Enam
bulan kemudian...
“Reunion?”
ulang Nazwan agak terkejut dengan perlawaan itu.
“Yup.
Satu perjumpaan yang mana kita berjumpa dengan bekas rakan-rakan
sekolah yang lebih bertahun-tahun tak berjumpa, berkongsi cerita,
bergosip, kadangkala ada juga yang berlagak dengan apa yang dia
kecapi sekarang tapi aku rasa perjumpaan tu lebih kepada
tunjuk-menunjuk siapa yang lebih hebat dan siapa yang lebih bertuah
sekali,” terang Arissa yang bercakap seperti peluru berpandu. Laju
tapi Nazwan masih lagi dapat memahami rapuan Arissa tadi.
“Arissa,
aku tahu reunion tu apa. Kau tak perlu terangkan kepada aku macam aku
baru belajar kenali bahasa manusia,” balas Nazwan agak tension
dengan perangai Arissa yang tidak pernah berubah.
“Baguslah.
Jadi, kau setuju untuk jadi partner aku nanti?” tanya Arissa.
“Partner?
Aku tak nampak pun kaitan kenapa kau perlu ajak Nazwan pergi reunion
tu,” celah Luqman yang turut berada di situ.
“Sarah!”
jerit Arissa kepada Sarah yang sedang beratur membeli makanan di
kafeteria itu. Mereka menjadi perhatian pelanggan-pelanggan kafeteria
itu seketika. Setelah Sarah berpaling, barulah Arissa mula bersuara.
“Boleh aku pinjam teman lelaki kau sebagai partner aku ke reunion
tu nanti?”
“Boleh
je. Tapi sebelum tu kau kena langkah bangkai kucing aku dulu,”
balas Sarah turut menjerit dari tempatnya berdiri.
Nazwan
sekadar menggeleng. Tidak pasal-pasal mereka menjadi perhatian
pelajar lain lagi. Selama ini dia lebih selesa menjadi pelajar biasa,
yang tidak dikenali tapi apabila berkawan dengan Arissa, secara
automatik dia jadi terkenal. Salah satu contoh, seperti yang berlaku
tadi.
“Dengar
tu,” kata Arissa kepada Luqmn. Dia mengukir senyuman puas. Dia
tidak perlu terangkan lagi kenapa dia perlu ajak Nazwan ke perjumpaan
itu.
“Sarah
tak ada kucing,” kata Nazwan yang baru menyedari bahawa Sarah tidak
ada kucing peliharaan.
“Sebab
dia tak ada kucinglah dia berani cakap macam tu. Dia takut dengan
kucing. Jadi, walaupun Arissa ni seorang yang kejam dan sanggup
membunuh kucing dan langkah bangkai kucing, itu takkan berlaku sebab
Sarah tak ada kucing,” jelas Luqman yang amat memahami akan
perangai teman wanitanya itu. Setiap apa yang Sarah kata semuanya ada
makna. Mujurlah dia ada otak yang bijak untuk mentafsir setiap apa
yang Sarah suarakan.
“Aku
memang selalu bernasib baikkan,” ujar Arissa yang tidak sah kalau
tidak memuji dirinya sendiri. “Aku perlu jawapan kau sekarang,
Nazwan.”
Nazwan
teragak-agak memberikan jawapan. Dia sememangnya tiada apa-apa yang
perlu dibuat hujung minggu ini tapi menjadi partner Arissa dalam
perjumpaan yang tidak ada kena mengena dengannya memang bukan
aktiviti yang patut disertainya.
“Dilarang
sama sekali kata 'tidak'!” tegas Arissa mengejutkan Nazwan yang
baru hendak bersuara. Serta-merta dia terdiam.
“Kenapalah
kau selalu dera sepupu aku?” celah Luqman sudah tidak mampu hendak
melihat Nazwan didera secara mental oleh Arissa. Sebab itulah dia
tidak pernah sebulu apabila berhadapan dengan Arissa. Walau apa pun
dia pasti akan bertindak sebagai pembangkang.
“Dera?
Aku seorang rakan yang sangat mengambil berat akan kawan-kawan aku.
Tak ada istilah dera di sini,” bidas Arissa.
“Jangan
risau Nazwan, aku sebagai sepupu akan jalankan tanggungjawab
melindungi kau daripada ahli sihir yang cuba buat hidup kau
menderita,” ujar Luqman kepada Nazwan. Kemudian, Luqman memandang
ke arah Arissa. “Arissa, aku tahu apa yang kau fikir.”
“Aku
pun tahu apa yang kau fikir,” lantas Arissa memotong kata-kata
Luqman menyebabkan Luqman tidak mampu meneruskan kata-katanya. “Kau
mesti fikir yang aku sengaja ajak sepupu kesayangan kau ni sebab aku
nak pikat dia, bukan?”
“Ahli
sihir,” keluh Luqman yang terasa tercabar apabila Arissa menjawab
dengan tepat sekali. “Boleh tak lain kali, kau buat tak tahu
walaupun kau tahu apa yang aku fikir?”
“Kau
patut terima takdir kau yang kau tetap akan kalah dengan aku,”
balas Arissa selamba. Kemudian dia memandang ke arah Nazwan. “Okey,
sebelum kau fikir yang bukan-bukan tentang pelawaan aku ni, aku cuma
nak kau tahu, aku bukan nak kau berlakon jadi teman lelaki aku.”
“Kalau
bukan perlu berlakon jadi teman lelaki, habis tu untuk apa? Jadi
orang gaji? Pengawal peribadi? Atau juru pandu arah?” celah Luqman
lagi yang masih lagi kecoh.
“Aku
bukan bercakap dengan Luqman tapi dengan Nazwan. Sila jangan
perasan,” balas Arissa cuba mengawal dirinya. Kalau diikutkan
memang dia sudah pergi ke meja sebelah ambil secawan air kopi yang
masih panas itu dan simbah ke muka Luqman. Serentak itu dia memandang
ke arah Sarah yang berbual dengan seorang pelajar perempuan. Patutlah
lama berdiri di depan kaunter kafeteria. Tapi nasib baiklah Sarah
masih berada di situ dengan air yang dipesannya tadi tidak
sampai-sampai lagi. Kalau tidak laju aje tangannya akan simbah muka
Luqman.
“Soalan
terakhir, cuba kau beritahu aku sebab kukuh kenapa Nazwan perlu teman
kau pergi ke perjumpaan tunjuk-menunjuk siapa lebih hebat dah siapa
lebih bertuah sekali tu,” ujar Luqman masih lagi bertindak
melindungi Nazwan.
Belum
sempat Arissa hendak menjawab, Sarah menghampiri mereka dengan
membawa beberapa cawan air panas yang dipesan oleh mereka tadi. Oleh
kerana masing-masing masih lagi kenyang, mereka hanya memesan air
minuman pada petang itu.
“Sarah,
aku sayang kau tapi itu tak bermakna aku sayang teman lelaki kau.
Izinkan aku,” ujar Arissa meminta persetujuan Sarah sebelum dia
bertindak.
“Silakan,”
jawab Sarah yang lebih selesa bersikap neutral.
Arissa
tersenyum lebar. Namun, hanya lima saat. Kemudian, senyumannya
disimpan dan mempamerkan wajah serius.
“Soalan
yang bodoh tu aku akan jawab dengan simple. Sudah tentulah aku
perlukan teman untuk pergi ke sana dan teman tu semestinyalah seorang
lelaki yang cukup sifat. Buat pengetahuan kau juga kebanyakan
kawan-kawan sekolah aku sudah ada teman lelaki, tunang dan ada juga
yang sudah berkahwin tapi belum ada anak lagi. Jadi, sudah tentulah
diorang akan bawa laki bini diorang. Kalau aku bawa Sarah sebagai
teman, aku nampak seperti seorang lesbian yang malang. Dan aku tak
nak datang sana seorang diri sebab bila hadiri majlis macam ni
seorang diri aku akan jadi seperti tunggul kayu. Kau tahu apa istilah
tunggu kayu dalam masalah aku ni. Makna tunggul kayu di sini, aku
akan duduk tercegat di suatu tempat dan tengok orang kiri kanan aku
bercakap sesama sendiri tanpa pedulikan aku dan lebih teruk lagi….”
“Okey
Nazwan, sebelum dia terangkan kepada aku makna tunggul batu, tunggul
api atau segala tunggul, aku setuju sangat kalau kau temankan Arissa
pergi reunion tu,” ujar Luqman sambil memegang dahinya yang terasa
sakit mendengar bait-bait kata Arissa tanpa henti tadi.
Arissa
tersenyum puas. Sarah sekadar menggeleng. Sememangnya Luqman pasti
akan kalah apabila berbahas dengan Arissa. Bukan kerana Arissa pandai
berkata-kata tapi Luqman selalunya akan pening kepala dengan rapuan
Arissa yang entah apa-apa. Itu baru masuk bab tunggul kayu. Kalau
Luqman biarkan Arissa bercakap lagi, semua tunggul akan disebut oleh
Arissa. Pada masa itu, wujudlah istilah baru yang tidak pernah mereka
dengar.
Itu
antara senjata utama Arissa yang tidak pernah kalah.
“Jadi?
Apa jawapan kau?” tanya Arissa kepada Nazwan tanpa pedulikan
Luqman.
Kedengaran
keluhan kecil daripada Nazwan. Mungkin berat bagi Nazwan ingin
membuat keputusan.
“Kau
nak dengar aku terangkan maksud tunggul api ke?” kata Arissa yang
penat menunggu jawapan.
“Okey,”
jawab Nazwan pantas. Dia memang tidak mampu hendak menolak lagi. Dia
kenal Arissa. Selagi gadis itu tidak dapat apa yang dia mahu, dia
tidak akan berhenti mendesak.
“Yes!!”
sorak Arissa gembira sekali lagi mengejutkan pelajar-pelajar yang
berada di sekeliling mereka. “Luqman, tolong peluk Nazwan bagi
pihak aku!” tambah Arissa sedikit kuat.
“Aku
belum bersedia nak jadi gay!” balas Luqman dengan nada yang tinggi
seperti Arissa tadi.
Nazwan
menggeleng. Sekali lagi mereka menjadi tumpuan.
***
“Aku
masih tak faham, kenapa kau mesti ajak Nazwan,” tanya Sarah.
“Walaupun
aku nampak seperti seorang kawan yang tak pedulikan masalah orang
lain tapi setiap kali aku nampak Nazwan, aku rasa kesian dengan dia.
Dah enam bulan berlalu tapi dia masih tak dapat lupakan Natasya,”
jawab Arissa sambil mengeluarkan pakaian-pakaiannya daripada alamari
dan diberikan kepada Sarah untuk dilipat serta memasukkan ke dalam
bagasinya.
“Aku
tengok dia okey je. Tak adalah macam mayat hidup,” balas Sarah.
“Okey
diluar, tidak di dalam,” kata Arissa tidak setuju. “Sarah, apa
yang dia alami lebih teruk daripada keadaan orang putus cinta.
Lagipun arwah Natasya tu cinta pertama dia. Bukan senang nak lupakan
orang yang dah tiada,” tambah Arissa lagi.
“Jadi,
kau rasa dengan bawa dia pergi ke reunion tu kau yakin kau boleh buat
Nazwan lupakan Natasya?” soal Sarah lagi.
“Kalau
tak cuba kita tak tahu,” jawab Arissa acuh tidak acuh.
“Bagi
aku, cukuplah kalau dia tak jadi macam mayat hidup. Aku tahu Nazwan
masih lagi bersedih atas pemergian Natasya tapi kita sebagai kawan
perlu sokong dia. Bukannya paksa dia buat perkara yang dia tak suka,”
kata Sarah yang nampak kurang bersetuju dengan apa yang dirancangkan
oleh Arissa.
“Kau
tahu tak?” tanya Arissa.
“Tahu
apa?”
“Bila
aku berdepan dengan Nazwan, aku rasa semacam.”
“Semacam?”
“Aku
nampak tembok.”
“Hah?”
Sarah kurang faham.
“Tembok
tu makin hari makin tinggi dan makin kukuh. Sebab tu aku kata,
walaupun dia nampak okey di luar tapi tidak di dalam. Dia macam dah
jadi orang lain. Macam orang yang dikecewakan. Kalaulah Natasya masih
hidup...,” kata-kata Arissa terhenti. Hatinya sayu apabila
teringatkan Natasya.
“Arissa....”
Sarah menyedari Arissa tiba-tiba sayu.
“Sebab
tulah aku ajak dia temankan aku!” ujar Arissa penuh bersemangat.
Tiada lagi kesedihan yang terpancar di wajahnya.
Sarah
agak terkejut dengan perubahan Arissa yang mendadak itu. Tapi dia
tenang kembali. Dia terlupa, perangai Arissa memang tidak menentu.
Kadangkala sedih tapi dalam masa beberapa saat sahaja Arissa boleh
bertukar kepada mood gembira.
“Suka
hatilah,” kata Sarah yang tidak mahu melanjutkan perbincangan
mereka. Dia tahu, walau apa pun yang Arissa cuba buat adalah untuk
kebaikan Nazwan juga. Tapi dia berharap Arissa tidak bertindak luar
batas sehingga boleh merosakkan persahabatan mereka.
“Terima
kasih Sarah,” ucap Arissa dengan senyuman riangnya.
“Mmm...
sama-sama,” balas Sarah. “Tapi, ada satu lagi yang aku tak
faham.”
“Apa
dia?”
“Reunion
tu hanya 2 hari sajakan?” tanya Sarah.
Arissa
mengangguk.
“Kenapa?”
“Kalau
hanya dua hari, kenapa kau bawa baju sampai dua bagasi besar ni?”
soal Sarah dengan geram. Sembang punya sembang, dia tidak perasan
yang dia sudah melipat baju-baju Arissa masuk ke dalam dua bagasi
sederhana besar.
“Err...
perempuan,” ujar Arissa tersengih.
***
“Berkemas?”
tegur Luqman di muka pintu bilik sepupunya yang terbuka sedikit itu.
“Mmm...,”
jawab Nazwan beserta anggukkan.
“Kalau
kau rasa tak nak pergi, kau ada hak untuk tolak permintaan tu,”
kata Luqman yang melihat Nazwan seperti tiada mood berkemas. Dia tahu
sangat dengan kelemahan Nazwan yang tidak pernah membantah kalau
berhadapan dengan Arissa. Mungkin sebab itulah Arissa berjaya
menguasai sepupunya itu.
“Aku
dah janji dengan Arissa,” kata Nazwan.
“Esok
bagi alasan. Kau sakit perut, muntah-muntah dan pening kepala. Habis
cerita,” cadang Luqman.
“Dia
takkan percaya,” jawab Nazwan meletak beg sandang yang berisi
pakaiannya itu ke tepi. Dia kembali duduk di katilnya. “Bukan sebab
tu yang buat aku tak ada mood.”
“Habis
tu?”
“Aku
terfikir rancangan Arissa. Dia tu agak sukar nak dijangka.”
“Mmm...
betul,” sokong Luqman. “Rancangan dia ajak kau temankan dia pergi
ke majlis perjumpaan rakan sekolah dia tu memang diragui.”
“Kau
fikir sebab apa?” tanya Nazwan.
“Ada
beberapa kemungkinan. Pertama, mungkin dia tak nak dimalukan oleh
kawan-kawannya sebab dia tak ada boyfriend. Jadi, dia pergunakan kau
sebagai untuk berlakon jadi boyfriend dia atau...,” kata-kata
Luqman terhenti.
“Atau
apa?” tanya Nazwan.
“Aku
bukan nak takutkan kau tapi cuba kau fikir. Dah hampir setengah tahun
Natasya meninggal dunia dan hampir beberapa bulan Arissa putus cinta
dengan Zakri. Sejak dia putus dengan Zakri, dia tak pernah couple
dengan sesiapa pun. Bukan setakat couple, gedik-gedik dengan mangsa
terusnya pun tak ada. Dia macam bukan Arissa yang kita kenali sebelum
ni. Jadi, adakah itu bermakna...,” Luqman tidak meneruskan
kata-katanya tapi sebaliknya memandang tepat ke arah sepupunya itu.
“Tak
ada sebab kenapa dia perlu jatuh cinta dengan aku,” balas Nazwan
yang dapat meneka apa yang dimaksudkan oleh Luqman tadi. “Lagipun
kita semua sudah sedia maklum yang dia bukan putus cinta dengan
Zakri.”
“Ya.
Dia tinggalkan Zakri macam tu saja sebab Zakri pergi sambung belajar
ke luar negara. Dia tak nak timbul masalah percintaan jarak jauh,
bergaduh jarak jauh dan putus cinta jarak jauh, jadi dia dengan Zakri
ambil keputusan bawa haluan sendiri,” kata Luqman. “Aku tak faham
apa yang dia fikir,” tambahnya lagi.
“Dia
fikir untuk kebaikan kedua-dua pihak,” celah satu suara mengejutkan
mereka beruda. Lantas keduanya berpaling ke arah Puan Latifah yang
sudah melangkah masuk ke dalam bilik itu tanpa disedari oleh mereka
berdua.
“Fikir
untuk kebaikan kedua-dua pihak? Kenapa Luq fikir dia macam
menyelamatkan diri sendiri daripada konflik hubungan jarak jauh,
playgirl dan seorang yang pentingkan diri sendiri. Kalau betul dia
cintakan lelaki tu dia patut tanggung risiko yang bakal berlaku,”
hujah Luqman.
“Dengan
menunggu cinta yang tak pasti?” balas Puan Latifah. “Kalau mama
pun, mama akan lepaskan lelaki tu.”
“Macam
manalah papa boleh jatuh cinta dengan mama,” ujar Luqman pula.
“Luq,
zaman dah berubah. Manusia juga semakin cepat berubah. Hari ni kita
jumpa seseorang yang kita rasa sesuai dengan kita dan esok lusa kita
akan bertemu dengan jodoh kita. Bagaimana kalau dia orang masih
menjalinkan hubungan dan berjanji akan berkahwin tetapi si lelaki tu
berjumpa dengan seseorang yang lebih bagus daripada Arissa?”
“Itu
yang Luq kata risiko yang perlu ditanggung. Setia.”
“Kadangkala
setia tidak mampu menjamin jodoh yang telah ditetapkan.”
“Okey,
Luq tahu kenapa mama sokong apa yang Arissa buat. Sebab mama
perempuan. Perempuan tetap akan sokong perempuan dan memang buang
masa kalau lelaki cuba protes.”
“Bagus.
Anak mama dah pandai berfikir sekarang,” Puan Latifah tersenyum
sinis. “Ini untuk kamu,” kata Puan Latifah sambil melambung kunci
kepada Nazwan. Nazwan menyambutnya dengan kemas.
“Kunci
apa?” tanya Nazwan.
“Kunci
kereta. Mama Tifa bagi pinjam,” katanya.
“Untuk
apa?”
Puan
Latifah menarik nafas panjang. Takkan itu pun dia hendak terangkan.
“Sudah
tentulah untuk kamu bawa Arissa ke reunion tu. Takkan kamu nak pandu
kereta lama yang tak boleh jalan jauh tu,” terang Puan Latifah.
“Tempat
tu tak delah jauh sangat,” kata Nazwan yang menolak pertolongan
Puan Latifah dengan memulakan kunci itu semula tapi dihalang oleh
Luqman.
“Aku
rasa apa yang mama kata tadi memang betul,” kata Luqman kembali
memberikan kunci itu semula kepada Nazwan. “Kau perlukan kunci ni.
Cuba kau bayangkan, tiba-tiba kereta klasik kau tu breakdown kat
tengah-tengah ladang kelapa sawit. Kau berdua-duaan dengan Arissa.
Nak tak nak kau terpaksa cari motel dan kebetulan hanya ada satu
bilik saja yang kosong. Bukan ke tu dah jadi macam kisah cinta dalam
drama sekarang. Kau nak benda tu terjadi ke? Dan lepas tu aku gerenti
sama ada kau kena kahwin paksa atau kau tiba-tiba terkena sihir cinta
Arissa... Kau masih mampu mengelak semua tu berlaku dengan kunci
ini.”
“Kau
terlampau berimaginasi, Luqman,” ujar Nazwan, nak tak nak dia
mencapai kunci kereta Puan Latifah dari tangan Luqman.
“Aku
cuma nak selamatkan kau daripada jatuh cinta dengan Arissa. Dia…
tak berbaloi untuk dicintai dan aku tak nak sepupu sehidup semati aku
jatuh cinta dengan orang yang salah.”
“Tak
berbaloi untuk dicintai? Jadi, anak mama ni seseorang yang berbaloi
untuk dicintai la ya?” tegur Puan Latifah.
“Sudah
tentunya. Luq memang pencinta setia. Tengok, walau betapa garangnya
Sarah tu, dia tetap nombor satu dalam hati Luq.”
“Okey…
mama nak muntah,” ujar Puan Latifah segera berlalu keluar dari
bilik itu. Makin lama dia berada di situ, makin loya tekaknya nanti.
“Ikut
nasihat aku kalau kau sayangkan kisah cinta kau yang seterusnya!”
tegas Luqman.
kenapa ai rasa statement Luq tu sangat melampau...
Kesian Arissa..