Bab 1 - Kawan dan Keluarga
Bab
1
“Eeuuu…
kau mimpi hampir nikah dengan Nazwan?” kata Sarah dengan mimik muka
yang menjengkelkan setelah Arissa menceritakan mimpi yang dialami
olehnya malam tadi.
“Memang
eeuuu… Nasib baik aku sempat halang, kalau tak memang punah masa
depan aku nak jadi isteri Zakri nanti!” balas Arissa sambil
menjeling tajam ke arah Nazwan Syah yang turut berada di situ. Lelaki
yang tinggi lampai itu sekadar mendengar dan menjamah hidangan tengah
hari yang dibelinya tadi.
“Aku
dah kata, semua tu hanya mimpi. Kenapa kau nak kisah sangat sampai
telefon aku pagi-pagi buta. Tak perlulah panik sangat,” jawab
Nazwan tenang seperti selalu.
Seolah-olah
tiada apa yang perlu dirisaukan. Arissa mengeluh. Bercakap dengan
Nazwan memang buang tenaga sahaja. Lelaki itu tidak pernah ambil
peduli dengan apa yang dia ucapkan.
“Macam
mana kalau mimpi tu betul-betul akan berlaku? Macam mana kalau suatu
hari nanti, kita kena kahwin paksa? Macam mana kalau suatu hari nanti
kita terlanjur dan dipaksa kahwin? Macam mana kalau suatu hari nanti
kita kena tangkap basah dan kita kena kahwin? Macam mana kalau suatu
hari nanti kita betul-betul akan berkahwin?!” ujar Arissa menahan
geram.
“Kenapa
semuanya contoh kahwin paksa?” soal Sarah.
Arissa
menjeling memandang Sarah. Jelingan Arissa menyebabkan Sarah mengunci
mulutnya serta-merta.
“Aku
paling tak suka dapat mimpi macam ni. Otak aku akan sentiasa berfikir
dan berfikir segala kemungkinan dan ianya hanya akan berakhir kalau
aku dapat mimpi yang memberikan petanda yang baik. Aku masih ingat
lagi, masa aku berada di sekolah menengah, aku bermimpi seorang budak
lelaki yang paling aku benci bagi bunga kat aku dan beberapa hari
kemudian dia betul-betul bagi aku bunga. Kau nampak apa yang
membuatkan aku panik sekarang? Dan aku takut bila benda tu berlaku,
aku akan dicop perampas dan Natasya gerenti akan tumbuk aku sampai
lebam sebab curi cinta hati dia,” tambah Arissa dengan panjang
lebar.
“Aku
tak sejahat macam tu, Arissa,” Natasya yang mendiamkan diri sejak
tadi mula bersuara. Gadis tinggi lampai yang pernah jadi model itu
juga geli hati mendengar mimpi Arissa.
“Sorry
Natasya, aku tak tahu apa yang dah berlaku sampai aku termimpikan
teman lelaki kau. Serius, aku langsung tak ada sedikit pun perasaan
terhadap Nazwan. Dia yang sibuk-sibuk nak nikah dengan aku,” tegas
Arissa sambil mengangkat tangannya paras bahu seakan berikrar.
“Jangan
risau. Aku tahu. Aku kenal kau. Kau kawan baik aku,” ujar Natasya.
“Oh…
thank you Natasya. Kau memang kawan baik aku selamanya,” tambah
Arissa lagi sambil memeluk Natasya dengan erat.
“Okey,
okey. Aku tahu tapi kalau kau peluk aku dengan kuat sampai buat aku
tak bernafas, bukan kawan namanya tu,” ujar Natasya meronta-ronta
minta dilepaskan.
“Sorry!”
ucap Arissa terus melepaskan pelukannya selepas menyedari hal itu.
Mungkin kerana terlampau gembira, dia tidak sedar yang pelukannya
hampir membuatkan rakannya itu tidak dapat bernafas.
“Aku
masih ragu-ragu dengan mimpi kau lagi," ujar Luqman yang baru
bersuara.
Sekali
pandang, Luqman seperti seorang pelajar skema kerana selain
pakaiannya yang nampak skema, dia juga memakai cermin mata bulat yang
menjadi kegemaran pelajar skema yang lain. Namun, pada hakikatnya,
Luqman merupakan seorang yang selalu mencari pasal dengannya. Lagi
satu, cermin mata bulatnya itu hanyalah hiasan semata-mata.
“Kenapa?”
tanya Arissa yang pada awalnya malas ingin bertanya.
“Kau
pasti kau mimpi pasal Nazwan hampir bernikah dengan kau? Atau kau
dengan dia hampir...," kata-katanya terhenti di situ tetapi dari
gayanya dia cuba ingin untuk bercakap sesuatu.
“Apa
yang kau cuba terangkan ni?” tanya Arissa mengerut dahi.
“Errr...
Kita pernah belajar pasal perbezaan lelaki dengan perempuan di
sekolah dulu... Aku tak pasti tingkatan berapa tapi aku suka dengan
subjek tu. Tambah lagi cikgu yang mengajar subjek tu adalah
perempuan... Perghhh.... Memang cute waktu.... Adui!” kata-kata
Luqman sekali lagi terhenti apabila dia merasakan ada sesuatu yang
memijak kakinya. Walaupun dia tidak melihat, namun dia yakin, kakinya
dipijak oleh kasut tumit tinggi yang dipakai oleh Sarah. Semakin lama
semakin kuat dipijaknya.
“Okey, okey...
Surrender!” kata Luqman mengangkat tangan menyerah kalah. Akhirnya,
barulah Sarah mengangkat kembali kakinya dari kaki Luqman.
“Terima
kasih Sarah. Aku hampir nak bagi pelempang kat boyfriend kau ni,”
ujar Arissa menahan geram. “Otak aku masih lagi suci, jadi jangan
sesekali nak mencabul otak aku dengan fikiran kotor kau tu.”
“Aku
cuma nak pastikan sama ada perempuan turut bermimpi apa yang lelaki
turut mimpi yang menandakan mereka dah dewasa. Itu saja,” tambah
Luqman.
“Sarah,
apa yang kau dah buat pada boyfriend kau ni?” soal Arissa.
“Dia
tersalah makan ubat hari ni. Abaikan,” jawab Sarah yang malas
melayan kerenah teman lelakinya itu.
“Kau
patut lakukan sesuatu sebelum penyakit otak kotor dia makin
menjadi-jadi,” tambah Arissa lagi.
Tiba-tiba,
badannya keras macam batu. Seperti baru sahaja terkena sumpahan
tenungan makhluk Gorgon. Namun, bukan Gorgon yang membuatkan dia kaku
sebegitu. Sebaliknya, kelibat seorang lelaki yang baru sahaja
melangkah masuk ke dalam kafeteria yang menjadi tempat makan bagi
pelajar di universiti itu.
“Dia
dah datang...,” ujar Luqman yang pada masa yang sama berpaling
setelah melihat Arissa keras macam batu.
Serentak
itu Arissa yang bagaikan terpukau itu tersedar. Lantas dia mencapai
air minuman yang ada di hadapannya dan meneguknya sedikit. Selepas
itu dia membetulkan rambut hitamnya supaya kelihatan rapi dan elok.
Melihat kelibat seorang lelaki yang bernama Zakri itu semakin
menghampirinya, dia terus bangun dari duduknya.
“Hai
Zakri,” sapa Arissa kepada Zakri, pelajar tahun akhir di
universitinya itu.
Orangnya
berbadan tegap dan berotot seperti atlet. Oh ya, Zakri memang seorang
atlet lumba basikal yang pernah mewakili universitinya untuk sukan
antara universiti. Rupanya agak tampan tapi agak gelap sedikit kerana
asyik berjemur di tengah panas. Namun, bukan itu yang membuatkan
Arissa jatuh hati pada Zakri. Bagi Arissa, dia tidak kisah akan rupa
paras seseorang, asalkan dia sudah jatuh cinta, dia akan mencintai
seseorang itu.
“Hai
Arissa,” balas Zakri sedikit gemuruh. Awak pun ada kat sini?”
“Mmm...
tak ada yang mustahil kalau Arissa ada di sini. Arissa manusia biasa
dan dia perlukan makanan untuk hidup atau dia perlu hidup untuk
makan. Jadi, jangan bertanya soalan zaman 80an yang selalu digunakan
oleh lelaki yang nak mengorat perempuan,” kata Luqman separuh
bosan.
Serentak
itu Arissa menjeling tajam.
“Okey,
kita ada kelas lepas ni,” kata Sarah tiba-tiba.
“Kelas?
Kelas apa? Bukan ke kelas kita semua dah habis untuk hari… aduh!!!”
Sekali lagi Luqman mengerang kesakitan. Tumit kasut tinggi Sarah
sekali lagi di atas kakinya. Kali ini dipijak dengan kuat.
“Kita
ada kelas Luqman. Kau dah lupa ke?” ujar Sarah memberikan isyarat
melalui mimik mukanya.
“Yaa…
kelas tu… baru teringat, baru-baru ni jadual kelas kami memang
cukup pelik. Terlampau banyak sangat kelas halimunan yang muncul
tiba-tiba dalam jadual kelas kami walaupun pada hakikatnya kami
berlainan kelas. Jadi, kami terpaksa pergi dulu. Kau orang boleh
teruskan babak 'I love you and you love me' yang tergendala tadi...,”
ujar Luqman yang sempat lagi membebel dengan rapuan yang entah
apa-apa.
Nasib
baiklah Sarah sudah menarik teman lelakinya pergi, kalau tidak dia
akan memulakan babak pinggan melayang tanpa henti di kafeteria itu.
“Sorry.
Abaikan apa yang dia cakap tu. Dia memang selalu merapu yang entah
apa-apa. Saya tak tahu macam mana Sarah boleh bertahan dengan dia,”
keluh Arissa.
Sudah
banyak kali dia terasa dimalukan dengan perangai Luqman yang selalu
cakap lepas. Kadangkala dia tidak faham dengan perangai Luqman. Apa
yang dia buat, pasti ada sahaja yang tidak kena pada mata lelaki itu.
“Tak
mengapa,” jawab Zakri acuh tidak acuh.
Melihat
gaya Zakri yang serba tidak kena itu membuatkan Arissa berfikir
sesuatu. Mungkin, apa yang Luqman katakan tadi memang betul. Dia
tidak boleh terus begitu. Bukan dia sahaja, Zakri juga. Masing-masing
umpama tarik tali. Macam baru pertama kali mengenali cinta pun ada
padahal Arissa sudah putus cinta dengan beberapa orang lelaki. Dia
tidak tahu pasal Zakri lagi tapi apa yang dia tahu, setakat ini Zakri
tidak pernah mempunyai teman wanita. Mungkin disebabkan itulah Zakri
agak lambat sikit dalam hal ini. Jadi, Arissa membuat keputusan yang
dia perlu bertindak.
“Tapi,
apa yang Luqman kata tu mungkin betul. Kita bukan berada di zaman
80an,” ujar Arissa menarik nafas panjang.
“Maksud
awak?” tanya Zakri.
“Okey...
saya sukakan awak. Saya sukakan awak sejak awak tendang bola sampai
hentam kepala saya. Sejak tu saya rasa saya dah jatuh cinta dengan
awak. Jadi, macam Luqman kata tadi, kita bukan berada di zaman 80an
dan saya teramat peka dengan perasaan saya. Kalau saya rasa saya dah
jatuh cinta dengan seseorang, saya takkan nafikannya,” ujar Arissa
dengan penuh berani.
“Arissa...”
“Saya
tahu saya macam perigi cari timba tapi siapa peduli tentang
peribahasa tu lagi. Yang penting sekarang, saya nak kata, saya
sukakan awak dan kalau boleh saya nak jadi kekasih awak,” tambah
Arissa lagi hingga membuatkan Zakri terdiam seketika.
Arissa
tidak pasti dengan reaksi Zakri. Nak kata terkejut, reaksi dia nampak
biasa sahaja. Malah, boleh terdiam kaku memandangnya.
“Tak
mengapa kalau awak tak sukakan saya tapi saya lebih suka dengar
jawapan daripada mulut awak daripada awak membisu...”
“Saya
sukakan awak!” lancar Zakri berkata menyebabkan Arissa berhenti
bersuara.
Kemudian
dia terdengar keluhan Zakri.
“Awak
mengeluh macam tak ikhlas pun ada,” kata Arissa sedikit ragu-ragu
mempercayainya. Namun, dia tetap memberikan Zakri peluang untuk
bersuara.
“Sebab
saya rasa saya yang patut bertindak dulu,” jawab Zakri yang sudah
berlalu duduk di kerusi bertentangan dengan Arissa. Arissa mengerut
dahi. Dia tidak faham dengan apa yang Zakri maksudkan tadi. “Bila
awak cakap awak sukakan saya dan nak jadi kekasih saya, saya rasa
macam tercabar. Bukan saja saya, lelaki lain pun rasa tercabar.”
“Mmm...
awak bukan lelaki pertama yang kata macam tu,” kata Arissa selamba.
“Hah?”
“Saya
pernah couple dengan beberapa orang lelaki dan separuh daripada
mereka, saya yang lamar mereka jadi kekasih saya.”
“Ohhh...,”
Zakri sedikit pun tidak terkejut.
“Awak
tak terkejut?”
“Tak
sebab saya ada dengar....”
Arissa
mengangguk faham walaupun Zakri tidak menghabiskan ayatnya. Dia tahu
apa yang ingin Zakri katakan tadi. Sudah tentunya, Zakri dapat tahu
daripada mulut orang yang mengata tentangnya. Bukan dia tidak tahu.
Dia sudah lali dengan tomohan mulut-mulut tempayan yang ada di
universitinya itu. Macam-macam fitnah yang dilemparkan kepadanya
tetapi Arissa tidak pernah ambil kisah. Orang sebegitu buat apa pun
tidak berguna. Lebih baik berdiam diri dan buat hal sendiri.
“Jadi,
awak percaya?” tanya Arissa.
“Hanya
satu yang saya fikir. Kalau awak seperti yang mereka kata, itu
tanggungjawab saya untuk bawa awak ke landasan yang betul sebab itu,
saya nak kenali awak dengan lebih dekat lagi,” kata Zakri sambil
mengukirkan senyuman.
“Jadi...”
“Ya,”
jawab Zakri.
Arissa
terdiam sebentar. Dia tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Zakri.
“Macam
yang Luqman kata tadi, ini bukan zaman 80an, lagipun saya bukan
pandai lamar perempuan jadi kekasih saya dengan ayat-ayat romantik
macam orang zaman dulu,” terang Zakri dengan senyuman lagi.
“Yes!”
sorak Arissa tidak dapat menyorok kegembiraannya. Selepas beberapa
bulan menyimpan perasaan terhadap Zakri dalam diam, akhirnya hari ini
dia mampu meluahkannya dan dibalas dengan jawapan positif.
Musim
bercinta sudah bermula!
***
“Saya
dah kata tadi, turunkan saya kat stesen bas tadi tapi awak tak nak.
Jalan ni kecik dan agak sibuk,” ujar Natasya kepada Nazwan yang
terpaksa memandu dengan berhati-hati apabila berselisih dengan kereta
lain ketika melalui satu jalan untuk ke rumahnya.
“Dah
lupa ke yang boyfriend awak ni sangat handal memandu kereta,” jawab
Nazwan sempat lagi memuji dirinya sendiri setelah berjaya melepasi
kereta yang berselisih dengan mereka tadi. Memang jalan itu kecil dan
hanya muat satu kereta sahaja tapi apabila dua pemandu saling
bekerjasama, jalan yang kecil itu akan nampak seperti laluan besar.
“Iyalah
tu,” balas Natasya yang malas hendak membebel lagi. Kalau boleh dia
tidak mahu Nazwan menghantarnya sehingga ke rumah. Bukan disebabkan
jalan ke rumahnya yang kecil dan sibuk tetapi dia tidak mahu menjadi
perhatian jiran-jiran tetangganya.
Dia
tahu siapa dirinya. Dia hanya anak seorang ibu tunggal yang bekerja
sebagai orang gaji. Dia tinggal di kawasan perumahan setinggan dan
dia memang arif dengan jiran-jiran tetangganya yang sememangnya suka
menjaga tepi kain orang. Malah, dia sering kali dicemuh oleh jiran
tetangganya hanya disebabkan dia pernah bekerja sebagai model.
Banyak
gosip-gosip tidak elok yang menganggu hidupnya semasa dia mula
menjadi model. Niat sebenarnya hanya untuk mencari duit sampingan dan
meringankan bebanan ibunya yang terpaksa bekerja keras semata-mata
hendak membayar yuran universitinya. Apabila gosip tentang ada sugar
daddy menanggungnya, Natasya mengambil keputusan untuk berhenti
menjadi model. Itupun selepas ibunya menasihatinya. Mahu atau tidak,
demi menjaga muka ibunya, dia terpaksa melupakan dunia modeling.
“Dah
sampai,” ujar Nazwan sambil memberhentikan kereta di hadapan rumah
papan separuh batu yang dicat warna putih.
“Terima
kasih,” ucap Natasya meleraikan tali pinggang keselamatan yang
dipakainya. Dia memandang sekeliling. Disebabkan keadaan perumahan di
sana rapat-rapat, jadi dia boleh nampak orang-orang keliling yang
berada di sekitar. Matanya terpandang sekumpulan ibu-ibu sedang duduk
berbual tidak jauh dari kedudukan rumahnya.
Mata
mereka tidak berkelip pandang ke arah kereta yang dihuni mereka
berdua. Natasya menghala keluhan berat. Nampaknya, pasti akan
tersebar satu lagi gosip buruk yang dilemparkan kepadanya selepas
ini.
“Oh
ya, sebelum terlupa,” Nazwan bersuara apabila Natasya ingin membuka
pintu kereta. Terus dia tidak jadi keluar. “Tentang dinner Jumaat
ni….”
“Kita
dah bincangkannya…,” ujar Natasya yang sudah malas hendak
bercakap mengenainya lagi.
“Dinner
saja. Kita makan-makan dan berborak. Itu saja. Bukannya majlis
formal.”
“Tapi
tetap tak sesuai. Nanti apa nenek awak kata kalau awak bawa saya ke
dinner tu? Mungkin bagi awak itu hanya makan malam bersama keluarga
tapi bila awak bawa saya bersama… itu dah jadi lain. Mereka akan
ingat saya ni bakal isteri awak.”
“Kalau
betul kenapa?” soal Nazwan pula.
Natasya
mengeluh berat. Sudah banyak kali dia cuba menerangkan situasi
hubungan mereka tetapi Nazwan tetap dengan perangai tidak endahnya.
Memang Nazwan tidak kisah dengan status dirinya yang bukan daripada
keluarga ternama seperti Nazwan, tetapi yang menjadi masalahnya
adalah penerimaan keluarga Nazwan terhadap dirinya yang serba kurang.
“Nazwan,
awak tengok sekeliling. Awak tengok rumah saya. Saya tak setanding
dengan kehidupan awak sekarang. Buat masa ni saya perlukan ruang,”
ujar Natasya.
“Saya
tak kisah siapa awak….”
“Tapi
saya kisah,” pantas Natasya memotong.
Nazwan
lantas terdiam dan melepaskan keluhan berat. Natasya tahu Nazwan
tidak berpuas hati apabila dia tetap menolak untuk makan malam
bersama keluarga mereka. Tetapi apa yang dia buat untuk kebaikan
Nazwan juga.
Hal
ini kerana sudah banyak kali dia dengar cerita tentang nenek Nazwan
daripada Sarah yang tinggal berdekatan dengan rumah Nazwan. Menurut
Sarah, nenek Nazwan agak cerewet dengan perempuan-perempuan yang cuba
mendekati Nazwan. Maklumlah, Nazwan merupakan cucu kesayangan
keluarga besar itu sudah pastinya dia cerewet dengan mana-mana bakal
menantu cucunya itu.
“Saya
terpaksa pergi dulu kalau tak mungkin timbul cerita kita bercumbuan
kat dalam kereta ni,” ujar Natasya terus membuka pintu kereta
apabila dia melihat sekumpulan ibu-ibu yang duduk berkumpul tadi mula
berbisik-bisik antara satu sama lain. Tidak lain tidak bukan mencipta
lagi andaian buruk terhadapnya.
Sebaik
dia menutup pintu kereta, Natasya terus melangkah masuk ke dalam
rumahnya. Selepas pintu ditutup, dia terdengar enjin kereta Nazwan
semakin menghilang. Dari tingkap rumahnya, dia melihat kereta Nazwan
sudah tiada di hadapan rumahnya. Satu helaan panjang dilepaskan.
Matanya
meliar memandang keadaan rumahnya yang uzur. Tidak banyak
barang-barang yang menghiasi rumahnya. Hanya ada satu set kerusi
zaman 90an, sebuah meja makan yang sama seperti meja gerai makan,
sebuah televisyen lama yang sudah rosak, sebuah radio yang sudah
sangkut-sangkut siarannya, dua buah almari yang nama salah satu
lacinya sudah hilang entah ke mana. Itupun almari yang diambil oleh
ibunya dari jiran-jiran yang pindah rumah.
Ternyata,
keadaannya tidak setaraf dengan kehidupan Nazwan yang tinggal di
kawasan perumahan elit. Dia pernah pergi sekali. Itupun dia hanya
pergi ke rumah Sarah. Sarah yang memberitahu bahawa rumah banglo tiga
tingkat yang besar itu adalah rumah Nazwan. Terkejut bukan kepalang
lagi bila dia dapat tahu status teman lelakinya.
Hal
ini kerana Nazwan tidak pernah menceritakan keadaan keluarganya.
Malah, cara hidup Nazwan di universiti juga langsung tidak nampak dia
merupakan anak orang kaya. Apatah lagi Nazwan datang ke kelas dengan
kereta zaman 90an yang pencuri kereta pun tak lalu nak pandang.
Apabila dia tahu tentang Nazwan, mereka bergaduh sekejap tetapi
berbaik semula selepas dia mengakui hanya Nazwan yang dicintai.
Walau
bagaimanapun, dia semakin tidak selesa berkawan dengan Nazwan
dikatakan mula serius dan ingin memperkenalkannya kepada ahli
keluarganya. Bagi Natasya, semua ini masih awal lagi dan dia masih
belum bersedia untuk berjumpa dengan keluarga Nazwan lebih-lebih lagi
nenek Nazwan. Tapi, Nazwan terus mendesak dan mendesak.
“Kadang-kadang
dapat Prince Charming pun menyesakkan kepala juga,” keluhnya
sendirian.
***
“Terima
kasih sebab hantarkan saya,” ucap Arissa sebaik sahaja Zakri
memberhentikan kereta yang dipandunya di hadapan pagar rumahnya.
“Terima
kasih juga sebab temankan saya makan hari ni,” ucap Zakri pula.
“Macam
awak, saya pun selalu makan sendirian. Jadi, tak perlu nak ucapkan
terima kasih,” kata Arissa sebelum berlalu keluar dari kereta
Zakri. Pintu kereta ditutup rapat.
“Jumpa
esok,” ujar Zakri. Kali ini tidak teragak-agak lagi.
“Ya,
jumpa esok,” balas Arissa sebelum berlalu masuk ke dalam rumahnya.
Setelah dia menutup pagar, barulah Zakri memandu pergi. Namun, Arissa
masih lagi tercegat di hadapan pagar. Tersenyum sendirian.
Dia
gembira apabila semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun sudah putus
cinta beberapa kali, tetapi dia tetap tidak putus asa memburu cinta
seterusnya. Disebabkan itulah, ramai yang menggelarkannya playgirl.
Ramai yang ingat dia sengaja memainkan hati lelaki. Tapi mereka tidak
tahu apa yang berlaku di setiap episod percintaannya.
“Musim
bercinta bermula lagi?” sapa satu suara di belakangnya tiba-tiba.
Arissa
sedikit tersentak dan lantas berpaling. Dia mengukir senyuman apabila
melihat kelibat seorang gadis yang memiliki gen kacukan
Melayu-Inggeris. Gadis yang dikenali dengan nama Fazira itu merupakan
adik tirinya. Walaupun Fazira lebih muda 3 tahun daripadanya, tetapi
Fazira nampak seperti kakak kepadanya. Mungkin kerana badan Fazira
agak besar dan tinggi daripadanya.
“Seperti
yang aku dah kata, aku seseorang untuk dicintai,” balas Arissa
seperti biasa. “Dan kau? Dating?” tanya Arissa yang hanya melihat
pakaian Fazira yang seperti hendak keluar.
“Ya,”
jawab Fazira. “Dan baguslah kau dah balik sebab kau akan teman aku
pergi makan,” kata Fazira sambil membaling kunci kereta kepada
Arissa.
“Makan?”
soal Arissa kehairanan. Walaupun Fazira adalah adik tirinya, tetapi
Fazira umpama kawan karibnya. Mereka berkongsi apa sahaja yang
berlaku dalam hidup mereka. Tiada rahsia di antara mereka. Namun,
cara Fazira mengajak dia keluar tadi macam ada sesuatu yang berlaku.
“Mereka
bergaduh lagi?” teka Arissa.
“Bingo.
Kali ni agak teruk. Kau hanya ada dua pilihan. Masuk dalam dan dengar
mama dan papa kita bergaduh atau teman aku makan,” balas Fazira.
“Seperti
yang kita pernah janjikan sebelum ini, kita berada dipihak
berkecuali, jadi....”
“Makan,
shopping dan wayang,” sambung Fazira.
“Jom!”
ajak Arissa berlalu ke kereta Myvi putih yang dihadiahkan oleh
papanya semperna hari jadinya yang ke-19 tahun.
***
Selesai
sahaja mandi dan sembahyang Isyak, Nazwan berlalu keluar dari
biliknya. Dalam masa yang sama Luqman yang tinggal bertentangan
dengan biliknya turut keluar. Sepupunya itu juga kelihatan baru
sahaja selesai sembahyang Isyak dan seperti dia, Luqman juga ingin
turun ke bawah.
“Awal,”
tegur Luqman separuh menjerit. Mana tidaknya, walaupun bilik mereka
bertentangan tetapi jarak mereka berdua hampir 10 meter jauhnya.
“Kau
pun. Ahhh… lupa… hari ni ada rancangan AKB48 special kat kabel
tv,” ujar Nazwan mula teringat tentang itu. Dia mengukir senyum.
Sedikit menyindir kumpulan kegemaran sepupunya itu.
“Aku
dah letak jawatan jadi fan diorang,” balas Luqman yang sudah
berdiri di tepi tangga. Begitu juga dengan Nazwan yang berdiri di
tangga sebelah sana. “So, hari ni ada perlawanan bola keranjang
bukan? Kat kabel tv jugakkan?” soal Luqman pula.
“Mmm…,”
Nazwan hanya sekadar mengangguk. Kemudian, keduanya saling
berpandangannya dan dalam sekelip mata mereka berdua bergegas
mengatur seribu langkah berlari ke bawah menuju ke sebuah bilik yang
terletaknya sebuah home teater yang besar.
Sampai
sahaja ke dalam bilik itu, kedua-duanya terus berhenti melangkah
apabila melihat televisyen itu terbuka dan menyiarkan siaran Korea
yang popular sekarang iaitu Running Man. Nazwan dan Luqman
berpandangan. Masing-masing berputih mata.
“Nenek…
dah banyak kali nenek ulang Running Man ni tak bosan ke?” tanya
Luqman sambil berlalu duduk di sebelah wanita berusia dalam
lingkungan awal 70an itu. Seperti Luqman, Nazwan juga turut mengambil
tempat duduk di sebelah wanita itu.
“Habis,
kau orang tak belikan DVD konsert Big Bang yang terbaru ni… salah
siapa sekarang?” balas Puan Azizah sambil menjeling tajam memandang
dua cucu lelakinya itu.
Luqman
menghela nafas lemah. Ini semua virus Sarah yang terlampau gilakan
Big Bang sampai nenek pun termakan racun sama. Yang jadi mangsa
adalah mereka berdua. Kena download mana-mana program yang disertai
Big Bang, kena belikan album-album Big Bang yang lama sampai yang
terbaharu. Bukan itu sahaja baru-baru ini neneknya menyatakan hasrat
ingin ke konsert Big Bang bersama-sama Sarah. Nasib baik papanya
dapat menghalang neneknya dari bertindak lebih jauh lagi.
“Okey,
Luq janji akan beli… tapi nenek kena bagi remote tu kat Luq.
Gadis-gadis jelita sedang tunggu Luq sekarang,” kata Luqman cuba
memujuk neneknya memberi alat kawalan jauh itu.
“Nenek
percaya dengan Luqman? Dulu dia pernah janji nak belikan album
terbaru Big Bang tapi sampai sekarang dia tak beli-beli lagi. Tapi
album AKB48 makin bertambah dalam biliknya,” celah Nazwan cuba
menjadi batu api.
“Fitnah!”
pantas Luqman bersuara. “Nenek jangan percayakan Nazwan tu. Bukan
ke hari-hari nenek masuk bilik Luq, mesti nenek tahu Luq memang tak
layan album-album penyanyi ni. Bukan ke ada cara yang senang?
Youtube,” tambah Luqman lagi cuba mempertahankan dirinya.
“Hisy!
Kamu berdua ni, dah besar panjang pun perangai macam budak-budak!”
tegur Puan Azizah menjeling kedua-dua cucunya. “Baiklah, nenek
haus, siapa yang bawakan air untuk nenek, dia akan dapat televisyen
malam ni.”
Baru
sahaja Luqman dan Nazwan hendak bangun untuk ambilkan air minuman
buat nenek mereka, tiba-tiba seorang lelaki lewat 40an masuk ke dalam
bilik itu menghulurkan segelas air untuk nenek mereka. Lantas remote
bertukar ke tangan lelaki itu.
“Ahh…
papa… mana boleh main redah macam ni,” ujar Luqman sambil kembali
duduk di tempatnya.
“Siapa
cepat dia dapat, itu peraturan rumah ni,” kata Encik Lutfi terus
menukar ke rancangan memasak. Tapi, belum sempat dia hendak duduk
menontonnya, remote televisyen di ambil dari tangannya oleh seorang
wanita yang berbaju tidur.
Wanita
itu terus menukar ke Discovery Channel.
“Mmm…
mama memang wanita yang paling cantik dan adil di dunia,” puji
Luqman.
“Televisyen
sorang satu dalam bilik pun masih lagi nak berebut,” tegur Puan
Latifah sambil duduk di sebelah suaminya, Encik Lutfi.
“Bukan
ke sekarang ni sesi bersama keluarga…,” serentak mereka menjawab
dan diiringi dengan ketawa riang keluarga bahagia itu.
menarik. somehow, Arissa mengingatkan saya dengan Apy Elina. very straightforward and bold. hehe. nak baca lagi :D