Langkau ke kandungan utama

GADIS HARIMAU : BAB 11

 


Hari ini sepatutnya menjadi hari yang tenang bagi Kejora, namun sejak awal pagi segalanya sudah terasa serba tidak kena. Di kafeteria, ketika perutnya masih belum terisi apa-apa, dia terserempak pula dengan Harris. 

Lelaki itu sedang duduk, barangkali menunggu Rosie, dan Kejora sudah banyak kali terdengar khabar bahawa mereka berdua kini selalu sarapan bersama. Bukan setakat sarapan, malah makan malam pun bersama. 

Kalau dulu dia ajak sarapan bersama, bukan main banyak alasan Harris. Jelaslah dia bukan orang penting buat Harris. Dia patut sedar sejak awal lagi. Sekarang, dia rasa dia sudah buat keputusan yang bijak. 

Harris menyapanya dengan gaya buat-buat mesra, tetapi Kejora langsung tidak berminat melayan. Belum sempat dia menjawab atau mengelak, Rosie pula muncul, melintas betul-betul di hadapannya. 

Bau minya wangi Rosie pekat, menusuk dan terlalu menyengat, serta-merta membuat deria hidung Kejora yang kini semakin sensitif bertindak lebih kuat daripada biasa. Dia terasa mual, lalu langkahnya semakin laju. Selera makan yang tadinya ada terus lenyap begitu saja. 

Dalam perjalanan menuju ke kelas, satu rasa gelisah yang tidak pernah dia alami sebelum ini menyelubungi seluruh tubuhnya. Nafasnya menjadi tidak teratur, jantungnya berdegup kencang seolah-olah cuba menembusi dadanya. 

Deria bau yang kini jauh lebih tajam daripada manusia biasa menangkap sesuatu… sesuatu yang membuat naluri harimau dalam dirinya meronta-ronta. 

Ini… bau darah dia…

Kejora memandang sekeliling. Dia tidak dapat melihat Firdaus tapi bau itu seperti datang dari setiap penjuru. Dari udara, dari dinding bangunan, dari bayang-bayang di sekelilingnya. 

Kepalanya terasa berdenyut, pandangannya mula bergoyang kabur. 

Ketika dia menoleh ke arah panel kaca di tepi laluan, dia terkejut melihat pantulan matanya yang kini bertukar merah menyala. Mata harimau itu, tiba-tiba menjadi sukar dikawal, menunggu masa untuk bangkit kembali. 

Dia segera menunduk, cuba menyembunyikan perubahan itu. Panik mula menular. 

Menyedari keadaan tubuhnya semakin tidak stabil, Kejora berlari menuju ke tandas falkulti. Mujurlah tiada orang di dalam. Dia mengunci pintu dan bersandar pada dinding, cuba menenangkan diri. Dengan tangan yang menggigil, dia cuba menghubungi Firdaus

Tiada jawapan. 

Emosinya semakin kacau, namun dia tetap mencuba menahan diri daripada ‘bangkit’. Sekali lagi dia memanggil seseorang, kali ini Lebah. Hanya dua kali deringan, panggilannya disambut. 

“Lebah, aku tak dapat kawal…” suara Kejora bergetar. “Aku cuba call Firdaus tapi tak dapat…”

“Apa dah berlaku?” tanya Lebah kedengaran tegang.

“Aku tak tahu…aku rasa tak selesa… tiba-tiba mata aku… aku rasa nak marah sangat…” Kejora mendengus, menahan dirinya supaya tidak meraung. 

“Okey… okey, kau dekat mana sekarang?”

“Tandas falkulti aku. Tingkat bawah…” 

“Okey, cuba bertahan. Aku hantar back up.”

Panggilan ditamatkan. Kejora tidak faham apa yang dimaksudkan Lebah dengan “back up”, tapi itu bukan keutamaanya sekarang. Dia perlu bertahan. Jika dia hilang kawalan dan mencederakan sesiapa, hidupnya bakal musnah. 

Dia tidak mahu menjadi raksasa. Dia mahu hidup seperti manusia biasa. Punya impian, punya masa depan dan punya tempat dalam dunia ini. Jadi dia paksa dirinya mengingati semula teknik kawalan asas yang diajar Firdaus. 

Beberapa minit berlalu sebelum satu ketukan kedengaran dari luar. 

“Kejora?” suara seorang perempuan memanggilnya perlahan di balik pintu. 

Kejora kaku. Dia tidak berani berganjak mahupun membuka pintu. Matanya masih merah, wajahnya masih tegang seperti seorang harimau kelaparan. 

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Nama Firdaus tertera. 

“Kejora…” suara Firdaus kedengaran perlahan, hampir tenggelam. Namun cukup membuat emosinya mereda sedikit. “Lydia ada di depan pintu. Dia akan hulurkan sesuatu. Buka… dan bau. Herba tu boleh tenangkan kau sementara. Percayakan dia.”

Kepercayaan pada Firdaus mengatasi ketakutannya. Perlahan-lahan dia membuka sedikit pintu. Tangan seorang wanita menghulurkan sebuah botol kaca yang kecil. Kejora mengambilnya, membuka penutup dan menghidu aroma herba pekat yang menusuk tetapi mendamaikan. 

Dalam beberapa saat, denyut matanya mula berkurang. Nafasnya perlahan-lahan kembali normal. Mata merah itu juga semakin pudar. Namun dia masih tidak berani keluar. 

“Kejora? Kau okey?” tanya suara perempuan tadi dengan nada lembut. “Firdaus dan Lebah dah sampai. Jom, kita pergi tempat lain dulu.”

Kejora masih senyap. Setelah Firdaus menelefonnya sekali lagi, barulah dia berani menggagahkan diri untuk membuka pintu sepenuhnya. Seorang gadis lewat 20-an berdiri di hadapannya. 

Dia yakin, itu Lydia, berdasarkan bau yang pernah dihidunya. 

“Kau boleh jalan?” tanya Lydia. “Kereta mereka dekat hujung sana.”

Kejora mengangguk. Dia menundukkan muka sepanjang mereka berjalan ke arah kereta hitam yang menunggu tidak jauh dari pintu masuk falkulti. Sebaik masuk, dia duduk di tempat belakang, di sebelah Firdaus. 

Lydia juga turut masuk duduk di kerusi sebelah pemandu dan Lebah terus memandu kelaur dari kawasan universiti. Suasana dalam kereta cukup senyap. Bunyi enjin dan deruan nafas Kejora yang mula stabil menjadi latar kepada ketegangan yang belum reda. 

Firdaus kerap mencuri pandang, pastikan Kejora tidak hilang kawalan lagi. Lydia juga beberapa kali menoleh, berjaga-jaga. 

Namun ketenangan itu tidak bertahan lama. 

Sebaik mereka melalui jalan sunyi berhampiran tasik lama, Kejora tiba-tiba terhidu satu bau lain, bau samar, namun cukup kuat untuk mencetuskan naluri liar yang sudah lama menyorok di sebalik tubuhnya. 

Degup jantungnya melonjak. Nafasnya kembali kasar. Dan perlahan-lahan matanya kembali merah. 

Firdaus perasan ada sesuatu yang tak kena pada Kejora. Belum sempat dia hendak menegur, Kejora terlebih dahulu menolak tubuhnya dengan kasar. 

“Oh tidak…” Lydia bersuara cemas. “Dia berubah lagi.”

Lebah segera memberhentikan kereta di kawasan lapang. Mereka ingin masuk campur dan selamatkan Firdaus tapi Firdaus menghalang mereka. 

“Jangan masuk campur,” tegas Firdaus. 

Lydia dan Lebah terpaksa akur. Mereka sedar, hanya Firdaus saja yang dapat menenangkan Kejora. 

Di dalam kereta, hanya ada Firdaus dan Kejora. Firdaus melihat sendiri mata merah dan wajah bengis Kejora. Dia tahu ini petanda bahawa Kejora sudah hilang kawalan tapi bukan sepenuhnya. 

“Kejora…” panggil Firdaus lembut. 

Buat masa ini, tubuhnya tidak lagi punya tenaga untuk melawan atau menjauh kerana dia baru saja ‘mendermakan’ darahnya kepada Zambri tadi. 

Kejora semakin mendekat. Nafasnya hangat di leher Firdaus dan ketika lidahnya menyentuh leher lelaki itu, satu rasa yang aneh menyusup ke seluruh tubuh kedua-dua mereka. 

Naluri Kejora semakin bergolak, di satu sisi dia cuba melawan, tapi di sisi lain, naluri harimaunya meronta-ronta minta dilepaskan. Bau yang datang dari leher Firdaus bukan sekadar rangsangan, tetapi juga sumber tenaga yang tidak sabar lagi untuk bangkit sepenuhnya. 

Dia mula menjilat, setiap gerakan lidahnya menghapuskan sedikit demi sedikit rasa kemanusiaan dalam dirinya. 

Dan Firdaus semakin pasrah. Biarpun dia cuba meronta, kekuatan Kejora lebih kuat daripadanya, malah lebih luar biasa. Kedua-dua pergelangan tangannya digenggam kuat sehingga dia tak mampu lagi hendak melawan. 

Setiap hembusan nafas Kejora di kulitnya membuatkan jantungnya berdegup perlahan, bukan kerana takut, tetapi kerana ada rasa asing yang sukar dijelaskan. Antara sakit dan nyaman… dan dia tahu rasa itu tidak sepatutnya bersatu. 

Kejora masih bertindak seperti harimau yang mendapat makanannya sendiri. Menjilat-jilat makanannya dengan perlahan-lahan sebelum menggigitnya. Firdaus tidak lagi meronta, mungkin kerana terlalu lemah atau mungkin kerana dia mempercayai Kejora sepenuhnya. 

Di luar, Lydia dan Lebah hanya mampu berdiri di tepi kereta. Mereka tahu, jika mereka masuk campur sekarang, Kejora mungkin akan bertindak lebih ganas. Jadi, mereka hanya menunggu… menanti saat Kejora kembali sedar daripada lonjakan nalurinya sendiri… 

Ulasan