Selepas Firdaus pulang, Lydia kembali menyambung kerjanya menyusun buku-buku yang mengunung di dalam tray. Bunyi kertas dan kulit buku bergesel memenuhi ruang sunyi itu. Namun, di celah kesibukan itu, dia terdengar sesuatu, seakan-akan bunyi tapak kaki. Perlahan tetapi jelas.
Dia berhenti. Menoleh.
Kosong.
Hanya dia seorang di tingkat atas.
Pada mulanya Lydia memilih untuk tidak mengendahkannya, menganggap mungkin hanya bunyi kayu rumah lama itu yang berkeriut. Namun apabila bunyi serupa kedengaran lagi… dan lagi… perlahan-lahan merayap ke belakang tubuhnya, rasa tidak enak mula menguasai dadanya.
Duk! Duk! Duk!
Satu demi satu buku melompat keluar dari rak dan jatuh bersepah di lantai. Sepatutnya dia takut, namun reaksi Lydia hanya satu. Mengeluh panjang seperti seorang kakak yang penat melayan kerenah budak nakal.
Dia tunduk, mengambil buku yang jatuh tadi, membuka halaman tengahnya… lalu mengoyak sehelai kertas dengan garang. Saat itu, satu bunyi kuat kedengaran…
Gedebuk! Seperti buah nangka busuk jatuh dari dahan tinggi.
Seorang lelaki terhempas tertiarap di atas lantai kayu, masih terpinga-pinga dan mengerang. Tanpa belas kasihan, Lydia meletakkan kakinya di belakang leher lelaki itu.
“Kau fikir, kau boleh takutkan aku dengan teknik murahan kau tu?” katanya sinis sambil menekan sedikit kakinya.
“Okey, okey. Aku mengaku kalah.” Lelaki itu bersuara sambil mengangkat tangan tanda menyerah. “Kau nak bunuh adik sendiri ke?”
Lydia akhirnya mengangkat kakinya. Lelaki itu, Yazri namanya. Merupakan adik lelaki berlainan ibu.
Yazri menggosok tengkuknya sambil bangun. Penampilannya langsung tidak menggambarkan perangainya, berkaca mata bulat, rambut disikat rapi, wajahnya ala-ala pelajar pintar yang lemah tetapi otaknya penuh dengan muslihat.
Dan bagi Lydia, sejak dulu lagi dia tidak pernah tunduk pada Yazri kerana dia tahu, orang seperti Yazri senang mengambil peluang jika tidak berhati-hati.
“Apa dah berlaku? Macam mana aku berada di sini? Aku dekat hotel tadi.” Yazri memandang sekeliling dan akhirnya memandang ke arah Lydia. “Kau yang lakukan? Macam mana?”
“Kau ingat, kau seorang saja ada buku ajaib yang boleh mencipta dunia khayalan?” Lydia memandang Yazri dengan tajam.
Yazri tersengih. “Kau masih cemburu sebab aku dapat warisi buku ajaib keluarga kita?”
Lydia tidak menjawab, hanya menyilangkan tangan dan duduk menghadap adiknya dengan serius. “Jadi, berterus-terang saja. Kau yang ganggu Kejora dengan mencipta khayalan tentang harimau mistik…”
“Hebat kan?” Yazri tersengih bangga.
“Kau bekerja untuk siapa? Zambri atau Belati?”
“Sesiapa yang dapat tawarkan harga yang tinggi,” jawabnya tanpa berdalih lagi.
“Mak dan ayah tahu pasal ni?”
“Kalau diaorang tahu pun, apa diaorang boleh buat?”
“Kau tahu tak apa yang kau buat ni melibatkan keluarga kita juga. Kita ni, dari keluarga bilis je. Bila-bila masa saja akan jadi mangsa keluarga besar macam mereka,” tegas Lydia.
“So, aku tak boleh buat tapi kau boleh buat? Bergaul dengan Firdaus?”
“Dia kawan baik aku sejak kecil…”
“Oh ya, malangnya, aku tak wujud lagi. Dan aku tak peduli.” Yazid masih berdegil.
“Tapi aku masih peduli. Kau tak kenal mereka. Kau tak tahu apa keluarga tu mampu buat…”
“Kalau begitu, aku nak buktikan kepada mereka apa yang kita boleh buat. Dengan buku ni, aku boleh ubah nasib kita. Buat mereka takut.”
“Kau sangat naif,” Lydia memandangnya lama. “Kau fikir buku tu dapat kawal hidup seseorang?”
“Ya,” kata Yazid dengan yakin. “Aku dah tahu caranya. Dan aku akan mulakan dengan Kejora.”
“Kau dah gila. Firdaus takkan lepaskan kau.” Lydia memberi amaran.
“Firdaus?” Yazri ketawa kecil. “Dia cuma putera yang lemah. Langsung tak ada nilai… kecuali darahnya. Aku dengar darahnya kalau dijual kita boleh jadi kaya-raya. Mungkin boleh tukarkan bangunan kayu ni jadi banglo bersalut emas.”
“Aku tak terdesak macam kau.”
“Okey, aku malas nak bergaduh dengan kau. Sekarang, hantar aku balik ke hotel,” Yazri mengeluh perlahan.
“Balik la sendiri.”
“Hello, aku sehelai sepinggang sekarang ni. Tak ada duit, tak ada handset dan hanya ada pen di tangan,” Dia mengangkat pen yang masih dipegangnya. “Dan aku masih nak tahu macam mana kau boleh tarik aku ke sini.”
Lydia hanya tersenyum senget. “Kau rasa?”
Yazid memandang sekeliling, wajahnya perlahan-lahan berubah. Dia pernah dengar tentang tempat ini, bangunan yang dikatakan “bernyawa”.
Pernah suatu ketika dia berminat mewarisi bangunan ini namun selepas banyak mendengar cerita bahawa pewaris bangunan ini tidak akan hidup lama dan sentiasa ditimpa nasib malang, dia menarik diri serta-merta. Sebab itulah tempat ini diturunkan kepada Lydia.
“Jangan kata… kau dah jumpa…” suaranya berbisik.
“Ya,” jawab Lydia tenang. “Ada di bilik bawah tanah. Kau nak tengok?”
Yazri menggeleng laju. Ketakutan jelas terpancar pada wajahnya. Lydia tergelak kecil. Dia tahu sejak kecil lagi walaupun perangai adiknya itu macam hantu tetapi juga seorang yang penakut dengan hantu.
Tanpa berlengah lagi Lydia segera mengeluarkan telefon pintarnya dan memesan Grab untuk adiknya. Dia berharap adiknya akan segera berambus daripada perpustakaannya.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.