan
menyelimutkan seluruh badannya.
Puan
Azizah menggeleng perlahan dengan perangai Arissa. Ini baru Arissa,
belum lagi perangai Nazwan semasa merajuk. Masing-masing lebih kurang
sama saja perangai.
“Nak
kahwin tak ni?” tanya Puan Azizah sengaja hendak memancing Arissa.
“Nak!”
lantas Arissa bangun dari tempat persembunyiannya.
“Mmm...”
Puan Azizah mengangkat kening tuanya. Dia merenung Arissa atas bawah.
Sebenarnya, dia tiada masalah dengan Arissa tetapi ada satu sahaja
yang dia tidak berkenan. Perangai kebudak-budakan Arissa.
“Kenapa
nenek pandang Rissa macam tu?”
“Cuba
tengok Sarah,” arah Puan Azizah kepada Sarah yang duduk di kerusi
tulis Arissa.
“Hai
Sarah,” sapa Arissa dengan mesra.
“Aku
suruh tengok bukan tegur Sarah!” Puan Azizah sudah mula dengan
serangan ketam berbisa di lengan Arissa.
“Dah
tengok, mestilah tegur,” balas Arissa menggosok-gosok bahagian
cubitan berbisa Puan Azizah tadi. “Kenapa dengan Sarah? Nenek nak
suruh dia kahwin dulu ke? Kalau macam tu, Rissa bantah awal-awal!
Rissa nak kahwin dulu dengan Nazwan!”
“Isy,
budak ni. Kamu ingat kahwin tu semudah petik jari ke?”
“Kenapa
pula?”
“Cuba
tengok diri kamu sendiri dan bandingkan dengan Sarah, kamu nampak
bezanya?” tanya Puan Azizah.
Serentak
itu Arissa menarik muncung. Dia kembali berbaring sambil
membelakangkan mereka semua. Tahu sangat apa yang hendak dikatakan
oleh Puan Azizah. Memang kalau dibandingkan dia tidak setanding Sarah
yang ada ciri-ciri perempuan Melayu terakhir. Siapalah dia kalau
dibandingkan dengan Sarah.
“Tengok
tu. Macam ni nak kahwin? Orang cakap sikit mesti merajuk. Macam mana
nak urus rumah tangga nanti?” Puan Azizah mula membebel. Arissa
masih mendiamkan diri. Kali ini dia hanya mampu reda sahaja
komen-komen Puan Azizah terhadap dirinya. “Nenek bukannya nak
bantah. Nenek lagi suka kalau kamu dengan Nazwan.”
Serentak
itu, bagaikan robot Arissa bangun dari baringnya. Dia memandang Puan
Azizah dengan senyuman. Yes!
Ada harapan!
“Tapi,
nak jadi isteri bukan satu kerja main-main,” tambah Puan Azizah.
“Tahu,”
Arissa menjawab. “Rissa bukannya budak-budak lagi. Rissa juga tahu
tanggungjawab seorang isteri memang besar dan berat. Kalau tak, tak
adalah Rissa menggedik dengan Nazwan. Serius, Rissa cakap, ini kali
pertama Rissa serius memikirkan masa depan. Tapi ramai yang tak
percayakan Rissa,” ujar Arissa meluahkan apa yang terbuku di
hatinya.
“Bukan
tak percaya tapi kamu tu macam budak-budak sangat. Macam tak serius.
Cubalah serius sikit,” tegur Puan Fiza.
“Baiklah,
Rissa serius,” ujar Arissa cuba membuat wajah serius.
“Itu
macam cari gaduh pula,” balas Puan Azizah ketawa.
“Kan.
Muka Rissa ni mana boleh buat muka serius lagipun Rissa rasa macam
robot pula bila terpaksa serius. Rissa tak boleh jadi Sarah. Sarah
pula tak boleh jadi Rissa. Walaupun Rissa macam ni, Rissa nak nenek
tahu yang Rissa dah jatuh cinta dengan cucu nenek. Kalau Rissa
lelaki, dah lama Rissa pinang dia!”
“Gatal!”
Kali ini hidungnya pula ditarik manja oleh Puan Azizah.
“Gatal
Rissa bertempat juga. Rissa minta maaf pasal semalam. Rissa janji tak
buat lagi,” ucap Arissa sambil memeluk Puan Azizah dengan mesra.
“Tapi, semalam Nazwan beritahu, kalau jadi lagi nenek nak kahwinkan
kami ye?”
“Ingat
senang ke nak kahwin cucu nenek?” Puan Azizah jual mahal.
“Kenapa
pula? Bukan ke nenek dah bagi green
light tadi.”
“Tak
ada maknanya. Kamu tu budak-budak lagi. Banyak lagi yang kena
belajar. Memasak pun tak reti lagi,” pergi Puan Azizah.
“Tapi,
Rissa pandai masak donut kegemaran Nazwan.”
“Takkan
kamu nak bagi cucu nenek makan donut tiap-tiap hari?”
“Kenapa?
Tak boleh ke?” tanya Arissa.
Puan
Azizah mencebik.
“Yelah.
Yelah. Nanti Rissa belajar masak daripada Sarah. Apa lagi nenek nak
suruh Rissa buat?” tanya Arissa yang masih lagi memeluk Puan Azizah
dengan erat.
***
Lampu
terakhir ditutup oleh Puan Latifah. Suasana dalam rumah itu mula
kelam. Hanya lampu luar yang dipasang. Kebanyakan penghuni dalam
rumah itu sudah tidur. Walaupun rumah itu tidak ada penghuni yang
ramai tetapi bila salah seorang daripada penghuni rumah itu sakit,
pasti rumah itu sunyi. Hari ini sepatutnya mereka makan malam bersama
tetapi disebabkan Nazwan masih tidak sihat, tiada makan malam.
Kebetulan
suaminya pulang lewat kerana ada majlis tahlil di rumah kawan.
Mamanya pula tidak berselera hendak makan dan masuk tidur awal
manakala Luqman pula asyik berperap dalam bilik Nazwan menjaga
Nazwan.
Puan
Latifah mengeluh kepenatan. Walaupun dia penat tetapi selagi Nazwan
tidak sembuh sepenuhnya dia tidak boleh tidur dengan nyenyak.
Perlahan-lahan dia mengorak langkah ke bilik Nazwan. Masuk sahaja ke
dalam, dia menghampiri anak lelakinya yang sudah terlelap di sofa
panjang.
“Luqman,
bangun,” panggil Puan Latifah menggerakkan Luqman.
Hanya
sekali gerak, Luqman sudah terjaga.
“Mama?”
Luqman menggosok matanya. “Kenapa? Ada sesuatu yang dah berlaku ke?
Nazwan tak apa-apa ke?” tanya Luqman dalam mamai.
“Budak
ni...,” Puan Latifah menggeleng perlahan. “Kalau nak tidur pergi
masuk bilik.”
“Tapi,
Nazwan....”
“Mama
akan jaga.”
“Mmm...,”
Luqman tidak berkata banyak dan berlalu mengorak langkah keluar.
Selepas
Luqman keluar, dia berlalu menutup pintu bilik Nazwan. Seharian anak
lelakinya itu menjaga Nazwan, sudah pasti penat. Tambah lagi dengan
kerenah Nazwan bila demam. Pasti ada saja yang tidak kena.
Kemudian
dia berlalu menghampiri katil Nazwan. Anak buahnya itu dilihat tidur
dengan tenang. Dia meletakkan tangannya pada dahi Nazwan. Masih panas
lagi. Malah lagi panas daripada siang tadi. Tubuh Nazwan juga
mengeluarkan peluh. Namun, dia tidak gusar. Ini perkara normal yang
sering berlaku apabila Nazwan dilanda demam panas.
Sejak dari dulu lagi
tubuh Nazwan memang lemah. Nazwan memang selalu dapat demam.
Lagi-lagi bila Arissa demam. Tiap kali Arissa demam, pasti demam
Arissa akan berjangkit pada Nazwan. Tapi, ini kali pertama mereka
berdua demam serentak. Selalunya bila Arissa habis demam barulah
Nazwan demam.
“Dia
orang ni, memang betul-betul dah ditakdirkan bersama. Arissa dah
mulakan langkah pertama tapi Nazwan...,” kata-katanya mati disitu
apabila Nazwan terjaga daripada lena dan melepaskan batuk yang
berulang kali.
Puan
Latifah segera berlalu mencapai botol mineral yang terletak di atas
meja kecil di sebelah katil. Botol itu dihulurkan kepada Nazwan yang
sudah mengangkat kepala dari bantal. Nazwan menyambutnya tanpa banyak
suara. Selepas meneguknya separuh, dia kembali memberikan botol itu
dan kembali berbaring.
“Rasanya
tak perlulah Mama Tifa jaga Naz malam ni,” ujar Nazwan lemah.
“Mmm...
Mama Tifa cuma datang menjenguk saja,” dia memberikan alasan. “Ada
rasa kurang tak?”
“Sama
je,” jawabnya.
“Rehat
sajalah. Esok okeylah tu.”
“Entahlah,”
Nazwan kurang pasti. Dia mengeluh.
“Apa
yang kamu fikir sampai tak ada semangat ni?”
“Mama
Tifa,” panggil Nazwan yang dilihat seperti berfikir sesuatu. “Apa
dah berlaku sebenarnya?”
“Hah?”
“Mama
Tifa tak rasa pelik ke? Setiap kali Arissa demam, Naz mesti ikut
demam. Kali ni lagi teruk. Selalunya bila Arissa habis demam barulah
Naz demam. Apa dah berlaku? Betul ke kitorang memang ada jodoh?”
Puan
Latifah tertawa kelucuan. Dia tahu, ini bukan satu perkara yang lucu
tapi apabila mendengar kata-kata itu keluar dari mulut Nazwan, dia
tidak dapat menyembunyikan rasa geli hatinya. Nazwan bercakap tentang
jodoh? Macam tidak percaya saja.
“Lupakanlah,”
ujar Nazwan yang kembali menutup mata. Ingin menyambung tidur.
“Mama
Tifa dengar yang kamu risaukan Arissa sebab tu kamu ponteng kelas dan
pergi cari Arissa, betul ke?” tanya Puan Latifah.
“Dia
memang suka buat orang risau,” jawab Nazwan. “Dia kena ragut
malam tu tapi masih berlagak macam orang kuat sembunyikan daripada
kita semua sebab tak nak kita semua risau tapi bila dia buat macam
tu, lagi buat orang bertambah risau.”
“Sebab
tu kamu pergi jumpa Arissa?”
“Tak
tahu,” jawabnya pendek. “Ah, oh ya, Naz ada pancitkan tayar
kereta Arissa. Minta tolong Mama Tifa selesaikan benda ni. Ingatkan
hari ni Naz nak selesaikan benda tu tapi terdemam pula. Semua Arissa
punya pasal,” keluhnya sempat lagi menuduh Arissa.
“Mungkin
semuanya kebetulan dan mungkin tak. Kalau Mama Tifa kata, kamu dengan
Arissa memang dah ditakdirkan untuk bersama, apa pendapat kamu?”
tanya Puan Latifah.
“Bad
idea.”
“Kenapa?”
“Sebab
kalau keadaan kami macam ni... kalau kami kahwin dan Arissa demam,
Naz pun demam, siapa yang nak jaga siapa kalau kami sakit nanti?”
tanya Nazwan.
“Mmm...,”
Puan Latifah mengangguk faham. Betul juga apa yang Nazwan kata tadi.
Tapi, sekali lagi dia melepaskan tawa. Dia tidak sangka Nazwan akan
fikir akan mendirikan rumah tangga dengan Arissa.
“Mama
Tifa buat lawak lagi,” keluh Nazwan menutup matanya kembali.
“Naz,
nak dengar satu cerita tak?” tanya Puan Latifah.
“Pastikan
cerita tu boleh buat Naz tidur lena malam ni dan sembuh secepat
mungkin,” ujarnya separuh mengantuk.
“Beberapa
tahun yang lalu, ada seorang budak lelaki ni. Dia memang selalu
menangis,” Mama Tifa memulakan cerita.
“Nama
budak lelaki tu Nazwan?” Nazwan mencelah sambil matanya tertutup
rapat. “Cerita Mama Tifa tak pernah berubah sejak dulu lagi. Next!”
“Cerita
kali ni memang lain.”
“Mmm....”
“Pada
suatu hari, kamu asyik menangis. Menangis dan menangis sampai mama
kamu tak tahu nak buat apa. Tapi, bila ada seorang tetamu datang
rumah, serta-merta kamu berhenti menangis. Cuba teka siapa dia?”
“Rasanya
bukan makhluk asing dari angkasa lepas,” ujar Nazwan yang separuh
sedar.
Puan
Latifah tertawa kecil. Dalam separuh mengantuk pun Nazwan boleh
menjawab soalannya dengan jawapan loyar buruk.
“Ayana.
Mama Arissa.”
“Mmm....”
“Nak
tahu apa yang berlaku selepas tu?” tanya Puan Latifah.
Senyap.
Tiada sebarang suara keluar dari mulut Nazwan. Nazwan sudah pun
terlena. Sekali lagi dia tersenyum sendirian. Nampaknya, ini bukan
masanya untuk Nazwan ketahui perkara itu. Lagipun dia juga terfikir,
mungkin apa yang berlaku itu hanyalah satu kebetulan. Tapi kalau
benar itu adalah jodoh, dia juga tidak boleh berbuat apa-apa.
Semuanya keputusan berada di tangan Nazwan dan Arissa.
“Macam
mana Nazwan?” Tiba-tiba Puan Latifah dikejutkan dengan sapaan
seseorang.
Terkejut
dia apabila melihat mamanya, Puan Azizah sudah pun berdiri di
hadapannya.
“Mama,”
keluhnya sambil mengurut dada.
“Demamnya
teruk lagi ke?” tanya Puan Azizah yang bertukar tempat duduk dengan
Puan Latifah yang duduk di tepi katil Nazwan.
“Macam
biasalah,” jawabnya tidak mungkin dapat menipu mamanya. “Nampaknya,
apa yang kita jangka dulu, mungkin ada betulnya. Arissa dengan Nazwan
memang ada jodoh. Saya masih terfikir, perlu ke kita laksanakan
hasrat kakak? Disebabkan terhutang budi dengan Ayana, mama Arissa tu,
dia pernah berhasrat nak jodohkan Arissa dengan Nazwan.”
“Orang
muda zaman moden sekarang ni mana nak ikut wasiat orang yang dah
tiada,” Puan Azizah bersuara seperti membantah.
Puan
Latifah mengangguk faham. Ada benarnya kata mamanya. Ini masa depan
mereka berdua, jadi lebih baik mereka berdua yang buat keputusan. Dia
sebagai orang dewasa hanya mampu melihat dari jauh. Kalau boleh
dinasihat, dia akan hulurkan nasihat.
“Tapi....”
“Ada
sesuatu yang mama risaukan?”
“Mama
terfikir nak tunangkan mereka berdua.”
“Apa?
Tapi bukan ke mama kata tadi yang orang muda zaman sekarang ni tak
suka ikut wasiat orang yang dah tiada... kenapa pula tiba-tiba buat
keputusan macam ni?” terkejut Puan Latifah mendengarnya.
“Memang
tapi ini bukannya wasiat orang yang dah tiada tapi permintaan orang
yang masih hidup,” jawab Puan Azizah tenang.
“Papa
Arissa?” teka Puan Latifah.
Puan
Azizah mengangguk.
“Jadi,
dia memang nak tuntut balik hak dia yang hilang dulu?”
Puan
Azizah mengangguk. Memang dia tiada pilihan lain lagi.
hohoho.. masih banyak perkara yg tersirat ni...