Langkau ke kandungan utama

GADIS HARIMAU : BAB 12

 


Kejora membuka mata perlahan. Pandangannya samar-samar dan kepalanya terasa berat. Tubuhnya lemah. Setiap urat dan sendinya seperti mahukan rehat selepas pertarungan panjang. 

Pertama sekali dia menyedari dia sedang berbaring berbantalkan peha dan menggenggam erat pergelangan seseorang. Dia mendongak dan mendapati Firdaus sedang tidur. Dengan perlahan-lahan, dia melepaskan genggaman, merah juga pergelangan tangan Firdaus dicengkam olehnya. 

Lalu perlahan-lahan dia bangun tapi baru dia bergerak sikit, kepalanya terasa berat dan berdenyut. 

Firdaus terjaga, “Rehat dulu,” tegurnya sambil menolak bahunya dengan lembut supaya kembali berbaring. 

Kejora mula mencerna apa yang telah berlaku. Dia hanya ingat, dia masuk ke dalam kereta. Kemudian dia lupa apa yang telah berlaku. Mungkin dia pengsan selepas itu. Atau mungkin… dia tak mahu fikir. 

Dia kembali menutup mata, tenangkan fikiran. Ketika itu dia merasa tubuhnya sendiri terasa panas dan tenaganya umpama disedut keluar. Dia yakin, sesuatu telah berlaku selepas dia tak sedarkan diri. 

Tidak lama kemudian dia menyedari hanya dia dan Firdaus berada dalam kereta. Bahagian depan kereta kosong tapi enjin masih berbuka. Baru dia ingin bertanya, Lebah dan Lydia masuk ke dalam kereta dengan bawakan sesuatu. Sesuatu yang baunya amat menyelerakan membuatkan perutnya berlagu. 

“Macam mana dengan Kejora?” tanya Lydia sambil berpaling memandang belakang. 

Kejora cepat-cepat pejam mata. Mereka tak boleh tahu dia sudah sedar. Kalau mereka tahu, dan lihatnya masih berbaring berbantalkan peha Firdaus, pasti mereka akan fikir dia sengaja nak bermanja dengan Firdaus. 

Tapi Firdaus tidak memahami situasi mereka dan bersuara, “Baru sedar. Masih lemah lagi.”

Kejora mengeluh perlahan. Firdaus memang lambat faham dalam hal begini. Padanlah tiada kekasih lagi. 

“Kenapa?” Firdaus terdengar Kejora mengeluh. 

“Mungkin dia dah lapar. Kita pergi ke tempat yang selesa sikit. Tak jauh dari sini ada sebuah tempat henti rehat lama, kita boleh makan di sana,” kata Lydia. 

Mereka akhirnya tiba di lokasi yang disebut oleh Lydia, sebuah kawasan hentian rehat lama yang sudah lama tidak beroperasi. Kebanyakan gerai di situ sunyi dan berhabuk, namun meja dan bangku konkritnya masih kukuh dan boleh digunakan. 

Tidak jauh dari situ, sebuah taman permainan kecil menghidupkan suasana, beberapa kanak-kanak sedang bermain gembira sambil diawasi oleh ibu bapa yang duduk di bangku berhampiran. Meskipun tempat itu usang, ia memberi rasa tenang dan damai. 

Lydia mengeluarkan makanan yang dibelinya di pasar malam tadi. Daging kambing bakar yang masih berbau harum itu cukup untuk membuat perut Kejora berkeroncong. Mereka bertiga menjamah makanan bersama-sama. 

Sejak awal lagi, tiada seorang pun mengisi perut kerana bimbang ia akan menganggu masa rehat Kejora. Kini, selepas segalanya sedikit terkawal, barulah mereka benar-benar dapat menarik nafas lega. 

Selesai makan, barulah Kejora berani bertanya. 

“Lydia bekerja untuk ayah aku juga?” tanya Kejora sedikit berbisik pada Firdaus. 

Belum sempat Lydia bersuara, Firdaus mengiyakannya. “Dia juga pemilik perpustakaan tak jauh di kampus kita,” tambah Firdaus lagi. 

“Kalau kau nak rasa suasana yang tenang sambil menikmati kopi dan roti bakar yang aku buat, jangan lupa datang ke perpustakaan aku. Tapi tak ada diskaun, kedai kecil je,” kata Lydia tersengih. 

Kejora hanya mampu mengangguk kecil. Jauh dari sudut hati, dia tersipu. Selama ini dia salah anggap tentang Lydia. Dia benar-benar fikir Lydia dan Firdaus mempunyai hubungan istimewa… tapi tengok gaya lebih kepada rakan sekerja.

“Tadi… benda apa yang kau bagi aku?” tanya Kejora, ingin tahu. 

“Ini…” Kejora menghulurkan botol kecil. “Minyak wangi lavender,” Lydia tersengih. 

Kejora sendiri terkejut. Bau lavender, bau kesukaannya. Bau itu memang menenangkan dan tidak terlalu kuat baginya. Itu bau kegemarannya sejak dulu lagi. 

“Suatu hari, Firdaus nak aku buat minyak wangi berasaskan lavender. Ia ada bercampur sedikit dengan herba yang menenangkan. Tak sangka, ia benar-benar berkesan,” Lydia sendiri terkejut. 

Kejora memandang Firdaus. Dia inginkan penjelasan. 

“Kau ingat tak kau suruh aku belikan barangan mandian untuk kau dulu?”

Kejora angguk. Semasa tiba di Istana Jati, dia pernah menyuruh Firdaus membeli barangan mandian yang selalu dipakainya.

“Aku perasan, kebanyakan barangan mandian yang kau guna berbau lavender. Jadi, aku rasa kau selesa dengan bau tu. Memandangkan Lydia juga pakar buat minyak wangi, aku suruh dia buatkan satu supaya jika ada apa-apa berlaku, contohnya kau hilang kawalan… ia serba sedikit dapat menenangkan kau,” terang Firdaus. 

Kejora kagum. Tak sangka Firdaus sangat peka dengan dirinya. 

“Tapi… apa yang dah berlaku tadi? Kenapa tiba-tiba kau hilang kawalan?” tanya Lydia. 

“Kau ada makan atau minum sesuatu yang luar biasa sebelum tu?” tanya Lebah pula. 

“Tak ada. Aku tak sempat sarapan pagi tadi,” kata Kejora. 

Dia berfikir sejenak, cuba mengimbas kembali detik sebelum semuanya terjadi. “Cuma… masa aku nak ke kelas, aku terhidu sesuatu. Macam bau minyak wangi. Tapi dalam bau tu… ada sesuatu yang lain. Lebih halus, lebih tersembunyi.”

“Yang lain?” tanya Firdaus. 

“Macam bau darah. Darah… Firdaus,” Kejora berkata perlahan. 

Firdaus mengeluh perlahan. 

“Kau yakin yang kau bau tu… darah Firdaus?” tanya Lydia lagi. 

“Hanya darah dia yang buat aku jadi tak tentu hala,” jawab Kejora. Dia yakin kerana dia kenal benar dengan bau darah Firdaus. 

Lydia memandang Firdaus. 

“Aku tak faham kenapa aku rasa terganggu dengan bau darahnya…” Kejora meluah. 

“Mungkin kau kena berlatih lebih keras lagi. Firdaus hanya pentingkan latihan fizikal sampai tak ambil peduli dengan latihan mental,” ujar Lydia sambil menjeling ke arah Firdaus. 

“Okey, aku minta maaf. Aku akan beri tumpuan pada latihan lain selain fizikal,” balas Firdaus. 

“Selain tu… terdapat juga faktor lain,” Lydia menambah. “Contohnya mungkin Firdaus ada bau yang menarik perhatian kau. Darah yang mengalir pada dagingnya juga memainkan peranan sehingga kau rasa lapar dan tiba-tiba bertindak di luar jangkaan.”

Kejora tunduk. Apa yang Lydia kata tadi ada benarnya. Sejak awal lagi dia tertarik dengan bau pada tubuh Firdaus. Tak tahu kenapa. Awalnya dia sangka kerana dia telah berubah menjadi harimau jadian, tapi lama-lama dia perasan dia tak ada rasa begini pada orang lain. 

Hanya Firdaus. 

“Mungkin bau aku menarik perhatian kau. Jadi, tibalah masanya aku amalkan mandi koboi macam Harris,” ujar Firdaus berseloroh. 

Kejora yang duduk sebelah Firdaus mencubit lengan lelaki itu. 

Geram! Orang tengah serius, dia main-main pula!

Mereka duduk sebentar sehinggalah Kejora betul-betul baik, barulah mereka pulang. Sewaktu hendak naik kereta, pandangan kejora tertumpu pada leher Firdaus yang bertampal dengan plaster luka agak sederhana besar. Nalurinya terusik. 

“Kenapa leher kau bertampal?” tanya Kejora. 

Firdaus kelihatan serba salah, cuba mengelak pandangannya. 

“Tak ada apa.”

Namun Kejora dapat merasakan Firdaus sedang menyembunyikan sesuatu. Tiba-tiba kepingan ingatan samar mula berputar di mindanya. Ingatan ketika naluri liarnya bangkit, ketika dia menghidu darah, ketika bibirnya menyentuh kulit Firdaus. Dia terbayang dirinya menggigit leher itu dan merobek kulit Firdaus dengan giginya. 

“Aku… aku cederakan kau ke?” Suara Kejora bergetar.

“Tak,” Firdaus cepat menafikan. “Jangan risau. Kau tak cederakan sesiapa pun.”

Kejora menggeleng, tidak percaya. 

“Kalau betul aku tak cederakan kau, kenapa kau tampal plaster tu? Aku nak tengok.”

Firdaus cuba menahan tapi kekuatan Kejora jauh daripada kemampuan manusia biasa. Dengan satu gerakan pantas, Kejora merentap plaster di lehernya. 

Dahi Kejora berkerut. 

Tiada luka. Tiada kesan koyak.

Hanya tanda merah samar yang jelas kelihatan pada kulit Firdaus. Tapi bukan ruam, juga bukan gigitan nyamuk.

“Itu…” Kejora menelan liur.

“Love-bite,” sahut suara Lebah dari belakang sambil tersengih nakal. 

Mata Kejora membulat. Sekelip mata wajahnya merah padam apabila kepingan ingatannya mula pulih sepenuhnya. Saat dia menekan wajahnya ke leher Firdaus, saat nalurinya mengambil alih…

Rasa malu menyambar seluruh tubuhnya. Tanpa kata, dia segera masuk ke dalam kereta dan menunduk, enggan memandang sesiapa. 

Firdaus pula tidak kurang janggalnya. Pipi dan telinganya turut merah. 

Sepanjang perjalanan pulang mereka berdua hanya diam. Tiada siapa berani membuka mulut. Hanya bunyi enjin dan desiran tayar yang mengisi ruang antara mereka. Sunyi, canggung, tapi sarat dengan sesuatu yang tidak mampu diucapkan. 

Ulasan