“Sarah!
Apa yang kau cuba buat ni? Kenapa kita ke sini?” marah Natasya
apabila mendapati Sarah memberhentikan kereta yang dipinjam daripada
Arissa di hadapan banglo mewah yang menjadi tempat tinggal teman
lelakinya, Nazwan.
Selama
dia berkawan dengan Nazwan, dia tidak pernah menjejak kaki ke rumah
itu. Walaupun Nazwan pernah mengajaknya beberapa kali untuk berjumpa
dengan keluarganya, tetapi Natasya tidak pernah setuju. Biarpun dia
sudah bermalam beberapa kali di rumah Arissa yang terletak
bersebelahan dengan rumah Nazwan, tetapi dia tetap tidak berani
berhadapan dengan keluarga Nazwan lagi.
Mungkin
sebab dia masih fobia dengan cerita-cerita Sarah yang pernah dilayan
teruk oleh nenek Nazwan. Bagaimanapun hubungan mereka sudah baik. Dia
tidak pasti apa yang Sarah sudah lakukan.
“Maaf,
aku terpaksa,” kata Sarah yang sudah mematikan enjin kereta.
“Kenapa
kau buat aku macam ni?” tanya Natasya yang terasa dikhianati.
“Bertenang.
Jangan risau, aku tahu cara bagaimana nak ambil hati nenek Nazwan.
Ingat kod rahsia ni. Taeyang. Seungri. TOP. GD. Daesung,” kata
Sarah sambil menunjukkan skrin handsetnya yang terpampang wajah lima
anak muda.
“Siapa
dia orang?” soal Natasya.
“Big
Bang,” jawab Sarah. “Boyband dari Korea Selatan. K-Pop. Sangat
popular dan nenek Nazwan adalah VIP.”
“VIP?”
“Nama
fan club Big Bang. Jadi, ingat semua kod rahsia ni.”
Natasya
terdiam. Dia memang tahu tentang gelombang muzik K-Pop sedang
menguasai muzik-muzik di dunia tetapi dia tidak ambil tahu sangat
tentang dunia K-Pop. Malah, dengar lagu mereka pun tidak pernah. Dia
cuma tahu daripada wajah-wajah penyanyi Kpop yang terpampang di
facebook rakan-rakannya. Memang sejak dahulu lagi dia tidak
menggemari muzik dan kalau ditanya, muzik apa yang dia suka dengar
sekarang, dia tiada jawapan untuk soalan itu.
“Aku
tak yakin…”
“Tapi
aku yakin nenek Nazwan akan sukakan kau,” balas Sarah dengan yakin.
“Macam
mana kalau dia tak dapat terima aku?” soal Natasya.
“Kita
takkan tahu selagi kita duduk dalam kereta ni,” ujar Sarah sambil
membuka pintu kereta. Mahu tak mahu, Natasya turut melangkah keluar
dan mengekori Sarah yang sudah mengorak langkah menghampiri pintu
utama.
“Ready?”
soal Sarah kepadanya.
Natasya
menarik nafas panjang dan menghembusnya semula. Sememangnya dia masih
takut hendak berhadapan dengan keluarga Nazwan tetapi apa yang Sarah
ucapkan pada Arissa tadi ada benarnya. Walau berapa banyak kali dia
cuba mengelak daripada menghadapi masalah ini, dia tetap akan
menghadapinya suatu hari nanti.
“Okey…
ready,” jawab Natasya dengan sedikit keyakinan yang ada.
“Jom,”
ujar Sarah sambil menolak pintu utama rumah itu. Natasya terkejut
dengan tindakan Sarah yang selamba masuk ke dalam rumah itu.
“Masuk
rumah orang tanpa beri salam?” tanya Natasya yang masih tidak
berani melangkah ke dalam.
“Mama
Tifa tahu kita nak datang lagipun dia tengah sibuk kat dapur,” ujar
Sarah terus menarik Natasya masuk ke dalam.
“Sarah…,”
satu suara kedengaran memanggil nama Sarah.
“Assalamualaikum
Mama Tifa,” sapa Sarah kepada wanita yang kini berdiri di hadadapan
mereka.
Daripada
gaya wanita itu, dia sudah tahu gerangan orangnya. Tambah lagi Sarah
memanggil wanita dengan panggilan Mama Tifa. Dia yakin, itulah ibu
saudara Nazwan dan ibu kepada Luqman.
“Dan
ini mesti Natasya, bukan?” teka Puan Latifah kepada Natasya.
Natasya segera bersalaman dengan wanita itu. Dia berasa sedikit lega
apabila Puan Latifah menegurnya dengan mesra namun perasaan gemuruh
itu tetap ada.
“Dia
masih takut,” kata Sarah mengetawakan Natasya.
Natasya
membalasnya dengan pandangan tajam.
“Tak
ada apa yang nak ditakutkan. Siapa yang Nazwan pilih, mak cik tetap
akan terimanya tapi mak cik tak sangka…,” kata-kata Puan Latifah
terhenti tiba-tiba dan memandang Natasya dari hujung rambut ke hujung
kaki.
Natasya
mula rasa cuak dengan pandangan wanita itu. Pandangan wanita itu
macam cuba mencari apa yang tidak kena dengan dirinya. Boleh
dikatakan wanita itu memandang setiap inci tubuh badannya.
“Nazwan
ada beritahu tentang apa yang membuatkan kamu takut nak jumpa kami.
Emm… memang mama mak cik agak cerewet dalam memilih menantu dalam
keluarga ni tambah lagi dengan Nazwan adalah cucu kesayangannya,”
ujar wanita itu sambil mengeluh. “Tapi jangan risau, mak cik akan
berada di sisi kamu tapi sebelum tu… ada sesuatu yang perlu mak cik
pastikan.”
“Apa
dia?” tanya Natasya yang sudah bersedia hendak menjawab apa jua
soalan yang dikemukakan kepadanya.
Kalau
dia ditanya tentang hal keluarganya, dia akan beritahu perkara yang
sebenar tentang keadaan keluarganya. Dia tidak mahu mencipta cerita
palsu semata-mata hendak menambat hati keluarga Nazwan.
“Kamu
tahu macam mana nak masak nasi beriani?” tanya Puan Latifah sambil
mengukir senyuman. “Sebab… mak cik terfikir nak masak nasi
beriani untuk makan malam ni tapi….”
“Mama
Tifa memang fail
dalam masakan Melayu,” celah Sarah selamba.
“Err…
walaupun saya tak beberapa mahir tapi… saya pernah belajar daripada
ibu saya,” jawab Natasya teragak-agak. Sempat lagi dia menjeling ke
arah Sarah. Ini pasti Sarah punya cerita sebab Sarah sudah sedia
maklum bahawa dia memang suka masak nasi beriani.
“Bagus!
Hari ini kamu jadi ketua chef,” ujar Puan Latifah sebelum menjemput
mereka berdua berlalu ke dapur.
***
Nazwan
memberhentikan keretanya di belakang sebuah kereta Myvi. Melihat
sahaja Myvi itu dia sudah dapat menganggak ada berita baik bakal
menyusul. Sarah berjaya memujuk Natasya datang ke rumahnya.
Buka
sahaja pintu rumahnya, satu haruman yang datang dari dapur menusuk
hidungnya. Ini kali pertama dia bau masakan yang harum. Walaupun Mama
Tifa rajin memasak tetapi masakan Mama Tifa lebih kepada masakan
barat.
Neneknya
yang tidak menggemari makanan barat banyak menegur Mama Tifa tetapi
Mama Tifa tetap dengan kegemarannya itu. Akhirnya mereka sekeluarga
terpaksa menghadap makanan barat setiap hari.
“Kenapa
Luq rasa macam dapur kita tu rindu dengan masakan Melayu?” sapa
suara Luqman tatkala kaki Nazwan sudah melangkah ke dapur. Dia tidak
menyedari langsung kehadiran Luqman di belakangnya.
“Jangan
nak mula, Luqman,” ujar Puan Latifah sekali dengan jelingan
tajamnya.
“Mama,
ini adalah kata-kata ikhlas daripada seorang anak yang juga mewakili
semua orang yang duduk dalam rumah ni yang terlalu rindu masakan
Melayu. Oh, jangan lupa buat sambal belacan….”
“Luqman,”
tegur Puan Latifah lagi.
“Luq
cuma nak berlaku jujur,” kata Luqman.
“Rumah
ni tak ada cili dan belacan,” kata Puan Latifah.
“Seseorang
patut pergi beli,” kata Luqman sambil memberikan isyarat kepada
mamanya. Puan Latifah yang ingin menegur anaknya tadi terus tidak
jadi tegur apabila dapat mentafsir isyarat yang Luqman berikan.
“Betul.
Seseorang patut pergi beli,” sokong Puan Latifah sambil memandang
ke arah Sarah dan Natasya. Keduanya nampak tidak dapat menangkap apa
yang anak beranak itu sedang berbual.
“So,
siapa yang patut pergi beli?”
“Nanti!”
kata Sarah. “Kita masak nasi beriani dan bukannya ikan bakar atau
nasi kukus yang memerlukan sambal belacan sebagai perasa,” kata
Sarah.
Natasya
mengangguk. Kata Sarah itu ada benarnya.
“Kamu
pernah tengok orang makan pisang goreng cicah dengan sos cili?”
tanya Puan Latifah.
Natasya
dan Sarah menggeleng. Serentak itu, Puan Latifah dan Luqman memandang
ke arah Nazwan yang hanya duduk senyap di pintu dapur.
“Nazwan?”
kata Sarah sedikit terkejut. Selama dia berkawan dengan Nazwan, dia
teramat pasti, Nazwan bukan sepelik itu.
“Oh,
itu baru satu. Ada banyak lagi cara makanan pelik yang dia suka buat
dalam rumah ni. Tahu tak popcorn? Dia makan popcorn cicah dengan
kicap. Dan dia teramat suka makan donut cicah dengan sos cili,”
tambah Luqman lagi.
“Sangat…
alien,” kata Sarah yang teramat terkejut dengan gaya pemakanan
Nazwan yang pelik itu.
“Okey,
cili dengan belacan bukan? Luq, jom pergi beli,” ajak Nazwan
sengaja tidak mahu mereka membongkar rahsia-rahsianya yang lain.
“Dude,
kita tak boleh pergi bersama. Kau pernah tengok belacan? Kau tahu
rupa belacan tu macam mana? Aku suka makan sambal belacan tapi
sejujurnya aku sendiri tak tahu rupa belacan tu dan aku tak rasa kau
tahu tentang belacan sebab kau masih fail
bezakan gula dengan garam dalam rumah ni,” kata Luqman.
Nazwan
terdiam.
“Err...
Rupa belacan tu macam mana?” tanya Nazwan setelah terdiam beberapa
minit.
***
“Makan
pisang goreng cicah sos, makan popcorn dengan kicap dan makan donut
dengan sos cili. Kenapa saya tak pernah tahu yang saya ada seorang
teman lelaki yang pelik? Malah lagi pelik bila saya dapat tahu awak
tak dapat bezakan antara garam dan gula,” kata Natasya sebaik
sahaja kereta yang dipandu oleh Nazwan memasuki jalan raya.
Disebabkan
masing-masing tidak tahu rupa belacan, Natasya terpaksa mengikut
Nazwan pergi beli belacan. Di sekitar taman perumahan Nazwan tidak
ada kedai runcit, jadi mahu tidak mahu, mereka terpaksa hidupkan
enjin kereta dan keluar dari taman rumah itu untuk membeli.
“Dan
keluarga awak memang pelik. Seorang pun tak tahu rupa belacan?”
tanya Natasya lagi menambah. “Selalunya kat rumah tu siapa yang
masak?”
“Mama
Tifa. Macam Luqman kata tadi, Mama Tifa lebih suka masak makanan
barat jadi... kami hanya makan apa yang dimasak. Kalau kami
sekeluarga teringin nak makan masakan Melayu, kami akan makan
diluar,” jawab Nazwan.
“Nampaknya
kita berdua memang datang dari dunia yang berbeza,” ujar Natasya
yang mula membandingkan kehidupan Nazwan dengan kehidupannya. Memang
jauh berbeza. Dia dengan ibunya terpaksa bekerja keras untuk mencari
sesuap nasi manakala Nazwan hanya perlu memilih makanan dan restoran
di hadapan mata.
“Ya.
Kita datang dari dunia yang berbeza. Kadangkala saya pun
tertanya-tanya, kenapa mesti awak tapi saya tak dapat jawapan yang
pasti. Cuma satu saja yang saya fikir, kita memang datang dari dunia
yang berbeza tapi dalam masa yang sama, kita sudah cipta satu dunia
yang sama,” balas Nazwan.
“Cipta
satu dunia yang sama?” ulang Natasya dan mendiamkan diri seketika.
Otaknya
ligat berfikir. Mungkin betul kata Nazwan. Mungkin dia terlampau
memikirkan status dan darjat dan menganggapnya sebagai satu masalah
yang besar. Padahal, tiada isu di situ. Dia juga mungkin terlampau
memikirkan penerimaan nenek Nazwan dan berasa takut hendak berjumpa
dengan nenek Nazwan disebabkan pengalaman Sarah dahulu, padahal
sebenarnya tiada apa yang perlu ditakutkan.
Ya.
Itu semua hanyalah perasaan takut. Perasaan itu akan terus memburu
orang sepertinya yang takut menghadapi kenyataan.
“Saya
dah buat keputusan...,” kata Natasya selepas mendiamkan diri.
“Hah?
Keputusan apa?” tanya Nazwan berpaling memandang Natasya. Namun,
kerana dia terpaksa memandu, dia kembali memandang ke hadapan.
Bagaimanapun dia dapat melihat wajah Natasya yang serius. Entah
keputusan apa yang telah Natasya buat.
“Mulai
hari ini... saya akan pastikan awak kenal rupa belacan, rupa gula,
rupa garam dan semua sekali barang-barang dapur!” ujar Natasya
dengan penuh bersemangat.
“Laa...,”
Nazwan menghela nafas panjang. Punyalah kuat jantungnya berdegup.
Apabila mendengar kenyataan Natasya tadi, barulah jantungnya berdegup
sedia kala. “Saya ingat awak nak break up dengan saya,” dia
menghela nafas lega.
“Jadi,
awak nak kenal tak dengan rupa belacan?”
“Walaupun
saya tak beberapa suka makan sambal belacan tapi... mestilah saya nak
kenal. Lagipun saya tak nak jadi teman lelaki yang tak berguna,”
jawab Nazwan.
“Awak
memang bermulut manis.”
***
Sunyi.
Itulah yang yang dia rasa sewaktu melangkah masuk ke dalam rumahnya.
Sebelum ini, kehadirannya akan disambut oleh Mama Fiza, ibu tirinya
ataupun Fazira, adik tirinya. Walaupun mereka berdua bukan sebahagian
daripada darah dagingnya, tetapi dengan adanya mereka, hidupnya lebih
bermakna. Tidak sampai satu hari, dia sudah ada perasaan kesunyian,
apatah lagi kalau mereka berdua melangkah pergi daripada hidupnya.
“Mesti
lagi sunyi,” ujar Arissa keseorangan.
Dia
berlalu ke dapur rumahnya. Ketika melangkah masuk menghampiri peti
ais, dia terbayangkan kelibat Mama Fiza yang sedang menyediakan makan
malam. Sepatutnya waktu ini Mama Fiza akan sibuk menghidangkan makan
malam. Walaupun sibuk dengan perniagaan butik pengantin, tetapi Mama
Fiza tetap akan menyediakan makan malam buat mereka sekeluarga –
kecuali papanya yang jarang pulang makan malam.
Arissa
tidak pernah mengenali ibu kandungnya. Ibu kandungnya meninggal dunia
sebaik sahaja melahirkannya. Walaupun begitu, dia bersyukur kerana
arwah ibunya ada meninggalkan diari dan video sebelum meninggal
dunia. Diari dan video itu merupakan faktor utama kenapa dia harus
menghargai setiap pengorbanan ibunya selama ini.
Salah
satu mesej yang arwah ibunya tinggalkan adalah terima dengan hati
terbuka jikalau suatu hari nanti dia ditakdirkan akan mendapat ibu
tiri. Semasa umurnya masuk lima tahun, papanya berkahwin. Namun,
bukan dengan Mama Fiza. Ibu tirinya yang pertama seorang wanita
bermata duitan. Disebabkan pada masa itu dia dibesarkan di kampung,
dia tidak mengenali wanita itu secara dekat. Jumpa pun boleh dikira
dengan jari.
Perkahwinan
itu tidak sampai lima bulan. Semuanya sebab arwah neneknya mendesak
papanya bercerai. Perkahwinan ketiga papanya juga tidak kekal lama.
Arissa tidak pasti sebab apa. Selepas papanya bercerai, barulah Mama
Fiza muncul dalam kehidupan mereka sekeluarga. Awalnya perkahwinan
itu dibantah oleh neneknya sebab Mama Fiza ada seorang anak tapi
entah macam mana nenek dapat terima Mama Fiza. Mungkin sebab Mama
Fiza tidak seperti bekas-bekas isteri papa yang lain.
Tapi,
walau sebaik manapun Mama Fiza, papanya tidak pernah berasa cukup.
Tanpa pengetahuan mereka, papanya berkahwin senyap-senyap. Mama Fiza
memang seorang isteri yang sabar. Dia tetap tenang semasa menerima
berita itu. Cuma sejak akhir-akhir ini, kesabaran Mama Fiza sudah
tidak dapat dikawal lagi.
Dia
berada dipihak berkecuali. Begitu dengan Fazira. Walaupun begitu, dia
berharap mereka akan berbaik semula.
“Fikir
apa?” sapa satu suara mengejutkannya daripada lamunan.
“Papa!”
ujar Arissa sambil mengerut dadanya yang bagaikan melompat keluar
dari tubuhnya. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an tiba-tiba
berdiri di hadapannya. Manalah dia tidak terkejut.
“Jauh
kamu termenung tadi. Fikir masalah negara ke?”
Arissa
menghela nafas panjang. Dia tahu papanya memang suka membuat lawak
yang tidak kena tempat tapi ini bukan masanya untuk berlawak.
“Papa,
kita perlu berbincang,” tegas Arissa.
“Ya.
Kita perlu berbincang. Kita akan berpindah dari rumah ni.”
“Apa?!”
***
Bagi
Natasya, ini kali pertama dia merasakan dirinya seperti berada di
dalam kandang harimau. Dia berasa berpeluh sepanjang masa. Malah,
tubuhnya menggigil ketakutan. Semuanya bermula selepas dia kembali ke
rumah itu selepas membeli belacan. Sampai sahaja, dia diperkenalkan
dengan nenek Nazwan. Sewaktu dia perkenalkan diri, nenek Nazwan tidak
berkata apa tetapi memandangnya dengan tajam. Macam dia baru sahaja
melakukan kesalahan besar. Padahal, ini kali pertama mereka bertemu.
Memang
benarlah apa yang Sarah kata dahulu. Nenek Nazwan amat menakutkan.
Kini, dia tidak yakin sama ada dia dapat memikat hati nenek Nazwan
seperti mana yang dilakukan oleh Sarah. Tiba-tiba sahaja dia rasa
putus harapan.
“Kenapa
seorang pun tak beritahu nenek yang kita ada tetamu baru hari ni?”
tanya Puan Azizah memecah kesunyian pada malam itu.
Masing-masing
yang berada di meja itu bagaikan tercekik nasi. Apatah lagi Natasya
yang sudah berasa serba salah.
“Kamu
Nazwan,” tegur Puan Azizah. “Kenapa nak sorok-sorok dengan nenek
yang kamu ada teman wanita?”
“Nenek,
bukan niat....”
“Nenek
bercakap dengan Nazwan bukan dengan kamu,” tegas Puan Azizah
memotong kata-kata Luqman. Mendengar suara neneknya yang mula naik,
Luqman terus terdiam. “Tak tahulah dengan budak-budak sekarang. Nak
bercinta pun sorok-sorok. Ingat nenek ni apa? Orang tua yang jahat
nak hancurkan kebahagiaan cucu sendiri?”
“Nenek,
bukan macam tu,” Nazwan mula bersuara.
“Habis
tu?”
“Kadangkala
nenek agak menakutkan...,” jawab Nazwan perlahan-lahan.
Masing-masing memandang ke arah Nazwan. Kesemuanya tidak percaya
dengan apa yang mereka dengar. Ini kali pertama Nazwan berani
bercakap sesuatu yang mengejutkan mereka semua.
“Apa?!”
Puan Azizah mula meninggikan suara.
Nazwan
kemudiannya mengukir senyuman. Dia kelihatan tidak takut langsung
dengan suara tinggi neneknya tadi.
“Tapi
nenek kata, nenek takkan hancurkan kebahagiaan cucu nenek, kan?”
Mendengar
Nazwan berkata demikian, terus Puan Azizah kembali bertenang.
“Lain
kali jangan nak sorok-sorok dengan nenek lagi. Bukan ke nenek dah
kata awal-awal, tak kira siapa pun yang kamu pilih, nenek takkan
bantah asalkan kamu semua bahagia,” ujar Puan Azizah sedikit
membuatkan Natasya menarik nafas lega.
“Nenek
memang nenek terbaik di dunia,” puji Luqman.
“Baru
kamu tahu ke?” kata Puan Azizah menjeling tajam.
Luqman
sekadar tersengih.
Tiba-tiba
mereka semua dikejutkan dengan kehadiran Arissa yang masuk melalui
pintu belakang. Tanpa memberikan salam, Arissa terus melangkah masuk
dan berlalu duduk ke kerusi kosong sebelah Puan Latifah.
“Kita
patut lakukan sesuatu dengan pintu belakang tu,” kata Luqman yang
masih lagi terkejut dengan kehadiran Arissa tanpa diundang itu.
“Apa
hal pula ni?” tanya Puan Latifah.
“Papa
tu! Dia..,” kata-kata Arissa terus terhenti apabila terbau sesuatu
yang harum. “Eh, nasi beriani!” ujarnya separuh menjerit. “Eh,
Natasya pun ada? Ohhh... rupanya kau orang berkumpul tak ajak aku,”
tambah Arissa lagi sambil menarik muka. “Tapi... aku tak peduli.
Aku nak makan nasi beriani juga!” ujar Arissa sebelum berlalu ke
dapur.
“Dia
memang macam tu. Redah masuk rumah orang dan tumpang makan,” kata
Sarah kepada Natasya yang kelihatan masih blur dengan situasi itu.
“Abaikan
dia,” tambah Luqman lagi.
“Luqman,”
tegur Puan Latifah. “Walau apa pun dia tetap sebahagian daripada
keluarga kita.”
“Betul
tu,” sokong Arissa yang muncul semula di meja makan dengan membawa
pinggan dan cawan untuknya sendiri. Tanpa rasa segan silu, dia
menceduk nasi di hadapannya. “Lagipun, mungkin selepas ini kau akan
rindu aku.”
“Biarpun
kau tersesat kat dunia lain, aku takkan rindukan kau,” balas
Luqman.
“Sweetnya.
Aku akan ingat kata-kata kau selama-lamanya,” balas Arissa selamba.
Walaupun kata-kata Luqman tadi serius, tetapi dia langsung tidak
menunjukkan reaksi sakit hati.
“Kenapa
Arissa cakap macam tu?” tanya Puan Latifah.
“Sebab
papa dengan Mama Fiza dah bercerai. Kebetulan papa terpaksa pindah ke
Perak semula dan dia berhasrat nak bagi rumah tu kepada Mama Fiza,
jadi, nak tak nak saya pun akan ikut papa balik Perak,” jawab
Arissa secara ringkas.
“Yes!
Itu yang aku nak dengar,” kata Luqman lagi.
“Luqman!”
tegur Puan Latifah yang tidak senang dengan perangai anaknya itu.
“Habis tu macam mana dengan pelajaran Arissa?”
“Saya
tak nak fikirkan tentang masalah-masalah yang remeh-temeh tu. Buat
masa ini, apa yang saya fikirkan adalah makan nasi beriani dengan
puas!”
***
“Kenapa ni?
Tiba-tiba saja nampak macam tak ada semangat saja? Masih takut dengan
nenek lagi ke?” tanya Nazwan di sebelah.
Natasya
menghela nafas berat. Nazwan yang sedang memandu menghantarnya pulang
ke rumah di pandangnya. Serius. Dia tidak ada mood sekarang.
Tiba-tiba sahaja dia rasa seakan putus harapan. Sepatutnya dia boleh
menghela nafas lega kerana nenek Nazwan dapat menerima kehadirannya.
Malah, dia juga sempat berbual dengan nenek Nazwan tadi. Ternyata
nenek Nazwan tidak kisah dari mana dia berasal. Dia patut berasa
gembira kerana tiada apa yang dapat menghalang hubungannya dengan
Nazwan lagi.
Namun,
ada sesuatu yang membuatkan dia kurang gembira. Arissa. Tiba-tiba
rasa cemburu terhadap Arissa makin menguasai hatinya. Dia cemburu
dengan Arissa yang begitu rapat dengan keluarga Nazwan. Apa sahaja
yang Arissa buat tetap menjadi perhatian keluarga Nazwan. Malah,
nenek Nazwan kelihatan begitu menyayangi Arissa.
Sepatutnya,
malam ini, dia yang patut menjadi perhatian keluarga Nazwan tetapi
datang sahaja Arissa, dia seperti tidak wujud di situ. Semuanya
Arissa. Mereka hanya bertanya beberapa soalan kepadanya tetapi
kemudian menyoal bermacam-macam soalan kepada Arissa. Biarpun Arissa
menjawab dengan acuh tidak acuh tetapi mereka tetap bertanya. Keadaan
itu berlanjutan sehinggalah Luqman menyampuk perbualan mereka dengan
menyuruh mereka berhenti melayan Arissa sebaliknya memberi tumpukan
kepada Natasya.
Sejujurnya,
dia memang terasa tetapi baginya, tidak perlu mengadu pada Nazwan.
“Saya
penat hari ni,” jawab Natasya cuba menyembunyikan perasaannya.
Kalaulah Nazwan tahu apa yang dia sedang alami sekarang, entah apakah
reaksi Nazwan.
“Memang
patut pun,” balas Nazwan pendek. “Awak tidurlah. Nanti kalau dah
sampai saya akan kejutkan.”
“Terima
kasih Nazwan,” ucap Natasya dengan senyuman manis.
Dia
memejam mata. Dia memang penat hari ini. Tenaganya bagaikan sudah
hilang walaupun dia baru sahaja menikmati makan malam beberapa jam
tadi. Sepatutnya tubuhnya kembali bertenaga.
“Saya
tahu awak risaukan Arissa,” kata Nazwan lagi.
Mendengar
sahaja nama Arissa, mata Natasya terus terbuka luas.
“Macam
mana awak tahu?” tanya Natasya dengan jantung berdebar-debar.
“Saya
pun risaukan dia,” balas Nazwan.
Lagi
buat jantung Natasya berdebar.
“Maksud
awak?” tanya Natasya.
“Jangan
salah faham. Saya memang risaukan dia tapi selalunya saya tak ambil
peduli sangat dengan masalah dia. Dia tu... jenis yang tak ada
perasaan. Tengoklah tadi, orang tanya soalan serius, dia jawab entah
apa-apa. Sejak dulu lagi, bila ada masalah besar yang menimpanya, dia
tak pernah ambil peduli. Jadi, berita penceraian papa dan mama tiri
dia tu takkan buat dia hilang arah. Dia gerenti takkan ambil peduli
dengan hal diorang. Mungkin lebih baik dia pindah balik ke Perak,”
terang Nazwan yang begitu mengenali Arissa.
Mendengar
kata-kata Nazwan tadi membuatkan Natasya terdiam. Rupanya dia salah
sangka. Nazwan tidak tahu apa yang difikirnya. Bagaimanapun dia baru
teringat akan masalah yang melanda Arissa. Entah kenapa dia tidak
ambil peduli tentang masalah itu. Sebagai kawan dia sepatutnya ada
rasa simpati terhadap Arissa dan sedih apabila Arissa beritahu akan
kembali ke Perak tapi terbalik pula. Dia gembira dengan berita itu.
“Kesian
dia,” kata Natasya berpura-pura sedih.
“Buang
masa saja kesiankan dia,” kata Nazwan tiba-tiba.
Natasya
memandang Nazwan. Dia turut terkejut dengan apa yang dia dengar tadi.
Tidak sangka Nazwan sanggup berkata begitu. Tapi, dia cukup gembira.
Kalau Nazwan kata begitu, itu bermakna Nazwan memang tidak ada
sebarang perasaan terhadap Arissa. Dia ingin menyokong tapi suara
hatinya membantah. Nazwan tidak perlu tahu apa yang dia fikir!
“Awak
ni, tak baik kata macam tu!” marah Natasya memukul bahu Nazwan.
“Aduh!
Saya tengah memandu ni. Nanti tak pasal-pasal kita bermalam di
hospital.”
“Bermalam
di neraka pun saya sanggup apatah lagi bermalam di hospital. Asalkan
bersama awak,” balas Natasya selamba.
“Mulut
awak ni....”
Natasya
sekadar tersenyum.
Sejurus
kemudian, handset Natasya berbunyi menandakan ada satu mesej masuk.
Natasya segera mengeluarkan handsetnya dari begnya dan membaca mesej
itu. Tiba-tiba muka Natasya berubah seperti baru sahaja menerima
berita buruk.
“Kenapa?”
Natasya
tersentak.
“Err...
tak ada apa. Mak saya bagi mesej. Dia tak balik rumah hari ni sebab
ada hal,” ujar Natasya segera menyimpan handsetnya.
“Habis
awak tinggal seorang diri?”
“Tak.
Selalunya kalau mak tak ada saya tidur rumah jiran saya,” jawab
Natasya berbohong. Hanya dengan berbohong sahaja dapat menyingkir
perasaan bimbang Nazwan. Kalau tidak, Nazwan pasti tidak akan
benarkan dia bermalam seorang diri di rumah.
“Kalau
macam tu, jaga diri,” balas Nazwan seperti apa yang difikirnya.
***
Arissa
memandang jam di dinding biliknya. Sudah pukul 7.00 pagi. Cahaya
matahari sudah mula memancarkan sinarnya. Namun, dia masih lagi duduk
termenung di meja tulis. Kulit mukanya terasa tegang kerana semalaman
dia tidak dapat lelapkan mata. Pelbagai perkara yang dia fikir.
Selepas satu masalah. Satu lagi masalah yang datang menimpanya.
“Jangan
muncul depan aku lagi,” kata-kata Natasya malam tadi masih lagi
ternyiang-nyiang di benaknya.
Arissa
menghela nafas berat.
“Ahh...
kenapa Natasya kata macam tu?” ujar Arissa sendirian sambil
menggaru kepalanya. Rambutnya sudah berserabut tidak terurus.
Dia
berpaling ke arah handsetnya. Sejak tengah malam tadi handsetnya
berbunyi beberapa kali. Semua panggilan daripada Natasya tapi dia
sengaja tidak mahu mengangkatnya. Bukan merajuk tapi dia masih lagi
terkejut. Dia bagaikan tidak kenal Natasya yang dijumpainya malam
tadi. Natasya bagaikan mempunyai personaliti lain. Yang lagi gelap.
Serius. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Kau
memang manusia yang tak berhati perut! Sanggup kau buat aku macam ni?
Aku doakan kau takkan dapat hidup bahagia selamanya!
Terbeliak
mata Arissa apabila membaca mesej yang diterima daripada Natasya. Dia
tidak tahu apa yang sudah merasuk Natasya sehingga Natasya sanggup
bagi mesej begitu. Hanya air mata sahaja yang dapat mengungkap
perasaannya kini.
Walau
apa pun yang Natasya tuduh, dia berharap Natasya tidak bertindak
diluar batasan. Dia tetap sayangkan Natasya sebab hanya Natasya yang
dia ada.
Tiba-tiba
handsetnya berbunyi. Tangan Arissa yang masih menggigil memegang
handset. Nama Sarah tertera di skrin handsetnya. Arissa lantas
mengesat air matanya dan cuba mengawal perasaan sedihnya. Apa yang
penting, Sarah tidak perlu tahu. Kalau Sarah sudah tahu, dia sanggup
menghadapinya.
“Helo,”
jawab Arissa dengan nada biasa.
Senyap.
Suara Sarah langsung tidak kedengaran. Tapi dari jauh dia dapat
mendengar sesuatu. Macam bunyi tangisan.
“Sarah?”
panggil Arissa.
Bunyi
tangisan itu semakin jelas.
“Sarah?
Kenapa ni? Kau menangis?” tanya Arissa cuak.
Tiada
apa yang mampu buat Sarah menangis. Antara mereka bertiga, Sarah
adalah orang yang paling kuat. Dia jarang menangis. Tengok drama
korea yang sedih-sedih pun air mata dia tetap kebal. Langsung tidak
pernah menitik.
“Arissa...,”
suara Sarah teresak-esak. Macam orang tidak cukup nafas sahaja.
Mendengar
Sarah menangis, jantungnya berdegup pantas. Dia seakan ingin
menyambung tangisannya tadi. Walaupun belum lagi mendengar berita
daripada Sarah tapi dia pasti dan sangat pasti bahawa ada satu berita
buruk yang akan diterimanya.
“Sarah,
janganlah buat aku macam ni. Apa dah berlaku?” hati sensitifnya
semakin sensitif. Hujan turun dahulu sebelum mendengar berita buruk
itu.
“Natasya.”
Nama Natasya disebut Sarah. Nafas Arissa tersekat-sekat.
“Tak,”
Arissa tidak mahu mendengar selebihnya.
“Natasya...
kawan kita dah tak ada!”
Natasya dah takde? biar betul ni??
RB.. penyeksaan jiwa, hati dan minda ni.. nak tau ape jd..
Uhuk..uhuk..