Kejora masih mengejar bayangan harimau tersebut. Namun tiba-tiba, tanpa amaran, bayangan itu lenyap begitu saja. Dia terhenti, cuba mengatur nafas, matanya meliar, telinganya tajam, deria hidungnya bekerja… mencari.
Ada sesuatu… Dia mengesan sesuatu.
Tak. Seseorang.
Satu… dua… tiga… dan semakin lama dia sedar… dia mengesan sesuatu yang ramai. Aura mereka hampir menggetarkan tulang. Udara di sekeliling terasa berat. Nafasnya menjadi sesak.
Angin yang tadinya tenang tiba-tiba berubah nada.
Sshhh!
Sesuatu meluncur membelah udara. Tanpa berfikir panjang, Kejora melompat ke tepi, mengelak serangan yang datang entah dari mana. Satu pisau yang tajam terbenam menghentam sepohon pokok tidak jauh dari tempatnya berdiri.
Dia terkejut melihat beberapa rekahan pada batang pokok itu. Jika dia terkena pisau itu, sudah tentu tulang-tulangnya akan retak seribu.
Kejora segera mengaktifkan mata harimaunya. Dunia terus berubah, warna, gerak, aura… semuanya menjadi lebih jelas. Tapi anehnya, biarpun pandangannya setajam pisau, dia masih gagal mengesan arah serangan.
Sekali lagi, bunyi hirisan angin menyusul. Kali ini bukan satu tapi tidak terhitung. Ia datang dari setiap arah, serentak, seperti ribuan bilah halimunan mahu mencincangnya hidup-hidup.
Dia menjadi lebih panik apabila angin kemudian bertiup kencang. Kepulan asap keemasan muncul berterbangan di sekelilingnya. Asap itu mengumpulkan dan bertindak seperti anak puting beliung, mengumpulkan ranting-ranting reput, serpihan kayu mati, seterusnya membentuk satu pusaran, satu demi satu, lalu mengelilingnya.
Dan dari pusaran itu, terbentuklah tubuh-tubuh menyerupai orang-orang. Bezanya, mereka kelihatan hidup, memiliki badan, kaki dan tangan yang lengkap. Kepala mereka ditutupi topi seperti topi pesawah dan mata mereka merah menyala, berkilau bagaikan bara.
Kejora menggigil. Rasa gerun mencengkam kaki melihat orang-orang itu mengelilinginya. Namun makhluk itu tidak menyerangnya.
Mereka melindunginya.
Tiba-tiba, Kejora ditarik ke dalam dakapan seseorang. Pelukan kukuh, hangat dan bersuara lembut berbisik di telinganya, “Jangan takut.”
Firdaus.
Bunyi dentingan besi meletus di sekeliling mereka. Serangan tidak berwajah itu menyerbu dari setiap penjuru dan orang-orang asap keemasan tadi menjadi benteng terakhir, menahan setiap bilah senjata yang menghujani mereka.
Dua minit terasa seperti dua abad.
Akhirnya, semuanya terhenti. Angin kembali tenang. Hutan kembali bernafas seperti biasa. Orang-orang tadi beransur hilang, lenyap seperti debu disambar cahaya matahari terik.
Begitu juga aura yang menakutkan sebentar tadi… juga menghilang serta-merta.
Kejora mendongak. Firdaus melepaskan pelukan, wajahnya tenang. Dia baru ingin bersuara, tiba-tiba…
Ssshhhh!
Satu bilah senjata lain meluncur deras, menuju tepat ke arah mereka. Firdaus menepis, menangkap bilah itu hanya beberapa sentimeter daripada leher Kejora. Mata pisau itu begitu dekat sehingga Kejora dapat melihat pantulan wajahnya sendiri.
Jiwa Kejora disentap rasa takut, sama seperti pertama kali dia alami ketika kejadian di atas kapal.
Kemudian, terdengar satu tepukan perlahan.
Dari balik rimba, munculah seorang lelaki bertubuh sasa, berwajah keras dengan parut melintasi pipi kiri. Di belakangnya, beberapa lelaki dan perempuan lain menyusul, mengelilingi kawasan itu.
Ada yang berdiri di dahan pokok, ada di celah bayang, ada di balik batang pokok besar. Pendek kata, mereka ada di mana-mana.
“Stay,” kata Firdaus kepadanya, perlahan tapi tegas.
Lelaki berparut itu tersenyum tipis. Senyuman itu tajam. Berbisa. “Apa khabar, Firdaus? Lama tak jumpa. Aku tengok kau makin sihat dan bertenaga.”
Firdaus menggenggam erat tangan Kejora, menariknya bersembunyi di belakangnya. Kejora menurut tanpa sedar, berlindung di belakang Firdaus dan sesekali menghulur sedikit kepalanya melihat ke hadapan.
“Dengar kata kau bela seekor anak harimau yang comel,” sindir lelaki itu.
Kejora mendengus kecil. Darahnya naik. Pantang betul bila dia disamakan dengan haiwan. Namun, Firdaus terlebih dahulu menghalang dan mahu dia bertenang.
“Ahh… nampaknya kau belum jinakkan dia lagi,” ejek lelaki itu.
Kejora berkerut.
Jinak? Apa maksud dia?
Dia tak tahu siapa mereka, tetapi yang jelas, mereka bukan orang biasa. Mungkin sama sepertinya.
“Aku bagi amaran. Berambus dari sini, Dani,” suara Firdaus tajam, penuh amaran. Ini kali pertama Kejora mendengar Firdaus bersuara dengan nama begitu.
Dani, lelaki berparut itu hanya tersenyum nipis.
“Aku cuma nak tengok sendiri anak harimau. Kau sendiri tahu, bukan senang genarasi kita nak jumpa sesuatu yang jarang wujud dan jarang ditemui. Rasa nak uji juga kekuatannya.”
Sebilah pisau berkilat keluar dari celah lengan baju Dani. Tapi Firdaus tetap tenang.
“Dia tak pernah ganggu hidup kau. Tak ada sebab untuk kau kacau dia,” balas Firdaus tegas.
Dani ketawa kecil, lalu memberi isyarat kepada pengikutnya. Belum sempat mereka bergerak, dua bilah belati meluncur laju membantutkan pergerakan mereka. Bunyi besi itu bergema tajam tatkala ia tertanam di tanah.
“Dani, kau buat kerja jahat diam-diam lagi?” satu suara kedengaran.
Semua berpaling.
Seorang lelaki muncul dari celah pokok. Orangnya tinggi, tegap dan hanya nampak seperti orang biasa, berseluar jeans lusuh dan memakai baju T gambar kartun.
Namun, auranya berat, kuat dan cukup membuat Dani dan kuncu-kuncunya berubah wajah. Mereka tunduk hormat. Seperti orang itu pangkatnya lebih tinggi daripada Dani.
“Malik, hal ni tak ada kena mengena dengan kau,” kata Dani, cuba melawan.
“Oh ya?” Malik mendekat sedikit. “Tak cukup lagi ke kau susahkan aku masa kau serang kapal hari tu? Kau tahu tak, disebabkan perbuatan kau tu, tak pasal-pasal aku kena kerja lebih masa bersihkan kerja kotor kau. Kau ingat senang nak deal dengan jeneral dan vvip?”
Kejora hampir ternganga.
Kapal? Jadi, itu semua kerja mereka?!
“Serangan kapal tu bukan kerja kami. Firdaus pun tahu siapa yang sebenarnya terlibat,” jawab Dani, tak mengaku. Baginya, dia hanya ambil kesempatan atas apa yang terjadi.
Kejora semakin keliru. Firdaus tahu…
“Aku tak nak dengar alasan,” potong Malik. “Berambus sebelum aku penggal kepala kau seorang demi seorang.”
Dani mendengus. “Kau tak nampak ke apa yang Firdaus sembunyikan? Dia bela anak harimau!”
Malik memandang Kejora yang bersembunyi di belakang Firdaus. Wajahnya berubah sedikit lembut, malah sempat melambai kecil. Kemudian, dia menjeling tajam ke arah Firdaus.
“Kau ni… tak boleh bezakan harimau dengan manusia ke?” balas Malik sinis, memandang Dani.
Firdau menangkap maksud isyarat Malik tadi. Dia menarik Kejora, mula berundur perlahan-lahan. Namun, tiba-tiba satu lagi serangan meluncur.
Ssshhhh.
Kejora bertindak spontan. Tangannya terhulur dan dia menangkap pisau yang hampir mengenai Firdaus itu dengan tangan kosong. Darah merah mula menitik dari tapak tangannya, namun dia masih sempat tersenyum puas.
Firdaus, bagaimanapun, jelas panik. Firdaus segera membuang pisau itu.
“See… aku selamatkan kau. Kita 0-0,” ujar Kejora, biarpun tangannya cedera tapi dia berjaya buktikan yang dia bukan lemah.
Dalam masa yang sama, Malik bertindak pantas. Dia menyambar belatinya yang tertanam di tanah tadi dan melemparkannya ke arah rimba. Dalam sekelip mata, dua kepala bergolek jatuh ke tanah.
Suasana sunyi menguasai hutan. Semua terdiam. Termasuk Kejora, yang hampir hilang nafas melihat situasi itu.
Malik mula mengira, perlahan-lahan. Setiap kiraan disertai bisikan angin. Dan satu demi satu bayangan musuh mula berundur, hilang dalam gelap. Apabila kiraannya mencecah sepuluh, hanya Dani yang masih tinggal, sebelum akhirnya dia juga ghaib dengan wajah tidak puas hati.
Hutan kembali hening.
Kejora berdiri terpaku. Masih terkejut. Tubuhnya tiba-tiba panas, pandangannya kabur. Dia hampir rebah, tetapi sempat disambar Firdaus. Luka di telapak tangannya kini bertukar warna. Hitam dan pekat.
Racun. Firdaus tersentak panik.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.