Kejora membuka mata perlahan. Pandangannya samar-samar dan kepalanya terasa berat. Tubuhnya lemah. Setiap urat dan sendinya seperti mahukan rehat selepas pertarungan panjang. Pertama sekali dia menyedari dia sedang berbaring berbantalkan peha dan menggenggam erat pergelangan seseorang. Dia mendongak dan mendapati Firdaus sedang tidur. Dengan perlahan-lahan, dia melepaskan genggaman, merah juga pergelangan tangan Firdaus dicengkam olehnya. Lalu perlahan-lahan dia bangun tapi baru dia bergerak sikit, kepalanya terasa berat dan berdenyut. Firdaus terjaga, “Rehat dulu,” tegurnya sambil menolak bahunya dengan lembut supaya kembali berbaring. Kejora mula mencerna apa yang telah berlaku. Dia hanya ingat, dia masuk ke dalam kereta. Kemudian dia lupa apa yang telah berlaku. Mungkin dia pengsan selepas itu. Atau mungkin… dia tak mahu fikir. Dia kembali menutup mata, tenangkan fikiran. Ketika itu dia merasa tubuhnya sendiri terasa panas dan tenaganya umpama dis...