APY
ELINA terjaga daripada tidur. Dia mengeluh panjang. Waktu tengah
lena beginilah ada sahaja yang tak kena. Menyesal pula dia tak ikut
cakap Adam tadi. Lain kali sebelum masuk tidur, pergi buang apa yang
patut tapi dia degil. Akhirnya terpaksa bangun tengah malam pergi ke
tandas.
Perlahan-lahan
dia bangun dari katil. Sengaja tak nak Adam yang sedang nyenyak tidur
di sebelah terjaga. Kalau tidak, pasti pak cik itu akan membebel. Dia
tak sanggup nak dengar waktu malam-malam begini. Selepas berjaya
bangun, senyap-senyap dia keluar dari bilik.
Ketika
hendak turun ke bawah, dia terdengar beberapa suara sedang berbual di
ruang tamu. Serentak dengan itu bulu romanya naik meremang seluruh
badan. Mana tidaknya, dia dengar ada orang berbual-bual tapi bila dia
jengah dari atas, keadaan di ruang tamu agak samar-samar.
Bagaimanapun
dia kenal suara-suara itu. Apy Elina memasang telinga dan cuba
mendengarnya dengan teliti. Itu macam suara Along.
“Payahlah
mak. Menantu lelaki mak tu memang bukan calang-calang menantu. Dia
tu, apa pun tak takut. Semua dia boleh buat. Nak buli dia pun payah.
Kami buli dia, akhirnya dia buli kami balik,” ujar Angah dengan
keluhan.
“Habis
tu macam mana?” suara emaknya pula kedengaran.
“Biarkan
sajalah. Bagi Along, Adam tu tak macam yang kita dengar selama ini.
Dia layan Apy dengan baik saja. Macam tak logik pula Adam ada
deranya. Lagipun tak ada pun sebarang luka atau lebam dekat mukanya.
Mungkin semua yang kita dengar tu fitnah kot,” tambah Along
meluahkan pendapatnya.
“Memanglah
sekarang ni tak ada lebam-lebam. Kita tak tahu hal sebenarnya yang
berlaku antara mereka. Mana tahukan Apy kena ugut dan pura-pura
tunjuk dia bahagia. Kita tak tahu, bukan? Lagipun dera ni tak
semestinya lebam-lebam tapi mental pun boleh kena dera juga,” balas
Puan Fatimah.
Apy
Elina yang sedang mencuri dengar mengangguk faham. Jadi, inilah sebab
utama mereka membuli Adam. Adam ada menderanya? Entah daripada mana
fitnah itu muncul. Macam-macam hal. Kalau dia dapat orang yang
menyebarkan cerita yang tak betul ini, memang dipanggang orang itu!
Menyusahkan betul!
“Macam
mana kalau tak ada? Along rasa semua ni fitnah sajalah,” tegas
Along.
“Macam
mana betul? Dah kecoh satu kampung kata Apy tak bahagia dengan
suaminya,” Puan Fatimah masih bertegas.
“Siapa
pula kata begitu? Dia ada bukti ke?” tanya Angah pula.
“Dia
cakap mestilah ada bukti…”
“Siapa
yang cakap?” tanya Apy Elina segera keluar dari tempat
persembunyian. Dia yang hendak buang air kecil tadi terus terbantut.
Emak dan abang-abangnya terkejut disapa olehnya.
“Relaks.
Relaks,” Angah cuba tenteramkan adiknya itu.
“Mana
boleh Apy relaks bila ada orang fitnah Adam macam tu. Siapa yang
pandai-pandai buat cerita macam ni?” tanya Apy Elina geram. Tak
pasal-pasal disebabkan fitnah ini suaminya kena buli. Isteri mana
yang tak mengamuk.
“Err…
tanya mak. Along cuma ikut arahan mak.”
“Mak…”
keluh Apy Elina.
“Mak
dengar dari Mak Senah tu.”
“Mak
Senah? Mak tahu ke yang Mak Senah tu memang suka buat mulut? Semua
yang keluar dari mulut dia tak boleh percaya satu pun! Kalau mak nak
tahu lagi, anak dara terlajak Mak Senah tu memang tergila-gilakan
Adam. Suami Mak Senah pula, Pak Cik Taha, memang ada hati nak
jodohkan anaknya dengan Adam tau. Takkan mak tak tahu?” terang Apy
Elina cuba bukakan mata hati Puan Fatimah yang mungkin selama ini
tertutup melihat yang mana kaca dan yang mana permata.
“Mak
tahu…”
“Kalau
mak tahu, kenapa mak percayakan fitnah tu bulat-bulat? Kecik hati Apy
tau. Mak lebih percayakan orang lain berbanding anak sendiri,” Apy
Elina mendengus marah.
“Macam
manalah mak tak percayakan mereka kalau tiap kali mak suruh kau balik
saja, mesti ada saja alasan. Mestilah mak fikir yang bukan-bukan,”
jawab Puan Fatimah.
“Apy
tak balik sebab sibuk dengan kerja,” jawab Apy Elina.
“Sibuk
sampai tak ada masa nak balik kampung jenguk mak? Mak lagi kecik hati
dengan alasan kamu tu,” balas Puan Fatimah dengan nada merajuk.
Apy
Elina menggaru kepala. Dia yang sepatutnya merajuk tapi kini emaknya
pula merajuk. Nak tak nak dia terpaksa rendahkan ego dan memujuk
emaknya itu. Walaupun terkilan tetapi wanita itu tetap emaknya.
“Ala,
bukan Apy tak nak balik. Kalau Apy balik mesti mak suruh Adam makan
nasi. Kali terakhir kami balik kampung, mak paksa dia makan nasi.
Bila balik KL dia demam seminggu tau.”
“Manalah
mak tahu. Mak ingat dia sengaja tak nak rasa masakan mak. Kecik hati
mak tau bila tengok dia tak jamah pun masakan mak. Macamlah mak letak
ubat guna-guna dalam masakan mak,” balas Puan Fatimah.
“Tak
ada maknanya. Suami Apy memang tak boleh makan nasi. Lauk pun dia
hanya ratah sikit. Jadi, janganlah paksa dia makan nasi lagi. Tak
sanggup Apy tengok dia jatuh sakit macam hari tu. Pasal Apy tak balik
tu, Apy minta maaf sangat-sangat.”
“Jadi,
betul dia tak ada dera kamu?” tanya Puan Fatimah masih ragu-ragu.
“Betul.
Sumpah!” ujar Apy Elina sambil mengangkat tangan kanannya seakan
berikrar. Dia berani bersumpah sebab dia tahu layanan Adam
terhadapnya. Kalau orang kata Kate Middleton sangat bertuah kerana
dapat memiliki Putera William, dia berani kata, dia lagi bertuah
daripada mereka.
“Hmm…
kalau betul dia layan kamu dengan baik, baguslah. Mak bukannya benci
sangat dengan suami kamu tu tapi…”
“Ye.
Apy tahu. Mak sayangkan Apy, bukan?” pantas Apy Elina memotong
kata-kata emaknya tadi.
“Huh,
dah tahu tu, jangan lupa balik kampung jenguk mak bila senang. Jangan
bagi alasan sibuk lagi,” jawab Puan Fatimah.
“Yes
madam!”
“So,
happy endinglah ni?” tanya Along.
“Happy
endinglah tu. Esok pagi boleh balik rumah. Yahoo!” Angah bersorak
gembira.
“Amboi
seronok sangat ke nak tinggalkan mak seorang diri di sini?” Puan
Fatimah menjeling tajam ke arah kedua-dua anak lelakinya itu.
“Betul!
Betul! Dah buli suami aku, ada hati nak lari macam tu saja,” sokong
Apy Elina.
“Hakikatnya,
suami kau yang buli kami tau,” balas Along tak puas hati.
“Hah
tau tak apa. Lain kali, jangan sesekali pandang orang kaya ni dengan
sebelah mata. Adam tu memanglah daripada keluarga kaya tapi itu tak
bermakna dia tak pernah hidup susah. Ingat tu!”
“Baiklah
Puan Apy Elina,” masing-masing menabik hormat.
“Hmm…
bagus!” Apy Elina tersenyum puas.
“Sekarang
baru aku tahu kenapa adik ipar kita tu cakap ular tedung nampak comel
ketika terancam,” keluh Along tiba-tiba.
“Aku
setuju,” sokong Angah.
“Nak
kena gigit dengan aku ke?” Apy Elina menunjukkan gigi taringnya.
“Lari!
Selamatkan diri!”
“Mak,
tengok Along dengan Angah tu. Dia orang buli Apy!” rungut Apy Elina
saja nak bermanja dengan emaknya.
“Jangan
mengadu dengan mak. Pergi mengadu dengan pak cik kau tu,” balas
Puan Fatimah tak nak masuk campur.
“Pak
cik?” Apy Elina menggaru kepala.
Pelik.
Pak cik mana yang disebut oleh emaknya itu. Memang dia banyak pak cik
tapi tak ada seorang pun yang begitu rapat dengannya sehingga dia
perlu mengadu dengan mereka.
“Pak
cik kesayangan kau tu. Bukan ke kau panggil suami kau tu pak cik?”
Serentak
dengan itu, Apy Elina ketawa terbahak-bahak apabila dapat menangkap
kata-kata emaknya tadi. Tak sangka, emaknya tahu dengan gelaran yang
selalu dia memanggil suaminya.
“Ada
ke panggil suami sendiri macam tu?” Puan Fatimah menjeling tajam.
“Itu
barulah dinamakan romantik!”
BANGUN
sahaja daripada tidur, bukan sahaja dia menyedari Adam tiada di dalam
bilik itu. Tanpa berlengah lagi dia segera turun ke bawah. Sunyi
sahaja rumahnya. Macam tiada orang. Apy Elina menjenguk ke luar
rumah. Kedua-dua kereta milik abang-abangnya tiada di halaman rumah
tapi kereta Adam ada sahaja parking di situ.
Dia
mula risau. Takkanlah abang-abangnya itu masih nak membuli suaminya.
Dia sudah pun terangkan hal sebenar semalam. Takkanlah masih tak
percaya. Lantas, dia berlalu mendapatkan emaknya yang sedang
menyediakan sarapan di dapur.
“Mak,
mana semua orang pergi?” tanya Apy Elina.
“Kedua
abang-abang kau dah cabut balik rumah dia orang. Masing-masing kena
balik bekerja,” jawab Puan Fatimah.
“Adam?”
tanya Apy Elina. Takkanlah Adam pun ikut mereka sekali.
“Tadi
mak nampak dia keluar joging selepas subuh. Tak balik lagi ke?”
jawab emaknya.
“Joging,”
seraya Apy Elina menepuk dahi.
Baru
dia teringat. Selepas sembahyang subuh tadi, memang suaminya ada ajak
pergi joging tapi oleh kerana dia tak cukup tidur malam tadi, jadi
dia tak jadi ikut serta.
“Pak
cik ni kalau dapat joging memang boleh pergi ke sempadan negeri
Perak,” keluh Apy Elina naik masuk ke bilik semula dan mencapai
telefon bimbitnya. Tanpa berlengah lagi dia segera menelefon telefon
bimbit suaminya.
Tiba-tiba
dia dikejutkan dengan bunyi yang datang dari telefon bimbit suaminya
yang diletakkan di atas meja kecil bersebelahan dengan katil. Apy
Elina mengeluh panjang.
“Dia
tak bawa handset pula!”
Tanpa
berlengah lagi dia segera turun ke bawah. Gosok gigi dan cuci muka.
Keluar sahaja dari bilik mandi, dia memberitahu emaknya hendak keluar
sebentar.
“Ke
mana?” tanya Puan Fatimah.
“Cari
Adam.”
“Hisy,
kau ni memang pantang bila suami kau tak ada di rumah. Macamlah suami
kau tu budak tadika. Tak payah risau. Suami kau tu pandai jaga diri
sendiri,” Puan Fatimah sudah membebel.
“Memanglah
dia pandai jaga diri sendiri tapi dalam kampung ni ada anak dara yang
tak pandai jaga diri sendiri. Suami orang pun dia orang nak kebas.
Isteri mana yang boleh tahan?” balas Apy Elina mencapai kunci motor
peninggalan arwah ayahnya.
“Kamu
tu cemburu sangat!”
“Dah
nama isteri suami terhangat, memanglah kena cemburu,” sempat lagi
Apy Elina membalas sebelum keluar mendapatkan motor tua yang masih
berfungsi lagi.
Tanpa
berlengah lagi dia segera menghidupkan enjin motor dan memulakan
usaha mencari suaminya. Macam emaknya kata tadi, memanglah Adam
pandai jaga diri sendiri tapi bukan sebab dia tak percayakan Adam
cuma dia berasa tak sedap hati. Sukar dia hendak jelaskan kegusaran
hatinya. Yang penting, kena cari Adam sampai dapat!
ADAM
berhenti berjoging apabila menyedari matahari terasa terik. Dia
memandang jam tangannya. Hampir jam 9.00 pagi. Barulah dia sedar yang
dia sudah berjoging jauh dari rumah mertuanya. Lebih kurang dua
kilometer jauhnya.
Tiba-tiba
dia teringatkan isterinya. Sudah pasti mak cik itu akan risaukan
akannya. Perut pula sudah mula meminta makanan. Sepatutnya pada waktu
begini dia sudah pun bersarapan bersama-sama isterinya.
Baru
sahaja kakinya hendak melangkah balik, dia mula perasan satu denai
kecil tidak jauh darinya. Adam memandang sekeliling. Pelik. Di
hadapannya itu penuh dengan semak samun dan pokok-pokok yang tinggi
tapi terdapai denai kecil yang menjadi laluan basikal atau motosikal.
Perasaan
ingin tahu mula menguasai dirinya. Tanpa berlengah lagi dia segera
melangkah melalui denai itu. Baru separuh jalan, dia berasa kagum
dengan pemandangan yang dilihatnya. Denai itu bukan semak seperti
yang dilihatnya sebelum masuk tadi tetapi bagaikan sebuah terowong
kecil yang penuh dengan pokok-pokok hijau.
Tiba
di hujung jalan, sekali lagi dia tergamam apabila melihat sebuah
rumah agam dyang besar. Itulah rumah agam yang dia nampak dari rumah
mertuannya. Dari jauh, dia nampak rumah itu seperti rumah tinggalan
yang usang tapi kini tidak lagi. Persekitaran rumah itu nampak bersih
seperti ada orang yang menghuni rumah itu.
Adam
mendapati pintu pagar yang sudah berkarat itu tidak berkunci. Dia
bagaikan terpanggil untuk masuk ke dalam seolah-olah rumah itu sedang
menanti kedatangannya. Tanpa berlengah lagi dia masuk ke dalam
pekarangan rumah itu dan berjalan-jalan di sekelilingnya.
Rumah
agam itu bukan sahaja besar tapi juga mempunyai sebuah taman bunga
yang dijaga dengan baik. Semua bunga-bunga kembang mekar dengan
cantik. Malah tak ada sehelai daun gugur pun yang sekitar kawasan itu
menunjukkan memang ada orang yang membersihkan kawasan itu setiap
hari.
Krekkk…
Dia
terdengar sesuatu di belakangnya. Pantas dia berpaling tetapi tiada
sesiapa di sekitar itu. Matanya meliar memandang sekeliling dan dalam
masa yang sama dia terasa ada seseorang sedang memerhatikannya.
Pandangan matanya kini tertumpu ke arah sebuah sebuah bilik yang
berdindingkan kaca. Di situ, dia nampak dengan jelas seorang wanita
berpakaian serba putih yang berlumuran dengan darah. Wanita itu
memandang tepat ke arahnya dengan tajam.
Walaupun
wajahnya menakutkan tetapi Adam tetap menentang pandangan wanita itu
sambil berkira-kira sama ada apa yang dinampaknya realiti atau
fantasi semata-mata.
“Anak
ni siapa?” sapa satu suara di belakangnya tiba-tiba.
Adam
segera berpaling. Kelihatan seorang lelaki tua berada di belakangnya.
Lelaki itu memegang sebuah penyapu lidi. Pasti pak cik itu yang
membersihkan rumah itu selama ini.
“Saya…
cuma jalan-jalan di sini. Maaf sebab masuk tanpa kebenaran,” jawab
Adam. Barulah dia sedar bahawa dia sudah menceroboh masuk ke kawasan
rumah orang tanpa kebenaran.
Lelaki
tua yang bersongkok putih di atas, hanya tersenyum. Dia nampak mesra
walaupun berhadapan dengan orang yang menceroboh kawasannya itu.
“Kamu
ni mesti menantu Fatimah yang anak perempuannya nama Apy Elina tu,
bukan?” tanya pak cik itu.
Adam
mengangguk. Nampaknya dia memang cukup terkenal di kampung itu. Ke
mana sahaja dia pergi di kampung ini, pasti mereka sudah dapat tahu
dia suami kepada Apy Elina. Isterinya itu memang cukup popular di
kampung itu agaknya.
“Ini
rumah pak cik?” tanya Adam.
“Kalau
ini rumah pak cik memang pak cik tak bagi orang masuk dah. Terus buat
pagar bermeter tingginya. Pak cik ni cuma ambil upah bersihkan
kawasan rumah ni saja,” jawab orang tua itu sambil tunjukkan
penyapu lidi yang dipegangnya.
Adam
mengangguk faham. Kemudian dia memandang kembali ke arah dinding kaca
tadi. Wanita yang berpakaian putih yang dilihatnya tadi sudah tiada.
“Siapa
tinggal di dalam rumah ni?” tanya Adam yang ingin tahu.
“Tak
ada sesiapa. Kenapa kamu ada nampak apa-apa ke?” tanya pak cik itu
seakan berbisik.
Adam
tersenyum menggeleng. Memang dia pasti dia nampak sesuatu tapi
rasanya pak cik itu lebih tahu berbanding dengannya. Menyedari dia
sudah terlambat, Adam segera meminta diri. Keluar sahaja dari jalan
berdenai itu, dia terserempak dengan isterinya yang sedang menunggang
motor. Dia terkejut.
“Pak
cik!” Apy Elina segera turun daripada motor.
“Mak
cik, nak pergi mana naik motor ni?” sapa Adam. Belum pernah lagi
dia tengok isterinya menunggang motor.
“Cari
awaklah. Jenuh saya tanya orang sepanjang jalan. Nasib baik jumpa
awak. Awak buat apa di sini?” tanya Apy Elina yang nampak
ketakutan.
“Joging,”
jawab Adam acuh tak acuh. “Dan tiba-tiba nampak rumah agam yang
cantik di dalam tu.”
“Awak
masuk ke dalam?” tanya Apy Elina seakan terkejut.
Adam
mengangguk. Sekali lagi Apy Elina terkejut. Ah, pak cik ini memang
tak ada perasaan seram langsung. Main redah sahaja. Orang kampung
punyalah takut nak hampiri rumah itu, dia pula boleh selamba melawat
ke sana.
“Rumah
agam tu siapa punya?” tanya Adam.
“Entahlah.
Yang saya tahu, rumah tu milik seorang jutawan. Sekarang ni, Pak Cik
Rahim yang tolong jagakan rumah itu. Awak pergi sana mesti nampak
rumah tu seram, bukan? Ramai orang kampung kata rumah tu berhantu…”
kata Apy Elina mula terasa seram sejuk.
“Kenapa?”
“Sebab
pernah ada orang mati dalam rumah tu. Satu keluarga kena bunuh. Ada
orang kampung yang lalu di situ ternampak hantu perempuan berlumuran
darah. Mukanya menakutkan!” kata Apy Elina cuba menakut-nakutkan
suaminya.
Namun,
Adam hanya memberikan reaksi yang sama.
“Awak
ni, tunjuklah rasa takut sikit. Macam tak ada perasaan langsung,”
keluh Apy Elina apabila melihat suaminya langsung tak beri sebarang
reaksi tetapi sebaliknya hanya memandangnya tanpa berkelip.
“Mak
cik, nak tahu tak apa yang paling menakutkan?” tanya Adam.
“Bukan
nampak hantu?”
Adam
menggeleng. Kemudian, dia menunjuk ke arah bawah. Apy Elina tidak
berani melihat ke bawah. Takut kalau-kalau ada kucing di kakinya
macam tempoh hari.
“Ada
kucing ke?” tanya Apy Elina takut-takut.
Adam
tidak menjawab tetapi sebaliknya hanya mengukir senyuman. Kemudian
dia terasa ada sesuatu bergesel-gesel di kakinya. Perlahan-lahan dia
menandang ke bawah. Seekor kucing warna putih macam salji sedang
menggosok-gosok kepala di kakinya. Kucing itu memandang ke arahnya.
“Meowww...”
sapa si kucing dengan suara menggoda.
“Arghhh!!!”
jerit Apy Elina sekuat-kuatnya sehingga Adam terpaksa menutup
kedua-dua telinganya dengan tangan. Mungkin kerana terkejut, kucing
itu berlari ke laluan rumah agam tadi. Menyedari kucing itu sudah
berlalu pergi, Apy Elina mengeluh lega.
“Mak
cik, cubalah kawal sikit jerit tu. Satu negeri boleh dengar,”
sindir Adam.
“Dah
nama jerit, mestilah kuat. Awak tu, bukan nak tolong saya.”
“Nak
tolong macam mana? Cium awak di sini supaya awak senyap?”
“Sejak
bila Muhammad Adam ni dah pandai nak jadi Romeo?”sindir Apy Elina
kembali. Dia tahu sangat, Adam bukan jenis orang begitu.
Adam
hanya tersenyum. Romeo. Sudah lama dia tak dipanggil begitu...
Sgt menarik.... Apy Elina n Adam...