10: TERNYATA


Kata Hikayat,

Setiap orang seperti bulan iaitu mempunyai sisi gelap yang tidak pernah diperlihatkan kepada orang lain – Mark Twain

“Alex!” jerit Izwan memanggil Alex apabila dia terpandang Alex baru sahaja turun dari motornya dalam keadaan tergesa-gesa. Sebaik sahaja dia mendengar namanya dipanggil seseorang, langkahnya berhenti berlari. Dia melihat Izwan yang memanggilnya tadi berlari menghampirinya.

“Kau dapat mesej tu?” tanya Izwan.

Alex mengangguk.

“Kau okey?”

Dia sekali lagi mengangguk namun dari raut wajahnya, Izwan dapat membaca ada sesuatu yang tidak kena dengan Alex. Jika mesej yang diterimanya sama seperti Alex terima, ini bermakna memang ada sesuatu yang tidak kena. Sejak kejadian ngeri yang dilalui oleh Alex beberapa tahun yang lalu, Alex begitu fobia dengan perkataan bunuh diri. Ia juga telah dijelaskan oleh doktor yang merawat Alex dahulu yang melarang sesiapa sahaja menyebut nama Mellissa mahupun apa-apa perkara berkenaan dengan peristiwa hitam tersebut.

“Jangan risau, aku okey,” katanya cuba meyakinkan Izwan. Namun, di kepalanya muncul beberapa bayangan seperti darah sehingga membuatkan kepalanya sakit. “Rina mungkin tengah marah, lebih baik kita pergi jumpa dia sekarang.”

Mereka berdua kemudiannya berlalu menuju ke dewan sukan yang menjadi tempat mereka berlatih dan bermain bola keranjang. Sepanjang perjalanan mereka berdua mengambil keputusan untuk mendiamkan diri. Izwan masih tertanya-tanya apakah yang telah membuatkan Rinazila tiba-tiba mengamuk. Dia memandang Alex di sebelahnya yang tenang.

Sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam, Rinazila sudah pun berada di dalam seorang diri. Tiada sesiapa pun yang berada di situ kecuali mereka bertiga dan Rinazila kelihatan langsung tidak mesra sedikit pun. Matanya tajam memandang mereka berdua.

“Kenapa?” tanya Izwan mula merasai aura-aura panas di sekelilingnya.

“Korang tak perasan apa-apa yang ganjil ke hari ni?” tanya Rinazila sambil memeluk tubuhnya. Izwan dan Alex berpandangan sebelum keduanya menggeleng serentak.

“Korang ada check email korang hari ni?” tanya Rinazila lagi.

“Aku tak ada email,” jawab Izwan berterus-terang.

“Aku pun,” Alex juga mengaku tiada email.

Rinazila memang terkejut dengan pengakuan mereka berdua. Dia terasa seperti diperbodohkan oleh mereka berdua.

“Pelajar kolej tiada email? Korang ni berada di zaman apa sekarang ni? Takkanlah tiada satu pun email?!” perlinya. Izwan dan Alex sekali lagi berpandangan. Rinazila mendengus kemarahan. Hendak kata keduanya adik beradik kembar tidak juga tapi perangai sama sahaja.

“Korang tahu tak kenapa aku panggil korang datang sini?” tanya Rinazila cuba mengawal kemarahannya. Kalau hendak bercakap dengan mereka berdua yang seperti tiada perasaan itu, adalah lebih baik dia tenangkan dirinya terlebih dahulu.

Keduanya menggeleng serentak.

“Aku tak fahamlah dengan korang berdua ni!” dia berlalu mengambil beberapa keping gambar yang di simpan di dalam fail kuningnya itu dan diberikan kepada mereka berdua. “Inilah akibatnya kalau korang berdua tak ada email. Korang berdua akan ketinggalan khabar angin yang tersebar setiap hari di kolej ini contohnya seperti gambar tersebut!”

“Ini macam…,” Izwan terkejut besar sebaik sahaja melihat gambar-gambar yang diberi oleh Rinazila itu. Dia kemudiannya berpaling memandang Alex yang turut membelek sebahagian dari gambar-gambar tersebut.

“Sila terangkan pada aku apa yang dah berlaku sekarang ni?” tanya Rinazila. “Aku tahu pasal idea gila korang berdua nak jadi pasangan kekasih tapi aku tak harap gambar-gambar gay macam ni tersebar secara meluas di kolej ini!” Rinazila benar-benar sudah naik darah. Mana tidaknya, dia selaku setiausaha kelab sudah banyak berkorban demi memastikan setiap pemain mengikut peraturan dan displin demi menjaga nama baik The Legend.

“Senang saja, jawapannya… itu bukan kami,” Alex menghulur gambar-gambar tersebut kepada Rinazila semula.

“Aku harap juga begitu tapi apa bukti korang kau?”

“Aku tak de tahi lalat di leher,” katanya.

“Hee?” Rinazila segera menetap salah satu dari gambar-gambar tersebut dan memfokus ke arah leher lelaki yang seiras Alex di dalam gambar tersebut. Di lehernya memang ada tahi lalat tapi apabila dia memeriksa leher Alex, Alex tidak mempunyai tahi lalat di leher dimana-mana bahagian pun.

“Tapi macammana gambar palsu macam ni boleh tersebar? Bukan ke kita baru sahaja berbincang pasal cadangan tu tapi belum nak laksanakan?” tanya Izwan yang berasa musykil dengan tersebarnya gambar-gambar sedemikian. Seolah-olah ada seseorang cuba mengambil kesempatan dengan apa yang telah mereka bincangkan sebelum ini.

“Emm… okey jugak tu,” Alex bersuara. Serentak dengan itu, Rinazila memandang tepat wajah remaja lelaki di hadapannya itu.

“Okey?!” ajuk Rinazila tidak berpuas hati. “Alex, kau tahu tak betapa seriusnya perkara ni?”

“Habis nak buat apa lagi? Kau sendiri kata gambar ni dah tersebar satu kolej, kalau nak halang email tu pun dah terlambat. So, kita patut berterima kasih kepada orang yang sebarkan gambar ni,” ujar Alex selamba.

“Alex, kau tak boleh pentingkan diri kau saja. Kau kena fikirkan tentang kelab dan orang yang berada dalam kelab bola keranjang terutama sekali aku. Kalau hal macam ni tersebar, apa yang aku nak jawab pada pihak pengurusan kolej? Pihak pengurusan mesti cari aku terlebih dahulu!”

“Abaikan mereka,” balas Alex masih lagi bersikap tenang.

“Kau nak aku bunuh diri ke?” tajam mata Rinazila memandang Alex. Memang selama ini dia menurut sahaja cakap Alex tapi kali ini dia tidak boleh lagi berdiam diri. Ini juga melibatkan maruah kelab bola keranjang, sukan yang paling diminatinya sejak kecil lagi.

“Rina…,” Izwan yang senyap tadi mencelah.

“Kenapa? Korang berdua memang nak tengok aku bunuh diri bukan?”

“Bertenang Rina,” Izwan cuba mententeramkan keadaan. “Okey, kau sendiri kata gambar tu dah tersebar satu kolej dan apa yang Alex cakap memang betul, kita dah terlambat nak halang email tu,” sekali sekala dia menjeling memandang Alex di sebelahnya yang senyap.

“Tapi mesti ada cara untuk korang berdua nafikan yang dalam gambar tu bukan korang!” Rinazila menarik nafas lemah. “Aku tak kira, korang berdua kena fikir bagaimana cara untuk selesaikan perkara ini juga,” beg dan buku-bukunya yang di letakkan di kerusi penonton di capai dengan kasar sebelum meninggalkan mereka berdua di dalam dewan itu.

Izwan hanya dapat melihat Rinazila melangkah pergi meninggalkan mereka berdua di dalam dewan sukan itu. Setelah kelibat Rinazila tidak lagi kelihatan dari pandangannya, dia kembali memandang Alex yang masih lagi senyap.

“Kau jangan risau, Rinazila hanya bergurau. Dia terlampau marah sangat dengan apa yang dah berlaku sekarang ni,” katanya kepada Alex. “Kau sendiri pun tahukan, bagaimana perangai Rina. Dia cuma nak jaga nama baik kelab bola keranjang.”

“Aku tahu,” Alex akhirnya bersuara. “Sorry, susahkan kau lagi. Aku ada hal sikit, tentang masalah tu, biar aku selesaikan. Kau jangan risau.”

“Kau okey?” tanya Izwan apabila mendapati wajah Alex bertukar menjadi pucat.

Alex mengangguk sambil cuba menyembunyikan kesakitan yang dialaminya sejak dari tadi. Gambaran-gambaran darah yang menitik satu demi satu muncul berkali-kali diingatannya. Ingatannya menerjah semula peristiwa ngeri yang dialaminya dahulu.

“Jangan fikirkannya,” kata Izwan yang perasan akan berubahan Alex. Dia tahu Alex sememangnya fobia dengan sebarang perkara yang boleh membuatkan dia teringat kembali peristiwa ngeri itu.

“Thanks,” bahu Izwan ditepuk dua kali sebelum dia melangkah pergi. Izwan hanya melihat kelibat Alex yang semakin hilang dari pandangan matanya. Seperti yang Mellissa pernah beritahunya dahulu, dia mesti percaya pada Alex.

“Jangan pandang rendah pada Alex. Dia seorang yang sukar dijangka. Saya sebagai kakaknya pun tidak dapat mengagak apa yang dia akan lakukan. Mama sering cakap, Alex seorang yang pengecut dan tidak layak untuk jadi pemimpin apatah lagi nak menerajui syarikat tapi sebenarnya mama salah menilai anaknya sendiri. Alex memang seorang pengecut dan dia sendiri tahu tapi dia seorang yang tabah. Demi menangani perasaan takutnya, dia perlu tabah. Sebab itulah saya cakap, jangan pandang rendah pada Alex,” kata Mellissa suatu masa dahulu. “Tapi… satu sahaja yang perlu awak tahu. Alex akan jadi lebih kuat jika ada seseorang percaya dengannya,” tambah Mellissa lagi.

****

“So, kau betul-betul dah buat keputusan?” sapa Nabila menghampiri Apy Elina yang sibuk mencari peluang pekerjaan di helaian akhbar yang dibelinya. Sepanjang dia berkawan dengan Apy Elina, itulah pertama kali dia melihat Apy Elina benar-benar serius dengan keputusan yang dibuatnya.

Apy Elina sekadar mengangguk mengiyakan sahaja. Kali ini sudah benar-benar sudah bernekad untuk memikirkan masa depannya. Miskinpun begitu, menjadi jurulatih pasukan bola keranjang tetap menjadi impian utamanya cuma buat masa ini dia perlu mengukir kehidupan yang baru. Mungkin dari situ, dia dapat menemui sesuatu yang diinginkan selama ini.

“Baguslah. Macam aku juga, kau pun tahukan dulu aku memang minat untuk jadi pemandu pelancong sebab aku suka menjelajah tapi mak aku tak bagi sebab dia takut aku kahwin dengan orang mat salleh dan dia paksa aku ambil jurusan kesetiausahaan. Demi tak mahu lukakan hati mak, aku pun ikut saja. Belajar dan belajar… keluar universiti dapat keputusan atas pagar sebab aku memang tak minat dengan kerja tu. Bila habis sahaja belajar, tiada company pun nak ambil aku sebab tengok keputusan aku yang kurang memuaskan.”

“Masa tu aku ingat nak teruskan cita-cita aku. Jadi pemandu pelancong tapi entah macam mana aku tergerak apply satu jawatan kosong di company aku sekarang. Masa tu mereka tawarkan jawatan kecil sahaja dan aku dapat kerja di situ. Kemudian dengan pengalaman aku belajar dalam kesetiausahaan aku dinaikkan pangkat jadi setiausaha Datuk Azrina. Bila aku ingat balik kata-kata mak aku yang nak aku jadi setiausaha, aku tersenyum. Walaupun kita ada cita-cita sendiri tapi kadang-kala dalam tidak disedari cita-cita kita adalah merealisasikan impian kedua ibubapa kita,” Nabila tersenyum apabila teringat kembali zaman lampaunya yang selalu bergaduh dengan maknya sendiri hanya kerana mahu mengejar cita-citanya.

“Cita-cita mak aku cuma nak tengok aku kahwin cepat saja,” balas Apy Elina.

“Oh sebab tulah kau lari dari rumah.”

“Bukan lari tapi kena halau. Nasib baiklah mak aku halau aku dari rumah kalau tidak aku tak tahu nak buat apa di sana tu. Kalau kau nak tahu, hari-hari mak aku bawak gambar lelaki kononnya nak kenalkan aku dengan lelaki tu. Bosanlah. Ingatkan anak dia ni terdesak ke nak kahwin awal?”

“Aku pelik sangatlah dengan kau ni.”

“Kenapa pula?”

“Yelah. Kena halau dari rumah pun kau boleh kata nasib baik.”

“Kau tak kenal siapa Apy Elina yang sebenarnya lagi,” Apy Elina hanya tersengih-sengih sambil mengenyit matanya. Nabila menjeling tajam. Malas dia hendak melayan kawannya itu. Tapi memang benar, bagi sesiapa yang baru mengenali Apy Elina mungkin akan tertipu dengan perwatakan gadis itu.

****

“Betul kata awak,” Darina tiba-tiba bersuara menghampiri Daniel dengan secawan air teh panas yang dibuatnya tadi. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa empuk tidak jauh dari tunangnya itu duduk sambil menonton televisyen.

“Apa yang betul?” tanya Daniel semula.

“Tentang Apy Elina. Dia seorang yang unik,” Darina tersenyum puas. “Tak sangka, Ina dapat jumpa dengan orang seperti Apy Elina. Kalau dulu Ina tak percaya apa yang awak ceritakan pada Ina tapi sekarang Ina mengakuinya.”

“Saya kenalkan awak dengan Apy bukan sebab nak awak kaji tentang perangai manusia. Saya tahu awak memang berminat mengkaji perangai manusia tapi ada sebab saya kenalkan awak dengan Apy. Bagi saya awak dengan Apy ada banyak persamaan,” terang Daniel memandang tepat wajah tunangnya yang tiada langsung cacat cela pada wajahnya.

“Persamaan?”

Daniel hanya sekadar tersenyum sementara Darina asyik mengulangi ayat yang sama seolah-olah sedang memikir maksudnya tadi. Teh panas dihirupnya sedikit demi sedikit. Darina masih lagi melayan soalannya walaupun matanya mengadap televisyen.

“Tapi walaupun awak dengan Apy ada persamaan, saya tak pernah bandingkan awak dengan Apy. Dan saya pilih awak pun bukan sebab Apy. Hanya itu sahaja yang saya mahu awak faham.”

“Ya. Ina tahu,” Darina mengangguk faham. “Apy adalah Apy dan Ina adalah Ina. Ina takkan jadi Apy walaupun awak banyak memuji Apy. Bagi Ina, cukuplah awak dapat terima Ina dengan seadanya,” balas Darina dengan senyuman yang tidak pernah lekang dibibirnya.

1 si charming:

  1. Unknown berkata...:

    hehe tq kakratu akhirnya dah ada n3 baru....

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages