MEMANG
masak. Balik sahaja dari rumah Arissa, dia terpaksa menghadap
neneknya seorang diri dalam bilik. Dua jam kena ceramah perdana cukup
buat dia rasa terseksa. Bermacam-macam soalan yang dikemukan oleh
neneknya. Umpama polis menyoal siasat penjenayah pun ada. Namun,
Nazwan dapat menjawab dengan tenang.
“Kamu
sukakan dia?” tanya Puan Azizah kepada cucunya.
Nazwan
menggeleng. “Tak,” jawabnya pendek.
“Habis
tu kenapa pula kamu gatal-gatal dukung dia tadi?”
“Sebab
kaki dia sakitlah nenek. Lagipun dia tu separuh sedar lepas kena
inject,” jawab Nazwan mempertahankan dirinya. Kalau orang lain
berada di situasinya, pasti akan bertindak sedemikian. Takkanlah dia
hendak paksa Arissa berjalan macam orang mabuk, tambah lagi dengan
kaki sakit. Silap hari bulan, lantai pula diciumnya.
Neneknya
masih tidak puas hati. Nazwan dapat lihat daripada wajah neneknya.
Entah apa yang perlu dilakukan sehingga neneknya puas hati dengan
jawapan yang diberi.
“Nenek
tak fahamlah dengan budak-budak sekarang ni. Halal haram pun tak tahu
bezakan,” keluh Puan Azizah. “Nasib baiklah jiran-jiran kita ni
bukan jenis jaga tepi kain orang kalau tak memang dah kecoh satu
taman ni!”
“Nenek,
tak ada apalah. Naz cuma tolong Arissa je,” Nazwan segera
menghampiri neneknya dan memeluk neneknya untuk sejukkan hati orang
tua itu. “Nenek pun tengok sendirikan macam mana keadaan Arissa
tadi? Bukannya Naz sengaja nak ambil kesempatan. Lagipun, tak ada
faedahnya kalau Naz sengaja nak jatuhkan maruah dia.”
“Lain
kali jangan buat lagi,” Puan Azizah memberikan amaran. Amarahnya
sudah reda sedikit. “Kalau kamu buat lagi, nenek akan kahwinkan
kamu berdua nanti. Tak kira. Suka ke tak suka, keputusan nenek
muktamad!” tegas Puan Azizah dengan serius.
“Baik,”
jawab Nazwan seolah menurut perintah.
“Esok
pergi minta maaf kepada Puan Fiza,” arah Puan Azizah lagi.
“Hah?
Kenapa? Naz tak buat salah pun.”
“Bawa
anak dara orang ke hulu ke hilir tanpa beritahu keluarga dia, itu tak
salah?” tegur Puan Azizah.
“Okey,”
jawab Nazwan sekali lagi menurut perintah walaupun bukan dia yang
cari pasal sebenarnya. Kalau neneknya sudah kata begitu, apa boleh
buat. Reda sajalah. Dia sudah tiada tenaga untuk berbahas dengan
neneknya lagi. Hari pun sudah jauh malam. Penat semalam masih lagi
berbaki.
“Kamu
kena perintah berkurung selama tiga hari. Esok lepas balik kuliah,
terus balik rumah. Jangan nak merayap. Jangan sesekali nak jejak ke
rumah Arissa,” tegas Puan Azizah lagi.
“Habis
tu macam mana nak minta maaf pada Mama Fiza?” tanya Nazwan.
“Telefon
ajelah! Teknologi ada, bukan nak guna!” balun Puan Azizah semula.
“Ohh...”
Nazwan mengangguk.
Hampir
terlupa yang neneknya lebih maju daripadanya dalam bab teknologi. Ini
kerana dia mengetahui yang neneknya ada facebook, twitter dan
macam-macam lagi akaun laman sosial manakala dia satu pun tidak ada.
Hal itu selalu menjadi bahan sindiran Luqman.
“Ingat,
ini amaran terakhir nenek. Kalau berlaku lagi....”
“Ya,
Naz tahu. Kali ni Naz akan berhati-hati,” ujar Nazwan.
“Mmm...
bagus,” ujar Puan Azizah sebelum keluar dari bilik itu.
Satu
keluhan dilepaskan oleh Nazwan sambil berbaring di katilnya. Dia
sudah tiada tenaga lagi untuk berlalu ke kamar mandi. Matanya juga
sudah tidak dapat bertahan lagi. Namun, baru sahaja dia hendak
terlelap, satu mesej diterimanya. Lantas dia mencapai handsetnya.
Satu mesej daripada Fazira. Tanpa berlengah lagi dia segera membuka
mesej itu.
Aku
ni, Arissa. Kalau dah habis menghadap nenek kau, call aku. - Arissa.
Baru
sahaja dia ingin menelefon Arissa, Nazwan terdengar pintu biliknya
dibuka seseorang. Luqman melangkah masuk ke dalam.
“Aku
tak ada tenaga nak terangkan sekarang Luqman. Esok-esoklah,” ujar
Nazwan lemah.
“Cis,”
Luqman tidak puas hati. Namun, melihat sepupunya yang hendak membuka
mata pun tidak larat dia terpaksa mengalah. “Esok, jangan cuba nak
lari. Kita ada perhitungan yang belum selesai, faham?”
Nazwan
mengangkat tangan menandakan dia faham dan menyuruh Luqman keluar.
Selepas sahaja mendengar pintu biliknya ditutup, Nazwan mengerahkan
tenaga membuka mata. Tanpa berlengah lagi dia segera menelefon
Arissa.
“Macam
mana? Nenek marah ke?” tanya suara Arissa bertubi-tubi di talian.
“Marah
tapi aku dah settlekan hal tu. Jangan risau,” ujar Nazwan.
“Mmm...
aku tak sangka jadi macam ni. Maaf,” ucap Arissa serba salah.
“Benda
dah jadi. Lain kali jangan buat perkara macam ni lagi. Tak
pasal-pasal aku kena masak dengan nenek. Nasib baiklah mood nenek
baik sikit hari ni kalau tidak memang nak kena balun habis-habisan,”
keluhnya. “Tapi, nenek sempat bagi warning.”
“Hah?”
“Dia
kata kalau berlaku lagi, dia nak kahwinkan kita berdua.”
“Ye
ke? Yahooo!!!” sorak Arissa dalam talian.
“Yahoo
apa bendanya!” tegas Nazwan lantas bangun dari baringnya sambil
menahan geram. Orang serius, boleh pulak Arissa anggap ini main-main.
Tiba-tiba kepalanya diserang pening yang kuat. Lantas Nazwan kembali
mencari bantal.
“Nazwan?
Kenapa?”
“Apa
lagi, demam kau dah sampai kat akulah,” ujar Nazwan menahan
kesakitan yang melanda. Dia merasa dahinya. Sudah mula panas macam
Arissa tadi. Patutlah dia rasa tenaganya hilang mendadak.
“Hahaha...
kesiannya,” bukan belas kasihan yang dia dapat tetapi sebaliknya
ejekkan daripada Arissa. Dia tiada tenaga hendak bertikam lidah
dengan Arissa lagi. “Nazwan, kau tak rasa ke yang kita ni memang
ada jodoh?”
“Diam.
Aku tak nak dengar.”
“Malu?”
Arissa ketawa kelucuan.
“Arissa,
kalau kau demam buat cara demam. Aku nak letak telefon sekarang.”
“Okey,
rehat banyak-banyak tau dan terima kasih sebab tolong aku hari ni.
Good night. Sweet dream. I love you!”
Nazwan
lantas menekan butang merah. Bila Arissa ucapkan padanya 'I love you'
semakin pening kepalanya. Dia mengeluh lagi. Sekarang bukan masa
untuk memikirkan istilah I love you Arissa. Sekarang dia perlu
mengisi tenaganya semula. Nazwan mencapai gebar putih dan segera
menyelimutkan tubuhnya. Tidak sampai beberapa saat dia memejam mata,
dia sudah terlena.
***
“NAZWAN
tak bangun lagi?” Puan Azizah yang sudah lama duduk di meja makan
menanti kesemua penghuni rumah itu untuk sarapan. Mata tuanya
menjeling pandang jam di dinding. Sudah pukul 7.15 pagi. Selalunya
pada waktu ini, Nazwan sudah pun turun ke bawah untuk sarapan.
“Mungkin
penat lagi kot,” jawab Encik Luqfi yang baru sahaja turun
menghampiri meja makan. Puan Latifah menyokong dengan anggukan sambil
menuang secawan air kopi buat suaminya yang sudah bersiap untuk ke
tempat kerja.
“Luqman?”
tanya mamanya lagi.
“Dah
bangun,” jawab Luqman dari jauh menghampiri meja makan.
“Nazwan
tak bangun lagi?” tanya Puan Latifah kepada Luqman. “Hari ni dia
ada kelas pagi, bukan?”
“Selepas
apa yang berlaku semalam, Luq pasti, seratus peratus yang dia akan
ponteng hari ni,” kata Luqman yang amat mengenali perangai
sepupunya. Ponteng kelas memang nombor satu tapi yang dia tidak
fahamnya, walaupun Nazwan suka ponteng kelas, tetapi pointer Nazwan
tetap tinggi. Entah ilmu apa yang dipakainya.
“Tett!
Salah!” sapa satu suara di belakangnya. Lantas dia berpaling dan
sekali lagi dia terkejut apabila melihat Nazwan berada di
belakangnya. Entah bila Nazwan ada di belakangnya dia pun tidak tahu.
“Jadi,
kau nak pergi kuliah dengan pakai singlet, seluar tidur dan rambut
yang kusut masai macam baru saja dimakan garuda macam tu?” kata
Luqman memerli pernampilan Nazwan pada pagi itu. Serupa macam baru
bangun tidur saja lagaknya. Ah, memang baru bangun tidur pun. Tapi
ada hati hendak pergi kuliah.
“Aku
tak ponteng tapi MC,” jawab Nazwan selamba. Kemudian Nazwan segera
menghampiri Mama Tifa. “Mama Tifa, nanti bawa Naz jumpa doktor.
Rasanya macam dah berjangkit dengan Arissa.”
Puan
Latifah merasai dahi anak saudaranya itu. Memang panas. Patutlah dia
tengok cara Nazwan jalan pun tidak betul. Macam orang mabuk pun ada.
“Tak
sampai satu hari kau bersama Arissa, kau boleh berjangkit dengan dia.
Memang betul-betul suka cari nahaslah kau ni,” ujar Luqman tidak
puas hati. Satu demi satu masalah melanda.
“Diam,”
balas Nazwan yang tidak berminat hendak mendengar bebelan Luqman.
Sudahlah semalam dia terpaksa mendengar neneknya membebel. Hari ini
dia ingin berehat daripada mendengar bebelan orang.
“Isy,
kamu berdua ni. Kalau nak bergaduh tunggu masing-masing sihat,”
Puan Latifah yang berlalu ke dapur mencelah sambil membawakan panadol
dan air kosong untuk Nazwan. “Kamu rehat dulu kat sofa. Pukul 9.00
nanti kita pergi klinik.”
“Mmm...,”
Nazwan sekadar mengangguk. Tanpa dipaksa dia menyambut sebiji panadol
dan segelas air lalu meneguknya. Gelas air yang tinggal setengah itu
diberi kepada Mama Tifa.
“Boleh
jalan tak?” tanya Mama Tifa.
“Agaknya,”
ujar Nazwan acuh tak acuh.
“Agaknya?”
Puan Latifah hairan.
Dia
kembali memandang Nazwan yang memegang kepala. Badan Nazwan juga
kelihatan terhuyung-hayang bagai ditiup angin. Lantas dia meletakkan
cawan ke atas meja. Belum sempat dia hendak berbuat apa-apa, tubuh
Nazwan melayang jatuh ke belakang.
Puan
Latifah menjerit ketakutan. Namun, nasib baiklah Luqman pantas
menyambut tubuh Nazwan daripada jatuh ke lantai. Masing-masing
menghela nafas lega.
“Masalah
betul. Selalu landing tak kena tempat,” keluh Luqman
mengurut dadanya. Kalaulah dia tidak bertindak cepat tadi, pasti
Nazwan sudah bermalam di wad akibat hentakan kuat di kepala.
***
“APA?
Nazwan dengan Arissa demam serentak?” terkejut Sarah mendengar
berita yang disampaikan oleh Luqman melalui telefon pagi-pagi lagi
sewaktu dia sudah bersiap menunggu kedatangan Luqman mengambilnya
untuk ke kuliah. Patutlah Luqman tidak datang-datang lagi,
rupa-rupanya ada sesuatu telah berlaku.
Akan
tetapi, selain terkejut, dia berasa cemburu. Memang sudah lama dia
tahu tiap kali Arissa demam, pasti Nazwan akan demam. Sudah jadi
macam satu tarikan pula. Dahulu, Natasya juga pernah meluahkan rasa
cemburu dengan situasi itu.
“Diorang
berdua, macam ada satu ikatan yang kita tak nampak,” kata Natasya
suatu masa dahulu. Ketika itu, dia tahu sangat Natasya sedang cemburu
sama seperti hatinya cemburu. Tapi masa itu, dia bijak mengatur
langkah.
“Kebetulan
aje kot,” ujarnya sengaja hendak menyedapkan hati. Bukan sahaja
hati Natasya tetapi hatinya juga.
“Mmm...
mungkin,” Natasya nampak reda.
Tapi
bila sudah berlaku banyak kali, itu bukan satu kebetulan lagi.
“Sarah?”
suara Luqman memanggilnya di hujung talian sekali gus mengejutkannya
daripada lamunan.
“Err...
ya. Aku dengar,” cepat-cepat Sarah menjawab. “Teruk sangat ke
demam Nazwan?” tanya Sarah prihatin.
“Kalau
dah kena masuk air tu, teruklah kot,” agak Luqman.
“Masuk
air? Jadi, dia kena tahan di hospital ke?”
“Tak.
Mama panggil doktor peribadi datang rumah saja. Kata doktor, stress
pun ada juga. Sekarang dia tengah tidur. Jadi, aku tak pergi ke
kuliah hari ni. Takut juga ada apa-apa berlaku pada Nazwan. Sorry.”
“Tak
mengapa. Aku faham. Kau jaga Nazwan elok-elok,” reda Sarah. “Petang
nanti, lepas habis kelas aku datang melawat.”
“Thanks,”
ucap Luqman sebelum menamatkan panggilan.
Sarah
menghela keluhan berat.
“Arissa
ni, tak habis-habis buat dunia orang porak peranda!” dia mendengus
marah.
***
ARISSA
melepaskan bersin untuk kali keberapa dia pun tidak pasti. Sekali
lagi dia mencapai tisu dan mengelap hidungnya yang berair. Dia
mengeluh. Serba tidak kena jadinya. Dia hendak tidur, pernafasannya
terganggu dek kerana selesema. Bila bangun kepalanya sakit. Badannya
yang sudah menyarung dua helai baju sejuk masih lagi menggigil tetapi
dalam masa yang sama dia tubuhnya panas.
Rasa
hendak menangis pun ada. Ubat demam sudah ditelan. Begitu juga dengan
ubat selesema, batuk dan antibiotik. Tapi satu pun tidak mampu hendak
membuatkan dia tidur. Tiba-tiba dia teringatkan Nazwan. Dia ingin
menelefon Nazwan tetapi handsetnya pula tiada. Semalam dia meminjam
handset Fazira untuk menelefon Nazwan, sekarang Fazira sudah pergi ke
sekolah dan bawa pergi handsetnya.
Boleh
saja dia guna telefon rumahnya tetapi dia perlu menapak turun keluar
dari biliknya. Memang tak kuasa dia hendak bangun menapak ke bawah.
Tambahan pula dia bukannya ingat nombor handset Nazwan. Isy, memang
parah. Sudah jatuh cinta dengan Nazwan pun boleh terlupa hendak hafal
nombor handset Nazwan. Bukan sahaja nombor handset Nazwan dia tidak
tahu tetapi nombor telefon rumah Nazwan pun dia langsung tidak tahu.
“Fail!
Memang fail!” Arissa merungut tidak puas hati. Bantal kesayangannya
juga yang jadi sasaran.
“Apa
hal pula ni?” tanya Mama Fiza yang melangkah masuk ke dalam
biliknya dengan membawa sedulang bubur nasi.
“Mama
Fiza, boleh tak Rissa nak pinjam handset? Rissa nak telefon Nazwan
la. Semalam dia kata dia demam. Nak tahu keadaan dia hari ni,”
pinta Arissa.
“Boleh
je tapi dengan syarat, Rissa kena makan sikit.”
“Yelah,”
nak tak nak Arissa terpaksa menurut walaupun dia memang tidak ada
selera hendak makan. Bubur nasi yang dimasak oleh Mama Fiza dimakan
dengan lahap. Sedap atau tidak sedap, itu lain cerita. Yang penting,
dia perlu habiskan bubur nasi itu dan makan ubat seperti yang diarah
oleh Mama Fiza.
“Amboi,
demi Nazwan sanggup buat apa saja,” perli Mama Fiza yang terkejut
melihat mangkuk bubur yang disinya sudah licin dimakan Arissa. Ini
kali pertama dia melihat Arissa habiskan bubur nasi ketika demam.
Kalau sebelum ini, hendak suruh Arissa makan sesuap sudu pun payah!
Hebat
betul penangan cinta Arissa pada Nazwan!
“Nak
handset,” pinta Arissa menghulurkan tangan setelah menelan beberapa
ubat yang diberi oleh doktor semalam.
Puan
Fiza melaksanakan janjinya. Kalau jaga Arissa demam sesenang ini,
bukankah senang. Orang suruh makan, dia makan.
“Mama
Fiza ada simpan nombor Nazwan tak?” tanya Arissa.
“Ada
je dalam tu.”
“Okey,
dah jumpa,” sorak Arissa keseronokkan. Baru sahaja dia hendak
menekan butang hijau, matanya memandang Mama Fiza yang masih duduk di
hadapannya.
“Apa
Mama Fiza tunggu lagi? Pergilah keluar, Rissa nak telefon Nazwan ni.”
“Aik?
Selama ni tak pernah pula rasa malu bercakap dengan boyfriend
Rissa masa Mama Fiza ada dekat sebelah. Apa hal pula malu-malu kali
ni?” Puan Fiza sengaja ingin menyakat.
“Pergilah!
Rissa tak nak orang dengar. Nazwan tu dahlah pemalu. Kalau Mama Fiza
ada kat sebelah lagilah dia malu nak bersuara,” ujar Arissa
memberikan alasan yang tidak logik.
“Ada-ada
ajelah Rissa ni,” Mama Fiza menggeleng kelucuan. Akhirnya dia
berlalu keluar dari bilik Arissa.
Selepas
mendapati Mama Fiza sudah keluar, Arissa segera menekan butan hijau.
Lama dia tunggu panggilannya disambut tetapi suara operator juga yang
menjawab akhirnya. Namun, dia tidak berputus asa. Dia mendail buat
kali kedua.
“Helo!”
suara lesu Nazwan kedengaran di telinganya sekali gus membuatkan hati
Arissa bertambah berbunga-bunga.
“Nazwan!”
Hatinya melompat riang selepas mendengar suara Nazwan.
“Arissa,
boleh tak jangan menjerit macam tu,” tegur Nazwan dengan suara
lemah.
“Teruk
ke demam kau?” tanya Arissa terbit rasa kasihan pula.
“Tak
teruk sangat. Kena masuk air je,” ujarnya. “Thanks to you.”
“Hah?”
terkejut dia mendengarnya. “Mmm... aku minta maaf. Disebabkan aku,
tak pasal-pasal kau dapat demam percuma.”
“Boleh
tak ganti maaf kau tu dengan dengan donut?”
“Boleh!”
pantas Arissa menjawab.
“Tapi
pastikan kau buat
selepas kau habis demam.”
“Baik!”
“Aku
mengantuk. Nak tidur. Nanti kita sambung,” ujar Nazwan terus
menamatkan panggilan.
“Wahhh...,”
terguling-guling Arissa di atas katil kerana gembira selepas
mendengar suara Nazwan. Dia tidak pernah rasa begitu gembira begini.
Rasa macam dunia ini dia yang punya!
Wah..wah..demam pun sama2 ye..jodoh gitu..cik ratu bulan ..thanks for your entry..betul2 rindu dgn nazwan n arissa..