Langkau ke kandungan utama

GADIS HARIMAU : BAB 8

 


Malam itu, ketika Firdaus baru saja hampir terlelap, satu getaran halus menyentuh deria dalamannya. Ada sesuatu yang dia rasa. 

Sejak dia memagar sebahagian daripada kawasan hutan belakang kampus itu, dia dapat rasai seolah-olah hutan itu berbisik kepadanya, menyampaikan berita untuk dia berwaspada. 

Dan malam itu, dia dapat rasakan Kejora ada di sana. 

Tanpa berfikir panjang, Firdaus segera bangun dan menuju ke hutan. Dalam gelap yang hanya diterangi cahaya bulan separuh, dia memanjat ke atas dahan pokok besar dan memerhati dari jauh. 

Dari tempatnya berdiri, dia melihat Kejora berjalan perlahan-lahan antara batang-batang pokok, matanya tajam seperti memburu sesuatu atau mencari sesuatu. 

Firdaus hanya melihat, tanpa mengganggu. Dia mahu lihat sejauh mana Kejora akan pergi dan menanti tindakan Kejora. Sambil itu dia juga berwaspada dengan situasi sekeliling. Biarpun dia sudah memagari kawasan itu, tapi dia perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan. 

Tiba-tiba, langkah Kejora terhenti. Deria baunya menangkap dua aroma berbeza yang tidak sepatutnya wujud serentak di kawasan itu. Bau tanah dan embun hutan bercampur dengan sesuatu yang dikenalnya sangat. 

Dia memejamkan mata, menarik nafas panjang. 

“Firdaus,” suaranya tenang tapi tegas. “Aku tahu kau ada di sekitar. Keluar cepat. Jangan nak menyorok lagi.”

Firdaus mengeluh perlahan. Tiada gunanya dia bersembunyi. Dia melompat dari tempat tinggi, dan keluar dari balik bayang daun. 

“Not bad,” sapanya dengan senyuman nipis. “Deria bau kau makin tajam.”

Kejora mengukir senyuman. Dia gembira dapat berjumpa dengan Firdaus lagi. Lalu dia berjalan menghampiri. Namun, sebaik jarak mereka makin dekat, deria baunya menangkap sesuatu yang lain pula. 

Bau minyak wangi, lembut tapi menusuk, bercampur dengan bau kopi dan buku lama. Bau itu tiba-tiba membuat darahnya mendidih tanpa sebab. 

Kejora mendengus kasar. 

“Kenapa? Ada tak kena dengan bau di badan aku?” tanya Firdaus, Kejora hanya begini jikalau dia terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. 

“No wonder masa aku jumpa Lebah tadi dia cakap kau ada hal. Rupa-rupanya pergi dating…”

Firdaus tertawa. 

“Aku pergi ke perpustakaan luar kampus. Sana ada jual kopi yang aku suka. Kebetulan owner tempat tu minta tolong angkatkan kotak. Kami angkat bersama.”

“Really?” Kejora tidak percaya. 

“Nanti aku bawa kau rasa kopi di sana.”

“Please, macam la aku terdesak sangat nak minum kopi.”

“Ada dapat daging dari Lebah?” Firdaus menukar topik. 

Kejora mengangguk laju. 

“Lama tak makan daging yang kau masak. Sejak aku jadi separuh harimau ni, aku dapati tak ada seorang pun di sekitar kampus kita tahu memasak. Semuanya tak sedap. Kalau dulu bila aku tak tahu nak makan apa, aku boleh makan buah-buahan atau salad tapi sekarang, tak ada apa yang sedap melainkan daging.”

“Tapi kau juga perlukan diet yang seimbang. Jangan asyik nak makan daging je.”

“Tahu… aku cuba kawal. Mujurlah aku tak ada kawan rapat, kalau tak mesti dia sedar perubahan aku,” Kejora menarik nafas lega. “Tapi aku rasa pelik la.”

“Kenapa?”

“Aku rasa macam aku terlupa sesuatu… aku rasa macam aku pernah ada kawan baik dulu. Dan bila fikir balik sekarang, aku rasa hidup aku ni kesian juga. Langsung tak ada orang berani yang berkawan dengan aku…”

“Itu sifat semula jadi orang yang berdarah harimau. Mereka suka kebebasan dan keseorangan. Pantang diganggu dan pantang diarah. Bukan ke bagus?”

“Sebab tu hubungan aku dengan Harris tak sampai mana,” Kejora mengeluh perlahan. “Dia mesti seronok sekarang. Bebas bersama Rosie tanpa diganggu oleh aku, dan aku dengar diaorang dah start dating.”

“Aha, kau nak korek rahsia dia daripada aku. Kau masih tak dapat lupakan dia? Nak aku tolong korang berbaik semula?”

“Mengarut. Ini normallah bagi orang yang dah putus. Mesti ada rasa nak tahu lebih lanjut sama ada bekas kekasihnya dapat cari pengganti atau tidak. Kau akan faham bila kau putus cinta nanti.”

Firdaus hanya tersenyum nipis. 

“Kau belum pernah bercinta?” tanya Kejora, ingin tahu. 

Firdaus menggeleng. 

“Tak ada sesiapa suka kau? Atau kau suka sesiapa?”

“Rutin harian aku, pergi kelas, balik kelas. Tak fikir benda lain. Tapi sekarang… kau dah jadi rutin harian aku. Ayah kau suruh aku latih kau supaya kau lagi handal daripada dia.”

Kejora masih memandang dengan tajam. 

“Kenapa pandang macam tu?” Firdaus bingung. 

“Kau belum jawab soalan aku. Ada tak orang suka kau?”

“Manalah aku tahu. Setakat ni tak ada seorang pun yang berani hulur surat cinta.”

Kejora mendekat, menghidu jaketnya sekali lagi. 

“Minyak wangi ni… kuat. Macam orang tu dekat sangat dengan kau.”

“Nama dia Lydia. Nanti aku kenalkan.”

“Kau ingat aku terdesak sangat nak berkenalan dengan dia?” Kejora merengus. Tiba-tiba dia naik angin. “Aku cuma nak tahu Harris bahagia ke tak tanpa aku. Aku nak kau soal dia. Jadi mata-mata aku.”

Firdaus mengeluh. 

Satu lagi tugasan. 

Satu lagi drama. 

Dan dia tersepit di tengah-tengah. 

Tapi bagi Kejora pula, dia bukan benar-benar kisahkan Harris. Dia cuma perlukan alasan untuk jumpa Firdaus, untuk terus berbual dengannya selain daripada latihan mengawal naluri harimaunya. 

Ya… dia perlukan itu. Kerana jauh di sudut hati, wujud satu rasa aneh, rasa yang tidak pernah ada ketika dia bersama Harris. 

Rasa yang dia tak mahu hilang. 

Mungkin cinta. 

Mungkin bukan. 

Tapi yang pasti… Firdaus perlahan-lahan sedang memenuhi ruang istimewa di hatinya. 

Ulasan